Sunday, May 24, 2020

BKGWPR – ‘Lifeblood’ Dato Khairuddin Arshad (Arwah)

BKGWPR – ‘Lifeblood’ Dato Khairuddin Arshad (Arwah)

Pada hari rahaya begini entah macam mana aku terpanggil untuk menukilkan sesuatu mengenai tajuk di atas disebabkan hampir setiap tahun pada tahun-tahun 1970an, 1980an dan 1990an kami mengadakan ‘perjumpaan Hari Raya keluarga dan anak-anak Padang Rengas di Sekolah Menengah Tun Perak. Biasanya pada hari raya kedua di mana anak-anak Padang Rengas akan pulang berhari raya dari perantauan. Kebiasaannya juga mereka adalah ahli BKGWPR.

Ramai yang tidak tahu apa sebenarnya  acronym  di atas. Hanya orang Padang Rengas dan beberapa golongan tertentu sahaja yang tahu. BAKGWPR adalah Badan Kebajikan Guru-Guru Wlayah Padang Rengas. Ia bukan badan yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan guru-guru Padang Rengas. Bukan itu hasrat penubuhannya dulu pada tahun 1967.

Aku masih ingat lagi ketika hari penubuhannya di Sekolah Menengah Tun Perak Padang Rengas dimana disarankan matlamat dan arah tuju persatuan ini. Ringkasnya memang dinyatakan dalam mesyuarat berkenaan ia bertujuan menjadi sebagai ‘The Lions Club’ yang bermatlamat untuk membantu penduduk Padang Rengas dalam bidang pendidikan. Ini termsuklah memberikan bantuan sekadarnya bagi membantu anak-anak Padang Rengas yang berjaya dalam pelajaran untuk meneruskan pelajaran di peringkat tinggi seterusnya.

Dan tentunya BKGWPR adalah ‘synonym’ dengan nama arwah. Sehingga saat pemergiannya arwah masih memikirkan tentang pertubuhan kesayangannya. Kononnya baru sahaja mendapat bantuan dari seseorang yang bernilai RM20,000. Ketika beliau sedang sakit dan terlantar, masih lagi memikirkan tentang nasib BKGWPR.

Aku pernah menceritakan dengan ringkas sejarah penubuhan BKGWPR  tetapi kali ini biarlah aku tulis dengan agak terperinci asas dan idea penubuhan BKGWPR ini agar anak-anak Padang Rengas dapat meneruskan ‘perjuangan’ BKGWPR ini. Jangan dibiarkan BKGWPR hilang begitu sahaja di dunia ini.

Sebagaimana yang pernah aku jelaskan dalam blog-blog aku yang terdahulu, rumah keluarga arwah merupakan tempat kami berkumpul dan berbincang pada 1960an. Antara pengunjung tetap pada waktu itu ialah Rashidi Sulaiman ( kami panggil Mr. Di kerana beliau mengajar Bahasa Inggeris di sekolahnya), Rasma (arwah), Adam ( arwah), Lias (arwah). Dalam pertemuan dan perbincangan tidak secara langsung itulah lahirnya hasrat untuk membantu orang kampung disekitar Padang Rengas yang rata-rata amat rendah kesedaran terhadap pendidikan anak-anak. Pada ketika itu baru seorang saja anak Padang Rengas yang berjaya melanjutkan pelajaran ke University Malaya ia itu Cikgu Razani Ahmad. Atas semangat dan dorongan sedemikian jugalah aku dan arwah bersungguh untuk memecahkan ‘tembok’ ini disamping membantu anak-anak kampung lain di kampung persekitaran.

Atas asas sedemikianlah tertubuhnya BKGWPR

Antara kegiatan yang kami jalankan ialah mengadakan kursus bimbingan kepada pelajar-pelajar yang mengambil Peperiksaan SPM, PMR dan PPDL. Disamping itu BKGWPR menubuhkan Dermasiswa BKGWPR yang memberi bantuan kepada pelajar-pelajar cemerlang ( anak Padang Rengas) dalam peperiksaan hasil derma dari penderma-penderma ikhlas.

Cara Dermasiswa ini dilaksanakan agak unik yang menyebabkan ramai penderma ingin membuat sumbangan. Derma seseorang penderma akan terus berada dalam simpanan tetap BKGWPR sehingga bila-bila. Yang diberikan sebagai dermasiswa adalah faedah yang diperolehi dari pelaburan yang dibuat oleh BKGWPR hasil dari sumbangan penderma-penderma itu tadi.

Walaupun aku sebagai Setiausaha pertama BKGWPR dan arwah sebagai Yang Dipertuanya, namun aku telah mengundur diri  setelah berpindah ke Kuala Lumpur dan begitu sibuk dengan kerja-kerja kementerian. Namun arwah terus menerus berjuang dalam perjuangan BKGWPR sehinggalah penghujung hayatnya walaupun aku tidak membiarkan beliau keseorangan mengemudikan pertubuhan yang disayangi ini. Tugas sebagai Setiausaha telah aku lepaskan tetapi sebagai YDP tetap dipegang oleh arwah. Terlalu besar dan mulia sumbangan arwah terhadap pertubuhan yang didukungnya.

Melalui blog ini aku merayu pada anak-anak Padang Rengas sambutlah ‘baton’ yang hampir terjatuh ini agar jangan biarkan dia terjatuh. Sambutlah dan terus berlari sebagaimana yang kami harap ketika penubuhannya dahulu. Pernah beberapa kali kami menyuarakan kebimbangan dalam mesyuarat yang kami adakan ia itu tentang ’penerusan warisan’. Sememang dibimbangi tentang penerusan perjuangan ini.

