Saturday, May 9, 2015

TABUNG HAJI DAN IMDB – ‘SAMPAI HATI…….’

            Belum pernah lagi perasaan aku sesedih ini apabila mencurahkan perasaan dan bermain dengan kata-kata di atas kertas. Belum pernah. Tetapi kali ini aku hampir menitiskan air mata apabila menulis sambil mengenangkan tentang sampai hatinya ‘pemimpin-pemimpin’ kita (mungkin tidak layak bergelar pemimpin) menghancurkan harapan golongan yang tidak berdaya (orang kampung ) dengan berbagai tindakan dan kerenah yang jauh bertentangan dengan nilai-nilai murni amalan datuk nenek moyang terdahulu.

            Terakhir ialah tentang tindakan golongan ‘bijak pandai’ pengendali  wang Tabung Haji yang sanggup ‘memusnahkan’ harapan penyimpan dengan melakukan tindakan yang kelihatan jelas tidak memikirkan tentang jerih payah dan penat lelah si penyimpan dalam institusi berkenaan. ‘Sampai hati’ mereka ‘mengecewakan’ hati dan perasaan orang kampung yang sentiasa mendoakan agar wang simpanan mereka terselamat supaya dapatlah mereka dengan selesa menunaikan fardhu Haji di Makkah. Harapan dan doa sedemikian seolah-olah ‘dipersetankan’ oleh ‘pejuang-pejuang bangsa dan agama’ di Tabung Haji dan di IMDB

            Tidak berapa lama dahulu para peneroka Felda telah ‘dibuaikan’ dengan kata-kata manis mengenai Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang dikatakan akan mendatangkan keuntungan yang lumayan kepada peneroka Felda, walaupun ada terdapat suara-suara yang meminta agar para peneroka berhati-hati dalam membuat keputusan yang membabitkan mereka. Namun disebabkan pengaruh pihak-pihak keimpimpinan kerajaan disamping ‘propaganda’ yang dijalankan oleh media arus perdana maka tersenarailah FGV di Bursa Saham dengan harga RM 5.39 sen sesaham. Maka terlonjak dan terlolonglah para peneroka FELDA yang tidak tahu akan ‘mainan’ dan ‘sepak-terajang’ pasaran saham. Kini harga sesaham sudah berada disekitar RM 2.00.

            Dibangkitkan isu ini dalam parlimen. Dikatakan punca yang menyebabkan keadaan terjadi begini disebabkan oleh pengurusan yang tidak cekap. Dinafikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang mengatakan bahawa pengurusan Global Ventures Holdings Berhad (FGV) tidak harus dipersalahkan terhadap kejatuhan harga sahamnya. Beliau menyambung dengan mengatakan, “(Sebanyak) 75 peratus perniagaan (FGV) berasaskan komoditi minyak sawit. Apabila harga jatuh, ia akan menjejaskan harga (saham) FGV,” Malaysiakini 23 Disember 2014).

            Kenyataan sedemikian pastinya akan digembar-gemburkan oleh media arus perdana pula. Dan datanglah berbagai-bagai jenis ‘pemimpin’ untuk menjelaskan kepada peneroka Felda tentang keadaan yang ‘menimpa’ dan meminta mereka ‘bersabar’. Dan sebagai orang kampung yang sentiasa ‘baik hati’ dan ‘bersabar’ mereka akan terus bersabar walaupun nilai saham pegangan mereka dalam FGV sudah hanya tinggal separuh. Dan berkemungkinan pihak-pihak tertentu dalam pengurusan sudah ‘lari’ lebih awal dengan menjual saham-saham mereka ketika harga memberangsangkan. Maka tinggallah para peneroka yang tidak berdaya’ terkapai-kapai’ menyelamatkan diri mereka. Sampai hati pihak berwajib memperlakukan begitu kepada golongan yang tidak berdaya.

            Kini dalam hal yang berkaitan dengan pembelian harta IMDB oleh Tabung haji sudah wujud juga para pemimpin negara yang cuba mempertahankan pembelian itu. Malah ada menteri kabinet yang begitu lantang dan angkuh mempertahankan proses jual beli IMDB-TH itu. Seolah-olah mengutuk dan memperlekehkan golongan yang mengecam tindakan Tabung Haji itu dengan menggelarkan golongan ini sebagai badut. Dan yang anihnya Tun Mahathir juga termasuk dalam golongan badut mengikut tafsiran menteri berkenaan.

            Yang menghairankan ialah sampai hatinya menteri demikian mempertahankan tindakan konco-konconya walaupun dirasakan dalam hati kecilnya perbuatan sedemikian adalah salah. Mungkin agaknya demi untuk menjalinkan persahabatan yang berasaskan ‘you scratch my back and I’ll scratch yours’ maka para pemimpin kita sudah melupakan prinsip dan nilai pegangan datuk nenek moyang mereka. Dan yang paling menyedihkan ialah bahawa mereka ‘sampai hati’ mengabai dan ‘melupakan’ golongan yang tertindas di kampung yang keadaan masih dalam keadaan miskin melarat.

            Dalam hal kemelut IMDB-TH dan krisis-krisis lain, rakyat tentunya agak hairan juga tentang peranan wartawan dan penulis. Aku mempersoalkan begitu disebabkan semenjak zaman berzaman bahawa golongan wartawan dan penulis adalah golongan yang tajam pemikiran dan merupakan hati dan telinga masyarakat. Semenjak zaman berzaman nama-nama seperti Keris Mas, Usman Awang, Samad Ismail, Rahim Kajai, Ishak haji Muhammad, Melan Abdullah sentiasa bermain dibibir masyarakat dan disanjung disebabkan ketajaman pemikiran mereka dalam hal mengkritik dan membetulkan keadaan yang dirasakan tidak betul.

