JANGAN GANGGU CIKGU
Apabila
The Organisation for Economic Co-operation and
Development (OECD)
membuat penarafan tentang kedudukan sekolah-sekolah peringkat global dan
meletakkan Malaysia di tangga yang ke 52 daripada 76 sekolah lain, maka
tentulah berita sedemikian amat membimbangkan siapa sahaja di negara ini. Dan
yang paling menyedihkan pula rakyat Malaysia sentiasa ‘didendangkan’ oleh
pemimpin politik negara yang bertanggungjawab tentang hal pendidikan di negara
ini bahawa sistem pendidikan di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia.
Lag-lagi
kita ‘mendengar’ kisah Singapura, Hong Kong, Japan, Taiwan yang mengungguli
kedudukan teratas.Tentulah kita ‘mencemuburui’ mendengar kejayaan mereka dan
sepatutnya kita telah mengorak langkah berusaha bersungguh untuk mengatasi
masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah di negara kita.
Luka
lama berdarah kembali. Aku masih teringat kisah lama tentang kedudukan negara
dalam pergram PISA (Program for International Student Assessment ) pada December
2013 yang lalu. PISA adalah ujian untuk menguji
kebolehan pelajar-pelajar yang berumur sekitar 15 dan 16 tahun dikalangan
negara-negara OECD (Organization for Economic Coperation and Development) dalam
mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan. Kedudukan negara kita Malaysia
juga ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain.
Jelas menunjukkan bahawa
negara-negara Asia seperti Shanghai, Hong Kong, Singapore, Japan, Korea Selatan
telah begitu maju dari segi pencapaian mereka dalam mata pelajaran Matematik,
Sains dan Pembacaan. Malah telah dikatakan bahawa pencapaian pelajar-pelajar di
negara-negara Asia berkenaan adalah tiga tahun terkehadapan berbanding dengan
negara-negara lain yang mundur termasuklah Malaysia. Maknanya negara kita
terkebelakang lima tahun berbanding dengan negara-negara yang menduduki tempat
yang ke 20 teratas.
Berbagai ‘blueprint’
telah bentangkan untuk memajukan pelajaran negara kita dan berbilion ringgit
dibelanjakan untuk memajukan pendidikan negara ini tetapi mengapa keadaan kita
masih mundur berbanding dengan negara-negara jiran yang lain. Berbanding dengan
Vietnam sekali pun kita masih mundur. Jangankan kita mahu menandingi
negara-negara China, Hong Kong, Singapore, Jepun dan lain-lain.
Bukanlah tujuan aku untuk menuding
jari menyalahkan sesiapa yang menyebabkan keadaan pendidikan di negara ini jadi
demikian. Tentulah golongan bijak pandai di negara ini telah membuat analisis
yang jitu tentang kelemahan dan kemunduran pendidikan di negara ini. Namun yang
menghairankan kita masih berada di takuk lama juga sedangkan negara-negara Asia
Tenggara lain sedang ‘meluru’ berada di hadapan meninggalkan kita.
Apabila berhadapan dengan keadaan
sebegini tentulah fikiran kita tertumpu kepada keadaan guru-guru yang mengajar
disekolah. Gurulah yang bertanggungjawab untuk mencorakkan ‘hitam-putih’nya
seseorang pelajar itu. Kebiasaanya apabila seseorang pelajar itu berjaya dalam
pendidikan dan mencapai kejayaan cemerlang maka peranan guru akan diketepikan,
tetapi sekiranya berlaku kegagalan kepada seseorang pelajar sering
dipersalahkan kepada guru. Hal sebegini sentiasa dirasai sendiri oleh kaum
guru.
Kini kedudukan dan kebajikan guru
sudah diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Sehinggakan baru-baru ini telah
diumumkan oleh kerajaan tentang kenaikan elaun 100% kepada pengetua dan guru
besar. Maknanya tentulah tidak ada sebab pihak pengetua, guru besar dan
guru-guru untuk tidak menjalankan tugas dengan berkesan.
Satu hal yang selalu diperkatakan
oleh guru-guru ialah tentang ‘kesibukan’ mereka yang ‘dipaksa’ untuk menghadiri
berbagai ‘kursus’, bukan sahaja anjuran Kementerian Pelajaran tetapi juga yang
dianjurkan oleh kementerian dan badan-badan lain. Kaum guru dan murid adalah
sasaran pihak-pihak tertentu untuk ‘memeriahkan’ sesuatu perjumpaan. Bukan
sahaja mereka ‘terpaksa’ hadir di majlis perasmian yang dilakukan oleh Perdana
Menteri dan Menteri Pendidikan tetapi juga terpaksa menghadiri bermacam-macam
acara perasmian yang sepatutnya mereka menumpukan perhatian mereka kepada
memajukan bidang pendidikan negara disamping memajukan pencapaian
pelajar-pelajar. Kadang-kadang dirasakan ‘kesibukan’ kaum guru tidak kena pada
tempatnya. Kadang-kadang dirasakan bahawa adalah menjadi ‘tugas’ guru dan
murid-murid untuk memenuhkan ruang dewan demi untuk meramaikan kehadiran
sesuatu majlis yang dianjurkan oleh kerajaan. Seolah-olah guru dan murid
sentiasa ‘dimangsakan’ untuk tujuan berkenaan.
Ramai juga guru-guru yang terlibat
dengan pelbagai kegiatan luar sekolah yang terpaksa dipikul oleh mereka. Tenaga
guru juga diperlukan juga oleh golongan politik. Dan apabila guru sudah
terlibat dengan kegiatan politik, maka penumpuan para guru yang sedemikian
terhadap pelajar dan pengajaran disekolah tentunya hampir terabai.
Ini tentunya bukan merupakan sebab
utama yang menyebabkan kegagalan dan kelemahan kementerian pendidikan secara
keseluruhan namun sedikit sebanyak menyumbang juga terhadap kelemahan dalam
pencapaian dalam penarafan seperti yang didedahkan oleh OECD. Dan tentunya
peranan Menteri Pelajaran dan para pegawai Kementerian Pendidikan adalah lebih
penting dan terpenting dalam memajukan sistem pendidikan negara.
Semua pihak harus mengorak langkah
untuk ‘menebus’ keadaan yang memalukan ini.
abuhassanadam
18 Mei 2015
No comments:
Post a Comment