Saturday, February 29, 2020

SYABAS SYED!!!


KEMELUT 3

SYABAS SYED!!!

Inilah rupa pemimpin anak muda yang perlu dicari dan diketengahkan dikalangan rakyat Malaysia – anak muda yang mempunyai ketahanan diri dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangannya. Beliau sanggup ‘berkerat rotan dan berpatah arah’ dengan partinya apabila bertelagah prinsip perjuangan dengan TS Muhyiddin Yasin. Kukuh benar nampaknya perjuangan anak muda ini yang masih terus tidak mahu bekerjasama dengan UMNO yang amat terkenal dengan pendukung kerjaaan kleptokrasi terdahulu.

Hujjahnya mengapa beliau bertindak sedemikian agak mantap dan harus dihormati oleh ahli BERSATU khususnya dan rakyat Malaysia umumnya. Biarlah aku kutip kenyataanya dalam Bahasa Inggeris. Sememangnya aku tahu anak muda ini sememangnya fasih berbahasa Inggeris.

         "I became a politician at a time when my country was viewed with disdain by the world and embarrassed by corruption.
"I believed that Malaysians have the right to a better government. One that is free from corruption, respected and with dignity.
"I would like to stress one thing - I will never work with the corrupt. Far from it, I won't form a government with them," Syed Saddiq (photo) said in a video message uploaded on Twitter this morning.
Sebagai orang tua yang kemungkinannya tidak lama lagi berada di pentas dunia ini, aku hulurkan hormatku pada anak muda ini. SYABAS!...

abuhassanadam
29 Februari 2020



KEMENANGAN MEREKA ATAS TIKET MENENTANG KLEPTOKRAT


KEMELUT POLITIK 2

KEMENANGAN MEREKA ATAS TIKET MENENTANG KLEPTOKRAT

            Harus jangan dilupakan bahawa kemenangan Parti  BERSATU  bersama dengan PKR, DAP dan AMANAH dalam PRU 14 dulu adalah atas tiket menentang kleptokrasi atau penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintahan BN yang lepas. Lantas rakyat dengan tidak teragak-agak untuk memberikan sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan dengan harapan mereka akan memberikan perkhidmatan terbaik untuk memulihkan keadaan negara yang semacam sudah tidak dapat dipulihkan semula.

Rupanya betul kata Tun Mahathir yang rakyat mudah lupa. Dan Tun Mahathir sendiri juga mudah lupa. Bukankah telah dipersetujui dan diperakukan bahawa Saudara Anwar Ibrahim akan menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri 8 apabila sampai waktu dan ketika. Kini beliau telah ‘berubah angn’ dengan menyatakan sokongan kepada TS Muhyiddin Yassin.

Bukankah TS Muhyiddin Yassin juga yang bersungguh-sungguh benar menentang penyelwengan yang dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional pada suatu ketika dahulu sehinggakan beliau juga dipecat oleh DS Mohd Najib dan kemudiannya beliau bersama kepimpinan baru membentuk BERSATU. Rakyat memberikan sokongan kepada tokoh-tokoh ini disebabkan kelihatan hasrat mereka mahu betul-betul membenteras penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan. Nampaknya harapan rakyat itu tetap meleset.

Dengan tidak ada segan dan silu, TS Muhyiddin mempelawa semula ‘rakan-rakan lama’ yang sudah kelihatan jelas terlibat dalam berbagai bentuk penyelwengan dan sedang menghadapi pertuduhan. Walaupun disarankan oleh Tun Mahathir agar berhati-hati dalam memilih ‘rakan kongsi’ yang baru, nampaknya TS Muhyiddin ‘tidak mempedulikan’ saranan demikian demi untuk ‘menyelamatkan’ diri yang berkemungkinan akan ‘tenggelam’ ditenggelami oleh ‘ombak’ badai bikinan Saudara Anwar Ibrahim.

