Wednesday, May 6, 2015

‘PENYAKIT’ DI ROMPIN AKAN MENULAR KE PERMATANG PAUH

            Berita ‘kemenangan’ Barisan Nasional di PRK Rompin pastinya bukan berita yang mengembirakan BN. Walaupun menang tetapi dihitung dari segi majoriti yang diperolehi telah berkurangan hampir separuh. Menelurkan berbagai ‘erti’ dan ‘petunjuk’ ekoran daripada keputusan yang agak luar biasa itu memandangkan bahawa kawasan Rompin adalah merupakan kubu kuat BN semenjak zaman berzaman.

            Mungkin Timbalan Perdana Menteri, TS Muhyiddin Yassin telah dapat menduga lebih awal tentang begini jadinya keputusan PRK Rompin ini. Nampak semacam beliau memahami tentang perasaan rakyat yang kurang senang dengan berbagai ‘penyakit’ negara yang sedang dihidapi kini terutama berkaitan dengan pengenalan GST sehinggakan terdapat  percanggahan pendapat antara Timbalan Perdana Menteri dengan YB Hassan Malek berkaitan dengan GST yang mengikut menteri berkenaan boleh dijadikan kayu ukur keputusan PRK di Rompin dan Permatang Pauh. TS Muhyiddin Yassin menyanggah dengan keras saranan demikian. Katanya,"If we win here (Rompin), we can't say the people has endorsed GST, I don't want to be make such interpretation, this is not an accurate interpretation.If you asked this in Permatang Pauh (by-election), there is a different answer, so I don't think this is measure that is accurate," Malaysiakini 4 Mei 2015.

            Dengan jelas menampakkan bahawa TS Muhyiddin Yassin sudah boleh menduga keputusan PRK Rompin yang akan terjadi sebagaimana yang dapat dilihat kini.

            Walau apa pun hujah dan alasan dikemukakan, pada hakikatnya pengundi Rompin sudah mula sedar bahawa sememangnya GST membebankan kehidupan semua orang. Walaupun digunakan alasan bahawa kekurangan majoriti disebabkan oleh peratus yang keluar mengundi adalah berkurangan, namun jangan pula dilupakan hakikat bahawa jumlah pengundi yang diperolehi oleh PAS (Pakatan Rakyat) adalah semacam tidak berubah berbanding dengan jumlah yang diperolehi pada PRU ke 13 yang lalu. Ini bermakna pengundi yang mengundi BN telah ‘lari’.

            Menteri Besar Pahang DS Adenan Yaakub agak realistik memberikan pandangan berkaitan dengan keputusan PRK Rompin ini. Beliau semacam mengatakan bahawa kerajaan harus sedar bahawa telah ada sesuatu yang tidak berapa kena yang menyebabkan keputusan terjadi demikian dan perlulah pihak kerajaan pusat dan negeri melakukan sesuatu demi untuk membaiki keadaan yang agak meruncing ini.

            Apabila ditanya tentang apakah pengundi Rompin cuba menghantar sesuatu mesej kepada Putrajaya dan BN? Mungkin, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Husein.
"Seperti apa yang Menteri Besar Pahang Datuk Adnan Yaakob katakan sebelum ini, keputusan yang kita lihat di sini, mungkin ada sesuatu yang kerajaan perlu ambil kira” Malaysiakini 5 Mei 2015.

            Perlu disedari juga bahawa kawasan Rompin adalah kawasan ‘milik’ Melayu dan peneroka Felda. Dikatakan bahawa terdapat 90% pengundi berketurunan Melayu di sini. Dan kebiasaannya kawasan yang sebeginilah yang menjadi ‘fix deposit’ kepada Barisan Nasional. Kawasan sedemikianlah yang akan memberikan harapan kepada BN untuk memenangi sesuatu pilihan raya samada PRU atau PRK. Tetapi dengan ‘verdict’ yang diberikan di PRK Rompin ini pastinya akan terus memeningkan kepala pemimpin BN yang selama ini menaruh sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada peneroka FELDA.

            Jangan pula dipersalahkan peneroka FELDA dan orang Melayu secara umumnya. Dengan berbagai ‘kerenah’ kerajaan yang berlegar kini, yang ditambah pula dengan kejatuhan harga getah dan kelapa sawit dan berbagai masalah yang dihadapi oleh FGV maka tentunya isu ini amat mudah dieksploitasi oleh pihak parti lawan. Dan sebebarnya isu sedemikian dirasai oleh peneroka sendiri tentang ‘gigitan’nya dan bukan khayalan semata-mata.

            BN agak bernasib baik memperolehi kemenangan sedemikian memandangkan tentang isu-isu negatif yang menyelubungi suasana di Malaysia kini. Pastinya dirasai oleh para perayu undi di Rompin tentang kesukaran yang dihadapi untuk mempengaruhi pengundi di kawasan ini disebabkan tidak ada isu yang memberangsangkan yang boleh meyakinkan pengundi. Berbanding dengan pihak pembangkang yang seolah-olah ‘berpesta’ dengan berbagai-bagai isu yang ‘juicy’ yang boleh diketengahkan oleh mereka. Tambah meyakinkan pengundi lagi ialah hujah dan ‘pertolongan’ yang ‘dihulurkan’ oleh Tun Mahathir sendiri. Walaupun dengan tidak secara langsung tetapi telah memberikan impak yang cukup berkesan.

            ‘Penyakit’ di Rompin akan menular ke Permatang Pauh. Pengundi di Permatang Pauh telah melihat sendiri ‘prestasi’ pengundi di Rompin. Penganalisis politik rata-rata mengatakan bahawa Isu Hudud semacam tidak berperanan mempengaruhi pengundi di Rompin. Justeru tambah meyakinkan pengundi di Permatang Pauh bahawa isu ini juga berkemungkinan tidak dapat mempenagruhi pengundi di Permatang Pauh, mengenangkan kawasan ini adalah merupakan kawasan ‘semi-urban’ dan tentunya isu yang diperkatakan pastinya ‘isu besar’ yang boleh memufliskan negara.

            Serahkan saja kepada kebijaksanaan pengundi Permatang pauh untuk membuat keputusan. Mereka ‘mahir’ dalam sepak-terajang  sebegini.

abuhassanadam
6 Mei 2015  


2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Kamisah,

    Saya masih tidak begitu faham tentang adanya golongan muda di negara ini yang masih tidak dapat membaca apa yang tersirat yang berlaku di negara ini.

    Pak Abu

    ReplyDelete