Saturday, November 9, 2013

ORANG MELAYU MASIH DI BELAKANG

ORANG MELAYU MASIH DI BELAKANG

Sejarah telah menunjukkan yang orang Melayu sentiasa ketinggalan dalam mengejar kemajuan dalam negaranya sendiri. Keadaan sebegini yang diibaratkan oleh Aminuddin Baki (pejuang Melayu unggul yang pernah menjadi Penasihat Pelajaran ( Ketua Pengarah Pelajaran) Malaysia, sebagai ‘ayam mati di kepuk padi, itik mati kehausan di air tenang’. Membayangkan kesedihan beliau tentang keadaan orang Melayu yang mundur dalam zaman penjajahan British.

Itu dulu, ia itu pada ketika zaman penjajahan British. Bagaimana halnya dengan keadaan orang Melayu sekarang. Persepsi ini agak berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Bagi aku orang Melayu memang maju berbanding dengan keadaan zaman yang digambarkan oleh Syed Sheikh Al Hadi, Zaaba, Abdul Rahim Kajai, Dato Onn Jaafar, A. Samad ismail, Keris Mas, Usman Awang dll. Tetapi sekiranya dibandingkan orang Melayu (secara keseluruhannya) kini dengan bangsa-bangsa lain seperti Singapura, Indonesia, Thailand maka kedudukan orang Melayu masih ketinggalan dalam arena ‘sepak terajang’ dunia antara bangsa. Mungkin bangsa Melayu di Malaysia kini lebih maju sedikit daripada bangsa Burma. Malah berbanding dengan bangsa Vietnam pun, orang Melayu agak terkebelakang.

Sejarah menunjukkan bahawa orang Melayu sentiasa ketinggalan. Orang Melayu sentiasa ketinggalan dalam mengejar kemajuan. Sentiasa teragak-agak dan mungkin terlalu berhati-hati untuk menerima segala kemajuan yang diperkenalkan. Awal Kurun ke 20, orang Melayu masih ‘tidur’ ketika bangsa-bangsa di dunia sudah mula mengorak langkah memajukan diri. Jangan dibandingkan dengan bangsa Cina dan India yang sememangnya sudah jauh kehadapan dari segi kemajuan berasaskan kepada peradaban yang dilalui oleh kedua-dua bangsa ini.

Ketika berada di bawah penjajahn British, kita cuba disedarkan oleh pemimpin-pemimpn agama kita tentang pentingnya pendidikan kepada anak-anak. Tulisan-tulisan oleh penulis seperti Syed Sheikh Al Hadi dan kemudiannya Zaaba sudah cukup memberikan gambaran tentang usaha mereka itu memajukan orang Melayu. Namun orang Melayu sentiasa memekakkan telinga dan hanya memandang ‘buat tak tahu’ tentang seruan yang disampaikan oleh mereka.

Muncul golongan Islah ( Kaum Muda) yang cuba membawa perubahan kepada cara berfikir orang Melayu. Ada yang terpengaruh dan terikut dengan ajaran yang membawa kemajuan itu. Tetapi ditentang pula oleh Kaum Tua yang masih mahu mempertahankan cara lama. Yang anihnya kebanyakan orang Melayu ketika itu masih berpegang kepada ajaran Kaum Tua yang dianggap masih terkebelakang. Orang Melayu terus ketinggalan juga dalam arus pembangunan.

Tentulah ada sebabnya mengapa orang Melayu masih terus menerus berpaut kepada pemikiran lama dan terkebelakang itu. Tidak perlu dihuraikan sebab-sebabnya. Yang perdipersoalkan mengapa orang Melayu begitu keadaannya. Dan sehingga sekarang pun masih begitu keadaannya. Orang Melayu seolah-olah tidak mahu langsung mendengar penjelasan daripada pihak-pihak yang amat tahu tentang sesuatu keadaan. Orang Melayu seolah-olah dipekakkan telinga mereka apabila ada seruan-seruan dan penjelasan yang berkaitan dengan kemajuan.

Ketika kaum-kaum lain ( Cina dan India) berebut-rebut untuk menghantarkan anak ke sekolah Inggeris pada tahun-tahun 1940an dan 1950an, ada guru-guru agama menyampaikan ‘ajaran’nya di kampung-kampung supaya jangan menghantar anak-anak Melayu (Islam) ke sekolah Inggeris, takut-takut ‘tergelincir’ akidah anak-anak dan terus memeluk agama Kristian. Lagi sekali orang Melayu ketinggalan sedangkan anak-anak kaum lain terus maju merebut peluang belajar di sekolah Inggeris.

Apabila dilihat oleh orang Melayu bahawa pendidikan Inggeris rupanya boleh mengubah cara kehidupan barulah orang Melayu berlumba-lumba menghantarkan anak ke sekolah Inggeris. Bagus lah. Tetapi sudah agak ‘terlambat’.

Tahun 1960an penumpuan kerajaan pada ketika itu adalah kepada lapangan Sains dan Matematik. Maknanya pelajar-pelajar yang lulus dalam aliran sains akan mendapat perhatian yang istemewa dari kerajaan dan swasta dari segi penerimaan sesuatu jawatan. Orang Melayu terkial-kial untuk ‘mengejar’ peluang sedemikian. Tambahan pula, pada ketika itu orang Melayu ‘ditakut-takutkan’ pula dengan slogan-slogan yang mengatakan anak Melayu sememangnya lemah dalam lapangan Matematik dan Sains. Yang peilknya orang Melayu percaya. ‘Termakan’ dengan kata-kata sedemikian. Dan tidak ramai anak Melayu pada ketika itu yang menceburkan diri dalam lapangan Sains. Orang Melayu ketinggalan lagi.

Kini orang Melayu telah sedar. Kononnya!...Aku ingin mempersoalkan dan meminta agar orang Melayu ( termasuk aku ler tu) supaya memikir dan memenungkan apakah kesedaran yang ada pada orang Melayu yang sebenarnya. Sekiranya kita katakan yang orang Melayu telah sedar, apakah kesedaran orang Melayu itu dapat menandingi ‘kesedaran’ yang ada pada orang Cina dan India.

Ini bukan persoalan perkauman. Tidak salah orang Melayu mencemburui kejayaan dan kesedaran orang Cina. Pada aku itu merupakan satu tindakan yang patut di puji. Kita belajar pada mereka yang telah maju dan bukan mendengki dan mahu menjahanamkan kejayaan orang Cina. Apakah ‘ramuan-ramuan’ yang boleh dijadikan ‘ubat’ untuk mengubati orang Melayu yang masih mundur.

Bagi aku orang Melayu perlu menyedarkan diri bahawa orang Melayu sememangnya masih mundur dan perlu diperbaiki untuk maju. Kerajaan perlu bertindak secara PRAKTIKAL bagi memajukan orang Melayu.

Bukan sekadar ‘melepaskan batuk ditangga’.

abuhassanadam

9 November 2013

No comments:

Post a Comment