Kini telah ramai anak Padang Rengas yang berkelulusan tinggi dan teruskanlah perjuangan yang mungkin akan terhenti ini.

Sambutlah ‘baton’ supaya jangan terjatuh.

abuhassanadam
24 Mei 2020
Hari Raya

Friday, May 22, 2020

LAMBAIAN DESA

LAMBAIAN DESA

Nampaknya semakin ramai yang merelakan diri dikenakan kompound disebabkan melanggar perintah PKP merentas negeri yang dikenakan oleh kerajaan, semata-mata untuk pulang beraya dikampung. Semacam tidak tertahan perasaan yang membuak-buak warga Kuala Lumpur apabila semakin hampir menjelangnya Raya. Semakin tidak tertahan hati dan perasaan untuk berjumpa ayah ibu dan sanak saudara di kampung untuk merayakan lebaran ini.

Perasaan yang melonjak tiba ini didorong pula oleh dendangan lagu Allahyarham P.Ramlee dan Sudirman Haji Arshad. Ada juga betulnya saranan YAB TS Muhyiddin Yassin yang ‘melarang’ warga Kuala Lupur supaya tidak terlalu mendengar lagu ‘Dendang Perantau’. Dan tidak kurang berkesanya lagu Sudirman yang berjodol ‘Balik Kampung’.

Seingat aku, Hari Raya tahun 2020 merupakan hari raya yang sungguh unik sekali. Tidak pernah dirasai kongkongan perasaan yang sebegini. Dan pihak kerajaan tidak harus dipersalahkan kerana berindak ‘menghalang’ dan ‘membendung’ pergerakan demi untuk menyekat ‘kemaraan’ Covit 19. Sekiranya kerajaan tidak bertindak sedemikian rupa maka besar kemungkinannya negara ini akan mengalami keadaan sebagaimana yang dialami oleh negara-negara yang dilanda dengan teruk sekali oleh Covid 19.

Maka atas kesedaran sedemikianlah terpaksa dibendung derita bukan sahaja oleh anak-anak cucu yang ingin pulang merayakan hari raya di kampung tetapi sedih dan pilu juga perasaan Opah dan Atuk yang menunggu kepulangan anak cucu dari perantauan. Apalah erti hari raya sekiranya tidak dirayakan bersama anak cucu yang tersayang. Apalah ertinya lemang yang dibakar sekiranya bukan untuk dihidangkan kepada anak cucu yang tercinta. Apalah ertinya malam raya sekiranya ketiadaan anak cucu untuk dirayakan bersama.

Sudah hampir satu tahun anak tidak pulang ke kampung disebabkan kesibukan bekerja di Kuala Lumpur. Sudah setahun jugalah Atuk dan Opah tidak melihat wajah cucu dan hanya melihat wajah mereka melalui Video telefon. Dan jangkaannya pada hari raya nantilah mereka akan berjumpa dan bermesra yang lantasnya bermanja. Pada hari raya nantilah Atuk dan Opah akan menyediakan segala bentuk jenis makanan yang disukai oleh anak cucu. Namun kesemuanya ini hampa belaka. Segala harapan dan impian atuk dan opah hancur berkecai.

Sebenarnya semacam tidak ada penyelesaian untuk mengatasi dan menghadapi keadaan ini. Kerajaan terpaksa mengekang perjalanan balik kampung ini untuk menyelamatkan penduduk negara dari jangkitan Covid 19 sementara warga kota pula semacam tidak tertahan perasaan yang melonjak untuk pulang ke kampung. Dalam keadaan sebeginilah, perasaan ‘kesabaran’ harus diutamakan. Hanya kesabaran yang boleh jadi ubat dan penawar untuk mengatasi keadaan sedemikian.

Semua pihak harus mengerti erti sebenar ‘Lambaian Desa’. Tidak mudah dirungkai apakah erti sebenar ‘Lambaian Desa’ dan hanya yang mengalami sahaja yang dapat mengerti erti sebenar ‘Lambaian Desa’. Dengan sebab itulah warga kota semacam ‘menggila’ untuk balik kampung pada hari raya. Dengan sebab itulah warga kota sanggup dan rela menempuh kesesakan lalu lintas walaupun mengambil masa 13 jam untuk pulang ke desa. Itulah yang dinamakan ‘LAMBAIAN DESA’.

abuhassanadam
22 Mei 2020

Thursday, May 21, 2020

DATO’ OBJ HAJI KHAIRUDDIN BIN HAJI ARSHAD (BALASUNGKAWA)

DATO’ OBJ HAJI KHAIRUDDIN BIN HAJI ARSHAD
(Untuk Isteri dan anak-anaknya dan sesiapa sahaja yang mengenali arwah)

Tarikh 19 Mei 2020 bersamaan dengan 26 Ramadhan 1441 merupakan tarikh ‘pemergian’ rakan baik aku Mat Ha ( nama glamournya bagi kami dan rakan-rakan karibnya). Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan di kalangan orang beriman.

Aku terasa benar kehilangan seorang kawan. Walaupun berjauhan dan jarang berjumpa namun dihati merasa sungguh hampir. Aku di Kuala Lumpur dan beliau masih tidak mahu meninggalkan Padang Rengas, tempat kelahiran kami. Pernah ketika berjumpa di majlis-majlis beliau sentiasa menyatakan bahawa beliau merupakan ‘tikus kampung’ sedangkan aku disifatkannya sebagai ‘tikus bandar’. Aku tak tahu mengapa kami diibaratkannya sebagai tikus, sedangkan aku juga merupakan anak kampung totok. Dari desa pingitan.

