Saturday, February 15, 2020

ANTARA COVID-19 DAN WABAK PENYAKIT DI BRITAIN KURUN KE 19


ANTARA COVID-19 DAN WABAK PENYAKIT DI BRITAIN KURUN KE 19

            Terlebih dahulu kita hulurkan perasaan simpati terhadap mangsa Covid-19 ini yang sedang menyerang negara China khususnya di Wuhan yang menyebabkan kematian yang begitu ramai penduduk China. Perangkaan yang tercatat hari ini (15 Februari 2020) menunjukkan angka kematian seluruh dunia berjumlah 1,526 orang yang meliputi seluruh negara China selain daripada seorang warga China yang meninggal di Filipina, 1 di Hong Kong dan serorang warga emas di Jepun. Jika dilihat dari segi kes-kes yang terlibat pula termasuk 67,102 secara global yang mana 66,492 di tanah besar China. Dan berita yang tentunya mengembirakan ialah tentang seramai 8,141 pesakit yang biasa dipulihkan.

            Ingin rasanya dibuat perbandingan dengan keadaan wabak penyakit yang menimpa Britain pada suatu ketika dahulu iaitu pada Kurun ke 19. Dalam tahun 1840 misalnya seorang daripada lima orang kanak-kanak akan meninggal sebelum menempuh hari lahir pertama mereka dan seorang daripada tiga orang kanak-kanak negara itu meninggal sebelum mereka menjangkau usia lima tahun. Begitu teruk sekali keadaan Britain pada ketika itu yang sering diserang oleh penyakit berjangkit yang amat sukar sekali untuk pulih disebabkan ketiadaan ubatan yang boleh menyembuhkan penyakit.

            Amat menyedihkan pada ketika itu apabila diberitakan bahawa penyakit Smallpox atau Carcar boleh membunuh 60% sehingga 80% pesakit sekiranya terkena jangkitan Carcar. Begitu juga dengan sakit Taun atau Cholera. Pada tahun 1831 seramai 32,000 pesakit Cholera telah meninggal dunia di Britain berbanding dengan peningkatan pada tahun 1848 yang telah menyebabkan 62,000 telah meninggal ia itu satu peningkatan.

            Tidak kurang juga kesan daripda yang dijangkiti Typhoid atau demam Kepialu di Britain pada ketika itu. Dicatatkan bahawa 40% daripada pengidap penyakit berkenaan akan menemui ajal. Begitu juga halnya dengan sesiapa yang terkena TB atau Tuberculosis (Batuk Kering). Pastinya seorang daripada sepuluh rakyat Britain kurun ke 19 akan mendapat penyakit berkenaan. Dan pada tahun 1800, TB merupakan punca kematian seorang daripada empat kematian.

            Yang agak menyedihkan pada ketika itu ialah rakyat Britain tidak mengetahui bahawa punca segala penyakit adalah dari kuman dan pada ketika itu belum ada kajian mendalam tentang punca penyakit dari kuman sehinggakan Putera Albert ia itu suami kepada Queen Victoria sendiri diserang demam Kepialu dan meninggal dunia. Mungkin di situ bermulanya usaha kerajaan British untuk membuat kajian tentang punca berbagai penyakit dan cara mengubatinya.

            Penularan penyakit Covid-19 kini amat memimbangkan tetapi tidaklah sebagaimana bimbangnya masyarakat Britain yang tidak tahu punca penyakit berkenaan dan tidak diketemukan pula cara mengubatinya. Pakar-pakar perubatan negara Cina seolah-olah tenggelam punca juga untuk mengkaji punca merebaknya Covid-19 ini. Berbagai andaian telah dikemukakan namun tidak lagi djumpa punca sebenar penyakit ini merebak dan bagaimana mengubatinya. Percayalah Islam telah menetapkan bahawa tidak ada penyakit yang tidak boleh diubat. Maknanya lambat laun akan terjumpa juga cara mengubatinya. Insyallah.

            Kita tentulah merasa bangga juga dengan kehebatan kakitangan perubatan kita yang sehingga kini telah menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menangani Covid-19 ini. Dilaporkan bahawa sehingga kini (15 Februari 2020) ada terdapat 21 kes positif dan tiga orang pesakit telah sembuh. Sehingga kini harus diberikan pujian juga kepada pihak kerajaan yang begitu perihatin dan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas mereka mengawal agar tidak merebaknya Covid-19.Kepada Allah kita berserah.


abuhassanadam
15 Februari 2020


2 comments: