Friday, February 28, 2020

KEMELUT POLITIK 1 INI BUKAN KERJA MAIN-MAIN – INI MASALAH NEGARA


KEMELUT POLITIK 1
INI BUKAN KERJA MAIN-MAIN – INI MASALAH NEGARA

            Kadang-kadang kelihatan kemelut yang berlaku kini seolah seperti kerja main-main oleh setengah orang politik. Tidak serious dan tidak langsung menepati hasrat untuk membangunkan negara dan membela rakyat negara ini. Kelihatan yang dipentingkan oleh ahli-ahli politik ini ialah bagaimana untuk mendapat kedudukan dan dapat ‘cari makan’. Itu saja.

            Terlalu banyak ‘surung-sentap’nya ( pinjam loghat Perak) dalam menentukan hala tuju dan matlamat perjuangan masing-masing. Pagi cakap lain dan petang cakap lain. Apa yang dipamerkan oleh kebanyakan ahli politik ialah golongan mereka seolah-olah tidak boleh diharap dan dipercayai. Pegangan mereka ialah dalam politik tidak ada kawan dan lawan. ‘Musuh boleh jadi lawan dan boleh juga jadi kawan pada suatu ketika nanti. Itulah yang merupakan pegangan dan falsafah hidup orang politik.

            Jikalau dulu kita tidak dapat melihat gelagat mereka dengan terang dan jelas tetapi kini bukan sahaja gelagat pemimpin kecil, bawahan tetapi kelihatan jelas ditunjukkan oleh pemimpin atasan. Tidak terfikir oleh kepala benak aku bahawa segala janji-janji manis yang dibuat ketika menghadapi PRU14 dulu boleh dilupa dan dilenyapkan begitu sahaja seolah-olah bukan mereka yang berjanji.

            Telah termetari bahawa setelah kemenangan Pakatan Harapan memenangi PRU 14 maka Tun Mahathir lah akan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Semua setuju yang diiringi gelak ketawa keriangan. Akan diambil alih oleh Saudara Anwar Ibrahim (setelah dibebaskan) dan akan diseraahkan kepada Saudara Anwar. Maka Saudara Anwar terus menerus berpegang pada janji-janji demikian. Bukan tidak terlintas di hati ramai orang yang dapat melihat keletah Tun Mahathir yang seolah-olah tidak mahu melepaskan jawatan itu kepada Saudara Anwar Ibrahim. Bak kata peribahasa Melayu, ‘ sekilas ikan diair sudah diketahui jantan betinanya’. Ramai yang nampak.

            Namun demi untuk menjaga hati dan perasaan rakan dan taulan maka dipendamkan sahajalah syak wasangka demikian seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Kini telah terbukti banyak hal yang dulunya ‘tersimpan’ dalam lubuk hati masing-masingtelah ‘terpancar keluar.

·            Betul rupanya Tun Mahathir mahu terus menerus menjadi Perdana Menteri dan seolah-olah tidak mahu melepaskan jawatan berkenaan kepada Saudara Anwar Ibrahim walaupun kerap kali menyatakan kesediaan untuk menunaikan janji-janji.
·      Tidak pernah terfikir dalam hati kebanyakan yang mendukung Pakatan Harapan (sebelum ini) bahawa TS Muhyiddin Yassin juga berminat untuk mendapatkan jawatan Perdana Menteri walaupun dalam keadaan kesihatannya yang dianggap tidak berapa sesuai.
·      Para pemimpin PAS pula terus berjinak-jinak dengan UMNO dan lantas mengadakan hubungan kerjasama dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Tun Mahathir terutama setelah kerajaan pusat bermurah hati memberikan bantuan kewangan kepada kerajaan Kelantan. Lebih mengembirakan PAS nampaknya setelah dapat menikmati kereta Mercedes baru.
·      Yang paling menghairankan (aku terutamanya) ialah apabila melihatkan Saudara Azmin ‘berkerat rotan dan berpatah arang’ dengan Saudara Anwar Ibrahim, boss lama semenjak awal tahun-tahun 1980an. Aku tak tahu apa puncanya pergaduhan itu tetapi amat menghairankan aku.

            Apakah itu cara berpolitik kini sehingga sanggup mengenepikan nilai-nilai-nilai murni yang dipusakai turun temurun dari datuk nenek kita. Mungkin agaknya kebanyakan ahli politik kini sudah begitu terpengaruh dengan falsafah politik pegangan mereka baahwa dalam politik tidak ada kawan dan lawan.

Agaknya…!

abuhassanadam
28 Februari 2020



1 comment:

  1. If you're looking to lose weight then you certainly have to try this totally brand new personalized keto meal plan.

    To design this keto diet service, licensed nutritionists, personal trainers, and top chefs united to develop keto meal plans that are efficient, convenient, economically-efficient, and enjoyable.

    Since their first launch in early 2019, hundreds of individuals have already transformed their body and health with the benefits a proper keto meal plan can offer.

    Speaking of benefits: clicking this link, you'll discover 8 scientifically-confirmed ones provided by the keto meal plan.

    ReplyDelete