Saturday, November 2, 2013

KALI PERTAMA MENIKMATI COKLAT 

AKU UCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT DEEPAVALI KEPADA RAKAN-RAKAN PENGANUT AGAMA HINDU.

Menyebut ‘Deepavali’ pastinya mengembalikan kenanganku kepada satu episod dalam sejarah kanak-kanak aku. Wayang Estet. Fakta sejarah yang perlu diketahui juga oleh anak-anak zaman sekarang. ‘Wayang estet’ merupakan satu episod sejarah yang sudah tidak wujud lagi pada masa kini agaknya. Mungkin .....

Pelukis kartun Lat telah menggambarkan mengenai ‘Wayang Estet’  dalam bentuk kartun dalam bukunya ‘The Kampung Boy’.Berulang kali aku melihat buku kartun Lat berkenaan. Puluhan kali, terutama tentang muka surat yang menggambarkan tentang ‘wayang estet’. Setiap kali aku melihat gambar berkenaan pastinya aku akan ketawa bersendirian, mengenangkan watak yang digambarkan oleh Lat itu adalah serupa dengan watak aku dan kawan-kawan semasa kecil ketika menonton ‘Wayang Estet’

Kebiasaannya, pada hari Deepavali, Gapis Estet Padang Rengas akan menayangkan filem-filem Tamil yang ‘hebat’ di kawasan estet. Seingat aku pada setiap bulan akan adalah tayanagan filem di estet berkenaan. Dan pada hari kebesaran orang India, Deepavali contohnya tentulah luar biasa cerita yang ditayangkan. Dan inilah peluang kami anak-anak kampung persekitaran (Kampung Buaia, Paya Panjang, Gapis, Setor, Keroh Hilir, Sungai Ati, Kampung Lalang, Pondok dll) menonton wayang secara percuma.

Tayangan filem berkenaan kebiasaannya di kawasan lapang berhampiran dengan ‘quarters’ penoreh getah yang hampir keseluruhannya terdiri dari orang India. Dengan demikian kebanyakan filem yang ditayangkan adalah filem Tamil. Jarang sekali ditayangkan filem barat atau filem Melayu. ‘Filem Tamil pun filem Tamillah’. Itu falsafah yang dipegang oleh orang kampung ketika itu. Maklumlah pada ketika itu tidak banyak aktiviti hiburan di kawasan ini. Lantas amat dahagakan hiburan.

Kebiasaannya kain putih untuk tayangan filem akan direntang seawal pukul lima petang menandakan bahawa ‘ada’ wayang estet yang akan ditayangkan pada tarikh dan waktu berkenaan. ‘Berita’ tentang wayang estet akan disebarkan melalui mulut ke mulut. Dan setelah terbenam sahaja matahari, mulalah kami ‘berarak’ untuk menuju Gapis Estet – menonton wayang estet. Seronok bukan main rasanya pada ketika itu.

Dalam keadaan ‘open air theater’ itu, di celah-celah pohon kelapa, kami duduk bersimpuh beralaskan daun pisang ‘menikmati’ hiburan yang dihidangkan. Kami tetap ‘terhibur’ walaupun tidak sepatah pun difahami dialog filem berkenaan. Namun kami tetap terhibur disebabkan ketiadaan hiburan bentuk lain yang boleh dinikmati.

Satu lagi episod sejarah kanak-kanak yang aku lalui yang tentunya tidak dapat aku lupakan ialah mengenai kisah Coklat Cadbury. Kisahnya begini. Ramai anak-anak kampung tidak pernah merasa dan menikmati coklat ( walau dari jenama apa sekalipun). Jikalau ada pun ‘benda’ yang menyerupai coklat pada ketika itu adalah dalam bentuk ‘gula hisap’. Gula yang dibekukan dan dibaluti dengan ‘kertas minyak’ yang dijual dengan harga 5 sen atau pun 10 sen. Itulah ‘coklat’ kami pada zaman itu.

Namun begitu aku dan kawan-kawan agak bernasib baik kerana kami mendapat ‘supply’ coklat Cadbury dari satu sumber lain. Tentera British yang menjadi ‘pembekalnya’. Hebat bunyinya. Sebenarnya dengan ikhsan tentera Britishlah kami berpeluang mendapat  ‘bekalan’ coklat berkenaan.

Pada ketika itu jalan raya dari Utara ke Selatan terpaksa melalui pekan Padang Rengas ( pekan aku ler tu ). Tidak ada lagi Lebuhraya Utara –Selatan. Mahu tak mahu sesiapa yang hendak ke Utara atau ke Selatan terpaksa melalui pekan kecil ini. Jalan ini jugalah yang merupakan jalan lalu lintas pasukan tentera British. Kebiasaanya trak tentera British inilah yang sentiasa ‘membekalkan’ kami dengan coklat-coklat berkenaan disamping biskut yang bertulis ‘Made in England’.

Pada hari cuti ataupun pada ketika tidak bersekolah, kami sentiasa bermain-main di tepi jalan raya Utara-Selatan berhampiran dengan pekan Padang Rengas. Tujuannya ialah untuk menunggu trak-trak tentera British yang pastinya akan melemparkan coklat kepada kami yang ‘bersidai’ di tepi-tepi jalan raya berkenaan. Pada kebiasaanya, tidak hampa ‘usaha’ yang kami lakukan itu. Pasti ada ‘rezeki’ yang dikurniakan sekiranya bersabar menunggu.

‘Tugas’nya tidaklah sesusah mana. Kami hanya perlu melambai-lambaikan tangan ke arah trak tentera yang lalu lalang melalui jalan raya berkenaan. Mereka ( orang putih yang baik hati itu ) akan ‘membalasnya’ dengan membalingkan coklat dan biskut ke arah kami. Alangkah bahagia rasanya pada ketika itu apabila dapat menikmati coklat dan biskut yang tidak dapat diperolehi (dibeli) di pekan Padang Rengas.

Itulah caranya anak-anak kampung yang miskin seperi aku untuk dapat menikmati coklat yang berkhasiat pada ketika itu. Mengharapkan iksan tentera British. Berbanding dengan anak-anak kini yang kehidupan yang dilalui oleh mereka amat berbeza sekali dengan kehidupan anak-anak tahun 1950an dulu.

abuhassanadam
2 November 2013


No comments:

Post a Comment