KASUT RAYA KU
Semenjak awal puasa lagi, setiap kali aku melintasi kedai Joo Onn aku akan berhenti di situ untuk melihat kasut Bata yang tersusun dalam almari cermin di kedainya itu. Teringin benar aku memiliki kasut yang ada tapak tu. Harganya yang tertulis di situ ialah RM3.20. Terlalu mahal untuk memilikinya. Tidak termampu bapak untuk membelinya.
Hanya tinggal dalam impian. Namun cita-cita untuk memiliki kasut Bata tidak kunjung padam. Aku sedar bahawa dalam tabung buluh yang terletak disudut rumah aku pasti ada tersimpan juga sedikit wang untuk menampung pembelian kasut Bata berkenaan. Namun tidak mencukupi. Paling banyak pun wang syiling yang ada dalam tabung buluh aku itu disekitar RM1.50 sen. Kebanyakan syiling yang ada dalam tabung buluh itu adalah syiling 5 sen, kerana itu saja yang aku termampu untuk menyimpan dari wang saku yang diberikan bapak sebanyak 20 sen setiap hari.
Aku yakin yang bapak akan membelikan juga kasut baru untuk aku. Tapi bukanlah kasut Bata yang aku idamkan. Tidak ramai kanak-kanak di kampung aku itu yang mampu memakai kasut Bata. Cuma ada seorang dua sahaja yang pernah aku lihat memakai kasut Bata sebagaimana yang aku idamkan itu. Memiliki dan memakai kasut Bata di kampung aku pada waktu itu ibarat seperti memakai kasut berjenama ‘Russel and Bromley’ atau pun ‘Balley’ lah.
Dengan wang simpanan yang ada ditambah lagi oleh wang yang diberikan oleh emak aku hasil dari jualan ayam ternakannya aku dapat memiliki kasut Bata dari kedai Joo On sepertimana yang aku idamkan. Tidak dapat aku bayangkan keseronokan aku pada ketika itu setelah dapat memiliki kasut Bata. Ada juga perasaan aku untuk menunjuk-nunjuk kasut Bata aku itu pada Ngah, Mat Gedi, Zainun, Isa, Bahari. Tidak sabar rasannya untuk menunggu ketibaan Hari raya.
Aku tahu dan pasti bahawa mereka tidak akan mampu memiliki kasut Bata seperti aku. Kebiasaannya pada Hari Raya kami anak-anak kampung hanya memakai sliper Jepun sahaja pada Hari Raya. Jikalau memakai kasut pun hanya kasut getah murah yang bukan diperbuat daripada Bata. Aku tahu saban tahun aku memamakai kasut sedemikian. Dan baru tahun itulah aku dapat merasakan kasut Bata.
Kasut Bata dibeli oleh bapak pada 10 Ramadhan. Bermakna aku terpaksa menunggu 20 hari lagi untuk memakai kasut Bata pada Hari Raya. Walaupun begitu kasut Bata berkenaan aku sarungkan di kaki aku setiap malam sebelum tidur. Aku berjalan di atas rumah, mundar mandir menggayakan kasut Bata aku sebelum aku tidur. Dan aku pastikan juga kasut Bata berkenaan di simpan di tempat yang selamat, takut juga digigit tikus. Maklumlah bau kasut Bata itu mungkin juga menarik perhatian tikus untuk mencuba menggigitnya. Maklumlah , malang tidak berbau kata orang.
Pada pagi Hari Raya itu, kokok ayam pertama aku dah bangun dan terus mandi. Tidak lain ingatan aku selain dari mengidam untuk memakai kasut Bata baru. Dan kesbiasaannya pada pagi Hari raya, kami anak-anak kampong akan pergi rumah Pak Haji Sulaiman ( guru Quran yang mengajar kami) terlebih dahulu sebelum bertolak ke masjid.. Berkumpul di situ dan kemudian berarak ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Begitulah jadualnya saban tahun.
Dan pastinya kasut Bata aku akan menarik perhatian ramai ketika berada di rumah Pak Haji Sulaiman. Kebimbangan mula menguasai perasaan aku mengenai Kasut Bata. Timbul persoalan dimanalah akan aku letakkan kasut Bata ku itu ketika berada atas rumah Pak Haji nanti. Takkanlah nak pakai kasut sampai ke rumah. Tak pernah dibuat oleh orang. Lagipun kotor lah rumah Pak Haji. Hendak aku letakkan bersama-sama dengan kasut kawan lain di tepi tangga, pastinya akan dipijak-pijak oleh kawan lain. Hendak aku letakkan di bawah gelegar rumah Pak Haji, nampak pelik sangat pulak. Akhirnya aku letakkan kasut aku bersama-sama dengan kasut kawan lain. Di tepi tangga. Terserahlah…
Memang betul dugaan aku. Apabila aku turun saja dari rumah Pak Haji Sulaiman, kelihatan kasut Bata berwarna putih sudah bertukar warna kerana dipijak oleh rakan-rakan lain. Bukan sengaja mereka memijak kasut baru ku itu tetapi disebabkan keadaan yang bersesak-sesak mereka pastinya tidak menyangka yang mereka telah memijak kasut baru ku yang berwarna putih melepak itu.
Dalam perjalanan aku ke rumah Pak Haji Sulaiman tadi, aku sedar bahawa lorong pejalan kaki di kampung aku sememangnya becak disebabkan hujan yang tidak henti-henti musim tengkujuh dan aku cuba mengelak kasut aku terkena lecah. Terselamat jugalah kasut pautih aku disebabkan keadaan aku berhati-hati melalui jalan becak itu. Tetapi dengan keadaan yang bersesak-sesak di tepi tangga rumah Pak Haji Sulaiman, keadaan kasut putih ku tidak dapat diselamatkan juga.
Bagitulah nasib anak kampung yang serba kekurangan pada zaman penjajahan British.
abuhassanadam
18 Mei 2020
No comments:
Post a Comment