            Kini masih wujud golongan yang sedemikian tetapi hanya melalui tulisan-tulisan mereka dalam blog-blog tertentu. Mereka masih berbisa dan memberikan pandangan dan pendapat mereka tanpa ‘segan-silu’. Namun yang menghairankan ialah tentang ‘kesepian’ yang dialami oleh para wartawan media arus perdana samaada media cetak atau media elektronik. Keadaan mereka adalah ‘sepi-sesepi’nya. Pasti mereka tahu tentang apa yang berlaku disekeliling mereka tetapi memperlihatkan bahawa mereka tidak langsung berani untuk ‘menegur dan menasihat’. Menampakkan bahawa mereka sudah tidak langsung berperanan sebagai pemikir yang bebas. Apakah begitu ajaran yang mereka terima ketika mengikuti kursus kewartawanan semasa di kolej?

            Yang paling menyedihkan pula ialah adanya golongan penulis dan wartawan sebegini yang terus menerus menulis dan menyokong apa saja tindakan ‘tuan-tuan’ mereka tanpa mempedulikan samada yang ditulis itu boleh mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat dan bangsa Malaysia. Seolah-olah mereka tidak peduli apa yang berlaku ke atas bangsa dan negara. Yang dipentingkan ialah ‘kebahagiaan’ dan ‘kesenangan’ kehidupan mereka dan keluarga. Mungkin begitu agaknya.

            Atas dasar itulah aku sentiasa mengeluh sendirian. “Sampai hati’…..

abuhassanadam
9 Mei 2015


6 comments:

  1. Amat bersetuju dengan luahan pak abu
    Tabung haji akan berada dihujung tanduk nanti.
    Tiada duit untuk melabur...hutang bertempek2

    ReplyDelete
  2. Slogan "Rakyat didahulukan" memang tepat. Rakyatlah menjadi mangsa yang utama atau didahulukan dalam segala salah laku pentadbiran government of the day. Kes TH rakyat dikenakan, FGV peneroka Felda yang banyak memenangkan UMNO kena kelentong. GST semua rakyat kena.. Apa pula selepas in TPPA..?

    ReplyDelete
  3. Sdr Abu Hassan tak perlu mengeluh'sampai hati' dan kembali melihat isu ini dari kaca mata ' d bigger picture'. Sistem sosial politik yg dibawa oleh UMNO/ Najib malah oleh siapa saja PM dari UMNO adalah sistem bertuhankan kapitalisme, yg mana sistem ini bertahan kukuh selagi rakyat majoriti dipastikan dalam keadaan banggang dan dipastikan mereka selalu sanjung tinggi kepada pemimpin meskipun pemimpin itu sangat licik memanupilasikan agama bagi kepentingan elit pemerintah, itu sebab sedikit agamawan yg berani menegur pemimpin Islam yg cukup korap. Begitu lumayan kes penyelewengan telah dilakukan dan terus berlaku kerana sistem semak dan imbangan dah diikat ketat oleh UMNO. Sistem menindas kaum majoriti dengan maharajalela telah berlarutan dan banyak cerita sedih yg tiada siapa boleh membuangnya kecuali PR kut.Namun ada harapan juga jika PR bangkit kukuh dan berpadu mungkin UMNO sebagai penggendali sistem yang banyak menguntungkan elit ini akan ditalkinkan pada PU14 nanti. Sebelum itu macik2 felda, rakyat kampung yg masih tidur dan staf kerajaan bawahan harus dicelikkan agarmereka ubah mentaliti mereka terhadap UMNO.

    ReplyDelete
  4. Sdr Abu Hassan tak perlu mengeluh'sampai hati' dan kembali melihat isu ini dari kaca mata ' d bigger picture'. Sistem sosial politik yg dibawa oleh UMNO/ Najib malah oleh siapa saja PM dari UMNO adalah sistem bertuhankan kapitalisme, yg mana sistem ini bertahan kukuh selagi rakyat majoriti dipastikan dalam keadaan banggang dan dipastikan mereka selalu sanjung tinggi kepada pemimpin meskipun pemimpin itu sangat licik memanupilasikan agama bagi kepentingan elit pemerintah, itu sebab sedikit agamawan yg berani menegur pemimpin Islam yg cukup korap. Begitu lumayan kes penyelewengan telah dilakukan dan terus berlaku kerana sistem semak dan imbangan dah diikat ketat oleh UMNO. Sistem menindas kaum majoriti dengan maharajalela telah berlarutan dan banyak cerita sedih yg tiada siapa boleh membuangnya kecuali PR kut.Namun ada harapan juga jika PR bangkit kukuh dan berpadu mungkin UMNO sebagai penggendali sistem yang banyak menguntungkan elit ini akan ditalkinkan pada PU14 nanti. Sebelum itu macik2 felda, rakyat kampung yg masih tidur dan staf kerajaan bawahan harus dicelikkan agarmereka ubah mentaliti mereka terhadap UMNO.

    ReplyDelete
  5. Duit Tabung Haji bukan duit saya, tapi saya pun rasa marah....sampai hati

    ReplyDelete