KALAULAH ADA ANWAR IBRAHIM….
Sejarah
mungkin akan berulang. Hanya pisang yang tidak akan berbuah dua kali. Peristiwa
sejarah silam mungkin berulang. Kalaupun tidak sama bentuknya, akan muncul pula
dalam bentuk yang mirip-mirip sama. Teringat pula tentang suatu episod sejarah dalam zaman
kerajaan Melayu Melaka yang perlu direnungi.
Kitab
Sulalat-ap-Salatin (Sejarah Melayu) menceritakan kisah Hang Kasturi
mengamuk ( bukan Hang Jebat sebagaimana
yang ceritakan oleh setengah hikayat) menuntut bela atas kematian Hang Tuah
yang diarah bunuh oleh Sultan Melaka kerana difitnah melakukan perkara sumbang
diistana.
Selanjutnya
kitab ‘Sulalat al-Salatin’ menceritakan,
“
Pada zaman itu Hang Kasturi bukan barang-barang orang. Maka Sultan Mansur Shah
pun mengenang Hang Tuah. Maka titah baginda,’ Sayangnya Si Tuah tiada. Jikalau
Si Tuah ada, dapatlah ia menghapuskan kemaluanku.” Maka Seri Nara Diraja diam
mendengar titah itu. Setelah dua tiga kali raja mengenang Hang Tuah, maka
sembah Seri Nara Diraja, “Tuanku, pada pemandangan patik sangat behena Duli
Yang Dipertuan mengenang Hang Tuah. Jikalau sekiranya ada Hang Tuah hidup,
adakah ampun Yang Dipertuan akan dia?”
Maka
titah Sultan Mansur Syah, ‘ Adapun jikalau ada Si Tuah, jikalau seperti bukit
sekalipun besar dosanya nescaya kita ampun juga. Pada bicara hati kita ada juga
Si Tuah pada Seri Nara al-Diraja”
Saya
terpanggil untuk ‘mempelawa’ para pembaca mengenang kemabli kisah zaman
Kesultanan Melayu Melaka ini ekoran kenyataan Tun Dr. Mahathir dalam blognya
yang menyatakan, “Saya berada dalam keadaan serba
salah. Sebagai ahli UMNO saya hendak BN menang. Tetapi kemenangan akan
mengekalkan kepimpinan Najib dalam PRU 14. Dan saya yakin BN pimpinan Najib
akan kalah PRU 14” Maknanya Tun Mahathir sudah ‘berkerat rotan dan berpatah
arang dengan DS Mohd Najib. Maknanya ‘perbalahan’ antara mereka berdua
seolah-olah sudah tidak dapat dipulihkan semula.
Jadi
Tun Mahathir mahu DS Najib diganti dengan segera. Tidak mudah menggugurkan DS
Najib. Tambahan pula apabila beliau mengatakan bahawa beliau mendapat sokongan
padu daripada ‘suku-sakat’ UMNO di seluruh negara. Itu kata dia. Dan tidak pula
tugas aku untuk mengenalpasti betul tidaknya kenyataan DS Najib itu. Cuma yang
aku difahamkan dengan kenyataan Tun Mahathir ialah bahawa DS Najib perlu
diganti dengan orang lain.
