Friday, February 8, 2013

ARTIS DAN POLITIK


ARTIS DAN POLITIK

Zaman dulu-dulu,  jikalau di sebut  penyanyi kerjanya hanyalah menyanyi samada di majlis-majlis perkahwinan atau di majlis-majlis pesta ria ataupun di panggung bangsawan yang bergerak dari satu tempat ke suatu tempat. Penyanyi yang menyanyi di istana pula kerjanya mungkin untuk menghiburkan para Sultan atau pembesar negeri. Rakyat biasa tidak tahu tentang kewujudan golongan penyanyi di istana ini.

Kini ‘ tugas’ penyanyi bukan sahaja sebagai penyanyi atau penghibur tetapi sudah merangkumi kegiatan yang lebih luas. Namun ‘ the core business’ masih lagi merupakan sebagai penghibur dan dapat ‘menarik’ orang ramai supaya hadhir di majlis yang diadakannya. Lantas berbagai pihak menggunakan khidmat artis untuk menarik orang ramai. Tidak ketinggalan juga para ahli politik yang merasakan khidmat artis itu diperlukan untuk menarik ramai orang ke majlis yang diadakan, terutama apabila seseorang ahli politik itu merasakan ia tidak popular dan tidak mampu untuk menarik orang ramai ke majlisnya.

Sehubungan dengan itu, kini telah sibuk diperkatakan tentang seorang artis dari Korea, Psy yang telah berjaya menempa nama di persada dunia dengan tarian yang menjadi gilaan anak muda dewasa ini, “ Oppa Gangnam Style”.  Psy akan datang ke Penang untuk majlis sambutan Tahun Baru Cina. Namun begitu ia tetap merupakan acara politik kerana dikatakan DS Najib, Perdana Menteri Malaysia akan menghadhirkan diri sebelum itu di majlis berkenaan. Secara kebetulan ke atau tidak, majlis itu pasti menarik ramai orang.

Para artis di Malaysia kini memainkan peranan yang cukup penting dalam majlis yang berbau politik. Ahli politik akan menggunakan khidmat artis untk mengumpulkan orang ramai. Walaupun orang ramai datang ke suatu majlis bukan untuk mendengar ceramah politik namun disebabkan ada para artis yang dsukai oleh mereka, maka mereka memaksa diri untuk datang. Dan biasanya persembahan artis akan dikemudiankan setelah ucapan ‘penting’ ahli politik disampaikan.

Tan Sri Dr S.M Salim pernah menceritakan tentang bagaimana dia bersama Tunku Abdul Rahman pergi ke Langkawi untuk menghiburkan penduduk di sana. Ini bermakna semenjak tahun 1950an lagi artis sudah berperanan dan berganding bahu dengan ahli poltik untuk menyampaikan mesej kepada rakyat. Dan fenomena sebegini berterusan sehingga hari ini

Di negara-negar luar, artis terlibat terus dalam arena politik. Di Amerika Syarikat, Ronald Reagen bukan sahaja menjadi ahli politik biasa tetapi telah bertanding untuk jawatan Presiden Amerika Syarikat dan berjaya menjadi presiden selama dua penggal. Di Filipina pula begitu juga. Estrada pernah memenangi jawatan sebagai Presiden bagi negara Filipina. Schwarzenegger dari Amerika Syarikat pernah memenangi jawatan gabenor bagi state of California.

Berasaskan kepada keadaan yang wujud sekarang, penglibatan artis dalam politik seolah-olah tidak boleh dihalang dan disekat. Di Malaysia terutamanya, Tan Sri Jins Shamsuddin mula memecahkan rekod ini dengan penglibatannya secara aktif dalam UMNO sehingga dia dilantik sebagai salah seorang Senator di Dewan Negara. Bagi parti PAS dan Keadilan Rakyat pula sudah kelihatan ramai para artis yang berjinak-jinak untuk menyertai parti berkenaan.

Apakah ini merupakan kegiatan sihat atau sebaliknya.

Satu lagi precedent ( contoh ) berkaitan dengan penglibatan artis dalam politik ialah sebagaimana yang ditunjukkan  sendiri oleh Barack Obama  dengan mengheret artis atau celebrity ke dalam kempennya untuk memenangi kerusi Presiden pada tahun 2008. Obama telah mendapat sokongan padu dari Oprah Winfrey dan Oprah telah bersama-samanya ke sana ke mari dalam masa berkempen. Dokongan yang diperolehi dari Oprah itu telah menyebabkan Obama mendapat sokongan yang bukan sedikit dari rakyat..

PRU 13 akan diadakan tidak lama lagi. Apakah ada parti-parti politik di Malaysia yang ingin menampilkan artis sebagai salah seorang calonnya sebagaimana yang telah diperlihatkan oleh Schwarzenegger dari Amerika Syarikat atau sebagaimana yan telah ditunjukkan oleh India apabila menampilkan seorang bintang filem untuk bertanding dalam pilihan raya.

Sama-sama kita tunggu dan lihat.



Abuhassanadam
8 Februari 2013



Thursday, February 7, 2013

SUNGAI SAUK DAN PAK HAJI YAAKUB


SUNGAI SAUK DAN PAK HAJI YAAKUB

Dua bulan lepas aku mendapat undangan dari seorang kawan lama, menjemput aku ke rumahnya. Sembang-sembang. Dan makan-makan. Memang sudah lama kami tak berjumpa. Dia sibuk. Aku pun sibuk juga. Dia memangnlah sibuk. Orang berniaga. Cari duit tak henti-henti. Tak cukup-cukup. Dah ada sepuluh buah rumah, nak cari sepuluh buah rumah lagi. Dah ada enam buah kereta, beli lagi.  Tak puas-puas mencari harta. Tapi bagus jugalah. Boleh juga aku ‘ menumpang’ sekali sekala.

Pukul 6.30 petang aku dah sampai di rumahnya. Maghrib di situ. Berjumaah bersama-sama keluarganya.  Walaupun dia sudah kaya raya tetapi bab sembahayang dan yang berkaitan dengan agama dia tak lupa. Sebab itulah agaknya duit yang diperolehinya penuh barakah. Bersedekah jariah, dia tak kedekut.

