MENUNGU KEMUNCULAN ‘HANG TUAH’ DARI ‘SUNGAI BULUH’
Dalam keadaan kemelut negara yang sebegini
meruncing, kita selalu meletakkan sejuta harapan agar keadaan negara kembali
seperti keadaan sedia kala. Kita mengidamkan ekonomi negara tumbuh dengan
segar. Kita mimpikan keadaan hubungan antara kaum terus menerus dalam keadaan
harmoni seperti mana yang pernah kita kecapi dalam tahun-tahun sebelumnya. Kita
mengharapkan agar suatu episod dalam sejarah Kesultanan Melaka akan berulang di
negara kita yang tercinta ini.
Hanya pisang yang
tidak akan berbuah dua kali. Peristiwa sejarah silam mungkin berulang. Kalaupun
tidak sama bentuknya, akan muncul pula dalam bentuk yang mirip-mirip sama.
Teringat pula tentang suatu
episod sejarah dalam zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka yang perlu
direnungi, tentang kisah Hang Tuah difitnah kerana berkelakuan sumbang dengan
gundik raja. Maka Sultan telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah.
Kitab ‘Salalat al-Salatin’ menceritakan,
“ Maka fikir Seri
Nara al-Diraja pada hatinya, ‘belum patut dosanya Hang Tuah ini aku bunuh.’
Maka disuruh sembunyikan oleh Seri Nara al-Diraja pada satu dusun, dipasungnya.
Maka dipersembahkannya kepada raja, dikatakannya sudah dibunuh. Maka Sultan
Mansur Syah pun diamlah.
Setelah sudah setahun
lamanya, maka Hang Kasturi pun berkendak dengan dayang-dayang dipakai raja.
lagi kesayangan dalam istana. Maka Sultan Mansur Syah dan Raja Perempuan turun
dari istana itu, pindah ke istana lain. Maka Hang Kasturi dikepung oranglah.
Maka Sultan Mansur Syah pun duduk pada sebuah balai kecil. Maka Bendahara dan
Penghulu Bendahari dan segala orang besar-besar dan orang kaya-kaya sekalian
hadir mengadap. Maka orang mengepung Hang Kasturi itu penuh berlapis-lapis,
seorang pun tiada dapat menaiki Hang Kasturi.
Maka oleh Hang
Kasturi semuanya pintu istana dikuncinya, suatu di hadapan Hang Kasturi juga
dibukanya. Maka batil, talam kerikal, dulang gangsa sekalian dikaparkannya di
lantai. Maka di atas talam batil itu ia berjalan. Maka perempuan gundiknya itu
pun dibelahnya mukanya lalu ke perutnya, maka ditelanjangnya. Maka Sultan
Mansur Syah pun memberi titah menyuruh menaiki Hang Kasturi. Maka seorang pun
tiada bercakap.
“ Pada zaman itu Hang Kasturi bukan
barang-barang orang. Maka Sultan Mansur Shah pun mengenang Hang Tuah. Maka
titah baginda,’ Sayangnya Si Tuah tiada. Jikalau Si Tuah ada, dapatlah ia
menghapuskan kemaluanku.” Maka Seri Nara Diraja diam mendengar titah itu.
Setelah dua tiga kali raja mengenang Hang Tuah, maka sembah Seri Nara Diraja,
“Tuanku, pada pemandangan patik sangat behena Duli Yang Dipertuan mengenang
Hang Tuah. Jikalau sekiranya ada Hang Tuah hidup, adakah ampun Yang Dipertuan
akan dia?”
Maka titah Sultan Mansur Syah, ‘Adakah Si Tuah
ditaruh Seri Nara al-Diraja?”
Maka sembah Seri
Nara al-Diraja, ‘ Gila apakah patik menaruh dia, dengan titah tuanku memnyuruh
membuangkan dia? Sudah patik buangnkan.”
Maka titah Sultan
Mansur Syah, ‘ Adapun jikalau ada Si Tuah, jikalau seperti bukit sekalipun
dosanya nescaya kita ampun juga. Pada bicara hati kita ada juga Si Tuah pada
Seri Nara al-Diraja.”
Maka sembah Seri
Nara al-Diaraja, “ Sungguh tuanku seperti titah itu. Tetapi titah Tuanku
menyuruh membunuh Hang Tuah itu pada fikir patik tiada patut Hang Tuah dibunuh
kerana dosanya. Maka oleh patik-patik pasung, kerana Hang Tuah bukan
barang-barang hamba, takut ada perkataannya ke bawah duli kemudian hari.
Maka Sultan
Mansur Syah pun terlalu sukacita mendengar sembah Seri Nara al-Diaraja itu.
Maka titah baginda,’ Bahawasanya Seri Nara al-Dirajalah yang sempurna hamba.”
Maka Seri Nara al-Diraja dianugerahkan persalin sepertinya. Maka titah Sultan
Mansur Syah,’Segera Seri Nara al-Diraja menyuruh membawa Hang Tuah ke mari.”
Maka Seri Nara
al-Diraja pun menyuruhkan orangnya memanggil (Hang Tuah). Maka Hang Tuah dibawa
oranglah ke hadapan Sultan Mansur Syah.”
Kisah ini
berakhir dengan satu trajedi sedih dimana Hang Tuah terpaksa membunuh
sahabatnya sendiri demi untuk menyelamtkan negeri Melaka yang huru hara
disebabkan tindakan Hang Kasturi ( Hang Jebat – mengikut setengah hikayat
lama).
Aku coretkan
kisah sejarah ini memandangkan sudah begitu lama kemelut yang berlaku di negara
kita berlarutan dan sudah sampai masa dan ketikanya memerlukan penyelesaian.
Dan ‘ke barat, ke baruh, ke utara, ke selatan’ aku berjumpa dengan rakyat
jelata, hampir sepakat mengatakan bahawa hanya ‘Hang Tuah’ yang kini berada di
Sungai Buluh’ seorang sahaja yang dapat menyelsaikan keadaan kusut yang melanda
negara ini. Tanyalah orang Melayu, tanyalah orang Cina atau India atau Iban,
Kadazan maka jawapan yang diberikan oleh mereka adalah sama.
“ Menunggu
kemunculan ‘Hang Tuah’ dari Sungai Buluh…’
abuhassanadam
6 Februari 2016
No comments:
Post a Comment