Sunday, May 24, 2015

DILEMMA UMNO - TIDAK ADA PEMIMPIN  BERKALIBER

            Rakan-rakan dalam UMNO mungkin tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian tetapi itulah persepsi rakyat terbayak di negara kini. Dan agak keterlaluan sekiranya ada yang menyamakan prestasi kebanyakan pemimpin hanya sebagai jaguh kampung.

            Timbulnya anggapan sedemikian ada lah berpunca daripada sikap rakyat yang sentiasa membanding-bandingkan apa yang berlaku di negara ini dengan negara lain, khususnya negara di Asia Tenggara. Dan kelihatan perkembangan dan kemajuan dari negara lain adalah amat pantas dan cepat sehinggakan menampakkan dengan jelas terkebelakangnya negara kita dari beberapa sudut.

            Telah terbukti bahawa negara kita pernah mencipta kemajuan dalam berbagai bidang. Dan negara kita juga pernah ‘bertakhta’ untuk sekian lama dalam lapangan-lapangan tertentu. Kita ambil contoh dalam lapangan sukan misalnya. Apabila disebut sahaja sukan Badminton, bermakna fikiran penduduk dunia akan terlintas kepada negara Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu. Sehingga 1961, Malaya sentiasa mengungguli sukan demikian sehingga tidak ada negara dunia yang boleh merampas Thomas Cup dari tangan kita.

            Malangnya setelah ditewaskan oleh Indonesia pada tahun 1961, kelihatan Malaysia terpaksa berhempas pulas cuba merebut kembali Thomas Cup dari tangan negara-negara seperti Indonesia, China dan kini kedudukan Malaysia dalam lapangan sukan berkenaan sudah setaraf dengan Korea Selatan dan India.
Begitu juga dengan sukan Bolasepak. Untuk pengetahuan ‘anak-anak’ yang tidak mengetahui kehebatan Malaysia dalam sukan berkenaan, ingin dinyatakan bahawa pernah pada suatu ketika Jepun dan Korea Selatan pernah ditewaskan oleh pasukan Malaysia dan Malaysia pernah menyertai sukan Olympik di Munich pada suatu ketika dahulu. Begitu hebatnya negara Malaysia!!

            Dalam lapangan pendidikan, kedudukan University Malaya adalah antara university yang menduduki tempat setaraf dengan university-university terkemuka dunia. Malah Univeristy Malaya dipandang begitu tinggi oleh masyarakat dunia berbanding dengan university-unveristy dari negara lain. Tetapi malangnya University Malaya kini hanya seolah-olah dipandang ‘sebelah mata’ oleh masyarakat dunia. Dan tidak payah lah dinyatakan tentang ranking university-university awam lain di Malaysia kini. Amat jauh ketinggalannya berbanding dengan university-university yang berada di Singapura, Hong Kong, Jepun, Taiwan dll. Tak payahlah untuk dibandingkan dengan Stanford, Harvard, Oxford, Cambridge dlll.

            Tentulah tidak payah disebutkan satu persatu tentang lapangan-lapangan lain. Hampir keseluruhannya menampakkan trend yang ‘menurun’ dari segi kualiti. Berkemungkinan jika ditinjau dari segi kuantiti, maka negara kita Malaysia boleh berbangga dengan ‘yang paling tinggi’ atau pun ‘ yang paling besar’ atau pun ‘yang paling panjang’ ataupun ‘ yang paling ramai’. Mungkin agak ‘berjaya’ dalam lapangan lain. Dalam ‘Malaysia Book of Records’ kita dipenuhi dengan kisah ‘majlis makan malam yang terbesar’ ‘Jalur Gemilang terpanjang di Great Wall of China’ dll.

            Trend ‘menurun’ ini dapat dilihat bermulanya pada awal Kurun ke 21. Negara kita kelihatan agak terkebelakang disebabkan negara-negara lain begitu rancak memaju dan membangunkan negara mereka. Pada tahun-tahun 1980an dan 1990an menampakkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang boleh ‘berdiri sama tegak’ dengan negara-negara lain di Asia Tenggara. Kita cuba mencontohi apa yang telah dilakukan oleh Jepun dan Korea Selatan dai segi etika kerja yang diamalkan oleh mereka. Dan sedikit sebanyak kita telah berjaya dan kemajuan negara kita telah hampir sama dengan negara-negara lain seperti Hong Kong, Taiwan, Singapura dll. Malah kita juga sudah dianggap sebagai ‘harimau yang baru muncul’ dari segi ekonomi.

            Tetapi malangnya kini kita merasakan diri kita sudah jauh ketinggalan di belakang. Hampir dalam semua lapangan. Kita merasakan begitu ‘rendah diri’ berbanding dengan pencapaian negara lain.  Dan kalau kita ambil kenyataan YB Idris Jusoh, Menteri Pelajaran 11 telah menyatakan sistem pendidikan Malaysia akan menjadi terbaik dalam masa 30 atau 40 tahun lagi. Katanya,’ “In 30 to 40 years we could overcome (Singapore), we could be the best in the world,” Katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat. (Petikan Malaysiakini 21 Mei 2015.

            Maknanya kita terpaksa menunggu 30 atau 40 tahun lagi untuk menikmati kemajuan yang dicapai oleh negara-negara seperti Singapura, Taiwan, Hong Kong. Dan apakah YB Menteri Pelajaran tidak dapat meramalkan bahawa pada ketika itu nanti, sistem pendidikan kita bukan sahaja telah ditewaskan oleh negara-negara maju kini tetapi Malaysia akan berada di tempat tercorot berbanding dengan semua negara di dunia. Mungkin.

            Dan sekiranya begitulah senario yang akan kita tempuhi, maka negara kita akan ketandusan bukan sahaja pemimpin dalam lapangan politik tetapi juga dalam semua lapangan. Dan sekiranya begitulah ‘unjuran’ yang dipaparkan oleh Menter Pendidikan kita, maka seolah-olah rakyat Malaysia akan menempuh zaman yang amat gelap pada hari muka.

            Kini sudah terasa akan kesan kelemahan sistem pendidikan kita berbanding dengan apa yang dicapai oleh negara-negara jiran. Kita sentiasa mendabik dada denga mengatakan bahawa apa yang kita lakukan sentiasa bertaraf dunia, tetapi sebenarnya itu hanya merupakan ‘laungan kosong’ yang hanya untuk ‘mengubati’ hati yang duka lara – menyembunyikan kelemahan yang sedang dialami. Sebenarnya masyarakat kita sedang ‘sakit’ disebabkan ketandusan pemimpin yang berkaliber yang boleh memimpin negara ini dengan berkesan.

            Aku mengharapkan pandangan yang dikemukakan ini salah belaka….

abuhassanadam
24 Mei 2015


No comments:

Post a Comment