Selepas solat Maghrib, kami duduk bersantai di tepi kolam mandi di rumahnya. Sambil minum-minum ringan. Pada masa inilah aku tidak dapat lari dari memikirkan keadaan kami semasa kecil, semasa zaman kanak-kanak. Zaman keadaan penuh keriangan. Tak pernah susah hati. Sentiasa gembira, gelak ketawa.

Aku bandingkan kolam mandi di rumahnya dengan Sungai Sauk yang juga merupakan ‘ kolam mandi’ kami, kepunyaan kanak-kanak di kampung itu. Di Sungai Sauk itulah kami belajar berenang, terjun ‘ kepala dulu’, berenang ‘ Butterfly Strokes” dan lain-lain acara renang yang kami cipta sendiri.

Sungai Sauk adalah sungai yang biasa ada di kampung-kampung. Ia mendapat nama Sungai Sauk disebabkan sungai ini diempang, disekat airnya untuk membolehkan airnya mengalir ke sawah-sawah padi pada musim menanam padi. Sekiranya tidak diempang dan disekat, maka air sungai itu tidak dapat disalirkan ke bendang disebabkan sungai itu terlalu dalam dan airnya tidak dapat mengalir ke sawah padi. Kegiatan mengempang dan menyekat air sungai itulah menyebabkan sungai ini mendapat nama “ Sungai Sauk’

Dalamnya air Sungai Sauk ketika di empang adalah lebih kurang enam kaki. Memang sesuai dijadikaln kolam mandi. Dan sememangnya sungai ini tempat kami mandi-manda waktu musim menanam padi. Inilah ‘ Swimming Pool’ kami. Aku belajar berenang di sini. Hampir semua anak-anak kelahiran kampung ku ini belajar berenang di Sungai Sauk. Sekiranyalah tidak adalah Sungai Sauk, aku tak tahulah dimana lagi tempat untuk kami belajar berenang. Mujurlah ada Sungai Sauk…..

Hampir kesemua ibu bapa di kampung kami tidak membenarkan anak-anak mereka mandi-manda di Sungai Sauk. Hampir kesemuanya. Takut lemas, kata mereka. Tapi tak pernah pula kedengaran ada kanak-kanak yang mati lemas ketika mandi di Sungai Sauk. Tak pernah aku dengar. Tapi itulah hujah yang digunakan oleh ibu bapa kami untuk melarang anak-anak mereka supaya tidak mandi di Sungai Sauk.

Bagaimana pula dengan air Sungai Sauk. Jernih dan bersih ke?

Itu tidak pernah langsung jadi pertimbangan kami. Bersih ke, jernih ke, tidak pernah difikirkan oleh kami. Yang penting air Sungai Sauk mesti ‘ hapus kepala’. Maknanya mesti cukup dalam untuk membolehkan kami berenang ‘ kepala dulu’, apabila terjun dari atas jambatan yang menghubungkan kampung kami  ( Kampung Keroh Hilir ) dengan Kampung Lalang ( jiran ).

Untuk mengawasi kanak-kanak kampung ini daripada mandi-manda di Sungai Sauk, emak bapak kami ( emak terutamanya ) telah memberikan ‘mandat’ yang cukup besar kepada Pak Haji Yaakub untuk menggunakan rotan untuk merotan kami sekiranya didapati mandi-manda di Sungai Sauk. Pak Haji Yaakub pula dengan senang hati menerima ‘mandat’ yang diberikan oleh ibu bapa kami,  walaupun tanpa bayaran walau satu sen pun.

Pak Haji Yaakub akan menjalankan tugas’ yang diberikan  itu dengan penuh dedikasi. Pak Haji Yaakub akan pergi ‘ melawat ‘ Sungai Sauk apabila difikirkannya perlu untuk mengintai samada kanak-kanak yang mandi. Sekiranya nasib tidak begitu baik, dan secara kebetulan bertembung dengan Pak Haji Yaakub ( yang tahu dimana ‘ lorong ‘ kami melepaskan diri ) maka kami akan mendapat ‘habuan’ ranting pokok senduduk. Aku katakan ranting pokok  senduduk kerana pokok senduduk yang banyak tumbuh ditepi Sungai Sauk

Walaupun kami mendapat habuan dari Pak Haji Yaakub, kami tidak akan ‘ melaporkan’ hal sedemikian kepada ibu bapa kami kerana sekiranya dilaporkan, besar kemungkinan kami akan menerima habuan yang lain pula dari ibu bapa kami. Namun begitu ‘ kehidupan’ kami sentiasa dalam cemas dan penuh ‘ suspense’ kerana Pak Haji Yaakub pasti akan melaporkan kepada ibu bapa kami apa yang telah berlaku.

Untuk mengelakkan kami daripada dirotan oleh Pak Haji Yaakub, kami telah sepakat membentuk  sekumpulan ‘pemerhati’ untuk mengawasi perjalanan Pak Haji Yaakub. Kami telah melantik ‘pemerhati’ secara berglir-gilir untuk berdiri di tebing sungai dan memberikan isyarat apabila kelihatan kelibat Pak Haji Yaakub. Dengan demikian ‘terpelihara’lah kami dari tindakan Pak Haji Yaakub apabila mandi manda di Sungai Sauk.

Sebenarnya larangan yang dikenakan oleh ibu bapa kami untuk jangan mandi di Sungai Sauk, bukanlah disebabkan takut lemas, tetapi sebenarnya air Sungai Sauk itu sememangnya kotor. Apa tidaknya. Sungai Sauk adalah ‘toilet’ bagi penduduk kampung di hulu sungai. Pada ketika itu mana ada wujud toilet yang dibina di dalam rumah ataupun jamban curah yang dibina  ditempi rumah. Boleh dikatakan mereka menggunakan sungai Sauk itulah sebagai toilet mereka.

