Tuesday, May 31, 2016

SEMACAM MENGHINA ‘OGHANG KUALE’

            ‘Oghang Kuale’ tu maknanya orang dari Kuala Kangsar. Penduduk asal Kuala Kangsar. Ini termasuk aku le tu. Aku berasal dari daerah Kuala Kangsar. ‘Oghang Kuale’lah tu walaupun tempat aku sebenarnya Padang Rengas (dalam daerah Kuala Kangsar). 

            ‘Oghang Kuale’ amat berbangga dengan Kuala Kangsar. Memang hebat ‘Kuale’ ni. Untuk menunjukkan ‘hebat’ tak ‘hebatnya’ ‘Kuale’ boleh dilihat dari segi pokok getah yang pertama yang ditanam di Tanah Melayu. Masih ada lagi pokoh getah berkenaan. Terletak di hadapan pejabat tanah dan daerah Kuala Kangsar. Dari pokok getah itulah dia membiak dan memberikan rezeki kepada bapak aku untuk menanggung aku meneruskan pelajaran.

            Bukanlah itu sahaja yang menjadi kebanggaan ‘oghang kuale’. ‘Kuale’ adalah bandar diraja. Istana Sultan Perak terletak di Bukit Chandan. Cantik dan medan tempat berkenaan. Kalau datang ke ‘Kuale’ maka tak sah kalau tak pergi melawat Bukit Chandan. Itu sebenarnya ‘Damansara Height’ atau ‘Bukit Tunku’ di Kuala Kangsar. Seingat aku semenjak zaman penjajahan sehingga zaman kemerdekaan, Bukit Chandan sememangnya ‘menahului zaman’ dari segi pembangunan infrastruktur.

            Di Bukit Chandan juga terdapat sekolah Government English Girls School (GEGS). Kini namanya dah ditukar oleh Kementerian Pendidikan kepada Sekolah Menengah Raja Perempuan Kalsom. Sekolah Inggeris untuk perempuan sahaja. Itulah hebat tak hebatnya ‘Kuale’. Terdapat sekolah orang putih yang hanya untuk pelajar perempuan sahaja.

            Disamping itu ada dua buah sekolah orang putih lagi. Malay College dan Clifford School. Mana ada pada zaman penjajahan sebuah daerah kecil ( seperti ‘Kuale’) yang mempunyai tiga buah sekolah yang dianggap sebagai ‘premier school’. Dan bukan itu sahaja. Di ‘Kuale’ pada tahun 1950an sudah ada sekolah persendirian!. Public School Kuala Kangsar. Macam di England pulak…

            Atas faktor-faktor berkenaanlah maka agak ramai juga ‘oghang kuale’ yang terpelajar. Bukan disebabkan ‘oghang kuale’ pandai tetapi disebabkan terdapat kemudahan persekolahan dan pendidikan yang amat mudah diperolehi. Tidak seperti daerah-daerah lain pada zaman penjajahan, ‘Kuale’ sudah mempunyai kemudahan pendidikan yang cukup lengkap, jauh lebih maju dari daerah-daerah lain. Mungkin ‘Kuale’ pada zaman penjajahan setaraf dengan Kuala Lumpur pada ketika itu.

            Dan tidak hairanlah ramai bijak pandai yang melagang kemerdekaan negara datangnya dari daerak ‘Kuale’. Tentulah ramai yang masih ingat tentang sumbangan Tun Sufian sebagai Ketua Hakim Negara pada awal kemerdekaan. Tan Sri Jamil Rais yang memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara pertama. Dan banyak lagi ‘oghang kuale’ yang berjawatan penting dalam kerajaan Malaya selepas merdeka.

            Tetapi yang ‘menggelikan’ hati aku ialah apabila calon PRK Kuala Kangsar yang akan diadakan nanti ialah balu kepada arwah MP yang meninggal. Aku tertanya-tanya juga dalam kepala aku. ‘Oghang Kuale’ dah habis ‘hanyut’ di Sungai Perak agaknya. Dah tak ada ‘Oghang Kuale’ yang cerdik yang boleh dijadikan calon dalam PRK nanti. Koman benor rasanya ‘oghang kuale’ ni. Ke mana perginya orang Sayong, Kota Lama Kiri, Kota Lama Kanan, Talang, Sayong Lembah, sayong tak lembah…..Bukanlah aku anti orang luar tapi nampak sangatlah komannya orang ‘Kuale’ tu.