Dan tentunya prinsip diketepikan terlebih dahulu untuk menyelamatkan diri. Hasrat rakyat harus dikesampingkan demi untuk mendapatkan sokongan untuk menyelamatkan diri. Itulah antara ciri-ciri kepimpinan yang terdapat di Malaysia kini. Hanya ‘menanam tebu dibibir mulut’ demi untuk ‘menggulai hati dan perasaan rakyat. Malangnya rakyat tidak pula menaruh dendam terhadap sikap yang ditunjukkan oleh para pemimpin sedemikian.

Itu dulu. Mungkin dalam tahun-tahun sebelum 2020. Mungkin landscap politik di Malaysia akan berubah selepas tahun 2020. Para pemimpin harus berhati-hati menghadapai masyarakat Malaysia pos-2020. Rakyat sudah agak muak dengan kerenah yang ditunjukkan oleh ‘orang politik’ yang bersepah di Malaysia kini.

abuhassanadam
29 Februari 2020

Friday, February 28, 2020

KEMELUT POLITIK 1 INI BUKAN KERJA MAIN-MAIN – INI MASALAH NEGARA


KEMELUT POLITIK 1
INI BUKAN KERJA MAIN-MAIN – INI MASALAH NEGARA

            Kadang-kadang kelihatan kemelut yang berlaku kini seolah seperti kerja main-main oleh setengah orang politik. Tidak serious dan tidak langsung menepati hasrat untuk membangunkan negara dan membela rakyat negara ini. Kelihatan yang dipentingkan oleh ahli-ahli politik ini ialah bagaimana untuk mendapat kedudukan dan dapat ‘cari makan’. Itu saja.

            Terlalu banyak ‘surung-sentap’nya ( pinjam loghat Perak) dalam menentukan hala tuju dan matlamat perjuangan masing-masing. Pagi cakap lain dan petang cakap lain. Apa yang dipamerkan oleh kebanyakan ahli politik ialah golongan mereka seolah-olah tidak boleh diharap dan dipercayai. Pegangan mereka ialah dalam politik tidak ada kawan dan lawan. ‘Musuh boleh jadi lawan dan boleh juga jadi kawan pada suatu ketika nanti. Itulah yang merupakan pegangan dan falsafah hidup orang politik.

            Jikalau dulu kita tidak dapat melihat gelagat mereka dengan terang dan jelas tetapi kini bukan sahaja gelagat pemimpin kecil, bawahan tetapi kelihatan jelas ditunjukkan oleh pemimpin atasan. Tidak terfikir oleh kepala benak aku bahawa segala janji-janji manis yang dibuat ketika menghadapi PRU14 dulu boleh dilupa dan dilenyapkan begitu sahaja seolah-olah bukan mereka yang berjanji.

            Telah termetari bahawa setelah kemenangan Pakatan Harapan memenangi PRU 14 maka Tun Mahathir lah akan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Semua setuju yang diiringi gelak ketawa keriangan. Akan diambil alih oleh Saudara Anwar Ibrahim (setelah dibebaskan) dan akan diseraahkan kepada Saudara Anwar. Maka Saudara Anwar terus menerus berpegang pada janji-janji demikian. Bukan tidak terlintas di hati ramai orang yang dapat melihat keletah Tun Mahathir yang seolah-olah tidak mahu melepaskan jawatan itu kepada Saudara Anwar Ibrahim. Bak kata peribahasa Melayu, ‘ sekilas ikan diair sudah diketahui jantan betinanya’. Ramai yang nampak.

            Namun demi untuk menjaga hati dan perasaan rakan dan taulan maka dipendamkan sahajalah syak wasangka demikian seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Kini telah terbukti banyak hal yang dulunya ‘tersimpan’ dalam lubuk hati masing-masingtelah ‘terpancar keluar.

