EMAK
Terlebih
dulu aku ucapkan ‘Hari Ibu’ kepada ibu-ibu di Malaysia. Dan kepada yang masih
ada ibu aku ucapkan ‘sayangilah ibumu”
Sudah
hampiir sepuluh tahun emak pergi meninggalkan aku dan bapak pula ‘menyusuli’
tiga tahun yang lampau. Terlalu banyak peristiwa berlaku antara aku dan
kedua-dua ibu bapa yang menyebabkan kadang-kadang aku merasakan bahawa mereka
seolah-olah masih berada disamping aku.
Tahun
1953. Umur aku ketika itu baru lapan tahun. Darjah tiga. Hari Raya Aidil Fitri.
Dan bagi budak kampung seperti aku, itulah sahaja hari yang sememangnya
merupakan hari merayakan sesuatu. Pada hari rayalah kami dapat makan lemang
berlaukkan rendang daging atau rendang ayam atau rendang udang. Kecualilah di
majlis khenduri, selain daripada dua hari yang aku sebutkan itu, semacam tidak
dapat budak kampung seperti aku menikmati makanan-makanan yang sedap dan lazat.
Jadi bagi kami sebenarnya hari raya itu betul-betul membahagiakan. Betul-betul
menjamu selera. Dan jikalau diukur dengan keadaan sekarang, maka anak-anak
zaman ini semacam setiap hari merupakan hari raya kepada mereka.
Selesai
sahaja sembahayang sunat Aidil Fitri, aku dan beberapa rakan lain, Ani, Ngah,
Mat, Bahari merancang untuk pergi ke Kuala Kangsar. Tengok wayang. Cerita
Melayu tentunya. Aku lupa nama filem itu. Yang aku ingat lakonan P.Ramlee. Dan
tambang bas untuk ke Kuala Kangsar, duit tiket tengok wayang, perbelanjaan
makan mee di Lembah memang cukup, hasil dari ‘kutipan’ yang kami lakukan
sebelah pagi sebelum pergi sembahayang. Dengan satu ringgit dapt menampung
segala perbelanjaan. Tambang bas pergi balik 30 sen. Tengok wayang 40 sen dan
mee satu pinggan 30 sen. Minum air sejuk. Beres.
Persoalan
yang dihadapi ialah bagaimana aku nak menjelaskan kepada emak. Emak tentu tak
benarkan aku pergi tengok wayang di Kuala Kangsar. Masih kecil lagi katanya.
Bila dah besar baru boleh. Semua ibu-ibu di kampung aku bersikap begitu. Jadi
kami ke Kuala kangsar dengan cara ‘mencuri’ dan ‘ingkar’ ajaran ibu
masing-masing. Kami dah pun bersetuju. “Biar pecah diperut jangan pecah di
mulut’. Itu perjanjian rahsia antara kami.
Jarang
sangat atau hampir tidak pernah aku ingkar atau melawan cakap emak. Apatah lagi
bersikap derhaka kepada ibu. Meninggi suara pun tidak pernak dilakukan.
Kanak-kanak pada zaman itu kebanyakannya patuh kepada ajaran Pak Haji Sulaiman,
guru agama di kampung aku. Mungkin sangat jauh bezanya dengan keadaan zaman ini
yang sentiasa kita dengar tentang anak-anak yang menderhaka kepada ibu bapa
mereka.
Sepanjang
berada dalam panggung wayang, fikiran aku tidak pernah lepas dari memikirkan
tentang emak. Tentu dia tertanya-tanya ke mana aku pergi, fikir aku. Lagi pun
semua orang kampung adalah kenalan belaka. Tentu emak bertanya pada Wan Meriam
(ibu Ngah, Ani, Mat) sepupunya dimana gerangan kami berada. Tentu emak bertanya
Wan Munah, kalau-kalau kelihatan kelibat aku dan rakan-rakan lain. Emak juga
mungkin bertanya Wan Itam (emak Bahari)
tentang di mana kami berada.
Aku
pasti emak mesti buat begitu walaupun emak Ngah, emak Bahari tak buat begitu.
Emak akan tanya dan tanya dan dia akan cari aku sampai dia tahu di mana aku
pergi. Dan aku pulak (biasanya) sentiasa memberitahu emak ke mana aku pergi,
supaya tidak menimbulkan kerisauan pada dia. Emak hanya mahu tahu di mana aku
pergi. Dan tidak pula dia memarahi aku untuk bermain dengan kawan-kawan.
Nasib
baiklah pada ketika itu tidak ada lagi handphone. Kalaulah sudah ada handphone
seperti hari ini pasti emak tahu aku di mana. Aku boleh tutup handphone dan
boleh beri berbagai alasan mengapa handphone tertutup. Namun disebabkan sudah
terlatih supaya jangan menipu atau berbohong dengan emak bapak maka keadaan
sedemikian tentu tidak akan berlaku. Aku rela dipukul kerana melakukan
kesalahan tetapi tidak sanggup untuk berbohong dan menipu emak atau bapak atau
guru-guru yang mengajar.
