Friday, May 1, 2015

KE MANA HILANGNYA ‘SUARA’ GURU

Dua minggu lagi kita akan menyambut ‘Hari Guru’. 16 Mei. ‘Kita’ yang aku maksudkan ialah rakyat Malaysia. Tidak terkecuali. Setiap rakyat mesti melalui proses interakasi dengan manusia yang bernama ‘guru’ atau Cikgu. Lantas ‘guru’ adalah ungkapan murni. Terlalu banyak ilmu, nasihat, panduan yang kita perolehi daripada guru namun bagi aku, yang tidak dapat aku nafikan tentang sumbangan guru yang paling besar ialah bahawa guru tidak pernah mengajar anak muridnya melakukan sesuatu perkara buruk, perkara yang tidak diizin dilakukan oleh masyarakat. Maknanya guru sentiasa mengajar manusia menjadi baik dan menjadi manusia yang berguna.

Aku terpanggil menulis hal yang berkaitan dengan guru ekoran daripada berita yang menyentuh tentang suasana ‘dingin’ yang diberikan oleh para guru terhadap ucapan TS Muhyiddin Yassin yang bukan sahaja Menteri Pelajaran Malaysia tetapi juga sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“It might be due to the rainy weather in Permatang Pauh or it might be due to the time the event was held which was at 3pm, but Deputy Prime Minister Muhyiddin Yassin had a hard time getting a response from a teachers' gathering there today.Muhyiddin, delivering his speech to some 500 educationists at the Pulau Pinang UiTM campus, had to prompt them to clap at least four times during his 40-minute speech” Malaysiakini 30 April 2015

Tentulah aku terfikir pula. Mengapakah keadaan terjadi begini. Sepatutnya para pendidik ini mendengar dan menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang diperkatakan oleh peneraju pendidikan negara ini. Dan tidak mudah para pendidik, khsusnya yang mengajar di kawasan luar Kuala Lumpur untuk mendengar ucapan sedemikian memandangkan Menteri Pendidikan kita sibuk dengan berbagai jadual yang hendak dihadiri apatah lagi program yang terpaksa dihadiri di luar negara, khasnya di UNESCO Paris yang semestinya ditunaikan.

Dan apabila ada PRK yang sebeginilah para guru dapat bertemu muka dan mendengar amanat yang hendak disampaikan oleh para menteri kita. Dan juga apabila ada diperhatikan bahawa ramai para guru yang menguap dan mengantuk dan menunjukkan ‘body language’ yang membayangkan bahawa mereka tidak berminat untuk mendengar ucapan yang sebegitu ‘penting’, menunjukkan telah berlaku sesuatu keadaan yang luar biasa kepada sistem pendidikan negara kita. Apakah apabila timbul keadaan sebegini hanya guru patut dipersalahkan ataupun Menteri Pelajaran yang tidak betul atau pun sistem pendidikan negara kita sudah menjadi ‘kacau-bilau’.

Bukan aku ‘orangnya’ untuk membahaskan isu ini. Tentulah ramai pakar pendidikan yang berada di Kementerian Pendidikan kini yang boleh menerokai, membincangkan tentang ‘apa telah jadi kepada sistem pendidikan negara’. Tentu ramai bijak pandai yang memiliki ijazah Phd yang mampu membincang dan mencari jalan bagaimana untuk mengatasi kelemahan sistem pendidikan negara kita kini.

Yang boleh aku persoalkan ialah tentang ke mana hilangnya ‘suara’ guru kini.

Amat malang bagi negara ini ialah tentang kesepian suara guru khususnya kesatuan/persatuan guru. Sepi sesepinya. Seolah-olah para guru sudah merasakan bahawa golongan guru sudah tidak diperlukan langsung dalam hal membina negara kecuali hanya untuk menumpukan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Dan para guru (termasuklah pegawai di Kementerian Pendidikan) seolah-olah tidak perlu dirujuk apabila sesuatu dasar yang berkaitan dengan pendidikan negara hendak dilaksanakan. Kelihatan semacam begitu.

Sejarah telah mencatatkan tentang kecemerlangan peranan guru dalam menuntut kemerdekaan negara. SITC adalah institusi pendidikan ‘keramat’ yang telah begitu banyak melahirkan pejuang bangsa yang mencurahkan jasa bakti yang bukan kecil dalam melahirkan pemimpin negara. Rakyat Malaysia tentunya tidak akan melupakan peranan Ibrahim Haji Yaakub, seorang guru lepasa SITC yang menubuhkan persatuan politik ulung di Tanah Melayu ia itu Kesatuan Melayu Muda pada tahun 1939, jauh lebih awal daripada tertubuhnya UMNO.

Dan rakyat Malaysia yang perihatin tentunya tidak akan melupakan jasa dan sumbangan Aminuddin Baki ( yang tidak pun mendapat apa-apa gelaran berbanding dengan gelaran yang diberikan kepada artis dan seniman) yang sentiasa ‘menangis’ dan ‘menitiskan’ air mata mengenangkan nasib orang Melayu yang lemah dalam berbagai bidang ketika itu. Kematiannya semaca tidak ‘diratapi’ oleh negara walaupun sumbangannya ‘menggunug’ dalam memajukan orang Melayu. Dan tentulah jasa dan sumbangan Pendeta Za’ba, seorang guru mengatasi segala-galanya.

Seingat aku sehingga pertengahan tahun-tahun 1990an, kesatuan guru-guru ( KGMMB, NUTP, KKGLM/LH, dll) masih bersuara dan suara mereka amat lantang menyuarakan tentang hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan negara. Pihak kerajaan pada  ketika itu sentiasa merujuk kepada kepimpinan kesatuan seperti Cikgu (Dato’) Noordin Mahmud ( KGMMB), Dato Siva Subramaniam (NUTP) apabila sesuatu dasar pendidikan negara hendak diperkenalkan. Dan terdapat kerjasama yang sungguh erat antara Kementerian Pendidikan dan kesatuan-kesatuan guru pada ketika itu.

Kini seolah-olah tidak kedengaran langsung ‘suara’ kesatuan guru di Malaysia dalam menyuarakan hasrat rakyat terutamanya hasrat kaum guru. Seolah-olah juga bahawa pemimpin kesatuan guru sentiasa menjadi ‘tukang angguk’ sahaja tentang apa saja dasar dan keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan. Mungkin aku tersilap..Mungkin.

Namun yang tetap merunsingkan ramai orang ialah tentang ke mana hilangnya ‘suara’ guru.

abuhassanadam

1 Mei 2015

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Kamisah,

    Komen anda kali ini menyebabkan saya tidak terkata.

    Pak Abu

    ReplyDelete