Sunday, February 16, 2020

TUN MAHATHIR: SAYA PEGANG PADA JANJI DS ANWAR: SAYA TUNGGU SELEPAS APEC


 TUN MAHATHIR: SAYA PEGANG PADA JANJI
 DS ANWAR: SAYA TUNGGU SELEPAS APEC


            Dengan sebaris ayat ‘ SAYA PEGANG PADA JANJI’ Tun Mahathir sudah ‘terpukul’ siapa sahaja yang cuba memasuki ‘gelanggang’ untuk memecah-belahkan perpaduan dalam Pakatan Harapan. Ditambah pula dengan pengukuhan yang dibaut oleh DS Anwar bahawa beliau sedia menunggu sehingga selepas persidangan APEC. Daripada kata-kata ini dapat membayangkan kepada kita diplomasi Melayu tulin yang merupakan ungkapan sering dilafazkan oleh pahlawan Melayu bijak ‘berpencak’ bertepatan dengan peribahasa Melayu yang sering diungkapkan ‘seperti menarik rambut dalam tepung’

            Yang amat ketara kelihatannya ialah wujudnya suasana ‘sepi’, sesepinya suara-suara sumbang yang seolah-olah merencanakan ‘perbalahan’ dua tokoh negara Tun M dan Anwar. Golongan ini seolah-olah tergamam dan terkejut dengan kenyataan sedemikian dan ‘terburailah’ segala rancangan untuk menyekat kemaraan DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 8. Mungkin ada ‘Pelan B’ atau ‘Pelan C’ dalam perancangan, namun apa rancangan buruk yang dirancangkan oleh manusia, perancangan dari Allah juga yang menentukan.

            Rakyat Malaysia harus menyedari dan mengimbau pengalaman politik dan pentadbiran yang telah kita lalui menunjukkan hampir keseluruhan percaturannya berlandaskan rundingan. Dimulakan dengan perancangan Tunku Abdul Rahman untuk mendapatkan kemerdekaan di negara ini adalah melalui rundingan dan sebagaimana yang kita ketahui tidak menumpahkan walau setitik darah sekali pun. Berbanding dengan negara-negara Asia Tenggara lain yang pernah dijajah (kecuali Thailand) maka kita mendapatkan kemerdekaan rundingan dan berbaik sangka antara penjajah dengan yang dijajah.

            Peristiwa 13 Mei 1969 hampir-hampir menghancurkan  negara kita ekoran daripada perbalahan kaum yang dahsyat. Namun dengan kebijaksanaan pemimpin kita maka tidak berulang lagi peristiwa sedemikian malah telah dapat menyatukan kaum-kaum di Malaysia semula. Ada terdapat pergeseran kecil antara kaum-kaum di Malaysia, namun akhirnya dapat diselesaikan melalui rundingan. ‘Rundingan’ adalah senjata yang sentiasa dipakai oleh rakyat Malaysia dalam menghadapi saat-saat yang meruncing.

            Lantas berasaskan kepada keadaan dan pengalaman masa lampau, usaha yang dirancang yang akan dilakukan oleh PAS untuk memberikan ‘sokongan’ kepada Perdana Menteri untuk meneruskan kepimpinan sehingga tamat penggal (yang dilihat sebagai usaha untuk menggagalkan kemaraan DS Anwar sebagai Perdana Menteri yang ke 8) adalah merupakan sesuatu yang semacam terkeluar dari amalan orang Malaysia. Tindakan yang dilakukan oleh PAS itu (tidak melalui rundingan yang seharusnya dilakukan) adalah sesuatu yang asing, berbeza dengan budaya yang diamalkan oleh pemimpin Malaysia yang terdahulu.

            Rakyat Malaysia berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU14 yang lalu melalui pilihan raya, suatu amalan demokrasi yang betul-betul diamalkan di negara ini. Bukan mudah untuk menumbangkan sebuah kerajaan yang telah memerintah puluhan tahun dan tak pernah tewas dalam sebarang pilihan raya. Hati rakyat Malaysia sudah betul-betul ‘luka’ dengan tindakan kebanyakan pemimpin kerajaan yang terdahulu dengan kerenah rasuah dan penyelewengan yang berbagai-bagai, namun rakyat Malaysia tetap bersabar dan tidak mengambil tindakan terburu-buru untuk melenyapkan pemerintahan Barisan Nasional. Berpindah tangan juga akhirnya kerajaan yang memerintah ia itu melalui rundingan dan pilihan raya. Tepat peribahasa Melayu yang mengatakan, ‘ sekiranya memukul ular, kayu jangan patah dan tanah tidak lebam’.

            Kini politik Malaysia teruji lagi yang berkaitan dengan isu peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada DS Anwar Ibrahim. Kemelut sebegini berlaku dan menjadi ‘kelam-kabut’ kebiasaannya disebabkan ada pihak tertentu yang berkepentingan untuk menyelamatkan diri. Lantas berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan ‘tengkuk’ mereka dari ‘terjerut’. Namun atas kebijaksanaan kedua pemipin untuk menyelamatkan keadaan, kelihatan ‘langit sudah mulai cerah..’

            “Saya pegang pada janji’ kata Tun Mahathir, kata-kata yang menghiasi muka hadapan Berita Harian 15 Februari 2020. ‘Saya janji akan letak jawatan selepas APEC, itu saya pegang kepada janji saya. Saya tidak terlibat dengan yang lain, cuma janji letak jawatan (dan) akan letak jawatan’.

            Dan Saudara Anwar juga sanggup menunggu sehingga selepas persidangan APEC. Katanya,“Ia (peralihan kuasa Perdana Menteri) akan dimuktamadkan dalam mesyuarat (Majlis Presiden PH) pada 21 Februari ini. Proses peralihan ini untuk kebaikan negara dan perlu dilakukan secara aman serta teratur. Apa yang penting, PH mesti pegang pada keputusan dan perjanjian,” katanya.

            Akhir kalam, kita mendoakan yang terbaik untuk negara kita Malaysia.

abuhassanadam
16 Februari 2020

2 comments:

  1. Hasbunallah wanikmal wakiil nikmal maula wanikmannasiir

    ReplyDelete
  2. Water Hack Burns 2lb of Fat OVERNIGHT

    At least 160 000 women and men are utilizing a simple and secret "liquid hack" to burn 2 lbs each night as they sleep.

    It is effective and it works on everybody.

    Just follow these easy step:

    1) Grab a glass and fill it with water half the way

    2) Then use this awesome hack

    so you'll be 2 lbs skinnier in the morning!

    ReplyDelete