Apabila
dinyatakan bahawa DS Najib perlu diganti, maka perlulah dikenal pasti siapa
yang akan menggantikan beliau. Sebagaimana biasa tentulah Timbalannya ia itu TS
Muhyiddin Yassin. Dalam hal ini juga Tun Mahathir menyatakan kesangsiannya. “"Anda
tahu, saya telah hilang kepercayaan pada orang. Sebelum mereka dilantik, mereka
adalah orang yang paling bersih di dunia," katanya sambil menambah bahawa
apabila mendapatkan kuasa, mereka berkelakuan tidak baik."Jadi, saya tak
tahu," keluh Dr Mahathir ketika ditanya pendapat beliau mengenai Muhyiddin
menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak” (petikan dari
Malaysiakini 4 April 2015)
Oleh itu suasana politik di Malaysia kini
kelihatan akan menjadi bertambah kusut. Rakyat mula tertanya-tanya siapakah
yang paling layak menggantikan DS Najib. Rakyat Malaysia tentunya merasakan
bahwa benarlah dalam UMNO kini amat berkurangan dengan pemimpin yang
berkebolehan, sehingga tidak nampak ‘biji mata’ yang boleh menggantikan tempat
DS Najib. Tentulah suasana sebegini dianggap sebagai peristiwa amat malang
menimpa negara. Negara kita, khususnya dari parti UMNO-BN betul-betul ketandusan pemimpin yang
berkebolehan. ‘Kemarau dan ketandusan’….
Mungkin
dipihak pembangkang khususnya dari Pakatan Rakyat keadaannya tidak begitu. PR dapat
menyediakan calon-calon yang sesuai untuk mengisi jawatan berkenaan. Tentulah
mustahil akan berlaku penggantian PM sekarang diganti dengan pemimpin dari PR
ditinjau dari sudut mengikut proses biasa. Lagipun jikalau ditinjau ‘selera’
Tun Dr. Mahathir beliau awal-awal lagi sudah menolak kehadiran Pakatan Rakyat.
“Saya tidak dapat
terima negara diperintah oleh Pakatan. Dasar-dasar dalam parti-parti dalam
pakatan bertentangan antara satu dengan yang lain. DAP lebih utamakan
kepentingan orang Cina. PAS mendakwa ia bukan Melayu, hanya Islam. Keislaman
PAS hanyalah untuk politik bukan sebenarnya untuk Islam. Sebab itu PAS
mengkafirkan UMNO kerana bekerjasama dengan orang kafir tetapi kemudian PAS
memeluk orang kafir. Parti Keadilan hanya untuk Anwar jadi Perdana Menteri.Jika
Pakatan menjadi Kerajaan, huru-hara akan berlaku. Kemajuan negara akan terjejas
dan rakyat semua kaum akan menderita” (Blog Chedet 11 Mei 2015)
Itu pendapat dan
pandangan Tun Dr. Mahathir. Tetapi mungkin majority rakyat Malaysia tidak
sependapat dengan Tun Mahathir. Dalam suasana sebegini tentulah ramai rakyat
Malaysia yang terfikir untuk menyoal soalan yang agak serupa sepertimana yang
disoal oleh Sultan Mansur Syah kepada Bendahara Seri Nara Diraja. Hanya
terdapat sedikit perbezaan. Masyarakat Malaysia kini pastinya menyoal,’ kalaulah
ada Anwar Ibrahim….’ ataupun kalaulah Anwar Ibrahim berada di luar…”
Aku merasakan bahawa
mungkin itu merupakan satu jalan penyelesaian kepada kemelut yang ada kini.
Mungkin kalangan suku-sakat UMNO begitu ‘allergic’ mendengar nama Saudara Anwar
Ibrahim. Namun sekiranya kita memerlukan seorang pemimpin yang disegani ramai
di dalam negara atau di luar negara maka itulah pilihan yang terbaik buat kita.
Mungkin itulah yang telah ditentukan oleh Tuhan. Manusia hanya merancang dan
Tuhan yang menentukan.
Mungkin juga ada
yang mengatakan bahawa tidak mungkin boleh mengubah keputusan hakim yang telah
menetapkan penjara lima tahun kepada beliau. Namun sekiranya diperhalusi,
tentulah berbagai cara boleh dilakukan demi untuk ‘melepaskan’ Anwar demi untuk
menyelamatkan bangsa dan negara tercinta ini.
Peribahasa Melayu
mengatakan,’ Jikalau hendak seribu daya….”
abuhassanadam
14 Mei 2015
No comments:
Post a Comment