MR ANG CHUI PEK – “G-A-R-D-E-N”
Tentulah
aku merasakan amat bersalah sekiranya aku membiarkan ‘Hari Guru’ terlepas
begitu sahaja tanpa ‘menghormati’nya dengan apa cara sekalipun. Dan
kebiasaannya aku akan mengingati dan mencoretkan tentang kisah guru-guru yang
pernah mengajar aku ketika di sekolah rendah, sekolah menengah, malah sampai ke
peringkat university aku tentunya tidak akan meluapakan jasa guru-guru yang
pernah mnegajar aku.
Hendak rasanya aku menulis ‘kisah’ semua guru-guru
yang pernah ‘berdamping’ dengan aku, tetapi apakan daya ruangan yang agak
terhad. Dan terpaksalah aku membuat pilihan untuk memaparkan kisah-kisah aku
bersama dengan ‘cikgu-cikgu’ yang pernah mewarnai hidup aku pada masa lampau.
Cikgu Samad Kulup Seman
Telah
banyak kali aku ceritakan tentang Cikgu Samad. Aku tak dapat melupakan beliau
walaupun sudah lama beliau ‘pergi’. Dia mengajar aku ketika dalam Darjah 3
Sekolah Melayu Padang Rengas.Banyak sangat peristiwa yang tidak dapat aku
lupakan mengenai Cikgu Samad. Namun antara beberapa kenangan yang mengusik jiwa
ialah hadiah yang diberikan oleh Cikgu Samad ketika aku mengungguli peperiksaan
Darjah3. Aku dihadiahkan oleh Cikgu Samad dengan tiga buah buku tulis yang
berharga 10 sen setiap satu. Masih ada lagi hadiah tersebut dalam simpanan aku
dengan tulisan tangan cikgu Samad berserta dengan tandatanganya sekali. (
Didoakan roh cikgu diletakkan dikalangan orang-orang yang beriman)
Cikgu Yunus Shamsuddin
Beliau
menjadi guru Darjah 2. Aku ‘meminati’ Cikgu Yunus kerana kekemasan pakaiannya
dan sisir rambutnya ala ‘P.Ramlee’. Tulisan Cikgu Yunus cantik sekali yang
menyebabkan aku terpengaruh untuk mencontohi tulisan Cikgu Yunus. Peristiwa
yang tidak dapat aku lupakan ialah apabila Cikgu Yunus mencubit perut aku
disebabkan aku terlupa membawa buku sifir ke sekolah. ‘Kesakitan’ itu masih
terasa hingga sekarang. Namun sumbangan Cikgu Yunus dalam mewarnai kehidupanku
sangat sukar dilupakan.
Pak Haji Sulaiman
Yang
‘mencelikkan’ aku dalam hal berkaitan dengan agama. Seingat aku tujuh tahun aku
belajar agama dengan Pak Haji Sulaiman. Aku tamat membaca Quran tiga puluh
Juzuk namun aku tidak dapat mengingati isi pelajaran yang aku pelajar dari Pak
Haji Sulaiman selain daripada menghafal Sifat 20, Rukun Islam, Rukun Iman,
Rukun Sembahayang dan beberpa perkara basic yang lain.Pendek kata Pak Haji
Sulaiman boleh dikatakan sebagai pelita yang memberikan cahaya kepada aku dari
segi kehidupan beragama.
Mr Muthusamy
Guru
aku ketika aku di SMC 2 (Special Malay Class 2). Banyak sumbangannya dalam
mewarnai kehidupan aku. Namun yang paling aku ingati ialah kebolehannya
bercerita. Terus terang aku katakan bahawa aku memintai kisah Robin Hood
(sehingga sekarang) adalah disebabkan oleh Mr. Muthusamy. Apabila beliau
menceritakan tentang Robin Hood dengan rakan-rakan di Sherwood Forest semacam
kita berada bersama-sama dengan Little John, Friar Tuck, Maid Marrion. Begitu
hebat sekali penceritaannya. Dan kesan pengajarannya terhdap diri aku ialah
telah beberapa kali aku melawat Sherwood Forest di Nortingham di England.
Setiap kali aku berada disitu maka aku akan teringat kepada Mr. Muthusamy.