Kami tidak pernah bergaduh dan berselisih faham. Dan orang kawasan Padang Rengas tahu dan amat faham tentang persahabatan kami berdua. Aku menganggap Pak Tunggal Arshad sebagai ayah ku dan diapun menganggap Pak Adam (bapak aku) sebagai bapak dia. Indah sekali persahabatan yang terjalin. Bagi menunjukkan 'persamaan' antara aku dan dia pernah seorang penduduk di Padang Rengas bertanyakan kepada beliau pada suatu hari tentang isterinya yang bersalin (kononnya) sedangkan yang bersalin pada ketika itu adalah isteri aku. Seolah-olah mereka tidak dapat membezakan antara aku dan arwah.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan.

Sejarah kami bermula pada tahun 1951 apabila kami sama-sama masuk sekolah Darjah 1 di Malay Boys School Padang Rengas. Sekolah Melayu zaman British. Aku dan arwah diletakkan sebangku ( Pada ketika itu bangku boleh muat dua atau tiga orang). Cikgu kami adalah Cikgu Yunus Shamsuddin. Tentulah banyak peristiwa yang melucukan ketika kami berada dalam Darjah 1. Yang masih segar dalam ingatanku ialah Arwah pandai melukis gambar ‘Cowboy’ dengan topi yang menyerupai angka 8. Dia selalu mengajar aku melukis gambar ‘cowboy’ di papan batu.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan.

Apabila berada dalam Darjah 3, kami sekelas lagi. Sentiasa duduk bersama. Entah mengapa Cikgu Samad meletakkan kami duduk bersama. Yang aku tahu antara kami berdua bersaing juga dalam pelajaran, untuk tempat pertama dan kedua.Kadang-kadang dia menduduki tempat pertama dan kadang-kadang  aku. Aku rasa arwah pun masih menyimpan buku tulis yang dihadiahkan oleh Cikgu Samad menduduki tempat kedua.

Ketika dalam Darjah tigalah banyak sekali peristiwa lucu berlaku. Dan peristiwa inilah yang kerap kali diulang dan diulang yang kemudiannya diekoran dengan hilaian yang kuat. Suatu hari Cikgu Samad mengajar pelajaran Ilmu Alam (Geografi). Ditulis oleh Cikgu Samad satu ayat di papan hitam yang berbunyi,'Pulau ialah sekeping tanah yang dikelilingi oleh air'. Kebiasaannya ayat ini akan ditanya apabila waktu hendak pulang nanti. Apabila sampai waktunya Cikgu Samad pun bertanyalah. Dan kami berjaya melepasinya. Seorang kawan kami yang agak kurang bernasib baik tidak dapat menyebut ayat berkenaan. Sehingga pukul 3.00 petang masih berada di sekolah bersama dengan Cikgu Samad ( yang sudah menanggalkan baju disebabkan kepanasa atap zink sekolah!!). Peristiwa ini yang sangat melucukan kami. Dan menunjukkan kehebatan dan dedikasi seorang guru yang betul-betul mahu anak muridnya pandai.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan.

Arwah ‘meninggalkan’ aku kerana arwah lebih awal memasuki sekolah orang putih (Special Malay Class) ketika beliau tamat sahaja Darjah 3 sedangkan aku memasukki sekolah Orang Putih ketika darjah 4 sekolah Melayu. Ketika itulah saat perpisahan antara kami. Maksudnya tidak serapat dulu.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan

Perhubungan kami rapat semula apabila kami sama-sama menjadi guru di sekolah rendah. Beliau bernasib baik kerana bertugas di Sekolah Kebangsaan Paya Salak ( Kampung aku) sedangkan ku di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang Selama Perak. Walaupun aku tinggal di Selama Perak namun setiap hujung minggu aku akan balik ke Padang Rengas untuk berjumpa dengan kawan-kawan di Pasar Minggu Bawah Gunung Pondok. Ada ketikanya Kugiran arwah 'The Swampers' akan membuat persembahan dan aku terpaksa berada juga disitu. Bukan pemain muzik tetapi diberi tugas jadi juruacara majlis!!

Pada ketika inilah kami merancang untuk penubuhan sebuah persatuan untuk membantu anak-anak miskin dalam pelajaran di kawasan Padang Rengas. Tertubuhlah Badan Kebajikan Guru-Guru Wilayah Padang Rengas ( BKGWPR) pada tahun 1967. Beliau menjadi Yang Dipertua dan aku sebagai Setiausahanya. Sehingga saat pemergiannya masih segar dibawah pimpinan beliau dan mempunyai kedudukan kewangan yang amat kukuh. Aku tak tahu apakah nasib yang akan dialami oleh BKGWPR selepas ini.

Di rumah arwah itulah sebagi pusat tempat kami membincang berbagai perkara yang berfaedah untuk masyarakat Padang Rengas khususnya. Di rumah itulah kami merancang untuk menyampaikan sumbangan derma bagi pembinaan University Kebangsaan. Dan hasilnya kami berjaya mengutip wang sebanyak RM 314.24 sen untuk disumbangkan kepada pembinaan University Kebangsaan Malaysia. Kami berbangga dengan sumbangan sedemikian.

Sebagai anak muda yang hidup dalam zaman Pop Yeh Yeh (1960an) kami juga tidak mahu ketinggalan. Lantas arwah menubuhkan Kugiran ' The Swampers' mengambil nama kumpulan dari Kampong Paya Panjang. Arwahlah yang menjadi ketua Kugiran berkenaan disamping  Saudara Rasma Rashid ( arwah), Alias Shamsuddin (Arwah), Malik. Dan aku hanya sebagai 'penumpang' dan diberi tugas sebagai Juruacara Majlis disebabkan tiada bakat untuk bermain muzik. Sekurang-kurangnya arwah boleh juga memtik guitar bass.

Kini beliau sudah tiada.  Hanya tinggal kenangan.

