Thursday, May 21, 2015

MALAYSIA AKAN TERUS KETINGGALAN

            Selepas aku membelek-belek buku baru Kishore Mahbubani berjodol, ‘Can Singapore Survive’, aku pula terpanggil untuk menyoal diri aku. Ke manalah agaknya matlamat akhir negara Malaysia?. Ke manalah agaknya hendak dituju oleh rakyat Malaysia? Apalah agaknya akan terjadi kepada rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu lima puluh tahun akan datang. Apakah negara tercinta ini akan ‘tenggelam’ ditengah-tengah kemajuan negara lain yang sedang berlumba-lumba untuk mengejar kamjuan kurun ke 21.

            Melihatkan keadaan kemelut yang berlaku kini, seolah-olah bangsa kita sahaja yang melakukan sesuatu yang mana  bangsa lain tidak melakukannya. Kita sedang memerhatikan pertikaman lidah antara dua pemimpin besar negara. Antara Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri. Agaknya ini yang dikatakan oleh orang tua-tua dulu,’ gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah’. Dan rakyat terbanyak hanya memerhatikan ‘pertempuran’ ini dan menunggu apakah kesannya.

            Tidak pula tulisan aku kali ini bertujuan untuk mempersoalkan siapa yang betul dan siapa salah. Ibarat kata peribahasa Melayu,’ sudah terang lagi bersuluh’. Cuma yang ingin aku tinjau ialah tentang apakah akan terjadi kepada bangsa Malaysia sekiranya ‘peperangan’ ini berlarutan dan pastinya amat merugikan bangsa Malaysia sendiri. Aku katakan begitu disebabkan terlalu banyak masa terbuang sedangkan rakyat negara lain sedang membina dan memajukan negara masing-masing.

            Rakyat Malaysia harus sedar (bagi yang belum sedar tentang perkembangan ini) tentang kesan jangka panjang ekoran daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh The Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) yang membuat penarafan tentang kedudukan  sekolah-sekolah peringkat global dan meletakkan Malaysia di tangga yang ke 52 daripada 76 sekolah lain. Angka 52 daripada 76. Hampir tercorot. Apalah yang hendak kita banggakan dengan keputusan yang sebegini. Pastinya kita merasa rendah diri yang amat sangat berbanding dengan pencapaian negara yang lebih maju dari kita, terutamanya negara jiran terdekat, Singapura. Maka tentulah berita sedemikian amat membimbangkan siapa sahaja di negara ini.

Apa tidaknya. Sekiranya begitulah kedudukan dan taraf pendidikan di negara kita maka apakah daya dan upaya kita sebagai bangsa Malaysia untuk meletakkan diri kita setaraf dan setanding dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Jangankan kita mahu menandingi negara-negara barat yang sudah jauh dihadapan, dengan negara-negara Asia Tenggara pun kita sudah agak  ketinggalan.

            Lagi-lagi kita ‘mendengar’ kisah Singapura, Hong Kong, Japan, Taiwan yang mengungguli kedudukan teratas dalam senarai kecemerlangan pendidikan.Tentulah kita ‘mencemburui’ mendengar kejayaan mereka dan sepatutnya kita telah mengorak langkah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah di negara kita. Tetapi nampaknya kita hanya ‘bercakap berdegar-degar…….” dan hasilnya belum kelihatan.

            Dan yang menyedihkan pula rakyat Malaysia sentiasa ‘didendangkan’ oleh pemimpin politik negara yang bertanggungjawab tentang hal pendidikan di negara ini bahawa sistem pendidikan di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia. Maka ‘mengangguklah’ Makcik dan Pakcik di kampung-kampung atau di kawasan FELDA (yang hampir 100% didiami oleh orang Melayu) menyetujui apa yang dipantakkan ke telinga mereka. Cerita ‘gembira lagi menyeronokkan’. Kisah ‘kehebatan’ sistem pendidikan Malaysia yang mencapai ‘taraf dunia’ (konon!)

            Setiap tahun pelajar-pelajar kita ‘melompat riang’ kerana mendapat keputusan ‘cemerlang’ dalam peperiksaan awam yang mereka duduki. Mendapat ‘8A’ dalam peperiksaan SPM adalah merupakan perkara biasa, kononnya disebabkan ketinggian mutu pencapaian anak-anak kita. Beratus ribu pelajar kita memasuki pusat pengajian tinggi awam dan swasta dan setelah beberpa tahun berada di ‘menara gading’ maka mereka pun keluarlah dengan ‘menggondol segulung ijazah’.

            Apakah segulung ijazah yang dimiliki itu betul-betul bernilai? Inilah persoalan yang sentiasa diketengahkan oleh majikan-majikan yang sentiasa mempersoalkan tentang kualiti golongan graduan kita yang tidak mencapai tahap yang diperlukan oleh majikan-majikan di negara ini. Ramai para graduan kita yang mendapat kelulusan cemeralng dalam matapelajaran Bahasa Inggeris misalnya, tetapi tidak dapat menulis dengan betul walaupun sebaris ayat menggunakan bahasa Inggeris. Ini merupakan salah satu faktor yang menyebabkan ramai antara anak Melayu yang menganggur dan tidak dapat diterima untuk bekerja di syarikat-syarikat swasta.

            Yang amat menyedihkan kita ialah, jikalau dulu Malaysia merupakan antara negara yang terkehadapan dalam hal penguasaan Bahas Inggeris, maka kini besar kemungkinannya kita telah ketinggalan jauh di belakang berbanding dengan negara-negara seperti Singapura, Taiwan, Hong Kong. Malah besar kemungkinannya kita juga ketinggalan berbanding dengan negara-negara seperti Thailand, Indonesia, Filipina dll.

            Negara China akan menjadi negara nombor satu dunia yang akan diikuti oleh India dalam lapangan ekonomi dan akan meninggalkan Amerika Syarikat tidak berapa lama lagi. Bermakna, berasaskan kepada beberapa petunjuk dan perkembangan yang berlaku telah memberi isyarat bahawa ‘kemajuan’ kurun ke 21 akan berlegar di kawasan Asia. Dan Singapura sudah betul-betul melengkapkan diri mereka menghadapi suasana sedemikian mengikut satu kajian.

            Berasaskan kepada senario berkenaan, ke manalah agaknya negara hendak dibawa oleh para pemimpin kita………

abuhassanadam
21 Mei 2015




No comments:

Post a Comment