Ani,
Ngah, Bahari nampak ‘relax’ saja. Mereka tak nampak risau seperti aku. Namun
begitu aku tidak pula memberitahu mereka yang aku amat bimbang kerana tidak
memberitahu ibu tentang pemergian ke Kuala Kangsar itu. Aku pura-pura ‘steady’
tetapi dalam hati macam nak ‘runtuh’. Tak tahu lagi hukuman yang akan diterima
daripada emak nanti. Pasti kena punya ler. Sekurang-kurangnya ranting pohon
Malialam. Kebiasaanya begitulah. Itu pun dirotan dekat kaki. Tak berapa sakit….
Dalam
perjalanan pulang dari panggung wayang, apabila kami sampai sahaja berdekatan
dengan jam besar Kuala kangsar, dari jauh aku ternampak seorang wanita memakai
baju seolah-olah sama seperti baju yang selalu dipakai oleh emak. Aku
perhatikan ‘sebiji’ seperti emak. Hati kecil aku berkata, ‘tak mungkin’. Tapi
melihatkan kepada baju yang dipakai, sah itu baju yang emak selalu pakai. Aku
tahu emak bukannya ada banyak baju. Paling banyak pun tiga helai. Dan baju yang
kelihatan itu adalah baju yang sama seperti baju yang dipakai oleh emak ketika
menghadiri majlis khenduri kahwin di kampung.
Mata
aku tidak menumpu ke tempat lain walaupun Ngah, Ani, Isa memperktakan tentang
cerita wayang yang ditonton sebentar tadi. Aku terus menumpukan perhatian
kepada wanita yang kelihatan seperti emak, yang berjalan bertentangan dengan
arus dengan kami. Semakin lama semakin hampir.
Sah…..
EMAK!!…Aku terkejut beruk. Panik. Cuma aku lihat tidak ada ranting kayu
Malialam ditangannya sebagaimana kebiasaan. Kebetulan di tengah bandar Kuala
Kangsar, mana ada pokok Malialam. Aku tak tahu nak buat apa. Ngah, Ani, Mat
juga panik. Maklumlah emak aku adalah emak saudara mereka juga. Dan emak pun
ada ‘’authority’ untuk merotan mereka. Jadi mereka pun bimbang juga. Suasana
pada ketika itu sepi kecuali bunyi deruan kereta yang lalu lalang berhampiran
dengan jam besar Kuala Kangsar.
Emak
tersenyum. Aku tak berani membalas senyuman emak. Maklumlah. Bermacam perkara
buruk boleh berlaku. Begitu juga kawan-kawan lain. Semuanya diam membisu.
“Mikeme…bila
nak balik?’ Tanya emak.
“
Kami nak balik ler ni” kata Ngah, ‘mewakili’ kami.
“Moh
cepat…” jawab emak.
Yang
menghairankan aku sehingga kini (setelah lima puluh tahun peristiwa itu
berlaku) peristiwa itu masih segar dalam ingatan. Banyak sangat keajaiban yang
berlaku yang terlalu sukar untuk dianalisis. Bagaimana emak tahu aku ke Kuala
Kangsar. Soalan ini agak mudah dijawab. Mungkin ada orang kampung yang memberi
tahu dia. Mungkin ada orang kampung yang nampak kami menaiki bas dekat kedai
Moh Koh di pekan Padang Rengas menuju ke Kuala Kangsar.
Yang
betul ajabib ialah macam mana emak boleh terserampak dengan kami dekat dengan
jam besar Kuala Kangsar itu sedangkan bandar Kuala Kangsar tu agak besar juga
dan pada ketika itu ialah pada hari lebaran. Ramai orang. Ajaib betul…Dan macam
mana pula boleh terdorong emak dan aku berada di jalan yang sama – Jalan
Kangsar.
Seingat
aku emak tak pernah ke Kuala Kangsar keseorangan. Jikalau pun dia ke bandar ini
mesti dengan bapak. Itupun mungkin dua atau tiga tahun sekali. Dunia emak
sentiasa di kampung. Dan aku yakin emak tak tahu selok belok jalan di Kuala
Kangsar. Aku pasti. Tetapi bagaimana emak boleh dapat ‘mencari’ aku di tengah
bandar yang sibuk itu.
Aku
mengambil jalan ringkas untuk memberikan jawapan. Inilah kehendak Allah yang
menghubungkan talian antara ibu dan anak. Ini juga merupakan jelmaan kasih ibu
yang tidak terhingga sehingga sanggup menempuh apa juga rintangan untuk
‘mencari’ anak yang tersayang.
Semoga
Allah mencucuri rahmat ke atas roh ibu dan bapak. Amin….
abuhassanadam
10 Mei 2015
Hari Ibu
No comments:
Post a Comment