Ketika menjalankan tugas menguruskan BKGWPR (ketika itu masih muda remaja – peminat Pop Yeh Yeh) timbul kesedaran untuk memajukan diri dalam pelajaran. Kesedaran beliau lebih awal. Dan beliau memasuki University Malaya lebih awal. Namun pada tahun 1970 aku juga dapat melanjutkan pelajaran di University Malaya yang mana ketika itu beliau berada tahun 3. Kami tinggal serumah ia itu menyewa rumah di No 81, Jalan Limau Manis, Bangsar Park.

Pada ketika itu kami sudah pun memiliki Scooter untuk menyenangkan kami berulang -alik ke Campus. No plet scooter arwah adalah AW 3144 sedangkan nombor plet scooter milik aku adalah AK195.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan.

Keluar dari University beliau mengajar di Lenggong Perak sedangkan aku ditempatkan di Sekolah Menengah Serdang Kedah. Pada tahun 1977,kami sama-sama ditempatkan di Sekolah Menengah Bukit Mercu Kuala Kangsar. Beliau mengajar Bahasa Melayu dan aku mengajar matapelajaran Sejarah. Pada ketika itulah kami berjaya meningkatkan keputusan 100% bagi matapelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah (STPM) bagi sekolah berkenaan. Hanya tujuh bulan aku berada di sekolah berkenaan sebelum ditukarkan ke Kuala Terengganu.

Suatu keadaan yang agak lucu berlaku ketika kami berada disekolah berkenaan. Dalam suatu mesyuarat PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) kami dipilih oleh ibu bapa sekolah berkenaan sebagai Yang Dipertua ( arwah) dan aku sebagai Setiausaha yang mana pemilihan sedemikian menyalahi perlembagaan PIBG. Sepatutnya mesti didokong oleh ibu bapa jawatan berkenaan dan bukan dari kalangan guru. Namun apabila dijelaskan kesalahan berkenaan kepada mesyuarat, mereka ramai-ramai menjawab, ' tak apa. takda salahnya. Dema berdua tu padan sangatlah. Apa dibuat dek dema semuanya berjaya. Tak apa..." Aku dan arwah terus diam membisu.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan.

Penghujung tahun 1977 aku ditukarkan ke Terengganu untuk jawatan Jemaah Nazir sekolah. Hanya tujuh bulan aku disitu yang kemudiannya berpindah ke Lembaga Peperiksaan, Jalan Duta Kuala Lumpur untuk menggalas tugas sebagia Pakar Peperiksaan.

Arwah meneruskan ‘perjalanan’nya sebagai Pengetua di Chenderong Balai Teluk Intan, Sekolah Menegah Sains Taiping, Pegawai Pendidikan Daerah di Parit Buntar dan akhirnya Pengarah Pendidikan Negeri Perak. Sedangkan aku meneruskan ‘perjalanan’ aku dari satu bahagian kementerian pendidikan ke satu bahagian lain. Menjadi Pegawai Khas kepada tiga menteri pendidikan ( Pak Lah Badawi, Saudara Anwar Ibrahim dan Dato Sulaiman Daud) sebelum dilantik menjadi Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia UK & Eire berpusat di London.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan.

Yang anihnya dalam persahabatan kami, sentiasa ‘ikut-mengikut’. Misalnya aku berada di Stanford University, Palo Alto, California USA untuk ijazah Sarjana pada tahun 1986 dan beliau pun pernah mengiukti kursus pendek di Stanford University, Palo Alto, California dalam tahun 1996.

Walaupun berjauhan dan tidak bersama, namun antara kami sentiasa berhubung. Itu yang dikatakan jauh dimata dekat di hati.

Kepada Datin Isteri beliau dan anak-anak dan cucu-cucu,

"Mikeme harus berbangga 'memiliki' ayah yang amat bertanggungjawab yang menjadi kebanggaan penduduk Padang Rengas khususnya dan negara umumnya. Teruskanlah apa juga perjuangannya yang boleh dimanfaatkan'


Kini rakan karib ku ini sudah tiada lagi. Aku doakan berbahagialah dia disana. Hanya yang mampu aku lakukan ialah iringan doa.

ALFATIHAH…

ABUHASSANADAM
19 MEI 2020




TUN HARUS BERTEGAS MENYOKONG ANWAR

TUN HARUS BERTEGAS MENYOKONG ANWAR


Usaha Tun Mahathir yang akan berusaha untuk membuktikan ‘ketidaksahihan’ kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang dan TS Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pastinya akan disambut oleh rakyat Malaysia dengan tangan terbuka. Maknanya majoriti rakyat Malaysia akan menyokong hasrat murni sedemikian kerana majoriti rakyat yang sedemikian yang telah dirampas hak mereka oleh perampas yang menubuhkan kerajaan sekarang.

Tetapi satu hakikat yang perlu dijelaskan oleh Tun Mahathir ia itu rakyat Malaysia umumnya akan menyokong saranan Tun tetapi rakyat juga mahu Tun perjelaskan sokongan Tun agar Anwar dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas itu – maknanya selepas wujud kerajaan yang sah. Kelihatan Tun masih tidak mahu menyatakan sokongan jelas terhadap Anwar walaupun sudah berkali-kali Tun menyatakan bahawa Anwarlah akan menjadi pengganti Tun. Itu sudah menjadi fakta sejarah yang akan dikaji oleh anak muda selepas ini.