            Dengan sebab itulah agaknya sudah timbul calon bebas untuk bertanding di Kuala Kangsar. Marah sangatlah tu sebab menidakkan kebolehan dan kemampuan orang Kuala. Sudahlah calon BN bukan orang Kuala kangsar, maka calon PAS juga datang dari luar. Dari daerah Parit (kononnya)!

            Tak masuk akal apabila dikatakan bahawa tidak ada calon ( Barisan Nasional) yang boleh bertanding di PRK ini dan boleh menang kecuali Puan Mastura Yazid. Aku simpati dengan beliau yang kematian suami tercinta. Tetapi yang menghairankan ialah macam tidak ada calon lain yang boleh diketengahkan. Dan aku pasti ramai ‘oghang Kuale’ yang tidak bersetuju dengan pilihan ini. Tindakan BN sedemikian semacam ‘menghina’ ‘oghang Kuale’.

            Dari segi pembangkang sepatutnya mengalu-alukan pemilihan sedemikian. Pucuk dicita ulam mendatang. Sebagai ‘oghang kuale’ aku tidak nampak langsung kewarasan dan kecerdikan pihak yang memilih calon BN berkenaan. Mungkin aku silap kerana aku tak pandai tentang hal ini tetapi yang jelasnya aku yakin ramai ‘oghang kuale’ tak suka tindakan sedemikian. Menghina ‘oghang kuale’

            Agaknya mungkin juga sengaja pihak BN nak ‘main-main’ dengan PRK yang bakal diadakan ini. Telah ditegaskan banyak kali oleh kepimpinan BN bahawa kemasukan mereka dalam PRK ini adalah sebagai ‘underdog’. Samada di Kuala Kangsar ataupun di Sungai Besar. Mereka merasakan bahawa peluang BN untuk menang dalam PRK ini agak tipis memandnagkan BN yang sarat dengan masalah negara yang sedang dipikul. ‘Ogahng Kuale’ hanya menunggu masa saja untuk menunjukkan kepada pemerintah negara bahawa ‘ogang kuale’ tahu dan sedar tentang apa yang berlaku terutama hal-hal yang berkaitan dengan IMDB dan GST.

            ‘Ogahng Kuale’ mungkin sedang menanti saat yang sesuai untuk menunjukkan yang mereka sedar dan tahu apa yang sedang berlaku dalam negara ini. Jangan ingat mereka ‘tengin’ sangat….

abuhassanadam

31 Mei 2016

Monday, May 30, 2016

PAS PIMPINAN TG NIK AZIZ MENAWAN HATI BUKAN MELAYU...

            Pemimpin PAS rata-rata merasakan bahawa PAS boleh memenangi kerusi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Mungkin itu merupakan angan-angan atau pun merupakan sebuah ‘mimpi di siang hari’. Yang berfikiran kritis dan ‘berpijak di bumi nyata’ merasakan bahawa peluang PAS untuk memenangi kerusi berkenaan bukan sahaja tipis malah boleh dikatakan tidak ada peluang langsung untuk menawan kerusi berkenaan.

            Di kawasan pilihan raya Sungai Besar, PAS mendabik dada mengatakan bahawa keputusan PR 13 telah menunjukkan bahawa PAS boleh memenangi PRK kali ini dengan menggunakan hujah bahawa calon PAS  (Mohammed Salleh M Hussein) hanya tewas dengan majoriti 399 di tangan Noriah Kasnon. Dan mengikut perkiraan kasar ( yang dianggap tidak berapa cerdik) merasakan bahawa PAS boleh terus menggungguli kawasan berkenaan pada kali ini.