Kini Sungai Sauk tinggal dalam kenangan. Akan ku ceritakan ‘ peranan’ Sungai Sauk apabila aku menceritakan kehidupan ku semasa kecil. Akan ku ceritakan pada anak cucu aku tentang hebatnya Sungai Sauk sebagai Swimming Pool di kampung ku. Aku pasti di temapta-tempat lain pun ada sungai yang berfungsi sebagai Sungai Sauk di kampung ku itu.


Abuhassanadam
7 Februari 2013

Tuesday, February 5, 2013

APAKAH ORANG MELAYU MASIH BANGANG?


APAKAH ORANG MELAYU MASIH BANGANG

Aku tak tahu siapa yang bodoh, bangang. Aku ke yang bangang ataupun rakyat yang bangang ( sebahagian le, bukan semua). Aku kata begitu sebab sudah lama sangat aku perhatikan, masih ramai lagi rakyat yang aku lihat seperti pandir, bodoh, bangang. Terutamanya orang Melayu le. Aku le tu. Bangsa aku. Keturunan aku. Kulit aku dengan kulit mereka yang aku kata bodoh ni sama saja warnanya. Jadi kalau aku kata mereka seolah-olah aku mengutuk aku juga. Meludah ke langit. Mengutuk keturunan aku,. Apa boleh buat. Terpaksalah. Jikalau dah begitu kehendaknya. Aku berani kata begitu kerana ‘ cubit peha kiri, peha kanan terasa sakitnya.

Negara sudah merdeka. Sudah 55 tahun pun umurnya. Tapi rakyatnya tidak merdeka. Masih takuk lama. Boleh ‘dibeli’. Boleh diperkudakan. Boleh diperbodohkan. Boleh dihina. Boleh dimaki hamun. Boleh diporkatekkan. Kata setengah orang. Entah betul entah tidak.

“ Taka pa” itulah kebanyakan responsenya.

Dulu beberapa orang penulis orang putih  Maxwell, Wilkinson, Winstedt sepakat mengatakan orang Melayu malas. Dan apabila orang putih kata begitu, maka orang lain pun ikut sama la. Diikuti dengan gelak ketwa menyindir ‘ mengiakan’ kata-kata orang putih itu. Sampai sekarang orang Melayu dicap begitu. Malas. Ramai juga orang Melayu sekarang yang bersetuju dengan pendapat itu. Aku pun kadang-kadang terbawa-bawa untuk bersama-sama mendukung pandangan itu.

Cuma, bila aku fikir dan aku kenangkan balik semula tentang kata-kata orang putih ni dan aku lihat dan aku kenangkan bagaimana bapa aku bekerja untuk menyara hidup keluarganya, aku berasa ‘ panas’. Bukanlah bapak aku seorang yang rajin begitu, malah hampir 90 % penduduk di kampung aku rajin-rajin belaka, tetapi mereka masih miskin. Mereka jadi miskin bukan kerana mereka malas, tetapi disebabkan faktor-faktor lain.

Malas ke namanya kalau mereka turun ke sawah selepas Subuh dan kembali ke rumah pada waktu hampir Maghrib. Malas ke namanya tu. Yang turun ke laut pulak serupa itu juga. Kadang-kadang berhari bermalam di laut. Malas ke namanya tu.Oleh kerana Orang putih melihat orang Melayu miskin, jadi tuduhannya kerana mereka malas. Orang putih melihat orang Melayu bersantai pada waktu petang di bawah pohon kelapa disamping melimparkan pandangannya ke laut luas, dikatakan orang Melayu “ easy going’.

Isu yang aku perkatakan ini sebenarnya isu lama. Dah basi. Tetapi sengaja aku ‘ hidupkan’ semula disebabkan faktor semasa yang memaksa aku ‘ menghidupkan. Maknanya ada pandangan umum mengenai sesuatu  yang pada pandangan aku tidak boleh aku terima. Misalnya ada aku dengar ramai yang berkata bahawa, “orang kampunglah yang akan menentukan keputusan pilihan raya yang akan  datang. Tak boleh buat apa-apa dah”

Maknanya

·      Apabila disebut orang kampung tu, maknanya orang Melayu la. Orang macam aku ni
·      Orang Melayu di kampung tu bodoh-bodoh, tak ikut perkembangan zaman.
·      Orang Melayu di kampung mudah dibeli, diperbodoh-bodohkan, boleh disogok dengan hadiah dll.

Pandangan ini atau ‘ falsafah karut ‘ ini sama juga seperti orang putih mengatakan orang Melayu malas. Hina sangat  ke orang kampung ( Melayu ) sehinggakan tidak dapat berfikir secara waras. Bodoh benar ke orang kampung sehingga boleh diperkotak-katikkan. Tertutup rapat ke mata mereka sehingga tidak langsung nampak reality yang berlaku disekeliling mereka. Jikalau ada pun orang kampung yang masih ‘ buta perut’, maka bilangannya tidak begitu ramai.

Sudah 55 tahun kerajaan memerintah dan berusaha untuk mencelikkan orang kampung. Bermula dengan Kelas Pelajaran Dewasanya, penubuhan berbagai ajensi yang bertujuan semata-mata untuk memajukan penduduk luar bandar. Orang Melayu. Apakah kini orang Melayu masih mundur. Masih tidak dapat memikirkan yang mana baik dan yang mana buruk. Apakah mereka masih menjadi pak turut, menjadi pengikut yang membuta tuli. Pandir?. Bodoh?

Baru-baru ini aku pulang ke kampung. Kampung Keroh Hilir, Padang Rengas. Ini nama kampung aku. Tak tipu punya. Kalau pergi ke kampung itu tanyalah orang kampung  mengenai aku.  Jangan tanya kanak-kanak. Mereka tak kenal. Tanya orang tua-tua. Lama aku tinggal di kampung. Bercuti. Kebetulan pula musim buah-buahan. Musim durian. Orang kampung ceria. Bahagia. Begitulah biasanya di kampung ini semenjak dari zaman dulu lagi. Kalau musim buah-buahan hidup mewah. “ Boleh nampar orang le….”

