Tuesday, May 19, 2015

ANTARA TUN MAHATHIR DENGAN TS PANDIKAR – SIAPA YANG TIDAK BERCAKAP BETUL?

            Aku ingin mengulang kenyataan Tun Mahathir yang selalu diungkapkannya ia itu, ‘tanya saja…. siapa yang berbohong?’ Tun Mahathir kah atau TS Pandikar kah? Dan tidak sekali-kali aku cuba menuduh yang mana satu berbohong. Cuma bagi aku jikalau salah seorang pemimpin ini bercakap tidak benar maka kesannya amat buruk kepada masyarakat terutama anak-anak di sekolah yang sentiasa dinasihatkan oleh guru dan ibu bapa mereka supaya jangan berbohong. Dan dengan adanya peristiwa malang ini, kini sudah berada di hadapan mata kepala mereka kisah pemimpin negara yang dikatakan sentiasa berbohong.

            Rakyat belum dijelaskan siapa yang sebenarnya berbohong. Tun Mahathir sudah menjelaskan bahawa sememangnya ada TS Pandikar datang berjumpanya dan memberitahu yang beliau akan berhenti. Dan Tun Mahathir seolah-olah amat kecewa apabila TS Pandikar memalukan beliau dengan menafikan yang beliau hendak meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat itu. Rakyat sedang menunggu penjelasan dari TS Pandikar apabila Tun Mahthir semacam menuduh beliau tidak bercakap benar.

            Mungkin anak-anak akan berfikiran bahawa orang tua dan pemimpin negara dibenarkan berbohong sedangkan kanak-kanak dilarang sama sekali untuk berbohong. Mungkin begitu tanggapan mereka. Dan tentunya amat malang sekali sekiranya keadaan betul-betul terjadi demikian.

            Kadang-kadang aku terfikir juga tentang keadaan kebanyakan pemimpin di Malaysia yang sentiasa membelakangkan ajaran dan petunjuk Nabi Muhammad yang sentiasa menekankan tentang amalan amanah dan sentiasa berterus terang dalam tindakannya. Jiakalu ia pun apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad amat sukar untuk dilakukan oleh manusia biasa seperti pemimpin kita di Malaysia, apakah pemimpin kita di negara in tidak boleh mencontohi apa yng dilakukan oleh khalifah-khalifah Islam selepas Nabi Muhammad. Apakah ajaran-ajaran sedemikian hanyauntuk didengar dan bukan untuk diamalkan.

            Dalam satu kenyataannya Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa TS Pandikar Amin Mulia memang menyatakan hasratnya untuk berundur dari jawatan Speaker Dewan Rakyat. “Beliau mengaku (ketika) dia jumpa saya. Saya tak suruh. Dia jumpa saya dia kata tak puas hati dengan kerajaan. Dia kata nanti nak bersidang dia akan beritahu PM nak letak jawatan. ….Dia memalukan saya dengan kata dia tak letak jawatan. Sedangkan dia jumpa saya. Saya tak suruh dia datang jumpa pun. Dia kata dah bagi surat pada Najib. Saya cuma ulang apa dia kata. Dia kata saya ni macam bohong. Malulah saya," kata Tun Mahathir.

            Kelihatan semacam perbuatan tidak bercakap betul dikalangan pemimpin sudah menjadi satu budaya baru dikalangan pemimpin di Malaysia. Bukan sahaja dikalangan para pemimpin tetapi dikalangan masyarakat biasa sudah menjadi perkara biasa.
Aku tidak mengatakan semua pemimpin negara sentiasa tidak bercakap betul. Aku tak kata begitu. Tetapi apa yang dapat aku perhatikan semacam sudah ramai yang tidak mahu bercakap betul. Dalam bahasa kasarnya ‘BERBOHONG!’. Dalam bahasa yang agak terhormat ialah,’ tidak bercakap betul’.

Siakap, Senohong, Gelama ikan Duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri.

            Ajaran guru dan emak bapa ketika masih kecil semacam seperti ‘mencurahkan air di daun keladi’. Sudah tidak diendahkan langsung oleh generasi kini. Berbohong dan menipu sudah merupakan kegiatan yang seolah-olah ‘dihalalkan’ dalam kehidupan masyarakat di Malaysia kini. Dan kegiatan ini dilakukan ‘bermulanya’ daripada tindakan setengah pemimpin yang dilihat suka berbohong dan tidak bercakap betul.

            Dan nampak semacam tepat dan bersesuaian  pula kata-kata guru dan ibu bapa kita bahawa  sekiranya selalu bercakap bohong besar kemungkinan akan menjadi ‘pencuri’. Aku tidak dapat pastikan samada ungkapan sedemikian boleh dikaitkan dengan perkara-perkara yang berlaku dalam IMDB atau kes Tabung Haji atau kes-kes lain yang melibatkan ‘penyelewengan’ jutaan ringgit.

            Kegiatan tidak bercakap betul atau berdolak-dalik ini sudah semacam menular di Parlimen. Kenyataan setengah menteri di parlimen sudah mula dipersoalkan tentang salah-sahihnya. Rakyat kurun ke 21 bukan lagi senang untuk ditipu sepertimana rakyat Malaysia yang tinggal dalam tahun-tahun 1960an dan 1970an dimana sumber maklumat adalah amat terhad. Kini sumber maklumat hanya berada di hujung jari dan boleh diperolehi dengan senang. Oleh itu kadang-kadang rakyat lebih tahu apa yang berlaku berbanding dengan pemimpin kita yang sentiasa mengharapkan kepada pembantu mereka untuk memberikan sebarang maklumat kepada mereka.

            Yang ‘menakjubkan’ juga ialah sampai kepada isu yang berkaitan dengan agama pun, ramai pemimpin kita yang tidak mahu bercakap betul atau sentiasa ‘berdolak-dalik’. Jelas kelihatan kadang-kadang bahawa pertimbangan politik mengatasi pertimbangan keagamaaan. Mereka tidak segan silu menyatakan sesuatu yang agak bertentangan dengan prinsip keagamaan. Ada pula pihak tertentu yang sentiasa menggunakan prinsip agama demi untuk meyakinkan masyarakat tentang hujah-hujah mereka.

Rakyat tahu ada setengah pemimpin kita berbohong berdasarkan maklumat yang diperolehinya. Dan telah terbukti bahawa ada juga antara menteri kita ketika memberikan jawapan di parlimen, memperlihatkan percanggahah fakta. Dalam bahasa hari ini dikatakan ‘flip-flop’. Rakyat tahu seseorang menteri itu tidak bercakap betul beradasrkan jawapan yang agak ‘longar’ yang disampaikan.

            Apakah sistem pendidikan kita di sekolah sudah tidak lagi menekankan tentang nilai-nila murni yang harus diamalkan oleh pelajar-pelajar? Apakah disebabkan terlalu bersikap ‘materialistik’ dan menekankan tentang kepentingan sains dan teknologi lalu melupakan dan mengabaikan terus penerapan nilai murni dikalangan anak-anak kita yang kesannya membawa kepada kemunculan pemimpin-pemimpin yang bersikap sedemikian juga.

Apakah begitu?

abuhassanadam
19 Mei 2015


No comments:

Post a Comment