Thursday, November 7, 2013

DS MOHD NAJIB KENA TUNJUKKAN KEPADA RAKYAT ARAH TUJU NEGARA

DS MOHD NAJIB KENA TUNJUKKAN  KEPADA RAKYAT ARAH TUJU NEGARA

Mungkinkah aku tidak dapat memahami ke mana arah tuju negara yang hendak dibawa oleh DS Mohd Najib dan barisan kepemimpinnnya. Sehingga kini aku masih ‘kelam-kelam’ tentang arah tuju negara. Aku masih kabur-kabur semacam aku berjalan dalam keadaan malam ketika bulan ditutup awan yang tebal. Begitulah ibaratnya. Mungkin aku tersilap. Mungkin….

Kadang-kadang aku rasa aku tidak tahu di mana terhentinya negara ini. Semacam aku menonton filem pulak – tidak tahu apa kesudahan ceritanya. Mungkin DS Najib tahu dimana kesudahan ‘cerita’nya kerana beliau yang bertindak sebagai ‘penulis skrip’ dan ‘pengarah’nya. Dia tahu kesudahannya. Tetapi yang menjadi persoalan sekarang ialah para pelakun tidak begitu faham tentang ‘skrip’ yang ditulis oleh DS Najib, lantas tidak dapat menghayati jalan ceritanya.

Aku terpanggil menulis rencana ini selepas melihat temuramah antara MM Lee Kuan Yew dengan Charlie Rose dan antara MM Lee Kuan Yew dengan para wartawan dari akhbar The Straits Times Singapore. Dalam temuramah berkenaan dijelaskannya bagaimana beliau (LKY) memulakan pentadbirannya pada tahun 1959 yang pada ketika itu Singapura berada dalam suatu keadaan yang tidak menyenangkan dari semua segi, samada dari segi politik, ekonomi ataupun sosial. Dan kesan daripada tindakan itu dapat dilihat dan dirasai kemajuan yang telah dicapai oleh Singapura pada hari ini.

Aku tidak susah untuk memahami arah tuju kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammed ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 23 tahun itu. Walaupun ada diantara dasar yang dikemukakannya itu agak mengelirukan rakyat namun berkemungkinan ada hikmah yang terselindung mengapa beliau sengaja berbuat demikian. Antara dasar yang betul-betul ‘mengelirukan’ rakyat pada ketika itu ialah dasar ‘ memutar jarum jam kehadapan ’ dan ‘ memandang ke timur’.

Berbulan-bulan rakyat negara ini membincangkannya, samada di media cetak ataupun media elektronik ataupun di kedai-kedai kopi di kampung-kampung. Mungkin itu tujuan sebenar Tun Dr. Mahathir mengemukakan dasar demikian yang mana antara tujuannya ialah untuk menggalakkan rakyat berfikir. (Dirasakan pada ketika itu bahawa masyarakat Melayu amat kurang membaca lantas digalakkan supaya rajin membaca dan rajin berfikir). Kesannya ialah perbincangan mengenai  dasar ‘memutar jarum jam kehadapan’ dan ‘ memandang ke timur ‘ itu terus menerus diperkatakan ( sampai ke kampung-kampung ) walaupun kadang-kadang amat jauh menyimpang dari hasrat sebenar Tun Mahathir memperkenalkan dasar berkenaan.

Aku mengharapkan kepimpinan DS Najib mengikut jejak sebagaimana yang dilakukan oleh Tun Mahathir. Apatah lagi apabila dikatakan bahawa kepimpinan Tun Abdullah tidak mampu ‘membawa’ negara ini ke tahap yang lebih tinggi. Dan kepada DS Najb diletakkan harapan yang begitu tinggi agar memacu negara ini ke arah sesuatu yang membanggakan. Tentulah harapan rakyat agar pentadbiran yang dipacu oleh DS Najib jauh lebih hebat daripada kepimpinan Tun Mahathir dan Tun Abdullah Badawi. Apatah lagi apabila mengenangkan yang kita sedang berada dalam Kurun ke 21 dan tentunya segala perancangan negara kita juga mestilah bersesuaian dengan kehendak Kurun ke 21.

Aku masih ‘meraba-raba’.

Mungkin aku seorang yang merasakan begitu. Eloklah begitu sekiranya rakyat umum merasakan bahawa DS sedang memacu negara ke arah destinasi sebagaimana yang diharapkan. Cuma aku yang tidak peka.

Walaupun mendapat banyak kritikan mengenai konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh DS Mohd Najib, namun bagi aku ia merupakan satu langkah kehadapan. Walaupun dikatakan yang DS Najib meniru apa yang dilakukan di Israel, namun bagi aku ia merupakan satu tindakan yang agak drastik. Apa salahnya DS Najib memulakan ‘langkah’ awalnya dengan cara yang demikian.

Bagi aku dengan tindakanya yang sedemikian menunjukkan bahawa DS Mohd Najib tahu dan amat faham tentang pentingnya perpaduan dalan negara kita. Aku merasakan bahawa DS Mohd Najib betul-betul faham bahawa perpaduan tiga kaum terbesar
( Melayu, Cina, India) adalah merupakan aset negara yang amat penting dan berharga yang tidak dimiliki oleh kebanyakan negara di dunia. Hanya negara ini yang memiliki tiga kaum terbesar dan boleh dimanfaatkan dalam berbagai bentuk demi kemajuan negara Malaysia. Lantas ( pada fikiran ku ) itulah rasionalnya DS Mohd Najib memperkenalkan konsep 1 Malaysia.

Sayangnya DS Mohd Najib tidak ‘memperdalami’ dan menyebar-luaskan konsep 1 Malaysia. Ada diusahakannya tetapi tidak ‘diuli’ dan ‘dihazam’ dengan secukupnya sehingga menelurkan suatu hasil yang boleh dimanfaatkan demi kemjuan negara. Falsafah konsep 1 Malaysia tidak dapat dihayati oleh ramai rakyat sebagaimana rakyat memahami hasrat Tun Mahathir memperkenalkan konsep ‘Buy British Last’ dan ‘ Memandang ke Timur’nya.

Lebih malang lagi bagi aku ialah apabila konsep 1 Malaysia telah ‘dihancur leburkan’ oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab di negara ini yang ‘ke hulu ke hilir’ mencanangkan tentang kepentingan ‘Melayu’ yang perlu dijaga, seolah-olah tidak memikirkan langsung tentang ‘terguris-tidaknya’ perasaan orang lain yang mendengarnya. Dan yang menyedihkan pulak ialah apabila ada ketikanya DS Mohd Najib juga terikut-ikut dengan rentak pihak tertentu yang kesan akhirnya mungkin akan ‘terkuburnya’ konsep 1 Malaysia itu.

abuhassanadam
7 November 2013


1 comment:

  1. Konsep 1malaysia tu ada lagi ke. Lama tak dengar najib sebut.

    ReplyDelete