Sunday, February 14, 2016

ISU BAHASA INGGERIS – APAKAH KITA MASIH ‘SYOK SENDIRI’

            YB Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam  satu kenyataan meminta masyarakat mengubah persepsi mereka yang memandang rendah penguasaan Bahasa Inggeris penuntut-penuntut university tempatan. Beliau selanjutnya mengatakan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan penuntut semakin baik. Beliau memberikan contoh tentang ‘hebatnya’ pelajar kita yang boleh menjadi juara debat peringkat antarabangsa di Cambridge baru-baru ini.

            Mungkin betul dan mungkin meragukan kenyataan demikian.

            Dan tidak pula tugas aku untuk mempertikaikan kenyataan sedemikian. Cuma yang agak membimbangkan aku ( kebimbangan aku tak boleh dibawa ke mana-mana pun sebab aku bukan menteri atau wakil rakyat) ialah kenyataan sedemikian akan ‘diguna-pakai’ oleh orang kampung yang merasa selesa dan ‘bahagia’ dengan kenyataan sedemikian. Dan mulalah para ketua cawangan UMNO berkempen di ceruk kampung mengatakan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan pelajar IPT (Melayu khususnya) sudah semakin baik. Dan sebagaimana biasa orang Melayu (termasuk aku ler tu) amat suka ‘syok sendiri’.

            Melalui perbincangandan ‘sembang-sembang’ dengan para peneraju syarikat (para CEO) samada di masjid ataupun di majlis khenduri  kahwin mereka sentiasa mempersoalkan tentang penggunaan bahasa Inggeris dikalangan para graduan yang memohon sesuatu jawatan dalam syarikat. Rata-rata mereka mengatakan ‘amat membimbangkan’ dan amat jauh bezanya dengan para graduan bukan Melayu yang begitu fasih dalam penggunaan bahasa Inggerisnya.

            Lantas ramai para graduan Melayu ‘tercicir’ dalam merebut peluang pekerjaan dalam syarikat-syarikat terutama yang ada bekerjasama dengan syarikat luar negara. Tidak harus dipersalahkan syarikat berkenaan kerana mereka memerlukan seseorang yang sesuai dengan kehendak syarikat mereka demi kemajuan syarikat mereka. Lalu mereka akan dituduh dengan berbagai tohmahan. Antara yang biasa dilemparkan ialah bahawa syarikat asing mengenepikan kaum Bumiputera. Mungkin ada sikap yang sedemikian tetapi apakah itu merupakan amalan kebanyakan syarikat asing itu atau kaum Bumiputera yang tidak mahir dalam penggunaan Bahasa Inggerisnya.

            Menekankan penggunaan Bahasa Inggeris bukan bermakna mengenepikan Bahasa Melayu. Mungkin kebanyakan orang Melayu sudah tersilap dan tersasar dari segi penumpuan mereka dalam hal menyekolahkan anak-anak. Seingat aku selepas sahaja negara mencapai kemerdekaan para pemimpin negara terus menerus berusaha mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Seolah-olah bagi kebanyakan orang Melayu (nasionalis melulu) Bahasa Melayu harus dipertahankan dan langsung semacam tidak ‘bersebut’ tentang pentingnya penggunaan Bahasa Inggeris.

            Bahasa Inggeris seolah-olah dilupakan langsung oleh para pemimpin negara pada ketika itu. Pengajaran Bahasa Inggeris diadakan disekolah-sekolah sebagai Bahasa Kedua dan semacam tidak ditekankan tentang kepentingannya. Seolah-olah selepas negara mencapai kemerdekaan, maka orang Melayu harus menumpukan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan hanya ‘dikelek’ sahaja penggunaan Bahasa Inggeris.

            Agak berbeza keadaannya di negara-negara yang tidak pernah dijajah oleh penjajah Inggeris. Indonesia, Thailand, Jepun misalnya sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mempelajar bahasa Inggeris kerana mereka tahu dan faham tentang kepentingan bahasa antarabangsa itu. Mereka amat sedar bahawa bahasa Inggeris adalah sebagai ‘ruyung’ untuk dipecahkan bagi mendapat ‘sagu’ ia itu ilmu-ilmu lain yang tertulis dalam Bahasa Inggeris. Perlu mengetahui Bahasa Inggeris untuk memperdalami ilmu melalui buku-buku yang kebiasaannya tertulis dalam Bahasa Inggeris. Hujah ini juga yang digunakan oleh Tun Mahathir dalam menekankan penggunaan Bahasa Inggeri dalam matapelajaran Sains dan Matematik.

            Orang Melayu sememangnya amat selesa menggunakan Bahasa Melayu. Tidak hairanlah ada pelajar Melayu yang mendapat didikan dari luar negara tetapi tidak tahu dan fasih berbahasa Inggeris. Memang lumrah tentang fenomena pelajar Melayu yang menuntut di luar negara (Amerika Syarikat, Britain, Australia ) akan mewujudkan ‘perkampungan Melayu’ yang mewujdukan keadaan selesa berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Kesannya mereka adalah merupakan ‘Melayu tulin’ yang apabila pulang ke Malaysia memang tidak tercemar langsung penggunaan Bahasa Melayu mereka.

            Kerajaan Malaysia sedang mengubati ‘penyakit’ kelemahan pelajar Melayu dalam menguasai Bahasa Inggeris. Bagi aku tindakan kerajaan itu adalah seperti ‘ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul’. Bagaimanalah para Menteri kita (kebanyakan Menteri Kabinet) hendak menunjukkan contoh sedangkan mereka pun tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan betul. Kadang-kadang amat memalukan apabila melihat dan mendengar pertuturan Menteri kita menggunakan Bahasa Inggeris melalui TV dan Radio milik kerajaan.

            ‘Penyakit’ ini tidak mudah diobati apatah lagi dengan sikap kerajaan yang masih lagi tidak mementingkan ilmu pengetahuan dan kelulusan seseorang untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan samaada di peringkat pusat atau peringkat negeri.

            Sampai bila agaknya orang Melayu masih kelihatan ‘terhina’?

abuhassanadam

14 Februari 2016

No comments:

Post a Comment