UMNO KINI KETANDUSAN PEJUANG TULIN
Jikalau
mahu ditafsirkan bahawa keadaan UMNO kini berada pada kedudukan paling genting
disebabkan masalah yang dihadapi oleh Presidennya DS Mohd Najib Tun Razak, maka
aku merasakan bahawa UMNO sudah beberapa kali mengahadapi kegentingan yang
sedemikian.
Perletakan
jawatan Dato Onn Jaafar sebagai Presiden UMNO pertama pada tahun 1950 sudah
merupakan peristiwa yang cukup malang bagi UMNO pada ketika itu. Namun
peristiwa itu juga menampakkan ketegasan kedua-dua pihak bagi menegakkan
prinsip perjuangan masing-masing. Dato Onn bertegas untuk membuka keahlian UMNO
kepada bukan Melayu sedangkan ahli UMNO masih terus berpaut kepada prinsip
bahawa UMNO adalah untuk orang Melayu dan tidak membenarkan kaum lain
menganggotai UMNO. Lantas Dato Onn meletakkan jawatan dan keluar dari UMNO.
Hebat perjuangannya.
UMNO
menghadapi satu lagi ujian paling getir pada awal tahun 1980an apabila
pertubuhan UMNO itu sendiri diharamkan disebabkan kesalahan teknikal yang
menyebabkan mahkamah memutuskan tentang pengharamannya. Maka lahirlah UMNO Baru
sehingga kini.
Kedudukan
UMNO agak ‘gawat’ bermula pada awal Kurun ke 21 dan sehingga kini kedudukan
UMNO adalah dalam keadaan terumbang ambing. Apakah keadaan kualiti kepimpinan UMNO itu sendiri yang
menyebabkan UMNO berkadaan demikian ataupun disebabkan oleh punca-punca lain.
Aku hanya berani membuat penganalisaan hanya berdasarkan kepada pemerhatian
rambang yang langsung tidak mendasarkan kesimpulan berasaskan fakta dan
statistik.
Dulu UMNO berjuang untuk bangsa, agama dan negara
dalam ertikata yang sebenar-benarnya dan lantas wujudlah pejuang-pejuang Melayu
yang begitu gigih memperjuangkan idealisme perjuangan mereka tanpa penat dan
lelah. Sebelum kemerdekaan perjuangan mereka adalah untuk membebaskan tanah
air. Tidak ada ganjaran material yang dijanjikan kepada mereka selain daripada mengembalikan
ibu pertiwi ke tangan mereka. Dan para pejuang dalam UMNO itu juga tidak
memikirkan tentang ganjaran apabila mereka mencurahkan jasa bakti kepada negara.
Pada peringkat awal perjuangan lahirlah
pejuang-pejuang tulin seperti Dato Onn Jaafar yang kemudiannya dituruti oleh
Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Dato panglima Bukit
Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil dll. Terlalau ramai pejuang UMNO yang cuba dan telah
mengembalikan maruah orang Melayu pada ketika itu. Dan mereka ini bukanlah
merupakan ‘jaguh kampung’ yang boleh ‘dibeli’ dan diperkotak-katikan. Malah
mereka adalah golongan yang boleh ‘bersepak-terajang’ di arena antarabangsa
seperti mana pejuang-pejuang dari negara-negara lain.
Kini
kelihatan dengan jelas bahawa UMNO ketandusan tokoh yang sedemikian.
Kebanyakannya boleh ditakrifkan hanya sebagai ‘jaguh kampung’ yang hanya
‘nyaring’ kokoknya apabila berhadapan dengan orang kampung tetapi ‘menguku’
apabila berhadapan dengan masyarakat antarabangsa. Mereka ‘kaku’ dan ‘tergamam’
dan ‘gemuruh’ apabila berada di pentas antarabangsa apatah lagi apabila
berhujah secara ‘impromptu’ tanapa teks di tangan.
