Sunday, November 10, 2013

SAMPAI BILA ORANG MELAYU PERLUKAN ‘TONGKAT’?

SAMPAI BILA ORANG MELAYU PERLUKAN ‘TONGKAT’?

Sampai bilakah agaknya orang Melayu memerlukan pertolongan dan bantuan supaya maju. Sampai bila. Sekiranya orang Melayu terus menerus masih memerlukan ‘tongkat’ untuk berjaya memberikan gambaran bahawa orang Melayu masih mundur dalam serba serbi lapangan. Bermakna bahawa orang Melayu tidak boleh ‘survive’ tanpa pertolongan kerajaan. Bermakna bahawa Dasar Ekonomi Baru itu perlu diteruskan sampai bila-bila sehingga orang Melayu betul-betul maju.

Tentulah sekali lagi dipersoalkan. Sampai bila?

Aku tidak kata orang Melayu tidak hebat. Tidak maju. Orang Melayu sememangnya berkebolehan dan hebat sama seperti orang lain juga. Tetapi disebabkan adanya  golongan Melayu yang lemah yang ‘kerja’nya hanya meminta-minta menyebabkan golongan Melayu yang cekap dan hebat ini merasa diri mereka ‘terhina’ dan terlindung. Dan yang anihnya golongan Melayu lemah ini pula sering mendapat perhatian dari pihak kerajaan. Dimanjakan. Dan merekalah yang ‘bertuah’ dan dapat ‘menikmati’ wang negara secara ‘haram’ yang diperolehi dari titik peluh pembayar cukai di negara ini. Dan golongan ini jugalah yang sentiasa ‘merengek’ dan ‘merayu’ agar orang Melayu ( golongan Melayu yang tidak bermaruah itu ) diberikan pertolongan dan bantuan.

Boleh aku katakan bahawa orang Melayu kebanyakan sememangnya ‘anak jantan’ dalam zaman penjajahan British dulu berbanding dengan keadaan sekarang yang sudah agak ramai juga menjadi ‘lelaki yang betina’. Aku ambil contoh dari segi merebut peluang pendidikan yang diberikan oleh British. Tidak ada Dasar Ekonomi Baru’ yang disediakan oleh British untuk anak-anak Melayu. British ada menyediakan biasiswa kepada anak-anak Melayu yang layak dan berkebolehan. Dan hanya yang memenuhi kelayakan sahajalah yang mendapat biasiswa berkenaan. Tidak ada pilih bulu sepertimana yang diamalkan oleh setengah-setengah pihak kini.

Apakah tidak hebat namanya jikalau anak Melayu pada zaman British boleh menduduki peperiksaan yang sama dengan anak-anak bangsa lain di seluruh dunia. Apakah tidak hebat namanya sekiranya ada anak Melayu ( kampung ) boleh lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge dimana semua mata  pelajarannya mesti dijawab dalam Bahasa Inggeris. Dan yang paling menakjubkan lagi ialah adanya anak Melayu yang mendapat keputusan cemerlang dalam jurusan undang-undang di University Cambridge, England. Tun Sufian Hashim. Dan beliaulah akhirnya diberikan peranan untuk menerajui bidang kehakiman di negara kita. Maka tidak haranlah bidang kehakiman pada ketika itu menyerlah dan disanjung oleh bukan sahaja oleh rakyat di Malaysia tetapi juga dari negara-negara luar.

Orang Melayu masih perlu dibantu dalam bidang pendidikan. Setuju. Persoalannya ialah golongan Melayu yang macam mana yang perlu dihabiskan wang negara untuk membantu mereka. Apakah setelah lebih dari setengah abad negara dibebaskan oleh British, masih ramai orang Melayu memerlukan bantuan pendidikan. Ini menunjukkan ada yang tidak kena di mana-mana yang menyebabkan keadaan terjadi demikian.

Dan melalui pemerhatan aku sememangnya sudah ramai orang Melayu yang berada dan hebat. Elite Middle Class. Walaupun masih ramai juga orang Melayu  di kampung-kampung yang masih miskin. Sepatutnya golongan Melayu (yang miskin) yang sebeginilah yang perlu dibantu dan diberikan pertolongan. Sememangnya ada bantuan yang disalurkan oleh kerajaan menerusi ajensi-ajensi tertentu. Persoalannya sampaikah bantuan-bantuan itu kepada kumpulan sasar. Jawabnya ‘sampai’. Timbul juga persoalan, ‘ berapa peratuskah yang sampai dan berapa peratus yang tercicir di tengah jalan’?.

Hasrat kerajaan untuk mendirikan Sekolah Berasrama Penuh kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara adalah untuk memberikan peluang pendidikan kepada kanak-kanak luar bandar yang kurang bernasib baik. Setuju. Tetapi dari segi pelaksanaannya masih ramai anak-anak golongan berada dari bandar yang ‘menumpang’ belajar di sekolah-sekolah berkenaan.Tidak salah sekiranya kota untuk orang Melayu luar bandar sudah dipenuhi. Tetapi soalnya dengan kemasukan kanak-kanak dari golongan berada itu telah menyebabkan kanan-kanak luar bandar yang berkebolehan terpinggir. Lantas gagallah hasrat kerajaan untuk membantu kanak-kanak luar bandar yang miskin. Dan yang malangnya ada juga Pak Menteri kita yang juga menghantar anak ke sekolah berkenaan ‘mencuri’ kota yang disediakan kepada anak-anak kampung yang miskin.

Tahun 2013, Kurun ke 21, masih terdengar suara sayup-sayup orang Melayu ‘meminta nyawa’ agar mereka diberikan pertolongan. Masih terdengar suara dari atas yang meminta golongan yang ‘kaya’ membantu golongan yang ‘miskin’. Seolah-olah begitu mudah kehidupan yang dilalui oleh golongan Melayu sebegitu yang hidupnya hanya tahu meminta-meminta. Seolah-olah apabila berhadapan dengan kesusahan akan mengadu kepada pihak kerajaan. Dan yang agak malangnya ialah pihak kerajaan yang tidak berfikir panjang terus merayu kepada golongan ‘berada’ agar golongan ini dibantu. Aku merasakan perbuatan sedemikian agak memalukan.

Aku yakin ramai orang Melayu yang merasa malu dan terhina dengan tindakan setengah golongan orang Melayu yang sentiasa merayu dan meminta pertolongan itu. Dalam situasi yang begini seolah-olah kemerdekaan yang kita capai semenjak setengah abad yang lalu ditafsirkan oleh mereka sebagai satu zaman memerah kekayaan negara ( yang dikurniakan Allah) untuk kepentingan mereka, ia itu orang Melayu yang lemah  dari semua segi, yang ‘kerja’ mereka adalah merayu, merintih, agar diberikan belas kasihan. Golongan Melayu yang sebgini sebenarnya amat memalukan golongan Melayu yang bekerja keras yang sanggup berhempas pulas untuk menegakkan maruah Melayu sebagai satu bangsa yang kuat dan dihormati oleh dunia.

Aku tak tahulah sampai bila agaknya golongan Melayu yang sebegini mengharapkan ‘tongkat’ untuk hidup.

abuhassanadam

10 November 2013

3 comments:

  1. Pak cik, lama juga pak cik ni cuti. Artikel2 pak cik sentiasa saya nantikan.

    ReplyDelete
  2. Semoga Beliau dalam lindunggan Nya subhanahu wataala ,amin.

    ReplyDelete