SAMPAI BILA ORANG
MELAYU PERLUKAN ‘TONGKAT’?
Sampai bilakah agaknya orang Melayu memerlukan pertolongan dan
bantuan supaya maju. Sampai bila. Sekiranya orang Melayu terus menerus masih
memerlukan ‘tongkat’ untuk berjaya memberikan gambaran bahawa orang Melayu
masih mundur dalam serba serbi lapangan. Bermakna bahawa orang Melayu tidak
boleh ‘survive’ tanpa pertolongan kerajaan. Bermakna bahawa Dasar Ekonomi Baru
itu perlu diteruskan sampai bila-bila sehingga orang Melayu betul-betul maju.
Tentulah sekali lagi dipersoalkan. Sampai bila?
Aku tidak kata orang Melayu tidak hebat. Tidak maju. Orang Melayu
sememangnya berkebolehan dan hebat sama seperti orang lain juga. Tetapi
disebabkan adanya golongan Melayu yang
lemah yang ‘kerja’nya hanya meminta-minta menyebabkan golongan Melayu yang
cekap dan hebat ini merasa diri mereka ‘terhina’ dan terlindung. Dan yang
anihnya golongan Melayu lemah ini pula sering mendapat perhatian dari pihak
kerajaan. Dimanjakan. Dan merekalah yang ‘bertuah’ dan dapat ‘menikmati’ wang
negara secara ‘haram’ yang diperolehi dari titik peluh pembayar cukai di negara
ini. Dan golongan ini jugalah yang sentiasa ‘merengek’ dan ‘merayu’ agar orang
Melayu ( golongan Melayu yang tidak bermaruah itu ) diberikan pertolongan dan
bantuan.
Boleh aku katakan bahawa orang Melayu kebanyakan sememangnya ‘anak
jantan’ dalam zaman penjajahan British dulu berbanding dengan keadaan sekarang
yang sudah agak ramai juga menjadi ‘lelaki yang betina’. Aku ambil contoh dari
segi merebut peluang pendidikan yang diberikan oleh British. Tidak ada Dasar
Ekonomi Baru’ yang disediakan oleh British untuk anak-anak Melayu. British ada
menyediakan biasiswa kepada anak-anak Melayu yang layak dan berkebolehan. Dan
hanya yang memenuhi kelayakan sahajalah yang mendapat biasiswa berkenaan. Tidak
ada pilih bulu sepertimana yang diamalkan oleh setengah-setengah pihak kini.
Apakah tidak hebat namanya jikalau anak Melayu pada zaman British
boleh menduduki peperiksaan yang sama dengan anak-anak bangsa lain di seluruh
dunia. Apakah tidak hebat namanya sekiranya ada anak Melayu ( kampung ) boleh
lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge dimana semua
mata pelajarannya mesti dijawab dalam
Bahasa Inggeris. Dan yang paling menakjubkan lagi ialah adanya anak Melayu yang
mendapat keputusan cemerlang dalam jurusan undang-undang di University
Cambridge, England. Tun Sufian Hashim. Dan beliaulah akhirnya diberikan peranan
untuk menerajui bidang kehakiman di negara kita. Maka tidak haranlah bidang
kehakiman pada ketika itu menyerlah dan disanjung oleh bukan sahaja oleh rakyat
di Malaysia tetapi juga dari negara-negara luar.
Orang Melayu masih perlu dibantu dalam bidang pendidikan. Setuju.
Persoalannya ialah golongan Melayu yang macam mana yang perlu dihabiskan wang
negara untuk membantu mereka. Apakah setelah lebih dari setengah abad negara
dibebaskan oleh British, masih ramai orang Melayu memerlukan bantuan
pendidikan. Ini menunjukkan ada yang tidak kena di mana-mana yang menyebabkan
keadaan terjadi demikian.
Dan melalui pemerhatan aku sememangnya sudah ramai orang Melayu yang
berada dan hebat. Elite Middle Class. Walaupun masih ramai juga orang
Melayu di kampung-kampung yang masih
miskin. Sepatutnya golongan Melayu (yang miskin) yang sebeginilah yang perlu
dibantu dan diberikan pertolongan. Sememangnya ada bantuan yang disalurkan oleh
kerajaan menerusi ajensi-ajensi tertentu. Persoalannya sampaikah
bantuan-bantuan itu kepada kumpulan sasar. Jawabnya ‘sampai’. Timbul juga
persoalan, ‘ berapa peratuskah yang sampai dan berapa peratus yang tercicir di
tengah jalan’?.
Hasrat kerajaan untuk mendirikan Sekolah Berasrama Penuh kerajaan
dan Maktab Rendah Sains Mara adalah untuk memberikan peluang pendidikan kepada
kanak-kanak luar bandar yang kurang bernasib baik. Setuju. Tetapi dari segi
pelaksanaannya masih ramai anak-anak golongan berada dari bandar yang ‘menumpang’
belajar di sekolah-sekolah berkenaan.Tidak salah sekiranya kota untuk orang
Melayu luar bandar sudah dipenuhi. Tetapi soalnya dengan kemasukan kanak-kanak
dari golongan berada itu telah menyebabkan kanan-kanak luar bandar yang
berkebolehan terpinggir. Lantas gagallah hasrat kerajaan untuk membantu
kanak-kanak luar bandar yang miskin. Dan yang malangnya ada juga Pak Menteri
kita yang juga menghantar anak ke sekolah berkenaan ‘mencuri’ kota yang
disediakan kepada anak-anak kampung yang miskin.
Tahun 2013, Kurun ke 21, masih terdengar suara sayup-sayup orang
Melayu ‘meminta nyawa’ agar mereka diberikan pertolongan. Masih terdengar suara
dari atas yang meminta golongan yang ‘kaya’ membantu golongan yang ‘miskin’.
Seolah-olah begitu mudah kehidupan yang dilalui oleh golongan Melayu sebegitu yang
hidupnya hanya tahu meminta-meminta. Seolah-olah apabila berhadapan dengan
kesusahan akan mengadu kepada pihak kerajaan. Dan yang agak malangnya ialah pihak
kerajaan yang tidak berfikir panjang terus merayu kepada golongan ‘berada’ agar
golongan ini dibantu. Aku merasakan perbuatan sedemikian agak memalukan.
Aku yakin ramai orang Melayu yang merasa malu dan terhina dengan
tindakan setengah golongan orang Melayu yang sentiasa merayu dan meminta
pertolongan itu. Dalam situasi yang begini seolah-olah kemerdekaan yang kita
capai semenjak setengah abad yang lalu ditafsirkan oleh mereka sebagai satu
zaman memerah kekayaan negara ( yang dikurniakan Allah) untuk kepentingan
mereka, ia itu orang Melayu yang lemah
dari semua segi, yang ‘kerja’ mereka adalah merayu, merintih, agar
diberikan belas kasihan. Golongan Melayu yang sebgini sebenarnya amat memalukan
golongan Melayu yang bekerja keras yang sanggup berhempas pulas untuk
menegakkan maruah Melayu sebagai satu bangsa yang kuat dan dihormati oleh
dunia.
Aku tak tahulah sampai bila agaknya golongan Melayu yang sebegini
mengharapkan ‘tongkat’ untuk hidup.
abuhassanadam
10 November 2013