Wednesday, November 6, 2013

SPM – APA YANG AKU PERCAYA DAN TIDAK MAHU ANDA MEMPERCAYAINYA

SPM – APA YANG AKU PERCAYA DAN TIDAK MAHU ANDA MEMPERCAYAINYA

Setiap kali datangnya peperiksaan SPM atau PMR, pasti aku akan teringat akan peristiwa ini. Peristiwa yang betul-betul berlaku ke atas diri aku. Ini cerita benar. Bukan cerita rekaan. Orang putih kata ‘miracle’. Aku percaya kerana peritiwa berkenaan betul-betul berlaku ke atas diri aku tetapi tidak pula aku mahu ‘anak-anak’ yang menduduki peperiksaan SPM atau PMR atau apa-apa peperiksaan selain dari SPM memepercayainya. Boleh diyakini tentang kemungkinan berlakunya peristiwa berkenaan tetapi tidak harus pula meletakkan kepercayaan yang begitu tinggi terhadap kemungkinan berlakunya peristiwa sedemikian.

Bulan September Tahun 1961. Aku sedang melengkapkan persediaan untuk menduduki Peperiksaan LCE (Lower Certificate of Education). Kini dipanggil PMR ( Penilaian Menengah Rendah). Peperisaan akhir dalam Tingkatan Tiga.

Seingat aku, persediaan yang dilakukan bukan kepalang. Tiga bulan sebelum peperiksaan, sememangnya aku ‘berhempas pulas’ mentelaah ( membaca) buku-buku pelajaran dan nota-nota yang diberikan oleh guru. Itu saja bahan pelajaran yang ada. Buku-buka ‘Revision Courses’ tidak ada, sepertimana yang ‘dinikmati’ oleh pelajar-pelajar kini. ‘Tuition’ seperti ‘jauh panggang dari api’. Mahu tak mahu, bahan ‘pertolongan’ yang boleh menolong pelajar seperti aku, ketika itu adalah buku teks dan nota-nota yang diberikan oleh guru.

Kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh anak-anak kampung ( Melayu )pada ketika itu untuk mendapat pendidikan tidak dapat dilukiskan dalam bentuk tulisan. Dalam keadaan terpaksa menggunakan Bahasa Inggeris dalam semua matapelajaran, kami terpaksa ‘bertanding dalam keadaan padang yang tidak rata’ dengan anak-anak kaum bukan Melayu yang tinggal di bandar-bandar. Namun yang membanggakan aku ialah kami tidak pernah mengeluh dan mengaku kalah walaupun kami sentiasa ‘diserang’ oleh perasaan rendah diri yang amat ketara.

Walaupun merasakan diri itu lemah, namun menyerah tidak sekali. Kami selalu dinasihatkan oleh ibu bapa bahawa hanya melalui pendidikan sahaja yang membolehkan seseorang itu menjadi ‘ guru’ dan ‘kerani’. Itu sajalah ‘matlamat’ yang diharapkan oleh ibu bapa kami. Aku tidak pula digalakkan supaya belajar bersungguh-sungguh agar nanti akan menjadi doktor ke,  jurutera ke, peguam ke. Yang dapat ‘dilihat’ oleh ibu bapa kami pada ketika itu hanyalah ‘guru’, ‘kerani, dan ‘posmen’. Lantas itu sajalah jawatan yang kami ‘buru’.

Sememangnya aku belajar bersungguh-sungguh untuk menduduki peperiksaan LCE. Maklumlah ini merupakan perjuangan hidup-mati. Sekiranya lulus maka akan meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan jika sebaliknya berlaku, maka aku akan menjadi penoreh getah dan mengerjakan sawah sekangkang kera yang ada berhadapan dengan rumah. Tentulah amat menakutkan apabila membayangkan senario yang sebegitu.

Oleh yang demikian, aku terpaksa kerja keras. Namun ada satu masalah ‘besar’ yang aku hadapi dalam usaha mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan LCE ini. Banyak ‘perkara-perkara penting’ subjek Matematik yang aku tidak faham. Nak bertanya guru, timbul perasaan ‘takut’ ( bukan seperti sekarang di mana pelajar-pelajar tidak ada segan silu untuk bertanya guru. ‘Takut’ jauh sekali ). Lantas aku cuba menghadapi masalah ini bersendirian. Tidak pula aku menceritakan hal ini kepada bapak atau emak kerana aku tahu yang mereka pun tidak akan dapat menyelesaikan perkara ini. Buat apa aku hendak menyusahkan fikrian mereka, fikir aku.