            Agak keterlaluan jika dikatakan kemenangan PAS di kedua-dua kawasan ini ibarat ‘jauh panggang dar api’. Keadaan pada tahun 2013 dengan keadaan 2016 amat jauh perbezaannya walaupun jarak masanya hanya tiga tahun. Perkembangan yang berlaku kini samada politik atau ekonomi amat jauh menyimpang dari keadaan pada tahun 2013. Suatu faktor yang amat penting ialah faktor Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

            Ketika hayatnya Tuan Guru merupakan tenaga penting yang menyatukan rakyat (keturunan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dll) dalam pasukan ‘pembangkang’ bagi menentang Barisan Nasional disamping kekadiran Saudara Anwar Ibrahim. Kini kedua-dua tokoh ini sudah tidak ada lagi. Dan perlu disedari juga bahawa ‘kehadiran’ Saudara Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan tenaga yang menggerakkan golongan bukan Melayu untuk bersama-sama dalam Pakatan Rakyat pada ketika itu ( Keadilan, DAP dan PAS) untuk menumbangkan BN.

            Kini kedua-dua tokoh berkenaan sudah tidak ada. Dan apakah PAS sedar bahawa yang menyebabkan golongan bukan Melayu untuk menyokong calon PAS pada ketika itu adalah berpunca daripada peranan yang dimainkan oleh kedua-dua tokoh ini. Dan dalam hal mengapa golongan bukan Melayu menyokong PAS adalah disebabkan oleh ketokohan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan dasar perjuangan PAS yang amat jelas pada ketika itu.

            Kini dasar perjuangan PAS dibawah kepimpinan baru amat diragui oleh bukan sahaja golongan bukan Melayu tetapi oleh golongan Melayu sendiri. Apakah pemimpin PAS tidak sedar tentang ‘blunder’ yang sedang dilakukan oleh kepimpinan mereka. Apakah mereka mahu menafikan hakikat bahawa rakyat Malaysia melihat PAS sedang bersekongkol dengan Barisan Nasional. Apakah kepimpinan PAS mahu menafikan tentang ‘keakraban’ Tuan Guru Haji Hadi dengan DS Mohd Najib Tun Abdul Razak. Apakah para pemimpin PAS masih tidak mahu mengaku tentang keakraban itu. Apakah mereka masih mahu mengatakan bahawa PAS hanya mahu menasihati BN dalam hal-hal tertentu yang berkaitan dengan agama Islam.

            Walau apa pun alasan yang digunakan persepsi rakyat Malaysia ialah bahawa PAS sedang ‘dipergunakan’ oleh BN atau pun mungkin BN sedang dipergunakan oleh PAS. Tak tahulah yang mana satu. Tetapi persepsi rakyat Malaysia kini ialah bahawa PAS tidak boleh diharap lagi untuk menjadi wadah memperjuangan apa yang sepatutnya diperjuangkan oleh mereka.

            Baru-baru ini, PAS cuba ‘mengenengahkan’ tentang undang-undang Hudud di parlimen melalui ‘kerjasama’ dengan BN. Dan dijangkakan strategi yang sedmikian boleh membawa ‘keuntungan’ kepada kedua-dua parti berkenaan sekiranya undang-undang demikian dilulsakn oleh Prlimen. Tidak pula disangkakan oleh ‘strategis’ kedua-dua buah parti ini bahawa strategi demikian akan ‘memakan tuan’. Dan terbukti rancangan itu meleset malah mungkin akan membawa ‘kehancuran’ kepada Barisan Nasional jika tidak ditangani dengan cermat.

            Kepimpinan BN ‘siang-siang’ telah mengaku bahawa mereka adalah merupakan ‘the underdog’. BN sudah mula merasakan bahawa ‘kekalahan’ mereka sudah berada di hadapan mata dan menakutkan sekali. Persepsi rakyat mengatakan bahawa BN sudah amat tidak kredible untuk terus memerintah negara ini memandangkan berbagai-bagai ‘kerenah’ yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Jikalau seluruh dunia sudah memeperkatakan tentang IMDB dan masalah yang ditimbulkan olehnya kepada rakyat, maka takkanlah pengundi di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar tidak fahama tentang ‘susah’ dan ‘derita’ yang ditimbulkannya yang terpaksa diderita oleh rakyat.