Banyak masa aku habiskan bersembang dengan kenalan lama aku. Kawan-kawan sepermainan masih ada lagi. Sihat. Cuma gigi mereka yang hampir semuanya ‘ kompang’. Tak kisahlah. Yang aku nak ceritakan ialah kami boleh bersembang seperti biasa. Aku tahu aku mesti menyesuaikan diri aku dengan mereka. Aku mesti letakkan diri aku seperti aku yang mereka kenal 40 atau 50 tahun dahulu. Itu yang merancakkan perbualan yang diikuti dengan derai gelak ketawa.

Mereka juga boleh ‘ faham’ apa yang aku bualkan apabila mereka bertanya aku tentang perkara yang ‘ berat-berat’. Aku terangkan. Mereka faham. Mereka mengangguk. Dan apabila aku tanya mereka bagaimana mereka boleh faham. Mereka jawab ringkas, “ Anak aku yang bekerja di Kuala Lumpur yang cakap…..”


Abuhassanadam

5 Januari 2013

Monday, February 4, 2013

AYUH ANAK MUDA....


AYUH ANAK MUDA..........

Tidak ada siapa yang berani menafikan tentang pentingnya orang muda dalam pembangunan negara.  Maknanya dalam aspek apa sekalipun orang muda berada di barisan hadapan. Semenjak zaman dulu lagi begitu caranya. Menuntut kemerdekaan negara, orang muda berada di barisan hadapan. Dalam lapangan pendidikan, orang muda memainkan peranan.

Tahun-tahun 1920an, ketika tidak begitu ramai golongan terpelajar dari kalangan orang muda, maka guru-guru mudalah yang memainkan peranan penting dalam membangunkan masyarakat. Cikgu adalah segala-galanya. Dialah guru sekolah. Dialah pemimpin belia. Dialah tempat orang meminta nasihat. Cikgulah juga sebagai pengarah drama dan guru tari dalam satu-satu persembahan. Pendek kata guru dianggap manusia serba boleh.

Orang muda terpelajar dalam tahun-tahun 1920an dan 1930an adalah terdiri dari guru-guru pelatih yang menuntut samada di Sultan Idris Trainning College ( SITC ) Tanjung Malim  ( bagi lelaki ) ataupun dari Malay Womans Training College ( MWTC ) Melaka bagi wanita. Itulah saja golongan muda yang boleh dianggap terpelajar disamping guru-guru lepasan normal  yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di SITC atau MWTC.

Sumbangan guru-guru muda ini amat besar kepada negara. Merekalah yang menjadi tonggak dan pasak dalam perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan. Merekalah yang menggembelingkan tenaga anak muda lain untuk bersama-sama  memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Pengorbanan yang mereka berikan melampaui batas waktu, wang ringgit dan tenaga keringat. Begitu juga perjuangan mereka mendidik anak bangsa tidak langsung mengenal penat lelah. Dengan sebab itulah jasa mereka sentiasa dikenang sehingga kini.

Sehingga tahun-tahun 1970an, kaum gurulah yang menjadi tenaga penggerak dalam pertubuhan UMNO. Dan pernah diakui oleh ramai orang bahawa berlakunya ‘ keadaan huru-hara ‘ dalam UMNO adalah selepas parti UMNO tidak lagi didokong oleh kaum guru. Berlakunya politik wang yang berleluasa dalam pemilihan parti adalah berpunca daripada kurangnya penglibatan kaum guru dalam parti berkenaan.

Kini masyarakat di Malaysia menuntut agar anak muda tampil memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Amat tepat dan sesuai  seruan ini disuarakan oleh pemimpin-pemimpin samada dari pihak kerajaan ataupun pihak pembangkang. Dan orang muda harus tahu dan faham tentang peranan yang sepatutnya mereka mainkan. Mereka tidak harus menjadi pak turut yang boleh dicucuk hidung.

Orang muda sekarang adalah anak muda yang terpelajar. Anak muda yang boleh berfikir tentang buruk baik sesuatu  tindakan. Anak muda sekarang kebanyakannya lahir dari pusat-pusat pengajian tinggi dan bukan lagi seperti pemuda zaman-zaman lampau yang hanya berkelulusan ‘ sekolah atap’. Lantas tuntutan masyarakat terhadap mereka juga adalah melebihi daripada tuntutan yang dituntut kepada agolongan ‘ sekolah atap’. Namun begitu jangan pula harus diperkecilkan peranan anak muda ‘ lepasa sekolah atap ‘ itu. Mungkin dar segi konteks zamannya mereka lebih hebat.

Anak muda kini harus berkebolehan menganalisis sesuatu keadaan samada dari segi politik, sosial , ekonomi, pelajaran dan lain-lain. Anak muda harus berani mengemukakan pendapat dan pandangan yang bernas dari sudut pemikiran orang muda untuk dikemukakan pada masyarakat. Untuk meyakinkan pendapat  dan pandangan orang muda itu, orang muda harus bijak mengemukakan idea berkenaan supaya idea itu dapat diyakini.

Banyak isu yang boleh diperbahaskan oleh orang muda sekarang yang berkaitan dengan isu nasional. Sebagai contoh ada dua isu daripada beberapa isu yang boleh didebatkan oleh orang muda. Misalnya isu air di Selangor dan Saham FGV ( Felda). Itu sebagai contoh. Ramai yang keliru dan tidak faham tentang ‘ biji-buahnya”. Satu golongan mengatakan yang mereka betul dan satu lagi kumpulan pula mengatakan mereka yang betul. Jadi masyarakat sudah keliru. Yang mana satu yang betul. Masyarakat dahagakan ‘ keputusan ‘. Masyarakat memerlukan seorang ‘ pengadil’ yang adil untuk memberikan pendapat yang mana betul dan yang mana tidak.