Mengutarakan hasrat sedemikian tidak bermakna bahawa penyokong Anwar ‘tidak habis-habis memperkatakan tentang Anwar sebagai Perdana Menteri’ tetapi pada haikatnya itulah yang diharapkan oleh majoriti rakyat Malaysia dari semua kaum dan keturunan, merentasi sempadan negeri, kaum dan agama. Rakyat selamanya mahukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Pernah dinyatakan bahawa Tun pernah mendidik Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan berakhir dengan kegagalan. Kemudian melantik Najib sebagai Perdana Menteri gagal juga. Kini giliran TS Muhyiddin pula sebagai Perdana Menteri dikatakan pelantikan yang tidak sahih. Mengapa Tun tidak nayatakan dengan jelas tentang kebolehan dan kemampuan DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pula sedangkan pernah teruji kemampuan beliau buat seketika bila mana Tun memberikan peluang kepadanya suatu ketika pada tahun 1990an dahulu.

Tun mungkin juga sedar dan tahu bahawa kemenangan PRU14 yang lalu adalah atas faktor Anwar walaupun beliau masih di penjara. Tun juga tahu pengaruh dan peranan Anwar dalam menentukan kemenangan PRU14 itu, jikalau tidak masakan Tun sanggup ‘mencemar duli’ berjumpa dengan Anwar ketika beliau masih dipenjara. Dan perlu diingat juga bahawa faktor kemenangan PRU14 sedikit sebanyak disebabkan janji Pakatan Harapan untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada beliau selepas Tun memegangnya buat seketika.

Rakyat Malaysia dari semua bangsa agak kecewa apabila melihat tidak nampak ‘riak’ yang Tun akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri itu kepada Anwar ( dah menjadi sejarah pun ). Tun boleh menyatakan ‘belum sampai masanya’ namun bak kata orang tua-tua, ‘ sekilas ikan di air sudah diketahui jantan betinanya’.

Kini tugas dan peranan yang Tun akan hadapi adalah amat besar tetapi dapat dipermudahkan hanya dengan satu kenyataan Tun ia itu, ‘ sudah sampai masanya jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada DS Anwar Ibrahim’. Saya yakin insyallah semuanya akan selesai dan mengembirakan rakyat Malaysia keseluruhannya. Malah ada yang berada di pihak Perikatan Nasional pun akan berpindah kerusi.

Percayalah. Insyallah.

abuhassandam
21 Mei 2020




Wednesday, May 20, 2020

MEREKA MELANGGAR PRINSIP DEMOKRASI

MEREKA MELANGGAR  PRINSIP DEMOKRASI

Ramai yang menggelarkan mereka sebagai ‘pengkhianat’. Namun bagi aku gelaran itu terlalu kasar dan tidak manis aku gunakan. Jikalau hendak dipakai juga perkataan pengkhianat itu, mereka hanya mengkhianati prinsip demokrasi sahaja. Namun begitu apakah nama lain yang lebih manis untuk diberikan gelaran kepada mereka yang ‘menghancurkan’ harapan rakyat yang dengan ikhlas mengundi mereka dalam PRU14 dahulu.

Rakyat mengundi mereka bukan disebabkan ketokohan mereka tetapi disebabkan parti yang memberikan mereka ruang untuk bertanding dalam pilihanraya berkenaan. Dan kebetulan parti yang mereka wakil itu bersesuaian dengan ‘selera’ pengundi pada ketika itu. Lantas menanglah mereka atas tiket parti yang mereka wakili itu. Tidak semesatinya mereka menang atas tiket ketokohan mereka. Pendek kata selepas sahaja mereka melompat, terlucutlah mandat yang diberikan oleh rakyat kepada mereka pada PRU14 yang lalu.

Apa yang dilakukan oleh mereka sememangnya amat bertentangan dengan amalan Demokrasi. Rujuklah buku politik mana sekalipun. Apa yang mereka lakukan itu sememangnya bertentangan. Mungkin ramai dikalangan rakyat di Malaysia yang tidak mengetahui hal yang sebenar atau arif tentang keadaan yang berlaku kini yang menyebabkan golongan rakyat tidak begitu menentang golongan yang melompat itu berpunca kerana mereka tidak didedahkan. Dan sememangnya golongan yang tergolong dalam kumpulan sedemikian memang tidak mahu mendedahkan. Seboleh-bolehnya rakyat jangan tahu langsung keadaan sedemikian. Rakyat bawahan tidak tahu. Teringat aku kata-kata Lee Kuan Yew Perdana Menteri Singapura yang pernah berkata, ‘ ‘ si tidur makanan si jaga’

Negara yang mengamalkan demokrasi bermakna rakyat negara itu terlibat sama dalam menentukan dasar kerajaan. Itu sebab diadakan pilihanraya supaya dapat ‘didengar’ suara hati rakyat  melalui undi. Rakyat menyatakan hasrat hatinya melalui undian kepada parti yang disukainya. Tentang ke mana arah tuju negara hendak dibawa oleh parti itu. Dengan sebab itulah diadakan kempen pilihanraya supaya dapat didengar oleh rakyat dasar parti yang hendak dibawanya. Seorang calon dalam pilihanraya hanya sebagai wakil parti berkenaan. Maknanya calon tidak boleh keseorangan membawa dasar yang hendak dibawa. Justeru yang diundi oleh rakyat ialah partinya dan bukannya calon. Calon hanya sebagai wakil kepada parti itu sahaja.

Berbeza keadaannya dengan calon bebas. Tidak berparti. Maknanya sekiranya calon bebas itu menang dalam pilihanraya atas tiket bebas maka sipolan itu berhak menjadi wakil rakyat yang sah disebabkan dia mendapat undi rakyat atas tiket peribadinya. Rakyat sukakan dia untuk menjadi wakil rakyat di parlimen. Rakyat memberikan kuasa kepada dia untuk menjadi wakil mereka di parlimen. Itu sah. Berbeza dengan golongan pengkhianat yang melompat yang boleh disifatkan sebagai mengkhianati hasrat rakyat. Mereka seharusnya meletak jawatan dan bertanding atas tiket bebas ataupun atas tiket parti lain.

