Friday, May 22, 2020

LAMBAIAN DESA

LAMBAIAN DESA

Nampaknya semakin ramai yang merelakan diri dikenakan kompound disebabkan melanggar perintah PKP merentas negeri yang dikenakan oleh kerajaan, semata-mata untuk pulang beraya dikampung. Semacam tidak tertahan perasaan yang membuak-buak warga Kuala Lumpur apabila semakin hampir menjelangnya Raya. Semakin tidak tertahan hati dan perasaan untuk berjumpa ayah ibu dan sanak saudara di kampung untuk merayakan lebaran ini.

Perasaan yang melonjak tiba ini didorong pula oleh dendangan lagu Allahyarham P.Ramlee dan Sudirman Haji Arshad. Ada juga betulnya saranan YAB TS Muhyiddin Yassin yang ‘melarang’ warga Kuala Lupur supaya tidak terlalu mendengar lagu ‘Dendang Perantau’. Dan tidak kurang berkesanya lagu Sudirman yang berjodol ‘Balik Kampung’.

Seingat aku, Hari Raya tahun 2020 merupakan hari raya yang sungguh unik sekali. Tidak pernah dirasai kongkongan perasaan yang sebegini. Dan pihak kerajaan tidak harus dipersalahkan kerana berindak ‘menghalang’ dan ‘membendung’ pergerakan demi untuk menyekat ‘kemaraan’ Covit 19. Sekiranya kerajaan tidak bertindak sedemikian rupa maka besar kemungkinannya negara ini akan mengalami keadaan sebagaimana yang dialami oleh negara-negara yang dilanda dengan teruk sekali oleh Covid 19.

Maka atas kesedaran sedemikianlah terpaksa dibendung derita bukan sahaja oleh anak-anak cucu yang ingin pulang merayakan hari raya di kampung tetapi sedih dan pilu juga perasaan Opah dan Atuk yang menunggu kepulangan anak cucu dari perantauan. Apalah erti hari raya sekiranya tidak dirayakan bersama anak cucu yang tersayang. Apalah ertinya lemang yang dibakar sekiranya bukan untuk dihidangkan kepada anak cucu yang tercinta. Apalah ertinya malam raya sekiranya ketiadaan anak cucu untuk dirayakan bersama.

Sudah hampir satu tahun anak tidak pulang ke kampung disebabkan kesibukan bekerja di Kuala Lumpur. Sudah setahun jugalah Atuk dan Opah tidak melihat wajah cucu dan hanya melihat wajah mereka melalui Video telefon. Dan jangkaannya pada hari raya nantilah mereka akan berjumpa dan bermesra yang lantasnya bermanja. Pada hari raya nantilah Atuk dan Opah akan menyediakan segala bentuk jenis makanan yang disukai oleh anak cucu. Namun kesemuanya ini hampa belaka. Segala harapan dan impian atuk dan opah hancur berkecai.

Sebenarnya semacam tidak ada penyelesaian untuk mengatasi dan menghadapi keadaan ini. Kerajaan terpaksa mengekang perjalanan balik kampung ini untuk menyelamatkan penduduk negara dari jangkitan Covid 19 sementara warga kota pula semacam tidak tertahan perasaan yang melonjak untuk pulang ke kampung. Dalam keadaan sebeginilah, perasaan ‘kesabaran’ harus diutamakan. Hanya kesabaran yang boleh jadi ubat dan penawar untuk mengatasi keadaan sedemikian.

Semua pihak harus mengerti erti sebenar ‘Lambaian Desa’. Tidak mudah dirungkai apakah erti sebenar ‘Lambaian Desa’ dan hanya yang mengalami sahaja yang dapat mengerti erti sebenar ‘Lambaian Desa’. Dengan sebab itulah warga kota semacam ‘menggila’ untuk balik kampung pada hari raya. Dengan sebab itulah warga kota sanggup dan rela menempuh kesesakan lalu lintas walaupun mengambil masa 13 jam untuk pulang ke desa. Itulah yang dinamakan ‘LAMBAIAN DESA’.

abuhassanadam
22 Mei 2020

No comments:

Post a Comment