Lantas seolah-olah aku menyerahkan diri aku kepada takdir. Hanya kepada Allah aku serahkan. Seolah-olah usaha dan iktiar sudah sampai ke penghujung jalan. Mahu rasanya aku menangis sekuat-kuat hati mengenangkan nasib diri yang malang sebegitu, terutama apabila aku mengenangkan nasib rakan-rakan bukan Melayu yang begitu bernasib baik. Tinggal di bandar, mampu membeli buku-buku tambahan, ada kelas ‘tuition’. dll.

Takdir rupanya tidak membiarkan hamba yang malang ini bersendirian mengahdapi dugaan hidup yang sepatutnya tidak dilalui oleh anak yang berumur 14 tahun.

Sedang aku menujuk ke setesen bas sebelum aku menaiki bas ‘Red & Yellow’ pulang ke rumah pada suatu hari, aku singgah sebentar di sebuah kedai buku. Vijaya Book Store namanya. Sudah tidak ada lagi kini. Sedang aku membelek-belek buku diatas rak buku yang tersusun, ternampak aku sebuah buku bimbingan berjodol, ‘Revision Course in Mathematics – LCE”. Aku terus membelek-belek kandungannya. Begitu jelas dan amat faham aku isi kandungannya. Ingin ku membelinya. Tetapi apakan daya. Duit tidak ada. Bukan tak cukup. Tidak ada !!... Dengan perasaan yang begitu hampa aku pulang ke rumah disamping berfikir mencari penyelesaian bagaimana untuk mendapatkan buku tersebut.

Hendak aku mengadu kepada bapak, sudah aku duga jawapannya. Mungkin bapak akan berusaha sedaya upaya mengadakan wang sejumlah RM3.40 sen untuk membeli buku berkenaan, tetapi aku faham betapa susah baginya untuk mendapatkan wang sebanyak itu, terutama pada musim tengkujuh begini yang ‘menghalangnya’ untuk menoreh getah.

Teringat juga aku tentang tabung duit ( yang diperbuat daripada buluh) yang baru sahaja aku buat. Bulan lepas. Dalam perkiraan aku, tak sampai pun agaknya RM 1.20 sen yang ada didalamnya. Tentu tidak cukup untuk membeli buku berkenaan yang berharga RM3.40 sen. Aku bertekad untuk membelah tabung duit aku. Sekurang-kurangnya menampung wang yang akan  diperolehi dari bapak aku. Aku nekad untuk membelah tabung aku.

Alangkah terkejutnya aku bahawa wang yang ada dalam tabung yang aku belah itu berjumlah RM 3.50 sen ( yang aku sangkakan hanya berjumlah tidak lebih RM 1.50 sen). Aku yakin benar bahawa wang yang ada dalam tabung itu tidak sampai sebanyak itu. Aku yakin. Dengan wang itulah aku ke kedai buku Vijaya Book Store di Kuala kangsar dan membeli buku yang aku idam-idamkan. Aku sudah lupa nama pengarangnya. Tetapi aku amat terhutang budi kepada pengarang buku itu kerana penjelasannya amat  jelas dan menyebabkan aku begitu faham tentang langkah-langkah untuk menyelesai masalah yang dikemukakan.

Dipendekkan cerita, apabila keputusan diumumkan aku menarik nafas lega. Sekiranya tidak aku terserampak dengan buku Matematik itu maka kemungkinannya aku hanya mendapat lima ‘Distinctions’ dalam keputusan pepriksaan tersebut . Dengan ‘penemuan’ buku itu, maka lengkaplah pencapaian aku dalam keputusan peperiksaan LCE pada ketika itu.

abuhassanadam
6 November 2013
(Bermulanya Peperiksaan SPM 2013)


p/s

Aku akan ceritakan juga satu lagi kisah ‘miracle’ yang berlaku ke atas diri aku ketika aku menuntut di Stanford University, USA (peringkat Sarjana)  pada masa yang sesuai.



1 comment:

  1. Tak sabar nak dengar sambungan cerita pengalaman saudara yang dikatakan 'miracle' (pertolongan Allah kepada hamba yang sepenuh hati berharap padaNya)

    ReplyDelete