Disinilah saya rasa orang muda harus mengambil daya utama untuk memperjelaskan keadaan ini. Menjadi ‘ pengadil’ yang adil. Memberikan satu jawapan yang boleh diyakini semua. Didebatkan secara ilmiah. Secara terbuka. Jangan selindung-selindung. Tentunya pihak kerajaan akan memberikan peluang seluas-luasnya kepada para belia atau orang muda untuk mengupas idea ini secara terperinci. Sekiranya dapat diadakan sebelum berlangsungnya pilihanraya yang ke 13, adalah amat sesuai sekali. Keadaan sebegini akan memberikan arah tuju yang amat jelas tentang  kearah mana negara akan di bawa. Akan memberikan kesempatan kepada pengundi pula untuk betul-betul memahami sesuatu isu sebelum membuat sesuatu keputusan.

Orang muda harus berfikiran terbuka. Kritikal dan waras dalam membuat sesuatu keputusan. Gunakan ilmu yang ada yang telah anda timba di universiti untuk menyedarkan masyarakat terbanyak. Jadikan pilihanraya yang akan kita hadapi satu pilihanraya yang betul-betul hebat, lain dari yang lain. Jikalau sebelum ini orang muda tidak begitu diberikan peranan, maka kali ini dilihat bahawa masyarakat sudah mengharapkan kepada orang muda untuk berada di barisan hadapan. Inila peluang terbaik bagi anak muda membuktikan kemampuan mereka sebagi satu kelompok yang boleh menetukan jatuh bangunya bangsa dan negara kita.

Gunakan kebijaksanaan saudara. Jangan dikecewakan harapan orang tua yang mahu melihat negara ini bergerak maju setanding dengan negara-negara maju lain yang sentiasa didukung oleh anak muda.


Abuhassanadam
4 januari 2013

Sunday, February 3, 2013

MEREKA BUKAN PENULIS UPAHAN


MEREKA BUKAN PENULIS UPAHAN

Seperti biasa bila aku balik bercuti di kampung, pagi-pagi lagi selepas solat Subuh aku akan  ke Padang Rengas. Pekan kecil tak berapa jauh dari kampung ku. Untuk beli nasi lemak, roti canai dan kuih muih untuk sarapan pagi. Teringat pula aku nak beli surat khabar. Capaian internet tak boleh di kampung aku. Tak ada talian. Dah lama benar tak baca surat khabar.

Apabila aku sampai sahaja di kedai yang menjual surat khabar, aku tengok ‘ bertimbun ‘ surat khabar yang tak terjual. Kebiasaannya ( kalau zaman-zaman dulu le ) penjualan surat khabar ini amat laris di tempat aku ni. Bukan nak kata le, orang tempat aku ni ‘ educated ‘ le juga. Ada dua sekolah Arab ( agama) tertua di sini. Ada sekolah ‘orang putih’ yang telah dibangunkan semenjak zaman British lagi. Di kuala Kangsar ( 10 kilometer dari Padang Rengas ) ada Clifford School, Malay College, Sekolah Perempuan Raja Yang Kalsom ( dulu dipanggil GEGS – Governement English Girls School ).

Yang aku nak cerita bukan fasal orang Padang Rengas, tapi kisah surat khabar yang tidak terjual. Bertimbun. Tak laku. Orang tak mahu beli. Dan baru-baru ini juga aku tengok surat khabar bertimbun juga di pintu masuk pesawat MAS ketika aku dalam penerbangan ke Penang. Kebiasaannya ( waktu dulu-dulu ) berebut-rebut penumpang mengambil surat khabar. Jikalau kita lambat, tak dapatlah naskah surat khabar untuk dibaca.

Mengapa terjadi begini? ‘ orang sudah ada internet  untuk mendapatkan berita” kata seorang kawan aku.

Jikalau itu jawapannya, maka aku persoalkan pula tentang orang kampung ku yang tidak ramai memiliki talian internet. Orang tua-tua tidak tahu pun menggunakan internet, tetapi mengapa mereka tidak membeli surat khabar. Dan tak lama dulu ketika berada di London, aku tengok orang masih membaca “ Times’, ‘ Guardian” dan akhbar-akhbar lain sedangkan internet berleluasa. Di Los Angeles mereka masih membaca “ USA Today”, ‘  Los Angeles Times “. Mengapa di Malaysia, kebanyakan orang sudah meninggalkan tabiaat membaca akhbar.

Semenjak zaman British sehinggalah menjelang Kurun ke 21, surat khabarlah yang memainkan peranan begitu penting dalam kehidupan masyarakat di Tanah melayu. Surat khabarlah berperanan dalam melahirkan semangat kebangsaan di Tanah Melayu, seperti ‘Warta Malaya’ ‘Lembaga Malaya’’ ‘Majlis’ ‘Utusan Melayu’ ‘ Warta Negara’. Dan surat khabar juga yang meniupkan semangat kebangsaan menentang penjajah British sehingga mencapai kemerdekaan.

Orang Melayu terhutang budi kepada pejuang-pejuang lampau yang berjuang dalam bidang persuratkhabaran seperti Zainal Abidin bin Ahmad ( Zaaba ), Dato’ Onn bin Jaafar, Abdul Rahim Kajai, Pak Sako, Abdul Samad Ismail, Keris Mas, Usman Awang dll. Nama mereka masih harum di persada bangsa dan dipuji dan dipuja oleh anak bangsa, dari desa ke kota.

Mengapa mereka dipuji dan dipuja?

Aku rasa mereka betul-betul ikhlas dalam perjuangan mereka untuk memperjuangkan bangsa. Mereka menulis berdasarkan apa yang mereka fikir yang sesuatu itu betul. Mereka bukan penulis upahan. Isu-isu yang mereka kemukakan pada ketika itu termasuklah memajukan pendidikan orang Melayu, menggalakkan pendidikan untuk anak perempuan, menyeru orang Melayu supaya meninggalkan sikap negatif seperti tidak mahu berusaha, mementingkan pendidikan bahasa Inggeris untuk kemajuan orang Melayu, memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran.

Dalam bidang ekonomi para penulis dan wartawan zaman dahulu menyeru orang Melayu supaya terlibat dalam perniagaan, meminta British mengurangkan kemasukan orang dagang kerana hal ini mengancam ekonomi tempatan. Mereka adalah mata dan telinga masyarakat pada ketika itu.  Tugas yang mereka pikul pada ketika itu  amatlah berat.

