Monday, November 4, 2013

KOKOK BERDERAI-DERAI, EKOR BERGELUMANG TAHI

KOKOK BERDERAI-DERAI, EKOR BERGELUMANG TAHI

Kebanyakan pemimpin di Malaysia kini adalah seperti mana yang digambarkan oleh peribahasa di atas. Kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi. ‘Peribahasa’ negeri Perak pula mengatakan bahawa cakap saja berdehor-degor tetapi tahi sangkut di gelegor. Begitulah kebanyakannya. Tidak ada perasaan malu. Walau sedikit pun.

Adanya pemimpin sebegini disebabkan rakyat yang tidak kisah dengan pemimpin sedemikan. Ramai rakyat  di Malaysia merasakan ‘tidak apa’ bepempimpinkan begitu. ‘Apa nak buat’. Namun demikian ada juga sebilangan kecil masyarakat di Malaysia yang masih mempersolakan mengenai kredibiliti seseorang pemimpin. Tentang ‘bersih’ tidaknya pemimpin berkenaan. Tentang kehidupan yang dilaluinya. Namun pada kesleuruhannya dapat aku katakan sebahgaian besar rakyat Malaysia tidak langsung mempersoalkan hal-hal yang sebegini.

Mengapa aku berkata begitu?

Yang dipentingkan bagi rakyat kini, ialah ‘WANG’. Semua orang sedar bahawa wang memainkan peranan yang cukup besar dalam kehidupan kita. Namun takkanlah wang itu segalgalanya. Semacam bertuhankan ‘dia’ pulaklah. Wang telah memainkan peranan yang cukup penting dalam zaman ini. Semua orang sedar tentang hakikat ini.Tidak ada siapa yang boleh menafikannya. Sesiapa yang sanggup menafikan kenyataan aku ini akan dianggap sebagai ‘manusia paling bodoh’. Lantas para pemimpin kita, telah menggunakan ‘medium’ ini dengan seluas-luasnya. Ini diakui sendiri oleh Tun Mahathir apabila beliau menyaksikan perebutan jawatan dalam kepimpinan UMNO baru-baru ini yang dilihatnya bahawa poltik wang telah bermaharajalela.

Dengan demikian seolah-olah ‘perkara lain’ tidak diperlukan lagi dalam masyarkat kita untuk memilih seorang pemimpin. Sesiapa sahaja yang ingin menjdai pemimpin, samada di peringkat bawahan atau pun di peringkat atasan, hanya perlu menyediakan wang sebanyak-banyaknya untuk ‘membeli’ undi yang diperlukan. Seseorang yang ingin menjadi pemimpin seolah-olah tidak perlu lagi memiliki nilai-nilai kepimpinan sebagaimana yang dimiliki oleh Nabi Muhammad. Bersikap amanah misalnya.

Pemimpin kini tidak perlu bersikap amanah. Samada anda seorang perasuah yang ‘memakan’ wang ratusan jutaan ringgit wang rakyat ataupun melakukan pecah amanah ( melesapkan wang rakyat yang diamanahkan) tidak perlu diambilkira dalam keadaan masa kini. Di negara kita kini. Yang penting anda hanya perlu memiliki wang yang banyak untuk ‘menutup’ segala mulut yang mungkin mempersoalkan tentang tindakan buruk anda itu.

Masih ada juga pemimpin di negara ini yang masih cuba untuk berlaku adil dan menepati ertikata sebagai seorang pemimpin yang ikhlas. Tidak ramai. Dan pemimpin sedemikian akan ‘diekori’ dan ‘ dihina’ setiap masa dengan berbagai-bagai tuduhan yang tidak munasabah. Apa saja yang dilakukan oleh pemimpin sedemikian akan sentiasa dikritik, dihina, dilemparkan dengan berbagai-bagai tuduhan semata-mata untuk mengabibkan pemimpin sedemikian di mata rakyat.

Dan yang anihnya pula, rakyat pula begitu senang ‘disuapkan’ dengan cerita-cerita buruk yang membabitkan seseorang pemimpin yang cuba membela rakyat, menjelaskan sesuatu kepada rakyat. Menyampaikan sesuatu perkara yang betul dan sahih. Untuk mengelakkan agar rakyat jangan tertipu. Memberikan kesedaran kepada rakyat bahawa rakyat seharusnya berfikir dan dapat menentukan yang mana salah dan yang mana benar.Namun, masih ramai rakyat yang hanya ‘memekakkan’ telinga dengan saranan-saranan yang disampaikan. Mungkin wang juga yang ‘memekakkan’ telinga golongan yang sedemikian.

Kadang-kadang aku terfikir juga bahawa keadaan yang wujud di Malaysia kini, terutamanya yang membabitkan orang Melayu (termasuk aku ler tu ) adalah lebih kurang sama dengan keadaan zaman Jahiliah dahulu. Apa tidaknya. Ada terdapat segolongan pemimpin dalam masyarakat kita yang cuba menjelaskan kepada masyarakat umum tentang sesuatu kepincangan yang dilakukan oleh setengah pemimpin kita. Namun masyarakat terus menerus memekakkan telinga, walaupun apa yang disampaikan itu suatu perkara yang benar dan betul. Lebih kurang sama keadaan sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad yang berusaha untuk menjelaskan tentang kesucian agama Islam kepada golongan masyarakat jahiliah. Terus menerus ditentang.

Sejarah mengatakan bahawa Nabi Muhammad telah disogokkan dengan wang, perempuan cantik dan kadang-kadang dirinya dihina dan dinista semata-mata untuk menghalang agar beliau memberhentikan kegiatannya. Namun Nabi Muahmmad terus menerus menjalankan kegatannya. Semacam sama dengan keadaan di negara kita kini. Di negara kita ada pemimpin yang bertindak sedemikian. Tetapi ada juga pemimpin yang pada mulanya bersungguh benar untuk menegakkan kebenaran tetapi hanya untuk separuh jalan. Mungkin sebelum dapat’ habuan’ yang memuaskan. Tetapi setelah menerima ‘habuan’ yang lumayan, maka hilanglah prinsip perjuangan menegakkan kebenaran.

Aku tidak dapat meramalkan ke mana ‘sudah’nya negara kita  akan ‘dihanyutkan’ oleh rakyat  Malaysia sendiri. Aku tidak juga dapat meramalkan ‘destinasi’nya. Dan yang paling aku bimbangkan ialah sekiranya beginilah sikap rakyat di Malaysia yang tidak langsung peduli dengan sikap pemimpin yang rasuah, dan pecah amanah, maka entah ke manalah ‘hanyut’ negara kita dan tidak mustahil sekiranya kita pun sama-sama ‘menganggotai’ negara-negara seperti Zimbabwe.

Ramai pemimpin yang mempersoalkan tentang hal-hal yang berkaitan dengan agama. Isu Allah, misalnya. Baguslah. Tetapi apabila ‘disuluh’ latarbelakang golongan yang memperkatakan hal-hal yang sebegini didapati kehidupan mereka sememangnya amat bertentangan dengan amalan agama Islam yang dianjurkan oleh agama kita. Dan aku hairan juga apakah mereka tidak merasa malu mempersolakn hal yang berkaitan dengan agama sedangkan kegiatan dan amalan mereka jauh terpesong daripada ajaran dan amalan yang dianjurkan oleh Islam.

Inilah gambaran setengah pemimpin di Malaysia kini -  “ KOKOK BERDERAI-DERAI TETAPI EKOR BERGELUMANG TAHI’

abuhassanadam

4 November 2013

No comments:

Post a Comment