Wakil rakyat yang ‘melompat’ ataupun mereka yang digelar pengkhianat oleh rakyat tertentu seharusnya meninggalkan parti mereka (yang dahulu) kerana rakyat yang mengundi dalam PRU14 dulu bukan mengundi mereka tetapi parti mereka. Sekiranya ada juga wakil rakyat yang masih merasakan yang beliau diperlukan dan bukan partinya maka wajarlah seseorang wakil rakyat itu meninggalkan partinya dan bertanding secara bebas. Itu yang memenuhi hasrat demokrasi.

Rakyat Malaysia akan terus menerus mempersoalkan isu lompat-melompat ini. Jalan yang sebaik-baiknya ialah pembubaran parlimen dan adakan PRU 15 selepas ‘tamatnya’ Covid-19 nanti –Insyallah.

abuhassanadam
20 mei 2020

Tuesday, May 19, 2020

ANWAR – ‘TEPUK DADA…’

ANWAR – ‘TEPUK DADA…’

Ramai rakan-rakan lama bertanya aku tentang Anwar Ibrahim. Tetapi soalan yang sering ditanyakan ialah mengapa Anwar begitu bersabar menghadapi kerenah Tun Mahathir. Hampir semua orang kampung sedar tentang tindakan Tun Mahathir terhadap Anwar yang seolah-olah Anwar sentiasa dipermain-mainkan. ia itu mengenai janji untuk menyerahkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke8 yang kini merupakan fakta sejarah.

Itu merupakan janji Pakatan Harapan yang telah termeterai bersama. Sepatutnya Tun Mahathir tidak perlu banyak bicara menepati janji yang telah ditepati. Apa perlu lagi beliau mengelak apabila ditanyakan apabila dibangkitkan tentang janji berkenaan. Kelihatan jelas hasrat Tun Mahathir tidak mahu menyerahkan jawatan berkenaan kepada Anwar dengan berbagai daleh dan helah. Kanak-kanak pun dapat membaca tentang tindakan Tun Mahathir berkenaan. Namun Anwar masih bersabar. Dan kesabaran beliau yang sedemikian yang banyak merunsingkan penyokong tegar beliau di peringkat akar umbi.

Sebenarnya Anwar masih mempunyai penyokong yang kuat dan kukuh dikalangan akar umbi masyarakat Malaysia dari semua bangsa rakyat Malaysia samada Melayu, Cina, India dan semua kaum di Sabah dan Sarawak. Adanya cakap-cakap yang mengatakan bahawa beliau tidak mendapat sokongan orang Melayu hanya cakap politik golongan yang sentiasa ingin menjatuhkan beliau.

Anwar sebenarnya amat ditakuti dari segi ketegasan beliau dalam merencanakan sesuatu pentadbiran negara. Mungkin itu juga salah satu sebab mengapa Tun Mahathir begitu berat dan berkira-kira untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar. Ramai yang pernah menjadi pemimpin negara sememangnya tidak suka Anwar jadi Perdana Menteri apatah lagi yang pernah terpalit dengan kegiatan rasuah. Golongan sedemikian seboleh-bolehnya mahu Anwar ‘direhatkan’ lagi supaya golongan ini bermaharajalela dengan sebebas-bebasnya mengekploitasi khazanah negara.

Anwar harus tahu dan sedar bahawa rakyat bawahan yang memberikan sokongan padu kepada beliau sudah agak jemu melihat gelagat Anwar yang sentiasa bersabar dalam menghadapi kerenah Tun Mahathir. Mungkin mereka tidak mahu berterus terang memikirkan yang Anwar mempunyai strategi tertentu untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah itu. Betul menyelesaikan sesuatu masalah seperti mengambil sehelai rambut dalam tepung tetapi sudah begitu lama beliau berada dalam kemelut sedemikian. Maka sudah sampai masanya Anwar harus bertindak mengikut suara hati rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan terhadap beliau.

Tepuk dada…

abuhassanadam
19 Mei 2020

‘MENGGILA’ UNTUK BALIK KAMPUNG

‘MENGGILA’ UNTUK BALIK KAMPUNG

Suasana menjelang Raya di kampung pada waktu itu memang menyeronokkan walaupun dalam serba kekurangan. Mendapat sepasang baju raya sudah cukup mengembirakan. Dan sememangnya sepasang sahaja baju Melayu untuk pakaian hari raya. Dan itu pun mungkin baju raya yang dipakai pada tahun lepas. Dan ada juga yang memakai baju Melayu yang telah diturun temurunkan dari abang-abang yang lepas.

Satu keadaan yang agak luar biasa bagi kami orang kampung pada ketika itu ialah bahawa kami tidak merasakan bahawa kami adalah dari golongan miskin. Pendapatan penduduk kampung adalah disekitar RM50-RM70 ia itu hasil pendapatan dari jualan getah ( hampir keseluruhan penduduk di kampung ku sebagai penoreh getah). Itulah merupakan pendapatan penduduk kampung aku. Namun begitu mereka bersawah padi dalam erti kata mereka tidak membeli beras untuk makanan seharian. Kelapa sedia untuk dikait di belakang rumah. Dan untuk mendapatkan ikan sungai sentiasa tersedia di sungai dan sawah padi. Ketika datang musim buah-buahan akan berlonggoklah manggis, rambutan, cempedak, rambai di kawasan dusun di kampung aku.

Maknanya orang kampung tidak merasakan bahawa mereka miskin dan susah kehidupan. Mereka merasa bahagia selalu. Yang mrasakan orang kampung dalam kesusahan ialah golongan orang senang yang sudah merasa nikmat kesenangan. Di kampung  tidak ada pula perbandingan antara orang senang dengan orang susah disebabkan keseluruhan orang kampung aku susah belaka (mengikut tafsiran orang senang).