Mereka sedar bahawa mereka menulis di bawah pengawasan penjajah. British. Mereka sentiasa di awasi. Namun mereka tidak menggadaikan marwah mereka sebagai penulis upahan. Mereka tidak menggadaikan nilai hidup mereka sebagai anjing-anjing penjajah. Mereka sentiasa menjaga nilai diri sebagai seorang wartawan yang berwibawa. Sekiranya mereka tidak menulis secara berterus terang, mereka akan menggunakan pena mereka untuk menulis secara berselindung. Pak Sako misalnya terpaksa menyampaikan idea perjuangannya melalui novel-novel yang dikarangnya seperti “ Putera Gunung Tahan’ dan ‘ Mat Lela Gila”. Jalan ceritanya melucukan dan kadang-kadang mengandungi unsur seks, namun sarat dengan mesej perjuangan. Itulah identity yang ditonjolkan oleh wartawan dan penulis yang tahu tentang jati dirinya.

Melihatkan kepada senario yang dipaparkan apakah kehilangan kredibiliti wartawan atau penulis kini yang menyebabkan banyak suratkhabar sudah tidak terjual? Jawapannya mungkin ya  atau mungkin tidak. Namun apa salahnya para wartawan atau penulis kini memikirkan apakah mereka ‘ sudah tergadai’ atau ‘ sudah digadaikan’ atau ‘ sedang tergadai’.

Penulis harus berani mempertahankan sesuatu idealisme yang diperjuangkan. Kita menjadi wartawan atau penulis untuk mencari sesuap pagi dan sesuap petang.  Itu betul. Tetapi apakah dengan mencari sesuap pagi dan sesuap petang itu kita harus menggadaikan marwah diri dan  membelakangkan etika kewartawanan kita. Mungkin wartawan kini tidak dapat ( atau jauh sekali ) mebandingkan perjuangan wartawan dahulu seperti Zaaba, Dato Onn Jaafar, Pak Sako, Samad Ismail dll. Tetapi sekurang-kurangnya penulis kini harus mencuba ‘ rapat’ sedekat-dekatnya dengan kejayaan wartawan-wartawan agung milik orang Melayu.

Setidak-tidaknya para wartawan harus menghindarkan diri dari menjadi penulis upahan. Terlalu hina sekiranya terjadi demikian.






Abuhassanadam
3 Januari 2013 

Friday, February 1, 2013

SAYA AMAT KECEWA, TUN....




SAYA AMAT KECEWA TUN…..

Sedang aku membelek-belek majalah di sebuah kedai buku di Manila, Philippines pada tahun 1981, seorang rakan kursus dari Indonesia menunjukkan sebuah majalah ‘ Asian Finance’ yang memaparkan gambar  Dr. Mahathir Mohammed pada kulitnya.

“ Watch this man, Abu “ kata Ikhsan kepada aku sambil menunjukkan gambar Dr. Mahahthir. Aku tak berkata apa-apa. Hanya menganggukan kepala. Lantas aku beli majalah berkenaan untuk aku baca rencana yang agak panjang didalamnya mengenai Dr. Mahathir.

Semenjak itulah aku meminati kepimpinan Dr.Mahathir ‘ macam nak gila’. Entah macam mana cara kepimpinannya amat menarik hati ku. Tindakannya ‘ingkar ‘ untuk menghadhiri persidangan Komanwel di Cancun sungguh menarik perhatian ku. “ Buang masa…lebih baik dia berada dalam negara untuk menjalankan kerja-kerja berfaedah” lebih kurang katanya pada ketika itu.  Kemudian pula muncul dasar-dasar yang pada pandangan aku betul-betul innovative. Misalnya, “ Buy British Last’, ‘ Pandang ke Timur’  dan lain-lain.

Sekembalinya aku ke Kuala Lumpur bermulalah satu era baru dalam hidup ku. Menulis. Walaupun aku tidak bekerja di mana-mana suratkhabar di Malaysia namun artikel-artikel aku berada di mana-mana. Maksudnya aku menulis di Berita Harian ( Berita Minggu), Utusan Malaysia ( Mingguan Malaysia ), Dewan Masyarakat, Dewan Budaya dan majalah-majalah lain yang meminta artikel aku disiarkan.

Kerana Dr. Mahathir. Dan kebanyakan rencana yang aku tulis adalah mengenai kepimpinan Dr. Mahathir.

Ketika mula-mula aku hantar artikel ke Berita Harian pada tahun 1981, aku tak yakin akan disiarkan oleh Berita Minggu. Maklumlah aku’ bukan  ada nama’. Tajuk artikelnya ialah “ Pimpinan 2M Yang Memikat “ Aku mencuba nasib. Moga-moga sesuai untuk disiarkan oleh Berita Harian. Pada hari minggu berikutnya, keluar tajuk rencana yang sama seperti yang aku hantar. “ Sial betul Berita Harian ni…..” kata hati kecilku. Aku terus membaca perkataan demi perkataan. Sebiji macam rencana yang aku hantar. Tak banyak potong. “ Orang lain dah ambil rencana aku “ kata hati kecilku lagi. Setelah habis membacanya barulah aku ternampak nama penulisnya. Bukan main besar. Nama aku.

Bermula dari saat itulah aku amat rapat dengan kumpulan pengarang yang ada di Berita Harian tu, terutamanya Sutan Shahril Lembang ( arwah )dan Nazeri Abdullah  ( Dato’). Dan hampir setiap minggu rencana aku disiarkan, disamping rencana penulis-penulis lain. Isu yang aku paling suka ialah mengenai kepimpinan Dr. Mahathir.

Kerancakan aku menulis terus teransang dengan kemasukan Saudara Anwar Ibrahim dalam kerajaan. Bagi aku dan kebanyakan kawan-kawan juga kemasukan Anwar berganding bahu dengan Dr. Mahathir dalam mentadbirkan negara merupakan zaman gemilang Malaysia. Anwar dengan slogan kata, “ the conscience of the majority’nya terus berkumandang dan dihayati oleh bekas mahasiwa University Malaya yang seangkatan dengannya.

