MALAYSIA KINI KETANDUSAN ‘ORANG PERJUANGAN’
Mungkin
rakyat Malaysia sudah merasakan bahawa negara ini sudah ketandusan ‘orang
perjuangan’ tidak seperti Tanah Melayu zaman penjajahan yang memiliki ramai
‘orang perjuangan’ seperti Dato’ Maharajalela Perak, Dato Bahaman dari Pahang,
Tok Janggut dari Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbung Terengganu. Sumbangan
mereka terhadap bangsa dan negara tidak dapat dinilai dengan wang ringgit
walaupun bernilai RM2.6 billion.
Orang
Melayu ketika itu terus menerus berasa bertuah kerana memiliki ‘orang
perjuangan’ seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad
Boestamam, Ishak Haji Muhammad, Ibrahim Haji Yaakub. Mereka sebenar-benarnya
pejuang tulin yang sanggup mengabdikan diri kepada perjuangan bangsa tanpa rasa
takut dan bimbang dan jauh daripada memikirkan tentang laba dan keuntungan
seperti yang terdapat kepada pemimpin hari ini. Matlamat hidup dan perjuangan
mereka adalah semata-mata membebaskan tanah air daripada penjajahan walaupun
terpaksa ditebus dengan nyawa.
Amat
berbeza sekali dengan ‘pemimpin’ (jikalau masih boleh lagi digelar sebagai
pemimpin) kini yang matlamat hidup mereka seolah-olah hanya mementingkan wang
dan mengenepikan persoalan perjuangan menegakkan bangsa.
Kaum
guru pada zaman penjajahan lebih merupakan ‘orang perjuangan’ yang berjuang
mendidik anak bangsa disamping memperjuangkan kemerdekaan tanah air dari
belenggu penjajahan. Sumbangan pelatih guru (yang kemudiannya menjadi guru dari
Sultan Idris Trainning College –SITC) tidak ada tolak bandingnya dalam sejarah
memperjuangan rakyat khususnya orang Melayu. Golongan guru inilah yang telah
menyemaikan benih perjuangan dikalangan anak-anak bangsa yang kemudiannya
tumbuh bercambah disegenap pelusuk tanah air. Benih yang ditanam oleh guru
inilah yang telah mencetuskan semangat perjuangan menentang penjajahn yang
kemudiannya menghasilkan kemerdekaan tanah air.
Malang
sekali bagi rakyat Malaysia kini. Walaupun peranan guru sebagai pendidikan masih
berterusan namun kaum guru kini tidak merupakan ‘orang perjuangan’ seperti
peranan yang telah dimainkan oleh guru-guru zaman penjajahan. Mungkin agaknya
para guru sudah ‘berpuas hati’ dengan keadaan masyarakat Malaysia kini yang
sudah pun dianggap ‘merdeka’ dan maju. Dan seolah-olah kaum guru sudah
‘menyarungkan’ semula segala senjata-senjata yang digunakan dalam zaman
penjajahan dulu.
Persatuan
guru dan kesatuan guru-guru semacam sudah tidak berperanan lagi selain dari
berperanan mendidik anak-anak di sekolah. Kesatuan guru-guru semacam sudah amat
berpuas hati dengan perjalanan pentadbiran dalam negara kita. Mereka bukan lagi
berperanan semacam ‘mata dan telinga’ masyarakat untuk ‘memerhatikan’
perjalanan jentera kerajaan. Apakah mereka sudah tidak ada ‘taring’ lagi untuk
menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terhadap apa yang berlaku di negara kini.
Dan apakah para guru atau khususnya kesatuan guru sudah tidak berani langsung
‘angkat muka’ untuk menyuarakan sesuatu yang benar. Dan apakah pemimpin
kesatuan guru kini sudah begitu ‘kekenyangan’ sehinggakan ‘terlelap’ dan tidak
dapat bersuara lagi.
Rakyat
Malaysia juga ‘merindui’ tokoh-tokoh wartwan seperti ZABA, Abdul Rahim
kajai,Usman Awang, Keris Mas, A.Samad Ismail yang seolah-olah seluruh hidup
mereka ‘diabdikan’ kepada perjuangan membela bangsa dan negara. Mereka
sebenar-benarnya ‘orang perjuangan’ tulin. Mereka tidak takut dimasukkan ke
dalam penjara. Mereka berjuang bukan kerana ada agenda-agenda tertentu atau
menjadi ‘kuda tunggangan’ golongan politik tertentu. Mereka sanggup ‘berpanas
dan berhujan’ demi untuk menyelamatkan bangsa dan negara.
Apakah
masih ada sifat kewartawanan sedemikian di Malaysia kini. Aku merasakan mungkin
ada tetapi tidak ramai ‘species’ yang sedemikian. Mungkin ramai para wartawan
dan penulis tanah air kini yang menulis mengikut rentak dan ‘arahan’
sebagaimana yang diarahkan dari masa kemasa. Lantas apakah mereka layak
bergelar ‘orang perjuangan’ sepertimana golongan wartwan zaman penjajahan.
Rakyat
Malaysia kini seolah-olah amat kecewa dengan ketiadaan pemimpin yang
sebenar-benarnya dapat berjuang untuk negara dan memperjuangkan kesejahteraan
rakyat berlandaskan keihklasan sebenar-benarnya. Semacam sudah betul-betul
pupus tokoh yang boleh disandarkan harapan untuk memimpin negara ini. Mahu tak
mahu rakyat masih meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Tun Dr. Mahathir
yang kelihatan masih tidak berubah perjuangannya membela bangsa dan negara. Dan
rakyat juga masih tidak mahu berputus asa dan masih mengharapkan sesuatu akan
berlaku yang dapat ‘membebaskan’ Saudara Anwar Ibrahim untuk terus memimpin rakyat Malaysia yang
tercinta ini.
Bagi
aku tokoh inilah antara tokoh-tokoh yang boleh dianggap sebagai ‘orang
perjuangan’ di negara ini yang ‘bermati-matian’ membela bangsa dan negara.
abuhassanadam
17 Februari 2016
Terlalu ramai guru wanita pada hari ini :)
ReplyDelete