            Maka seolah-olah apa yang aku katakan di atas seolah-olah aku akan menyebelahi Pakatan Rakyat. Seolah-olah kemenangan akan memihak kepada Pakatan Rakyat. Tidak juga. Sekiranya parti-parti Keadilan, DAP dan Amanah terus ‘bercakaran’ maka besar kemungkinannnya akan ditolak oleh rakyat juga. Namun begitu sekurang-kurangnya rakyat masih menaruh harapan kepada pakatan pembangkang ini berbanding dengan Barisan Nasional dan PAS yang sudah amat jelas tidak menentu hala tujunya.

            Rupanya ketiadaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terus menerus menghilangkan keyakinan golongan bukan Melayu kepada PAS apatah lagi apabila kelihatan dengan jelas ‘kerjasama’ yang cuba ‘dilagang’ oleh kedua-dua pemimpin parti Barisan Nasional dan PAS.

abuhassanadam
30 Mei 2016


Thursday, May 19, 2016

APABILA WANG MEMPENGARUHI KEPUTUSAN DAN PERTIMBANGAN

            Rakyat Malaysia sudah ‘muak’ mendengar cerita rasuah di sana-sini yang dilakukan oleh pihak tertentu di negara ini, samada oleh pemimpin politik ataupun oleh para pegawai tinggi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan pentadbiran negara. Ungkapan yang berbunyi ‘cash is king’ bukan sahaja  sentiasa ‘dilagu’ dan ‘didendangkan’ oleh ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, malah ‘budak sekolah’ yang ‘berhingus’ ( yang tinggal di Lembah Kelang ) juga sudah mula memperkatakannya. Mungkin yang tidak memperkatakannya ialah golongan yang masih dalam ‘kegelapan’ yang tinggal di kampung-kampung pingitan atau pun oleh peneroka FELDA yang hanya memikirkan tentang harga kelapa sawit dan getah yang semakin menurun. Mungkin…

            Kesan ‘cash is king’ amat buruk sekali. Ada juga rakan-rakan yang menyamakan sebagai ‘harima mengaum’. Dan apabila ‘harimau’ sudah ‘mengaum’, maka mata yang celik boleh tertutup, telinga yang boleh mendengar akat ‘terpekak’ dengan sendirinya, mulut yang boleh bersuara akan terus ‘dibisukan’, tenaga fikiran yang boleh berfikiran secara kritikal dan rasional terus ‘dibodohkan’. Golongan yang bertenaga kuat dan gagah akan dapat dilemahkan apabila ‘harimau mengaum’.

            Rakyat merasa hairan dan bingung melihatkan keadaan yang berlaku dalam negara kini. Apa tidaknya. Tentulah tidak pernah dirasakan keadaan yang sedemikian berlaku dalam negara Malaysia yang dicintai ini. Para pemimpin (jikalau boleh digelar sebagai pemimpin) yang menjadi wakil rakyat samada di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri hampir keseluruhannya (wakil rakyat BN) ‘terkedu’ dan tidak dapat berkata-kata, menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan ‘arahan’ pemimpin di atas.

            Ada pihak yang mengatakan sikap yang sebegini sebagai ‘herd mentaliti’ ia itu mengikut saja apa yang diarahkan oleh pimpinan dengan tidak memikirkan tentang baik buruknya. Tidak pernah lagi berlaku keadaan sebegini samada pada zaman Tunku Abdul Rahman ataupun zaman Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan malah pada zaman Tun Mahathir juga tidak berlaku keadaan sedemikian walaupun sudah kelihatan ‘bunga-bunga’ yang keadaan akan bertukar menjadi keadaan seperti yang dialami kini.

