Wednesday, May 13, 2015

ORANG MELAYU MUDAH TERMAKAN DAN TERHUTANG BUDI

Pisang Emas dibawa belayar
            Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh  dibayar
            Hutang budi dibawa mati

            Pantun di atas sudah cukup memberikan gambaran bahawa orang Melayu mementingkan budi. Orang Melayu memang terkenal dengan budi bahasanya. Orang Melayu terkenal dengan sifat yang selalu berbudi. Mungkin tidak ada bangsa di dunia yang boleh ‘menandingi’ bangsa Melayu tentang sikapnya yang ‘berbudi bahasa’. Dan jikalau ingin dipersoalkan apakah ‘kekuatan’ yang ada pada orang Melayu, maka jawapannya juga tentulah tentang ‘budi bahasa’nya.

            “Dicemari’ pula oleh masyarakat kini yang selalu mengatakan, ‘ terhutang budi tergadai body’. Semacam tepat pula ‘peribahasa’  demikian memandangkan tentang terlalu banyak contoh yang boleh diketengahkan untuk menunjukkan ketepatan peribahasa berkenaan. Samada dari segi fakta sejarah ataupun yang berlaku kini jelas menunjukkan bahawa orang Melayu mudah sangat terhutang budi yang menyebabkan ‘tergadai’ segala prinsip perjuangannya samada dari segi politik atau kenegaraan. Yang jelasnya kini ialah ‘budi’ sentiasa ditukar ganti dengan ‘wang’. Antara ‘wang’ dan ’budi’ sudah merupakan barang tukar ganti bagi masyarakat di Malaysia kini.

            Sejarah telah menunjukkan bahawa terlepasnya negeri-negeri Melayu kepada Inggeris adalah berpunca daripada ketelanjuran terhutang budi Raja-Raja zaman dahulu. Inggeris menggunakan tektik sedemikian untuk menguasai sesebuah negeri. Inggeris mengeksploitasi keadaan pergaduhan untuk merebut takhta kerajaan antara dua pencabar (dua putera raja). Kebiasaannya Inggeris akan menyebelahi satu pihak untuk menentang pihak yang lain. Lantas apabila pihak yang mendapat pertolongan Inggeris memenangi takhta berkenaan, maka sebagai ‘membalas budi’ Inggeris, telah membuat perjanjian menyerahkan berbagai konsesi kepada pihak Inggeris. Akibat termakan budi maka tergadailah body.

            Golongan imigran seperti Cina dan India (Chettier) pada zaman penjajahan menggunakan ‘kelemahan’ orang Melayu sedemikian untuk kepentingan mereka. Banyak tanah-tanah orang Melayu terlepas ke tangan orang Cina dan Chettier disebabkan ‘terhutang budi’nya orang Melayu kepada golongan ini. Dengan mudah golongan sedemikian dapat memiliki tanah-tanah milik orang Melayu yang berpunca daripada peristiwa’termakan budi’.

            Berleluasanya perpindahan milik tanah orang Melayu kepada golongan imigran terutamanya kaum Chettiar telah menyebabkan British memperkenalkan dasar ‘Tanah Rizab Melayu’ (Malay Reservation).Sekiranya British tidak bertindak demikian berkemungkinan lebih banyak tanah milik orang Melayu akan berpindah tangan ke tangan golongan bukan Melayu.

            Tentulah banyak sebab lain yang menyebabkan orang Melayu begitu mudah ‘menjualkan’ tanah mereka kepada orang lain dan tidak sahaja terhad kepada perbuatan ‘termakan budi’.

            Sehingga kini perangai ‘orang Melayu mudah termakan  budi’ masih berterusan. Dan tidak pula aku ingin menyatakan bahawa orang Melayu seharusnya tidak mudah mengenang budi. Bukan begitu. Yang merunsingkan kita ialah disebabkan terlalu mudah termakan budi dan ‘mengenang budi’ maka kesan buruknya pula ialah mereka akan ‘tergadai body’. Dan yang paling menyedihkan pula ialah disebabkan ‘telah termakan budi’ maka segala prinsip pegangan dan perjuangan akan terus ‘tergadai’ dan ‘hancur lebur’

            Terlalu banyak kisah-kisah yang berlegar di negara kita kini tentang kisah ‘termakan budi’ yang menyebabkan ‘prinsip perjuangan tergadai’. Tidak perlu aku memperincikan apa yang aku maksudkan. Cuma yang menyedihkan bahawa kadang-kadang hanya dengan sekampit beras dan sehelai kain batik misalnya sudah boleh menyebabkan orang Melayu (khususnya) ‘mengorbankan’ prinsip perjuangannya.

            Keadaan yang menyedihkan sebegini bukan sahaja berlaku dikalangan yang kurang berada tetapi berlaku juga dikalangan pemimpin-pemimpin besar negara. ‘Tanaman budi’ sedemikian agak sudah bermaharajalela. Dalam bahasa yang agak kasarnya ialah kegiatan rasuah dan ‘tumbuk rusuk’ sudah menjadi budaya yang lumrah dalam masyarakat Malaysia kini. Kadang-kadang sudah boleh dilihat sebagai satu budaya masyarakat Malaysia. Seolah-olah sudah tidak ada lagi perasaan malu dan segan bagi pihak-pihak tertentu untuk menerima dan memberi rasuah demi untuk mempermudahkan sesuatu tugas.

            Nampaknya wang ringgit sudah menjadi ‘raja’ yang boleh melakukakan apa sahaja. Dan golongan yang berada sudah merasakan bahawa orang Melayu khususnya terlalu mudah untuk ‘dibeli’ dan amat mudah menggadaikan prinsip perjuangan mereka dengan hanya ‘menabur budi’ yang boleh menyebabkan mereka ‘terhutang budi’ di mana kesan akhirnya ialah akan ‘tergadai body’.

abuhassanadam
13 Mei 2015






No comments:

Post a Comment