Malangnya
golongan UMNO yang sebegini dikatakan mewakili orang Melayu sedangkan orang
Melayu yang bijak pandai yang boleh mengisi takrif ‘pejuang’ tulin ‘bersepah’
berada di luar UMNO. Disebabkan ketiadaan pejuang Melayu yang betul-betul hebat
‘berpencak’ di arena antarabangsa, maka ‘malap’lah imej Melayu bukan sahaja
dikalangan masyarakat antarabangsa tetapi sentiasa dipandang rendah oleh
masyarakat di negara Malaysia juga.
UMNO
kini juga sudah ‘kehilangan’ tokoh-tokoh seperti TS Syed Jaafar Albar (Singa
UMNO), Dato Harun Idris, Anwar Ibrahim yang telah ‘mewarnai’ era Pemuda UMNO
dengan tindakan mereka yang begitu berani dan berkesan demi menegakkan maruah
bangsa Melayu khususnya dan bangsa Malaysia. UMNO kini sudah ketandusan
tokoh-tokoh yang betul-betul berjuang untuk memajukan bangsanya. Sumbangan dan
jasa bakti mereka akan terus dikenang oleh bangsa walaupun mereka dipenjarakan
( seperti Dato Harun Idris dan Saudara Anwar Ibrahim) dan rakyat tetap merasakan baahwa mereka
tidak bersalah dan terus menerus mengiktiraf mereka sebagai pejuang tulin.
Perubahan
yang berlaku dalam kepimpinan UMNO kini adalah amat luar biasa. Pemimpin UMNO
seolah-olah telah melupakan peranan yang
harus dimainkan oleh mereka dalam memajukan negara, bangsa dan agama. Aku amat
yakin kini bahawa tidak ramai lagi ahli UMNO yang dapat menghayati perjuangan
UMNO sebagaimana yang termaktub ketika penubuhannya 69 tahun yang lalu.
Kita
tidak akan ‘berjumpa’ lagi (mungkin) dengan pemimpin UMNO yang sanggup
menjualkan harta benda miliknya demi untuk kepentingan perjuangan UMNO seperti
mana yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman. Aku tidak pernah dengar kisah ahli
wanita UMNO kini yang sanggup ‘melucutkan’ barang kemasnya sepertimana yang
dilakukan oleh ahli Kaum Ibu UMNO yang sanggup melucutkan barang kemas mereka
demi membiayai perbelanjaan rombongan kemerdekaan ke London. Dan aku tidak
pernah dengar kini kisah seorang menteri yang sanggup meletak jawatan
disebabkan perselisihan pendapat mengenai sesuatu dasar negara sepertimana yang
pernah dilakukan oleh Tun Dr Ismail yang meletakkan jawatan disebabkan
perselisihan pendapat dengan Tun Tunku Abdul Rahman.
‘Pejuang’
UMNO kini harus mengenang kembali perjuangan pejuang-pejuang lama yang
betul-betul ‘tulin’ demi memajukan bangsa dan negara. Ahli-ahli UMNO kini
seharusnya tidak menjadi ‘pak turut’ yang boleh ‘dicucuk hidung’ disamping
mengelakkan diri dianggap sebagai memlliki ‘herd mentality’. Tak mungkin
agaknya para ‘pejuang’ UMNO kini sanggup menggadaikan bangsa sendiri demi untuk
mendapatkan ‘sesuap’ nasi. Dan para ‘pejuang’ juga tentu dapat menilai yang
mana yang betul dan yang mana yang tidak betul mengenai dasar kepimpinan dalam
UMNO itu sendiri.
UMNO
memerlukan lebih ramai ‘Tun Dr Ismail’ yang boleh bertindak dengan tegas
walaupun bertentangan pendapat dengan seorang ketua, sekiranya dirasakan
tindakan seorang ketua itu tidak bersesuaian dan merugikan bangsa dan negara
UMNO
kini ketandusan pemimpin yang sedemikian – pejuang tulin.
abuhassanadam
12 Mei 2015
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteKamisah,
ReplyDeleteThanks for the enlightenment.
Pak Abu
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete