BODOH TAK BOLEH DIAJAR, CERDIK TAK BOLEH DIIKUT
Aku yakin tentu
ada juga pemimpin Melayu yang berperangai demikan. Mungkin agak ramai juga
bilangannya. Tentulah ada lojiknya mengapa wujudnya peribahasa sedemikian
dikalangan orang Melayu dulu-dulu. Jikalau tidak masakan datuk nenek kita
mengenengahkan peribahasa sedemikian. Tentu sudah terbukti kebenaran peribahasa
demikian melalui pemerhatian mereka yang tajam.
Dalam Kurun ke 21,
peribahasa sedemikian masih boleh dipakai lagi. Dan agak sesuai dirujukkan
kepada sikap setengah pemimpin di negara ini. Mungkin sikap aku seperti meludah
ke langit yang akhirnya jatuh ke muka sendiri juga. Dan aku juga sedar bahawa
aku sebagai orang Melayu totok ini tidak septutnya mengeluarkan kenyataan
sedemikian. Memalukan. Memalukan bangsa sendiri. Namun begitu aku terus
‘memberanikan’ diri untuk melakar satu dua ayat dengan harapan dapat kiranya
memberikan sedikit kesedaran dan keinsafan kepada setengah orang Melayu yang
bersifat sedemikian rupa.
Jelas menunjukkan
bahawa aku tidak mengatakan semua ‘pemimpin’ Melayu begitu. Dan ramai yang
mengakui dirinya orang Melayu tidak begitu. Mungkin juga yang mengakui dirinya
sebagai Melayu sedangkan asal keturunannya bukan dari rumpun Melayu yang
berperangai sedemikian. Mungkin. Orang yang menganggap dirinya Melayu yang
segelintir inilah yang telah merosakkan nama orang Melayu. Dan ramai juga orang
Melayu tulin dan ‘totok’ yang berperangai ‘bodoh tak boleh diajar, cerdik tak
boleh diikut’. Dua tiga ‘ekor kerbau yang membawa lumpur’ inilah yang menyebabkan
nama Melayu dan bangsa Malaysia ‘terpalit’.
Ramai juga para
pemimpin Melayu dan bukan Melayu di negara ini yang ‘terlampau cerdik’
sehinggakan dapat ‘menutup mata’ dan ‘memekakkan telinga’ sebahgian besar
rakyat Malaysia dengan tindakan-tindakan mereka yang jelas merugikan rakyat dan
negara. Dalam pemerhatian aku tidak terdapat walau seorang pun waklil rakyat
(dari BN terutamanya) yang kehidupan mereka dalam keadaan sederhana. Hampir
tidak ada. Hampir seratus peratus yang boleh dikategorikan menikmati kehidupan
mewah walaupun pendapatan mereka hanya lebih kurang sama dengan pendapatan
seorang pengetua sekolah menengah.
Golongan ini
termasuk dalam golongan pemimpin ‘cerdik’ yang hanya mementingkan diri sendiri
dan akhirnya sekiranya dibiarkan berleluasa dan berlarutan akan menghancurkan
bangsa dan negara. Sehingga kini golongan sedemikian masih bermaharajalela dan
menunggu ‘pembalasan’ yang diterima dari Tuhan. Mungkin mereka sedang
menghitung hari. Mungkin..
Aku terpanggil
untuk menyentuh tentang kisah ‘ bodoh tak boleh diajar dan cerdik tak boleh
diikut’ adalah ekoran terbacanya kenyataan YB Rafizi Ramli berkaitan dengan
kemelut yang berlaku dalam Lembaga Urusan Tabung Haji’ (TH). Aku petik
kenyataan portal berita Malaysiakini bertarikh 9 Februari 2016 yang menyentuh
hal sedemikian,
“Ahli Parlimen Pandan,
Rafizi Ramli mendakwa rizab Tabung Haji terus mencatatkan kedudukan negatif
pada 2015 iaitu bagi dua tahun berturut-berturut.Katanya, perkara itu selaras
dengan peringatan Bank Negara Malaysia apabila defisit rizab Tabung Haji bagi
tahun kewangan 2015 diunjurkan boleh mencecah sehingga RM3.195 bilion.
"Rizab yang negatif bermakna
Tabung Haji tidak berkeupayaan memulangkan semua simpanan pendeposit Tabung
Haji jika ia dituntut serentak oleh pendeposit," dakwanya dalam kenyataan
media”
Orang kampung seperti aku yang
menyimpan dalam TH tentunya akan yakin tentang kata-kata Rafizi (yang
berkelulusan dalam hal kira-mengira dari universiti ternama dari United Kingdom
dan bukan setakat berkelulusan LCE) Lantas dinasihatkan,”adalah sangat penting
bagi pendeposit dan rakyat tahu bahawa pengumuman bonus tahunan 5 peratus dan
bonus haji 3 peratus bukanlah bermakna kedudukan kewangan Tabung Haji
kukuh…Tambahan pula ia terlibat dalam beberapa pelaburan yang mendatangkan
kerugian besar dan kebelakangan ini terlibat dengan 1MDB,"
Apakah ada kemungkinan ‘keuntungan’
yang diperolehi TH itu ekoran daripada penjualan asetnya untuk membolehkan
‘keuntungan’ diagihkan kepada pendeposit. Hal ini aku tak dapat pastikan. Aku
tak tahu. Cuma yang dapat aku gambarkan apakah yang telah berlaku ialah melalui
kenyataan yang diberikan oleh Saudara Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Parti
Amanah Negara melalui artikel berjodol,’ AMANAH: Tabung Haji
jual 'angsa bertelur emas'
“Telah dilaporkan
bahawa,
Parti
Amanah Negara (AMANAH) mengkritik langkah Tabung Haji menjual asetnya di London sedangkan aset tersebut didakwa
memberi pulangan 8 peratus setahun.Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub
berkata penjualan aset itu dilapor mendatangkan hasil hampir RM1.6 bilion dan
mampu memberi pulangan melebihi RM160 juta setahun.Apabila aset sebegini yang
mampu memberikan pulangan tinggi dijual, apa akan dilakukan Tabung Haji untuk
masa-masa akan datang?
Apakah kepimpinan TH itu adalah
antara contoh yang tepat untuk menggambarkan peribahasa Melayu yang mengatakan,
‘bodoh tak boleh diajar dan cerdik tak boleh diikut’? Sama-sama lah kita
fikirkan, terutamanya pendeposit TH dari kampung yang mendapat rezeki ‘kais
pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Ataupun mungkin golongan pemimpin
sebegini begitu ‘cerdik’ sehingga dapat ‘menutup mata’ dan ‘memekakkan telinga’
rakyat luar bandar yang menyimpan di Tabung haji.
abuhassanadam
12 Februari 2016
No comments:
Post a Comment