HARGA SATU KILO GETAH HANYA BOLEH BELI SEEKOR IKAN
KEMBUNG
Hampir
aku menitiskan air mata apabila mendengar rintihan seorang penoreh getah dari
Baling Kedah yang mengatakan bahawa harga sekilogram getah torehannya hanya
mampu untuk membeli seekor ikan kembung. Ada lojiknya kenyataan yang diberikan
itu. Jikalau sekilogram getah berharga
lebih kurang satu ringgit sedangkan harga sekilogram ikan kembung berharga RM RM18.00,
maka amat tepatlah apabila dikatakan yang satu kilogram getah hanya dapat
membeli seekor ikan kembung.
Terfikir
pula aku. Dari mana pula wang yang hendak diperolehi si penoreh ini untuk
membeli beras, garam, gula, kopi dan keperluan asas lain. Bagaimana pula
perbelanjaannya untuk anaknya ke sekolah. Berapa sen agaknya wang saku untuk anaknya
ke sekolah. Jiaklau si bapa hanya mampu untuk menyediakan perbelanjaan 50 sen
untuk anaknya ke sekolah, apakah jenis makanan yang dapat dibeli oleh si anak
yang malang itu. Apakah masih ada lagikah harga sebungkus nasi lemak yang
berharga 50sen di sekolah-sekolah di Malaysia. Bertualah si anak itu sekiranya
masih ada lagi nasi lemak yang berharga sedemikian.
Soalnya
mampukah si bapa memberikan wang saku sebanyak 50 sen itu kepada anaknya
sedangkan untuk perbelanjaan membeli keperluan dapur pun dia mengalami masalah,
tentulah sukar juga baginya untuk menyediakan perbelanjaan sekolah untuk
anaknya. Itupun kalau sekiranya untuk seorang anak yang ke sekolah. Bagaimana
pula dengan keluarga yang mempunyai dua atau tiga orang anak bersekolah.
Dapat
aku bayangkan bagaimana anak-anak berkenaan berulang alik ke sekolah. Tidak akan termampu seorang
ayah untuk membayar tambang bas untuk anaknya kesekolah sekiranya harga satu
kilogram getahnya hanya termampu untuk membeli seekor ikan kembung. Tidak akan
termampu seorang ayah yang berkeadaan sedemikian untuk menyediakan kelengkapan
persekolahan anaknya dengan sempurna sekiranya harga satu kilogram getahnya
hanya termampu untuk membeli seekor ikan kembung.
Artikel
ini aku tulis dengan penuh simpati dan ‘empathy’.
Aku adalah anak seorang penoreh getah yang
kehidupannya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tetapi
kehidupan yang aku lalui (ketika zaman kanak-kanak dulu) tidak seteruk dan
sesusah sebagaimana yang diagambarkan oleh siayah yang harga satu kilogram
getahnya hanya mampu untuk membeli seekor ikan kembung.
Aku
sentiasa memikirkan tentang keadaan orang kampung. Aku kadang-kadang
membayangkan keadaan orang kampung yang senag lenang dan tidak sepertimana yang
aku alami pada ketika zaman penjajahan. Rupa-rupanya keadaan kini, dalam zaman
kemerdekaan yang kononya penuh dengan kemewahan, masih ada lagi ‘suku-sakat’ aku
yang mungkin terpaksa mengikat perut disebabkan harga satu kilogram getahnya
hanya dapat membeli seekor ikan kembung sahaja.
Walaupun
aku sentiasa bersyukur dengan kesenangan yang diberikan kepada aku dan
keluargaku kini, namun apalah makna kesenangan dan kebahgiaan yang sedemikian
sekiranya kita masih lagi mendengar rintihan dan linangan air mata penduduk
kampung yang terpaksa melalui derita dalam negara yang dikatakan amat kaya ini.
Apalah maknanya…
Aku
sudah merasai dan mengalami keadaan sedemikian di mana pada ketika itu harga
sekati getah hanya 45 sen dan harga sekati gula juga adalah 45 sen. Dan harga
satu kati getah pada ketika itu hanya dapat membeli sekati gula. Namun pada
ketika itu harga sekati ikan kembung hanya 30 sen. Maknyanya sekati getah dapat
membeli 11/2 kati ikan kembung! Dan harga segantang beras hanya lebih kurang
RM1.60 sen. Maknanya walaupun begitu terhimpit keadaan pada ketika itu, namun
tidak sesempit yang dialami oleh masyarakat yang malang kini.
Mungkin
para pemimpin kita tahu dan sedar tentang keadaan yang menimpa rakyat miskin kini.
Mungkin wakil rakyat tahu tentang keadaan yang menimpa kini tetapi tentulah
wakil rakyat lebih memikirkan tentang kereta baru yang hendak dibelinya ataupun
sedang menilik-nilik memikirkan tentang destinasi percutian bersama keluarganya
yang hendak ditujunya. Lagi pun pilihan raya lambat lagi dan apa perlunya
diambil perhatian tentang orang kampung yang menjadi pengundinya.
Golongan
manalah agaknya yang akan memberikan perhatian kepada golongan penoreh getah
yang hanya mampu untuk membeli seekor ikan kembung dengan satu kilogram yang
ditorehnya itu.
Aku
tidak tahu apa jawapannya memandangkan keadaan negara kini.
abuhassanadam
29 Februari 2016