Jikalau sebelum kemasukan Anwar Ibrahim tumpuan rencana aku tertumpu kepada Dr. Mahathir, kini pada Anwar Ibrahim pulak. Setiap tindakan yang dilakukan oleh Anwar aku ulas dan kebetulan pula Berita Harian ( Berita Minggu ) sudi pula menyiarkannya. Tidak ada bezanya antara Dr. Mahadhir dengan Anwar Ibrahim. Saling melengkapi. Dan dalam tahun-tahun 1980an dan 1990an aku sudah dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Dato ‘ Seri Abdullah Badawi dan kemudiannya menjadi Pegawai Khas Saudara Anwar Ibrahim pulak. Bertambah rancak kegiatan aku sehinggalah berlaku peristiwa yang amat menyedihkan aku, yang menyebabkan aku terus berhenti menulis di akhbar. Peristiwa pemecatan Saudara Anwar Ibrahim.

Aku tak terkata. Aku tak tahu nak kata apa. Melainkan aku diam. Diam buat beberapa ketika. Menyepikan diri. Aku amat sedih dengan peristiwa ini. Sebabnya sekiranyalah tidak berlaku pemecatan Anwar aku tak boleh bayangkan entah dimana kedudukan negara kita sekarang. Mungkin sudah dapat berdiri sama dengan Jepun atau Korea. Mungkin. Dan di arena antara bangsa nama Malaysia akan sentiasa disebut-sebut, terutamanya kerana dua orang pemimpinnya yang agung Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim.

Rupa-rupanya kita hanya dapat merancang. Allah juga yang menentukan.

Tuduhan terhadap Anwar yang menyebabkan dia dipenjara dan ditendang keluar dari UMNO tidak dapat aku terima. Aku amat kenal dengan Saudara Anwar. Namun begitu aku selalu ‘ berlapik’ apabia ditanya oleh kawan-kawan, apakah benar Anwar tidak melakukan perkara terkutuk itu. Aku menjawab, “ setahu aku tak sanggup dia nak melakukan perkara terkutuk itu. Aku yakin tidak.” Kataku.

Selepas tahun 1998, aku tidak menulis lagi. Aku hanya membelek-belek keratan artikel lama yang aku kumpulak dalam sebuah buku besar. Lebih kurang 300 artikel yang telah terkumpul. Aku kenangkan zaman kegemilangan yang telah aku lalui ketika menulis mengenai Dr. Mahathir Mohamed dan Anwar Ibrahim. Aku teringat pada suatu malam dalam tahun 1990 Dr. Mahathir menyampaikan ucapanya yang bertajuk, “ The Way Forward”. Di Harvard Club Dinner. Ucapan itulah yang dijadikan asas kepada Wawasan 2020.

Aku abadikan artikel-artikel aku mengenai Wawasan 2020 dalm sebuah buku berjodol, “ MENGHALA WAWASAN 2020’  disamping buku lain yang berjodl “ MALAYSIA PIMPINAN MAHATHIR’ Dan buku yang akhir sekali aku tilis ialah “ MENEBUS MARWAH’.

Kedua-dua tokoh ini, Dr. Mahathir dan Saudara Anwar Ibrahim sentiasa dalam ingatan ku . Memang aku terpanggil untuk menulis semula mengenai kedua tokoh ini, walaupun masing-masing dalam gelanggang yang berlainan. Dan apbila muncul isu berkaitan dengan pemberian kad pengenalan di Sabah yang menurut Dr. Mahathir membabitkan juga Saudara Anwar Ibrahim, aku merasa cukup sedih dengan kenyataan Dr. Mahahthir itu. Sebab Dr. Mahathir hanya menuduh dan tidak dapat mengemukakan bukti. Sekiranya disertakan dengan bukti mungkin akan menyebabkan aku berfikir semula.

Sekali lagi aku tak pandai nak berkata-kata dengan keadaan yang wujud sekarang.  Cuma yang dapat aku lahirkan ialah ‘ Aku amat kecewa”.




Abuhassanadam
1 Februari 2013

'CANGGUNG' LEBIH MENYERONOKKAN




“CANGGUNG’ LEBIH MENYERONOKKAN

Pertama kali aku naik kapal terbang ialah pada tahun 1978. Dari Kuala Lumpur ke New York. Mengikuti kursus yang dibayar oleh kerajaan. Perbelanjaan lain juga ditanggung oleh kerajaan. Harapkan duit poket aku nak keluar, tak merasalah naik kapal terbang.

Sebelum tahun 1978, tak pernah merasa naik kapal terbang. Tengok dari jauh saja. Tak berani dekat. Aku masih ingat pada satu ketika dimana aku mengikuti rombongan sekolah ke Ipoh. Antara acara yang termasuk dalam lawatan itu ialah melawat lapangan terbang Ipoh disamping melawat Tanah Tinggi Cameron Highlands. Bukan main seronok rasanya apabila Cikgu mengatakan yang kami akan berpeluang melawat lapangan terbang Ipoh. Pada ketika itu dapat melihat kapal terbang sudah cukup seronok dan membanggakan. Tiga minggu akan bercerita dengan rakan-rakan lain tentang pengalaman ‘ melihat ‘ kapal terbang.

Dalam kampung aku tak ramai yang pernah menaiki kapal terbang. Emak kata, Pak Haji Kassim pernah naik kapal terbang. Dari Ipoh ke Pulau Pinang. Lamanya masa yang diambil penerbangan dari Ipoh ke Pulau Pinang hanya ‘ sebatang rokok’ kata Pak Haji Kassim. Di kampung kami Pak Haji Kassim dikira sebagai orang kaya le. Ada bendang, ada kebun durian, ada kebun getah. Itu sudah dkira kaya. Dia sudah pergi ke Makkah. Naik kapal. Bukan naik kapal terbang. Jadi untuk menunjukkan pada orang kampung yang dia lebih hebat dari orang lain di kampung aku, maka dia merupakan orang yang mula-mula naik kapal terbang dari kampung aku. Mungkin!.....