            Agak pelik dan amat menghairankan melihatkan tindakan kepimpinan negara yang melarang sebarang kritikan dan penentangan terhadap kepimpinan kerajaan. Larangan ke Sarawak misalnya merupakan seuatu tindakan yang langsung ‘tak masuk akal’ bagi sesiapa yang berfikiran waras. Kita tahu bahawa tercatatnya syarat berkenaan telah pun termaktub dalam perjanjian penubuhan Malaysia dulu, tetapi tentulah ada kekecualiannya dan terpulanglah kepada para pemimpin untuk memberikan pentafsiran yang sesuai.

            Falsafah ‘cash is king’ dan ‘harimau mengaum’ mungkin juga sudah menular ke dalam parti-parti politik dan kepimpinan parti politik. Kita kadang-kadang hairan bagaimana sesebuah parti politik  yang dengan senang boleh menukar prinsip perjuangan. Kita tidak menuduh tentang wujudnya pengaruh wang dalam penentuan sesuatu keputusan, tetapi melihatkan kepada cara tindakan kepimpinan menampakkan sesuatu yang amat tidak kena. Yang menyebabkan kita berfikiran sedemikian ialah apabila kita cuba membandingkan keadaan yang terdahulu dengan keadaan kini.

            Rakyat kini sudah betul-betul keliru melihatkan kepimpinan yang agak keliru. Rakyat betul-betul kecewa melihatkan tindakan segelintir pemimpin parti pembangkang yang tidak dapat dikesan langsung arah tujunya. Kelihatan tindakan pemimpinnnya dalam keadaan ‘kacau kena’ (loghat negeri Perak) yang bermaksud ‘tidak tentu arah’ ‘seperti cacing kepanasan’. Apa yang diputusakan tidak dihormati keputusan yang dibuat, seolah-olah ada sesuatu yang mempengaruhi keputusan yang dibuat. Seolah-olah falsafah ‘cash is king’ sudah ‘membelit’ lehernya untuk membuat keputusan dan sudah ada ‘harimau yang mengaum’ di hadapan mata.

            Amat malang bangsa ku Malaysia. Dulu kita sentiasa memperkatakan tentang negara orang yang menempuh zaman gelap dan merbahaya. Dulu kita sentiasa meperkatakan tentang tindakan Marcos di Filipina dan isterinya Emilda (yang memiliki ratusan pasang kasut berjenama). Kita juga memperkatakan tentang tindakan Suharto dari Indonesia yang memiliki harta berbilion. Kita katakan juga bahawa Robert Muggabe dari Zimbabwe tidak mempedulikan  kesejahteraan rakyatnya dan kita kutuk pemerintahan Idi Amin dari Uganda yang sentiasa ‘memerah’ kantong kewangan negaranya. Rupa-rupanya kini keadaan sedemikian sudah semacam ‘menimpa’ kepala kita.

            Antara sepuluh orang yang ditanya tentang keadaan negara Malaysia kini, mungkin kesemuanya yang akan mengatakan bahawa negara ini sudah berada dalam keadaan yang amat membimbangkan. Mungkin ada yang terus terang mengatakan bahawa negara ini sudah jelas dalam keadaan yang mendukacitakan. Teruk.

            Aku ingin pula memperkatakan tentang PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang dirasakan bahawa ‘harimau’ akan terus menerus mengaum dan falsafah ‘cash is king’ akan terus diamalkan tanpa segan silu. Rakyat mengharapkan sesuatu yang boleh dibanggakan akan muncul, ekoran daripada kepuutusan PRK yang akan tercetus. Tetapi persoalannya dapatkan ‘keputusan’ yang diharapkan itu akan tercetus.

            Kemelut yang berlaku kini menjelang PRK berkenaan amat membimbangkan. Perebutan untuk menjadi calon sudah merupakan ‘gelanggang’ untuk melihat pertarungan yang amat sengit disamping semacam suatu usaha untuk mencari ‘kekayaan’. Pengalaman sejarah pilihan raya di negara ini telah membuktikan bahawa sekiranya ada pertandingan tiga penjuru, pastinya kemenangan akan dimiliki oleh Barisan Nasional. Dan begitu jugalah ramalan yang berlegar kini mengatakan sekiranya ada pertandingan tiga penjuru tidak mungkin, BN akan kecundang.