·            Betul rupanya Tun Mahathir mahu terus menerus menjadi Perdana Menteri dan seolah-olah tidak mahu melepaskan jawatan berkenaan kepada Saudara Anwar Ibrahim walaupun kerap kali menyatakan kesediaan untuk menunaikan janji-janji.
·      Tidak pernah terfikir dalam hati kebanyakan yang mendukung Pakatan Harapan (sebelum ini) bahawa TS Muhyiddin Yassin juga berminat untuk mendapatkan jawatan Perdana Menteri walaupun dalam keadaan kesihatannya yang dianggap tidak berapa sesuai.
·      Para pemimpin PAS pula terus berjinak-jinak dengan UMNO dan lantas mengadakan hubungan kerjasama dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Tun Mahathir terutama setelah kerajaan pusat bermurah hati memberikan bantuan kewangan kepada kerajaan Kelantan. Lebih mengembirakan PAS nampaknya setelah dapat menikmati kereta Mercedes baru.
·      Yang paling menghairankan (aku terutamanya) ialah apabila melihatkan Saudara Azmin ‘berkerat rotan dan berpatah arang’ dengan Saudara Anwar Ibrahim, boss lama semenjak awal tahun-tahun 1980an. Aku tak tahu apa puncanya pergaduhan itu tetapi amat menghairankan aku.

            Apakah itu cara berpolitik kini sehingga sanggup mengenepikan nilai-nilai-nilai murni yang dipusakai turun temurun dari datuk nenek kita. Mungkin agaknya kebanyakan ahli politik kini sudah begitu terpengaruh dengan falsafah politik pegangan mereka baahwa dalam politik tidak ada kawan dan lawan.

Agaknya…!

abuhassanadam
28 Februari 2020



Sunday, February 23, 2020

APAKAH SLOGAN 'HALAL DARAHNYA' MENJADI KEBANGGAAN ORANG ISLAM?


APAKAH SLOGAN 'HALAL DARAHNYA' MENJADI KEBANGGAAN ORANG ISLAM?

            Selama mana lagi isu ‘Islam-bukan Islam’ dan ‘Melayu bukan Melayu’ ini hendak ‘ditamatkan’ di negara kita ini. Sehingga kini, tahun 2020 rakyat Malaysia masih ‘bertekak’ ‘bertelagah’ membincangkan isu ‘Melayu bukan Melayu’ dan ‘Islam-bukan Islam’ sedangkan negara lain khususnya negara jiran dengan agak senyap dan ‘tangkas’ terus menerus bergerak maju menyesuaikan diri dengan kedudukan dalam suasana global.

            Jangan ditanyakan tentang Singapura yang telah begitu jauh meninggalkan kita di belakang dari segi pencapaian dalam segenap lapangan. Kita renung saja ke negara Vietnam yang terkenal dengan kemiskinannya pada suatu ketika dahulu dan kini sedang rancak perkembangan ekonomi mereka sedangkan kita masih ditakuk lama. Dan seolah-olah kita berbangga dengan ‘pencapaian’ kita memperagakan tentang isu ‘Melayu bukan Melayu’ dan ‘Islam bukan Islam’

            Bukankah Islam itu menganjurkan persahabatan dan persefahaman berbai-baik antara sesama manusia? Yang menghairankan mengapakah segelintir pemimpin Islam yang berfahaman sempit sentiasa menganjurkan permusuhan antara penganut agama Islam dan bukan Islam dengan slogan-slogan semata-mata untuk memuaskan hati nurani yang mendengarnya. Malangnya ramai pula yang terus menerima ‘ajaran-ajaran’ sedemikian dan yang sentiasa disanjung dan dipuja.

            Sejujurnya dapat aku katakan bahawa sekiranya hendak diukur pencapaian antara orang Melayu dan bukan Melayu dari segi apapun di Malaysia, dapat dikatakan bahawa orang Melayu masih ketinggalan walaupun telah berpuluh tahun negara ini mencapai kemerdekaan. Aku rasa hakikat ini amat disedari oleh pemimpin Melayu yang sentiasa mendabik dada memperjuangkan kemajuan orang Melayu dan kesannya orang Melayu masih berada ditakuk lama. Orang bukan Melayu sentiasa dipersalahkan yang menyebabkan keadaan terjadi sedemikian sedangkan orang lain (bukan saja orang Cina tetapi orang India juga maju kehadapan di Malaysia) terus maju meletakkan diri mereka sejajar dengan perkembangan dunia.