Seminggu sebelum Raya, seluruh kampung berbau masakan kuih. Hampir setiap dapur rumah di kampung aku berasap menunjukkan penghuninya sedang membakar kuih menggunakan dapur kayu dan sabut kelapa. Belum ada lagi dapur gas pada ketika itu dan belum ada lagi kuih-kuih modern seperti sekarang. Hampir setiap rumah akan menghidangkan Kuih Bangkit, Kuih Loyang, Buahulu, Putu Kacang disamping lemang yang merupakan makanan wajib di kampung ku.

Yang ingin aku sampaikan dalam coretan ini ialah suasana gembira menjelang Raya dan kegembiraan yang melampau pada hari Raya pada ketika itu – 1950an. Yang dapat aku pastikan bahawa bukan wang yang menyebabkan kita gembira. Kegembiraan terpancar di setiap wajah orang kampung aku pada hari Raya seolah-olah tidak kelihatan langsung kesusahan yang dialami oleh mereka.

Untuk membezakan diantara orang yang agak susah dengan orang senang dikampung kami ialah makanan yang dihidangkan. Misalnya ditinjau dari segi lauk mencecah lemang. Sekiranya lemangnya berlaukkan Rendang Kerang bolehlah diandaikan seseorang itu dalam keadaan amat sederhana (pada ketika itu se kati (setengah kilo) kerang hanya berharga 10sen. Kebiasaanya lemang akan berlaukkan Rendang Daging atau Rendang Ayam. Walau susah macam mana sekali pun penduduk kampung aku akan tetap menyediakan hidangan hari raya. Lemang tetap ada ( disebabkan mereka bersawah padi).

Walaupun tidak ada konsep ‘Rumah Terbuka’ di kampung ku, namun kesemua rumah pada hari Raya dan pada hari-hari biasa pintu tetap terbuka. Masuklah pada bila-bila masa akan tetap disambut dengan senyum ria oleh penghuni rumah. Langsung tidak memerlukan sebarang ‘appointment’ seperti amalan orang-orang bandar kini.

Sebab itulah anak bandar ‘menggila’ untuk pulang ke kampung untuk beraya.


abuhassanadam
19 Mei 2020






Monday, May 18, 2020

KERAJAAN BERUBAH KERANA ADA YANG MELOMPAT

KERAJAAN BERUBAH KERANA ADA YANG MELOMPAT

Sebenarnya nak bercakap hal politik ni aku tak berapa pandai apatah lagi dengan perkembangan politik yang berlaku di Malaysia kini. Secara kebetulan kini telah berlaku persidangan parlimen. Satu hari sahaja. Dan hanya untuk mendengar titah ucapan YDP Agung. Lepas itu baliklah segala ahli parlimen. Ini yang dinamakan persidangan dewan rakyat di Malaysia pada tahun 2020.Aku tak tahu ler samada ini betul ke tidaknya. Tapi hakikatnya begitulah. Terpaksalah rakyat Malaysia menerima kenyataann sedemikian.

Kemudian timbul juga isu kerajaan berubah. Yang baru semalam telah berlaku perubahan pucuk pimpinan di negeri Kedah disebabkan ada wakil rakyat dema yang melompat. Ini juga satu perkembangan yang agak baru di negeri kita. Tak berapa lama dulu pentadbiran negara berubah dari Pakatan Harapan kepada PN kerana disebabkan ada wakil rakyat yang melompat juga!

Rakyat semakin tak faham perkembangan sedemikian. Rakyat mengundi pada PRU14 dulu ialah mengundi parti kerana setuju dengan manifesto yang hendak dibuat dan dilakukan oleh parti berkenaan. Rakyat mengundi parti dan bukan ‘orangnya’. Bukan calonnya. Jangan ingat apabila seseorang calon menang dalam sesuatu pilihanraya itu menunjukkan dia dah hebat benar. Tidak!..Dia menang kerana parti yang diwakilinya. Dan orang mengundi parti dan bukan semata-mata calonnya.

Ada jugalah yang rakyat mengundi calon. Mungkin disebabkan calon itu merupakan tokoh yang hebat dari segi kepimpinannya. Ada juga keadaan sedemikian. Tetapi tidak bergantung kepada keperibadian  saja. Mesti juga bergantung pada pati yang diwakilinya.

Jadi berlaku lompat melompat ni semacam tertubuhnya kerajaan ‘ tak berapa cantik’lah. Nak dikatakan kerajaan haram tu tak berapa kena pulak. Bukanlah lagi sebuah kerajaan berdasarkan demokrasi sebagaimana yang mula-mula diasaskan di Yunani dulu, kerjaan yang dipilih oleh rakyat dan  untuk rakyat.

Sebenarnya rakyat tak mahu dan tak suka kepada seseorang itu dari segi peribadinya yang rasuah dan sebagainya tetapi disebabkan parti yang diwakilinya menyebabkan rakyat memberikan undi kepadanya. Dan jadilah dia sebagai wakil rakyat. Ahli Parlimen. Kemudian ahli Parlimen berkenaan melompat. Seolah-olah yang melompat itu pengundi-pengundi dia sekali  sedangkan pengundi dia tak bersikap demikian. Dan kesanya berubah dan jatuhlah sebuah kerajaan. Itu sebabnya  dikatakan pengkhianat tu kut!!

abuhassanadam
18 Mei 2020

KASUT RAYA KU

KASUT RAYA KU

Semenjak awal puasa lagi, setiap kali aku melintasi kedai Joo Onn aku akan berhenti di situ untuk melihat kasut Bata yang tersusun dalam almari cermin di kedainya itu. Teringin benar aku memiliki kasut yang ada tapak tu. Harganya yang tertulis di situ ialah RM3.20. Terlalu mahal  untuk memilikinya. Tidak termampu bapak untuk membelinya.