Mr. Ang Chui Pek
Ada
tiga orang guru yang mengajar di Government English School Padang Assam, Kuala
Kangsar, Perak. Mr Ang Chui Pek adalah sebagai Guru Besar disamping dua orang
guru penolong ia itu Mr. Muthusamy, Mr. Lee Siew Wah (1955). Antara peristiwa
yang tidak dapat aku lupakan ialah tentang Mr Ang Chui Pek menyebut perkataan
‘GARDEN’. dalam kelas “Speech Training’. Disuruhnya kami menyebut perkataan
“GARDEN’ seorang demi seorang. Maka seorang demi seorang bangun dan menyebut
perkataan ‘GARDEN’. Semuanya dipersalahkan oleh Mr. Ang Chui Pek. Tak betul ‘idgham’nya.
Dia menyuruh kami menyebutnya sebagaimana dia menyebutnya. Terlalu pelik
bunyinya dan kami tertawa. Sampai habis waktu belajar kami masih tidak dapat
menyebut perkataan ‘GARDEN” sepertimana yang dikehendaki Mr Ang Chui Pek. ‘G-A-R-D-E-N”.
Prof. Martin Carnoy
Ini kisah aku
dengan Prof. Martin Carnoy, seorang mahaguru yang sangat aku hormati kerana kemahiran
menyampaikan ilmu kepada kami ketika aku mengikuti Kursus Sarjana di Stanford
University USA. Aku teringat pada suatu hari, selama dua jam beliau menyampaikan kuliahnya
menyebabkan aku hampir ‘pening’.
Bukanlah aku seorang yang berpendapat begitu. Ron September seorang pelajar
dari Africa Selatan juga berpendapat demikian. Kami ketawa berdekah-dekah
apabila keluar dari bilik kuliah mengenangkan ‘nasib’ ketika menghadiri kuliah
Prof. Martin Carnoy.
Seperti biasa beliau akan memberikan satu tajuk essei untuk
ditulis berkaitan dengan falsafah Gramsci. Sekali lagi aku ‘pening’. Aku akan
cuba sedaya upaya menghasilkannya. Nampaknya nasib menyebelahi aku. Dalam perjalanan
pulang ke rumah di Escondido Village dari bilik kuliah, aku singgah sebentar di
perpustakaan di Fakulty Undang-Undang disebabkan hujan rintik-rintik. Aku
membelek-belek buku di rak-rak yang tersusun rapi. Entah macam mana
ternampaklah aku buku berjodol ‘ANTONIO GRAMSCI’ antara buku-buku yang tersusun
itu. Secepat kilat aku mencapai buku berkenaan dan terus membelek-beleknya.
100% isi kuliah Prof Carnoy dari buku berkenaan. Aku tersenyum lebar.
Dua hari kemudian, dengan penuh yakin aku menyerahkan essei aku
kepada Prof. Carnoy. Sepenuh keyakinan, sementara rakan-rakan lain masih
terkial-kial mencari bahan untuk ditulis. Kisah aku ‘terjumpa’ buku ‘Antonio
Gramsci’ di perpustakaan Fakulti Undang-Undang adalah ‘rahsia’. Prof Carnoy
pastinya tidak terduga yang aku boleh terjumpa buku yang ‘amat berharga’ itu
buat aku dalam keadaan terdesak sedemikian.
Pada minggu berikutnya, ketika mahu memulakan kuliahnya, Prof
Carnoy telah memberitahu kelas bahawa essei yang aku tulis mengenai Gramsci
adalah terbaik dan patut dibaca oleh semua pelajar. Ditulisnya pada essei aku perkataan,”EXCELLENT…..CONGRATULATIONS!...…”
Aku tidak ketawa. Senyum pun tidak. Tetapi geli hati kerana essei itu
sebenarnya adalah merupakan semacam ‘karya sadoran’. Walaupun bukan merupakan
karya ciplak tetapi idea yang aku sampaikan diambil dari buku ‘Gramsci’. Tidak
banyak buku yang dirujuk. Hanya satu buku sahaja tetapi dalam senarai buku
rujukan berpuluh buku aku tulis. Biasalah….Dan essei ini masih dalam simpanan
aku…hingga sekarang!!......
Dan aku yakin sehingga kini beliau tidak tahu
apa yang telah berlaku kerana itu merupakan ‘Rahsia Besar’!!......
abuhassanadam
16 Mei 2015
HARI GURU
No comments:
Post a Comment