Wednesday, May 6, 2015

PENGUNDI PERMATANG PAUH TIDAK AKAN MEMBIARKAN ANWAR IBRAHIM KESEORANGAN

            Mungkin ramai yang tidak tahu dan faham tentang ‘hubungan’ antara Anwar Ibrahim dengan Permatang Pauh. Sebenarnya seolah-olah ada ‘tali’ yang amat halus yang menghubungkan antara Anwar Ibrahim dengan penduduk Permatang Pauh. Dengan sebab itulah langkah Pakatan Rakyat meletakkan Dr Wan Azizah sebagai calon di Permatang Pauh itu adalah tepat sekali. Bukan tidak ada calon yang layak yang boleh menggantikan tempat Wan Azizah, tetapi kebimbangan tetap ada sekiranya orang lain yang menjadi calon.

            Permatang Pauh sudah menjadi ‘milik’ Anwar Ibrahim semenjak tahun 1982. Aku pernah mengatakan bahawa Antara Anwar Ibrahim dengan Permatang Pauh adalah seperti Nelson Mandela dengan kampung Qunu ( tempat kelahirannya dan dikebumikan di situ juga) di Afrika Selatan. Anwar Ibrahim adalah anak jati Permatang Pauh. Dan ke mana sahaja beliau pergi dan berada, nama ‘Permatang Pauh’ tidak akan lekang daripada sebutannya. Menampakkan bahawa antara Anwar Ibrahim dengan Permatang Pauh adalah seperti Aur dengan tebing, seperti isi dengan kuku. Bermakna pengundi Permatang Pauh akan sentiasa diingati dalam masa senang dan dalam masa susah.

            Anwar memenangi kursi parlimen Permatang Pauh pada tahun 1982 dalam usia yang begitu muda, menggunakan tiket Barisan Nasional dan menewaskan calon PAS, Ustaz Zabidi Ali dengan majoriti 14,352. Kursi Permatang Pauh pada ketika itu dipegang oleh PAS dan merupakan kubu kuat PAS pada ketika itu. Dan dalam PRU berkenaan, telah dapat ditawan oleh Anwar Ibrahim. Dikatakan ‘ditawan oleh Anwar Ibrahim’ kerana pengundi lebih memilih Anwar (calonnya) daripada Barisan Nasional.

            Ramai yang tidak menyangkakan bahawa Anwar Ibrahim yang baru sahaja menyertai UMNO pada ketika itu ( hasil pujukan dan pelawaan Dr. Mahathir Mohammed) telah bukan sahaja menewaskan calon PAS tetapi memenangi kursi itu dengan majoriti yang begitu besar sekali. Menandakan bahawa ‘anak’ Permatang Pauh sudah diyakini oleh pengundi di sini boleh melangkah lebih jauh mengharumkan nama Permatang Pauh disamping mengharumkan nama bangsa dan negara.

            Walaupun masih dalam usia yang begitu muda pada ketika itu, nama Anwar Ibrahim sudah menjadi sebutan di seluruh tanah air terutama dikalangan pelajar-pelajar. Penglibatan Anwar Ibrahim dalam kegiatan berpersatuan (ABIM, PKPIM) telah menambahkan lagi ‘kehebatannya’ yang bukan sahaja di dalam negara tetapi telah melebarkan ke medan antarabangsa. Penduduk Permatang Pauh tahu dan mendengar tentang kehebatan ‘anak’ Permatang Pauh ini. Dengan sebab itulah setiap kali pilihan raya diadakan, dan setiap kali Anwar bertanding ataupun Dr Wan Azizah (yang bertanding), mereka tidak akan menghampakan harapan ‘anak Permatang Pauh’ ini.

            Justeru bagi pengundi Permatang Pauh, yang dipentingkan oleh mereka ialah ‘Anwar Ibrahim’ atau ‘isteri Anwar Ibrahim’ atau mungkin apabila kedua-duanya sudah tidak ada nanti, mereka mengharapkan ‘anak Anwar Ibrahim’ atau ‘Cucu Anwar Ibrahim’. Mungkin. Ini merupakan jalinan ‘talian halus’ yang mengikat antara ‘Anwar Ibrahim’ dengan masyarakat Permatang Pauh.

            Dalam PRK kali ini Anwar Ibrahim tidak bertanding. Mereka faham dengan keadaan yang dihadapinya. Mereka faham. Namun simpati mereka kepada Anwar Ibrahim tetap ada dan terus bersemadi di lubuk hati mereka. Semangat untuk ‘membela’ Anwar Ibrahim tetap membara apatah lagi apabila mereka merasakan bahawa apa yang dilalui oleh Anwar Ibrahim (anak kesayangan Permatang Pauh) amat tidak patut menimpa beliau. Lantas perjuangan untuk membela Anwar Ibrahim terus membara dan akan dilakukan oleh mereka dalam bentuk undian yang akan diberikan oleh mereka pada esok hari.

            Perasaan sebegini adalah perasaan orang Melayu yang diwarisi turun temurun. Aku ingin mengulangi cerita lama. Pernah diceritakan dalam sejarah Kesultanan Johor di mana ‘Orang Laut’  tidak memberikan taat setia mereka kepada keturunan Bendahara selepas kemangkatan Sultan Mahmud mangkat dijulang. Walaupun Sultan Mahmud dibunuh oleh Bendahara yang kemudiannya menjadi Sultan di Johor namun ‘Orang Laut’ yang secara tradisinya memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada keturunan Sultan enggan memberikan taat setia kepada Bendahara yang bukan berasal dari keturunan “Bukit Seguntang Mahamiru’

            Itulah perbandingan yang hampir sama yang dapat aku berikan tentang suasana yang ada di Permatang Pauh mengenai hubungan ‘hati dan perasaan’ antara pengundi Permatang pauh dengan Anwar Ibrahim. Semacam mereka tidak mahu ‘renggang’ dengan Saudara Anwar Ibrahim. Tiada “Aur’ tebing akan runtuh dan robohnya ‘tebing’ Aur tidak boleh tumbuh…

            Kesetiaan masyarakat dan pengundi Permatang Pauh kepada keturunan Anwar Ibrahim tidak ada batas dan sempadannnya. Ibarat cubit peha kiri peha kanan pun sakit juga. Mereka telah buktikan kesetiaan mereka dalam beberapa pilihan raya yang lepas dan mereka akan terus buktikan pada pilihan raya kali ini.

            Percayalah…….

abuhassanadam
6 Mei 2015



5 comments:

  1. Harap2 ramalan Pak Abu benar....tapi, sekiranya gagal, impak negatif dijangka sangat besar. Pakatan mungkin huru hara. Saya still optimis, warga Permatang Pauh adalah pengundi2 yang rasional dan bijak

    ReplyDelete
  2. Kamisah,

    Semuanya adalah ketentuan dari Allah.

    Pak Abu

    ReplyDelete
  3. Boikot dari Pas kawasan,pemuda..Pkr still can win dgn majority besar.

    Pas,UG shame with u. Tidak mau sayangi DSAI utk bantu PR menuju Putrajaya..

    ReplyDelete
  4. Timnajib,

    Memerlukan masa untuk seseorang berfikir dan membuat keputusan yang rasional.

    Pak Abu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Muktamar pada bulan Jun nanti, masa yang sesuai.

      Delete