Tuesday, May 19, 2020

‘MENGGILA’ UNTUK BALIK KAMPUNG

‘MENGGILA’ UNTUK BALIK KAMPUNG

Suasana menjelang Raya di kampung pada waktu itu memang menyeronokkan walaupun dalam serba kekurangan. Mendapat sepasang baju raya sudah cukup mengembirakan. Dan sememangnya sepasang sahaja baju Melayu untuk pakaian hari raya. Dan itu pun mungkin baju raya yang dipakai pada tahun lepas. Dan ada juga yang memakai baju Melayu yang telah diturun temurunkan dari abang-abang yang lepas.

Satu keadaan yang agak luar biasa bagi kami orang kampung pada ketika itu ialah bahawa kami tidak merasakan bahawa kami adalah dari golongan miskin. Pendapatan penduduk kampung adalah disekitar RM50-RM70 ia itu hasil pendapatan dari jualan getah ( hampir keseluruhan penduduk di kampung ku sebagai penoreh getah). Itulah merupakan pendapatan penduduk kampung aku. Namun begitu mereka bersawah padi dalam erti kata mereka tidak membeli beras untuk makanan seharian. Kelapa sedia untuk dikait di belakang rumah. Dan untuk mendapatkan ikan sungai sentiasa tersedia di sungai dan sawah padi. Ketika datang musim buah-buahan akan berlonggoklah manggis, rambutan, cempedak, rambai di kawasan dusun di kampung aku.

Maknanya orang kampung tidak merasakan bahawa mereka miskin dan susah kehidupan. Mereka merasa bahagia selalu. Yang mrasakan orang kampung dalam kesusahan ialah golongan orang senang yang sudah merasa nikmat kesenangan. Di kampung  tidak ada pula perbandingan antara orang senang dengan orang susah disebabkan keseluruhan orang kampung aku susah belaka (mengikut tafsiran orang senang).

Seminggu sebelum Raya, seluruh kampung berbau masakan kuih. Hampir setiap dapur rumah di kampung aku berasap menunjukkan penghuninya sedang membakar kuih menggunakan dapur kayu dan sabut kelapa. Belum ada lagi dapur gas pada ketika itu dan belum ada lagi kuih-kuih modern seperti sekarang. Hampir setiap rumah akan menghidangkan Kuih Bangkit, Kuih Loyang, Buahulu, Putu Kacang disamping lemang yang merupakan makanan wajib di kampung ku.

Yang ingin aku sampaikan dalam coretan ini ialah suasana gembira menjelang Raya dan kegembiraan yang melampau pada hari Raya pada ketika itu – 1950an. Yang dapat aku pastikan bahawa bukan wang yang menyebabkan kita gembira. Kegembiraan terpancar di setiap wajah orang kampung aku pada hari Raya seolah-olah tidak kelihatan langsung kesusahan yang dialami oleh mereka.

Untuk membezakan diantara orang yang agak susah dengan orang senang dikampung kami ialah makanan yang dihidangkan. Misalnya ditinjau dari segi lauk mencecah lemang. Sekiranya lemangnya berlaukkan Rendang Kerang bolehlah diandaikan seseorang itu dalam keadaan amat sederhana (pada ketika itu se kati (setengah kilo) kerang hanya berharga 10sen. Kebiasaanya lemang akan berlaukkan Rendang Daging atau Rendang Ayam. Walau susah macam mana sekali pun penduduk kampung aku akan tetap menyediakan hidangan hari raya. Lemang tetap ada ( disebabkan mereka bersawah padi).

Walaupun tidak ada konsep ‘Rumah Terbuka’ di kampung ku, namun kesemua rumah pada hari Raya dan pada hari-hari biasa pintu tetap terbuka. Masuklah pada bila-bila masa akan tetap disambut dengan senyum ria oleh penghuni rumah. Langsung tidak memerlukan sebarang ‘appointment’ seperti amalan orang-orang bandar kini.

Sebab itulah anak bandar ‘menggila’ untuk pulang ke kampung untuk beraya.


abuhassanadam
19 Mei 2020






No comments:

Post a Comment