Wednesday, May 20, 2015

AHLI PARLIMEN TIDAK BERANI BERSUARA MENGENAI ISU IMDB DAN TABUNG HAJI

            Samada dia seorang ahli parlimen atau seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, tugasnya sebagai wakil rakyat adalah untuk mewakil hasrat rakyat yang diwakilinya. Maknanya hadirnya seseorang  itu di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri adalah sebagai ‘duta’ rakyat yang diwakilinya untuk menyampaikan apa saja yang ingin disampaikan oleh rakyat.

            Aku terpanggil untuk menyentuh isu berkaitan disebabkan terdapatnya wakil rakyat kita yang seolah-olah sudah melupai tugas sebenar mereka. Walaupun tidak semua yang bersikap demikian, namun ramai wakil rakyat di negara ini bersikap begitu. Mungkin juga mereka sudah lupa tentang peranan mereka sebagai ‘yang berkhidmat’ disebabkan berbagai ‘kemewahan’ yang diterima setelah dipilih menjadi wakil rakyat. Mereka agak terlupa tentang janji-janji mereka kepada rakyat ketika mereka menjalankan aktiviti berkempen menjelang sesuatu pilihan raya,

            Mungkin agak keterlaluan sekiranya dibandingkan prestasi wakil rakyat (ahli parlimen Malaysia) dengan wakil rakyat di negara --negara maju seperti Amerika Syarikat atau Great Britain. Tentunya jauh panggang dari api. Kita boleh melihat dengan jelas tentang betapa aktifnya para wakil rakyat dalam Parlimen Britain misalnya ketika membahaskan sesuatu isu negara. Boleh kelihatan betapa hebatnya Perdana Menteri mereka menangkis hujah-hujah yang lontarkan oleh ahli parlimen terhadap beberapa isu yang menyentuh negara. Mereka melakukan ‘kerja-rumah’ yang begitu teliti sebelum menghadirkan diri di parlmen agar apa yang diperkatakan oleh mereka boleh memberi sumbangan kepada kemajuan negara. Mereka tidak memperkatakan sesuatu yang boleh mengaib atau memalukan status seorang wakil rakyat sepertimana yang dapat kita lihat berlaku kepada setengah wakil parlimen kita.

            Sebenarnya apa yang dapat dilihat berlaku di parlimen Britain itu sebenarnya sudah pernah berlaku juga di parlimen kita pada tahun-tahun 1960an. Pada ketika itu prestasi ahli parlimen dan kualiti perbincangan di parlimen agak jauh berkualiti berbanding dengan apa yang dapat dilihat pada hari ini. Mungkin…Pada ketika itu, dengan kehadiran wakil-wakil seperti Zulkifli Muhammad (PAS), DR Seenivasagam (PPP) Tan Chee Khoon (Gerakan) sudah cukup ‘memeriahkan’ parlimen Malaysia. Ini ditambah pula dengan kehadiran wakil pihak kerajaan yang betul-betul berkualiti seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail dll.

            Dibandingkan dengan keadaan yang wujud pada hari ini, pastinya ramai rakyat Malaysia yang merasakan bahawa mereka amat ingin melihat kembali suasana parlimen di zaman kegemilangan pada tahun-tahun 1960an sehingga 1990an. Yang agak malangnya ialah sudah terdapat keadaan di mana jawapan soalan  yang diberikan oleh para menteri di parlimen meragukan kesahihannya. Bermakna kenyataan di parlimen pun kini sudah boleh diputar-belitkan. Tentulah rakyat bertanya lagi bahawa sekiranya jawapan parlimen pun boleh diputar-belitkan apatah lagi kenyataan-kenyataan lain….

            Aku ingin memetik satu petikan dari Malaysian Insider bertarikh 20 Mei 2015 berkaitan dengan isu yang diperkatakan ini. “Datuk Seri Najib Razak akhirnya mengaku wang syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibawa pulang daripada Pulau Cayman tidak disimpan di bank di Singapura. Dalam jawapan di Dewan Rakyat hari ini, menteri kewangan itu sebaliknya menjelaskan hanya baki pelaburan ditebus dalam bentuk aset di bank Singapura yang tidak dinamakan”

            Kenyataan DS Najib ini adalah sebagai pembetulan daripada kenyataan yang dibuatnya di parlimen sebelum ini. “The Finance Ministry has corrected its parliamentary written reply in March that said the US$1.1 billion (RM3.97 billion) transferred by 1Malaysia Development Bhd (1MDB) from Cayman Islands to Singapore was in cash” Malaysiakini 20 Mei 2015.

            Yang paling merisau dan membimbangkan kita ialah sikap sambil lewa setengah ahli parlimen ketika membahaskan sesuatu rang undang-undang dan meluluskannnya. Ada terdapat ahli parlimen yang langsung tidak membuat ‘kerja rumah’ dalam persediaannya merangka sesuatu rang undang-undang sedangkan diatas bahu merekalah dipertanggungjawabkan tugas sedemikian. Kadang-kadang diperhatikan bahawa sesuatu rang undang-undang yang diluluskan hanya berdasarkan ‘suara ramai’ atau ‘suara majoriti’. Mereka hanya menjadi Pak turut. Menjadi ‘lalang’ yang ‘melintuk liuk’ mengikut tiupan angin.

            Tetapi yang paling menyedih dan mendukacitakan rakyat ialah kurangnya perhatian yang diberikan oleh ahli parlimen kita berkaitan dengan isu yang kini sedang hangat dibincangkan ia itu mengenai IMDB dan Tabung Haji. Seolah-olah isu IMDB atau Tabung Haji hanya dikhususkan kepada YB Rafizi dan YB Tony Pua sahaja untuk membincangkannya sedangkan ahli parlimen lain terutama wakil parlimen (BN) hanya tahu memberikan sokongan sahaja kepada DS Najib tanpa menyentuh langsung hal-hal yang berkaitan dengan IMDB dan Tabung Haji. Malah TG Haji Hadi sendiri selaku Presiden PAS hanya menyatakan sokongan kepada DS Najib tanpa memberikan sebarang ulasan kepada isu IMDB atau Tabung Haji.

            Apakah wakil-wakil Parlimen yang diberikan mandat oleh rakyat untuk menyatakan hasrat mereka langsung tidak berani bersuara mengenai isu-isu yang langsung menyentuh kehidupan mereka. Jikalau tidak wakil mereka yang berani bersuara, ke mana lagi agaknya rakyat hendak menggantungkan harapan.

            Malangnya nasib bangsaku……

abuhassanadam

20 Mei 2015   

No comments:

Post a Comment