            Sekiranya BN tidak kecundang maka rakyat akan kecundang. Perasaan rakyat akan hancur lebur menerima keutusan yang sedemikian. Rakyat dan pengundi di kedua-dua tempat ini akan dilihat sebagai pengundi yang terpengaruh dengan ‘cash is king’ walaupun pada hakikatnya tidak semuanya begitu. Terlalu banyak kesan negatif yang akan menimpa rakyat di Malaysia sekiranya PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar memihak kepada Barisan Nasional.

            Oleh itu Rakyat mengharapkan kepada kebijaksanaan para pemimpin Pakatan Harapan untuk menentukan calon yang sesuai dan menentukan perasaan dan harapan rakyat Malaysia terbanyak terubat.

abuhassanadam

19 Mei 2016

Sunday, May 15, 2016

PRK SUNGAI BESAR DAN KUALA KANGSAR:
MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH

            Bagi aku yang tidak mahir dalam ‘sepak terajang politik’ jelas yang akan bertanding di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah calon dari PKR untuk Sungai Besar dan Parti Amanah bagi PRK Kuala Kangsar. Aku merasakan tidak banyak ‘simpang–siornya’ untuk memilih calon bagi kedua-dua kawasan PRK ini. Walaupun kedua-duanya merupakan kawasan yang pernah ditandingi oleh PAS, namun PAS bukan lagi dalam Pakatan Rakyat. Maknanya PAS tidak perlu mengadakan apa-apa rundingan dengan Pakatan Rakyat. Terpulanglah kepada kepimpinan PAS samada untuk bertanding atau tidak bertanding dalam PRK berkenaan. PAS tidak harus meletakkan sebarang syarat dan cadangan bagi menentukan calon di PRK ini.

            Pengalaman pahit yang dicetuskan oleh kepimpinan tertinggi PAS dalam mengharungi kemelut politik di Selangor dalam menentukan kedudukan Menteri Besar satu waktu dulu, sudah cukup ‘menyedarkan’ kepimpinan Pakatan tentang sikap kepimpinan PAS ketika ‘rakan’ dalam keadaan yang amat memerlukan. PAS bukannya ‘a friend in need is a friend indeed’. Malah kepimpinan tertinggi telah menunjukkan ‘belangnya’ dengan cuba ’menangguk di air keruh’.

            Lantas kepimpinan Pakatan seharusnya bertindak bijak dalam menentukan calon dari Pakatan dalam menentukan ‘hidup-matinya’ parti berkenaan. PRK yang akan diadakan tidak lama lagi adalah merupakan deklarasi rakyat dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Rakyat akan membuat penentuan dalam menetukan bukan sahaja wakil rakyat dalam satu-satu kawasan itu malah akan menentukan juga jatuh bangunnya negara ini. Jatuh bangunnya kepimpinan tertinggi negara. Rakyat akan membuat keputusan dan penentuan. Pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan menyuarakan hasrat hati mewakili rakyat Malaysia.

            Justeru Pakatan Rakyat tidak harus mempersoalkan isu kecil yang membelenggu pemikiran ahli. Pakatan Rakyat harus memikirkan kehendak rakyat dan bukan kehendak segolongan kecil individu yang sentiasa mencari kepentingan diri. Kepimpinan dalam Pakatan harus memikirkan perjuangan dalam kerangka yang lebih besar yang merangkumi persoalan penerusan bangsa Malaysia yang boleh dianggap telah tergugat kini.

            Dilihat sepintas lalu sememangnya kedua-dua RPK (Sungai Besar dan Kuala Kangsar) ini amat ditunggu-tunggu oleh rakyat terbanyak. Pucuk dicita ulam mendatang. Seperti orang yang mengantuk disorongkan bantal. Rakyat terbanyak menunggu-nunggu untuk memberikan ‘jawapan’ tentang rasa tidak puas hati mereka terhadap berbagai ‘salah laku’ yang telah dilakukan oleh pemimpin kerajaan kini yang kesannya amat menyusahkan rakyat.

            Rakyat terbanyak bukan tidak faham dan bukan tidak sedar tentang apa yang berlaku dalam negara kini. Rakyat sedar bahawa negara kita ‘sudah tidak serupa dengan negara orang lain’. Apa lagi yang hendak dibanggakan jikalau setiap hari dan setiap ketika akhbar dan majalah luar negara menceritakan tentang keburukan Malaysia yang berkaitan dengan IMDB. Rakyat Malaysia sudah merasa begitu malu dan sudah tidak tahu dimana ‘muka’ untuk disorokkan.

            Pengundi di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar bukan tidak tahu hal yang berlaku dalam negara kini. Bukan mereka tidak tahu kerenah yang dilakukan oleh kepimpinan dalam negara. Tahu. Tetapi apalah daya mereka untuk membetulkan keadaan sedemikian. Mereka tahu tentang berbagai tekanan dikenakan untuk ‘menutup’ segala ‘pekung dan kudis yang sedang berulat’. Mereka tahu juga. Dan sudah sampai masanya para pengundi akan melahirkan ketidakpuasan mereka terhadap pentadbiran yang dijalankan dalam negara kini.

            Tentulah masih ada juga yang berada di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar yang digelarkan sebagai ‘pemakan dedak’. Sudah sampai masa dan ketikanya golongan ini disedarkan. Sekiranya selama ini mulut mereka ‘ditutup’, mata mereka ‘dirabunkan’ dan telinga mereka ‘dipekakkan’ maka inilah saat dan ketikanya golongan ini disedarkan. Maruah mereka dipulihkan. Semangat dan perjuangan Dato Maharaja Lela dibangkitkan semula agar golongan pemakan dedak ini adalah merupakan bangsa dan titih keturunan pejuang yang sanggup bergadai nyawa menentang penjajah British ( J.W.W Birch) demi mepertahankan maruah bangsa.

            Kepimpinan Pakatan harus berteraskan keyakinan ‘membujur lalu melintang patah’ demi untuk menegakkan keyakinan rakyat terhadap perjuangan Pakatan. PAS tidak boleh berbangga dengan kekalahan tipis yang dilaluinya dalam PRU 13 yang lalu. PAS harus sedar ‘perkongsian’ yang telah terjalin antara parti-parti pembangkang terutamanya DAP yang bukan kecil sumbangannya dalam kemenangan PAS berkenaan. Dan harus disedari juga bahawa peratusan orang Cina bukan kecil di kawasan PRK berkenaan. Reailitinya perkiraan bangsa dan kaum perlu diperhitungkan dalam pemilihan calon untuk sesuatu pilihan raya. Dan telah jelas bahawa DAP sudah menyatakan yang parti berkenaan tidak berminat untuk bertanding di PRK berkenaan. Mereka sedar tentang kemampuan mereka untuk memenangi kawasan berkenaan di mana peratusan kaum Cina adalah kurang daripada 40%. Tetapi peranan kaum Cina dan India itu penting dalam menentukan kemenangan. Fikirkan juga.

            Justeru amat terbuka luas peluang untuk calon PKR dan Amanah menjadi calon di kawasan berkenaan. Tentang persoalan dan ‘ancaman’ PAS untuk meletakkan calon di kedua-dua kawasan berkenaan, adalah menjadi tugas dan peranan Pakatan Rakyat untuk memberikan kesedaran kepada para pengundi di kedua-dua kawasan tentang kepentingan PRK berkenaan.

            Rakyat harus disedarkan sepertimana yang dilakukan oleh Saudara Anwar Ibrahim menyedarkan rakyat tentang pentingnya kerjasama Melayu-Cina-India-Iban-Kadazan demi mewujudkan bangsa Malaysia yang sejati. Sebenarnya sudah wujud pakatan yang murni  ketika Tuan Guru Haji Nik Aziz masih ada. Malangnya setelah arwah meninggalkan kita, keadaan sudah tidak menentu di bawah kepimpinan baru.

            Walau apa pun, matlamat PRK ini adalah merupakan titik-tolak dan jatuh-bangunnya bangsa Malaysia.

abuhassanadam
15 Mai 2016