Di kampung, masa aku kecil-kecil dulu tiap-tiap hari melihat kapal terbang lalu yang melalui kampung kami. Tiap-tiap pukul 10.00 pagi. Agaknya dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. Aku dan kawan-kawan aku akan melambai-lambai kapal terbang yang terbang di udara. Puas rasanya berbuat begitu.

Satu lagi cara bagi kami untuk ‘ merasai ‘ menaiki kapal terbang ialah dengan menaiki ‘CANGGUNG’. Ini merupakan aktiviti yang kami cipta sendiri. ‘CANGGUNG’ ialah batang pokok kayu yang tumbang yang melintang sebuah sungai. Untuk mendapatkan keadaan dimana sebatang pokok yang tumbuh ditebing sungai dan kemudian rebah melintangi sungai adalah satu keadaan yang jarang-jarang dapat dijumpai. Namun begitu sekiranya terdapat keadaan sedemikian boleh dianggap sebagai ‘ sebuah kapal terbang’.

Kami akan berpaut kepada dahan-dahan pokok yang tumbang itu sambil menghenjut-henjutkannya. Semacam naik papan jongkang-jongkit. Sedang kami berbuai-buai, berpaut pada dahan pokok yang tumbang itu, kami akan melaungkan perkataan seperti, “ London, Paris dan New York’. Menggambarkan yang kami sedang ‘ terbang ‘ menujuk ke tempat-tempat ini. Seronok betul. Dan yang peliknya ketika kami berbuai-buai berpaut pada dahan itu dalam keadaan telanjang bulat. Sebab. Setelah penat berbuai-buai, kami akan menjatuhkan badan kami ke dalam sungai yang mengalir di bawah.

Aku tidak pernah terfikir yang aku akan betul-betul menaiki kapal terbang ke New York. Semasa berada dalam pesawat, aku sentiasa ‘ bertanya ‘ pada diriku dengan mencubit lengan aku. “ Betulkah aku yang menaiki pesawat ke New York ini” Aku masih tak percaya. Itulah perasaan budak kampung yang sentiasa dibelenggu oleh perasaan rendah diri. Tidak yakin yang diri sudah sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain juga. Budak kampung akan sentiasa merendah diri.

Aku baru merasa menaiki kapal terbang setelah umurku 30 tahun. Berbanding dengan anak-anakku yang sudah berjinak dengan kapal terbang ketika berumur tiga tahun. Sudah biasa dengan lapangan terbang antarabangsa di seluruh dunia. Tidak hairan dan ‘jakun’ seperti aku apabila mula-mula menaiki kapal terbang.

Kapal terbang yang aku naiki itu singgah berhenti di Hong Kong. Transit. Aku dan penumpang-penumpang lain di tempatkan di sebuah hotel mewah. Tak tahu aku berapa bintangnya. Aku sentiasa dalam ‘ ketakutan’, serba tak kena. Kekok dalam apa tindakan yang aku lakukan. Maklumlah bagi aku semuanya ‘ pertama kali’. Naik kapal terbang ‘ pertama kali’. Turun dari pesawat dan menuju ke immigration check point juga ‘pertama kali’. Menjejakkan kaki di Hong Kong juga ‘ pertama kali. Pendek kata semuanya pengalaman baru.

Sampai di JF Kennedy Airport waktu pagi. Sejuk. Tak pernah aku rasa sejuk begitu. Air sungai disebelah rumah aku biasanya sejuk pada waktu pagi. Ini sejuk lagi. Nasib baik aku bawa baju panas. Tak le serupa baju panas orang lain. Berjenama. Baju panas aku jauh lebih murah beranding dengan baju panas yang dipakai oleh orang di sini. Baju panas aku dibeli di kedai Jalan Tuanku Abdul Rahman saja.

Sementara menunggu di Airport, menunggu dijemput oleh seseorang yang berjanji akan menjemput aku, sempat juga aku berbual dengan seorang mem di situ. Orang kampung kalau tak bertegur sapa, tak beradab namanya, kata Opah aku. Jadi aku memberanikan diri aku dengan melemparkan senyuman pada dia. Mungkin bukan itu cara mereka. Taka pa le. Cara aku apabila berjumpa seseorang senyum dulu. Senyum itu sedekah….

“ Where are you from?’ Dia bertanya
‘Malaysia’ kataku pendek. Mujurlah aku boleh juga berbahasa orang putih
“ Vietnam?” katanya lagi. Mengapa pula ke Vietnam perginya.
“ Kuala Lumpur”  kata ku
“ Oh Singapore…..” Jawabnya mengangguk-anggukkan kepalanya.

Barulah aku sedar bahawa pada tahun 1978, tidak ramai lagi warga dunia yang tahu dimana letaknya negara Malaysia. Mereka lebih mengenali Vietnam ( disebabkan berlakunya Vietnam War agaknya) atau lebih mengenali Singapore.

Dengan izin Allah, kini menaiki pesawat adalah merupakan kegiatan yang biasa bagi aku. Bukan untuk bermegah-megah apabila aku menceritakan hal yang sebgini tetapi  hanya untuk menyedarkan diri bahawa apa saja yang dilakukan selalu kenikmatannya akan hilang. Dulu amat menyeronokkan apabila berpeluang menaiki pesawat buat pertama kali dalam sejarah hidup ku.

Tetapi apabila dilakukan secara berulang-ulang, keseronokan itu akan hilang dan telah hilang. Kadang-kadang aku terfikir berbanding dengan keadaan aku menaiki pesawat ke London misalnya lebih menyeronokkan aku bermain ‘CANGGUNG’ bersama dengan Hamid, Isa, Ngah , Bahari di Sungai Sauk berhampiran dengan rumah  ku waktu kecil-kecil dulu.

Namun begitu aku tetap bersyukur kepada Allah kerana memberikan kebahagiaan yang tidak dapat dirasai oleh rakan-rakan ku yang sama-sama bermain ‘CANGGUNG’ seperti Hamid, Isa, Bahari dan Ngah.





Abuhassanadam

I Februari 2013