            Bukan tidak ada sejarah orang Islam yang patut dibanggakan tetapi mungkin disebabkan kecetekan ilmu para ustaz dan pengkuliah agama yang bertaburan di surau-surau di Malaysia kini maka fakta sejarah yang menunjukkan kehebatan Islam seolah-oleh ‘tenggelam’ disebabkan kejahilan setengah pemimpin agama yang jahil dan tidak mahu memperdalami ilmu agama Isam ke arah kemajuan. Maka kesannya lahirlah kumpulan masyarakat Melayu yang masih berfikiran kunu dan berada ditakuk lama.

            Aku ingin mengambil petikan berjodol,
            Cordoba, Pusat Peradaban Islam di Eropa
            Ikhsan Al Izyra
            Andalusia yang saat ini masih tercatat sebagai salah satu provinsi yang ada di Spanyol, menyisakan jejak-jejak kejayaan Islam pada masa lalu di Eropa. Salah satu kota yang pernah menjadi pusat kejayaan islam di Eropa adalah kota Cordoba atau Kordoba. Kota yang terletak di Andalusia, Spanyol Selatan ini merupakan tempat tinggal para raja atau khalifah Daulah Umayyah II, yang berkuasa pada waktu itu.
            Secara umum, kebanyakan penduduk Cordoba atau wilayah Andalusia adalah orang-orang arab terhormat dari kawasan Timur yang berhasil menaklukan Andalusia pada waktu itu.
Pada masa pembentukan Daulah Umayyah II di Spanyol, yang dilakukan oleh Abdul al-Rahman I (al-Dakhil), pada tahun 756 M. Cordoba dijadikan sebagai pusat pemerintahannya, dengan mempersiapkan diri untuk melawan para pemberontak yang merupakan kelompok dan suku setempat.
Pasca sukses menumpas para pemberontak yang ingin menghancurkan pemerintahannya, Abdul al-Rahman I kemudian membangun Masjid Agung di Cordoba, yang saat ini terkenal dengan sebutan La-Mezquita.


            Agama Islam tidak ‘lekeh’ dan orang Islam juga tidak lekeh tetapi mungkin disebabkan ‘diperlekehkan’ oleh segelintir pengembang Islam itu sendiri menyebabkan orang Islam itu nampak lekeh. Segelintir umat Islam di negara ini lebih suka dan meminati slogan seperti ‘halal darahnya’ daripada menekankan tentang kemajuan Islam pada Kurun ke 8 yang telah berjaya hampir menakluki seluruh Eropah pada ketika itu. Dan yang pentingnya penduduk Balkan berjaya ditawan oleh Islam dengan cara yang paling ‘halus’ melalui budaya dan bukan dengan slogan ‘halal darahnya’.

            Pada zaman pemerintahan British di Tanah Melayu dulu, tidak semua yang dilakukan oleh British itu buruk belaka. Aku harap pandangan aku silap dan sempit. Aku tunjukkan contohnya. Penjajah British banyak melakukan keburukan dari baiknya. Namun dari segi pendidikan ada juga usaha British yang bertujuan untuk memajukan anak negeri. Sebagai contoh di Kuala Kangsar, bandar diraja. Pada sekitar tahun 1940an dan 1950an ada beberapa sekolah Inggeris didirikan di sekitar Kuala Kangsar. Clifford School, Government English Girsl School (GEGS) (kini dinamakan Sekolah Raja Perempuan Kalsom), Public school. Dan yang ternama ialah Malay College yang khusus untuk anak golongan bangsawan.

            Walaupun didirikan sekolah-sekolah Inggeris berkenaan, namun pada ketika itu guru-guru agama juga seolah-olah begitu bergiat di kampung-kampung menyampaikan ajaran Islam, semacam ‘menghalang’ anak-anak Melayu daripada memasuki sekolah Inggeris yang kononnya akan memeluk agama Kristian akhirnya. Oleh itu sekolah-sekolah Inggeris yang didirikan pada ketika itu ‘dibanjiri’ oleh anak-anak pekedai Cina dan anak India ladang getah yang berada disekitar Kuala Kangsar pada ketika itu sedangkan anak Melayu hanya beberapa ‘kerat’ sahaja yang ‘berani’ ke sekolah Inggeris.

            Salah siapa?

abuhassanadam
23 Februari 2020