Hanya tinggal dalam impian. Namun cita-cita untuk memiliki kasut Bata tidak kunjung padam. Aku sedar bahawa dalam tabung buluh yang terletak disudut rumah aku pasti ada tersimpan juga sedikit wang untuk menampung pembelian kasut Bata berkenaan. Namun tidak mencukupi. Paling banyak pun wang syiling yang ada dalam tabung buluh aku itu disekitar RM1.50 sen. Kebanyakan syiling yang ada dalam tabung buluh itu adalah syiling 5 sen, kerana itu saja yang aku termampu untuk menyimpan dari wang saku yang diberikan bapak sebanyak 20 sen setiap hari.

Aku yakin yang bapak akan membelikan juga kasut baru untuk aku. Tapi bukanlah kasut Bata yang aku idamkan. Tidak ramai kanak-kanak di kampung aku itu yang mampu memakai kasut Bata. Cuma ada seorang dua sahaja yang pernah aku lihat memakai kasut Bata sebagaimana yang aku idamkan itu. Memiliki dan memakai kasut Bata di kampung aku pada waktu itu ibarat seperti memakai kasut berjenama ‘Russel and Bromley’ atau pun ‘Balley’ lah.

Dengan wang simpanan yang ada ditambah lagi oleh wang yang diberikan oleh emak aku hasil dari jualan ayam ternakannya aku dapat memiliki kasut Bata dari kedai Joo On sepertimana yang aku idamkan. Tidak dapat aku bayangkan keseronokan aku pada ketika itu setelah dapat memiliki kasut Bata. Ada juga perasaan aku untuk menunjuk-nunjuk kasut Bata aku itu pada Ngah, Mat Gedi, Zainun, Isa, Bahari. Tidak sabar rasannya untuk menunggu ketibaan Hari raya.

Aku tahu dan pasti bahawa mereka tidak akan mampu memiliki kasut Bata seperti aku. Kebiasaannya pada Hari Raya kami anak-anak kampung hanya memakai sliper Jepun sahaja pada Hari Raya. Jikalau memakai kasut pun hanya kasut getah murah yang bukan diperbuat daripada Bata. Aku tahu saban tahun aku memamakai kasut sedemikian. Dan baru tahun itulah aku dapat merasakan kasut Bata.

Kasut Bata dibeli oleh bapak pada 10 Ramadhan. Bermakna aku terpaksa menunggu 20 hari lagi untuk memakai kasut Bata pada Hari Raya. Walaupun begitu kasut Bata berkenaan aku sarungkan di kaki aku setiap malam sebelum tidur. Aku berjalan di atas rumah, mundar mandir menggayakan kasut Bata aku sebelum aku tidur. Dan aku pastikan juga kasut Bata berkenaan di simpan di tempat yang selamat, takut juga digigit tikus. Maklumlah bau kasut Bata itu mungkin juga menarik perhatian tikus untuk mencuba menggigitnya. Maklumlah , malang tidak berbau kata orang.

Pada pagi Hari Raya itu, kokok ayam pertama aku dah bangun dan terus mandi. Tidak lain ingatan aku selain dari mengidam untuk memakai kasut Bata baru. Dan kesbiasaannya pada pagi Hari raya, kami anak-anak kampong akan pergi rumah Pak Haji Sulaiman ( guru Quran yang mengajar kami) terlebih dahulu sebelum bertolak ke masjid.. Berkumpul di situ dan kemudian berarak ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Begitulah jadualnya saban tahun.

Dan pastinya kasut Bata aku akan menarik perhatian  ramai ketika berada di rumah Pak Haji Sulaiman. Kebimbangan mula menguasai perasaan aku mengenai Kasut Bata. Timbul persoalan dimanalah akan aku letakkan kasut Bata ku itu ketika berada atas rumah Pak Haji nanti. Takkanlah nak pakai kasut sampai ke rumah. Tak pernah dibuat oleh orang. Lagipun kotor lah rumah Pak Haji. Hendak aku letakkan bersama-sama dengan kasut kawan lain di tepi tangga, pastinya akan dipijak-pijak oleh kawan lain. Hendak aku letakkan di bawah gelegar rumah Pak Haji, nampak pelik sangat pulak. Akhirnya aku letakkan kasut aku bersama-sama dengan kasut kawan lain. Di tepi tangga. Terserahlah…

Memang betul dugaan aku. Apabila aku turun saja dari rumah Pak Haji Sulaiman, kelihatan kasut Bata berwarna putih sudah bertukar warna kerana dipijak oleh rakan-rakan lain. Bukan sengaja mereka memijak kasut baru ku itu tetapi disebabkan keadaan yang bersesak-sesak mereka pastinya tidak menyangka yang mereka telah memijak kasut baru ku  yang berwarna putih melepak itu.

Dalam perjalanan aku ke rumah Pak Haji Sulaiman tadi, aku sedar bahawa lorong pejalan kaki di kampung aku sememangnya becak disebabkan hujan yang tidak henti-henti musim tengkujuh dan aku cuba mengelak kasut aku terkena lecah. Terselamat jugalah kasut pautih aku disebabkan keadaan aku berhati-hati melalui jalan becak itu. Tetapi dengan keadaan yang bersesak-sesak di tepi tangga rumah Pak Haji Sulaiman, keadaan kasut putih ku tidak dapat diselamatkan juga.

Bagitulah nasib anak kampung yang serba kekurangan pada zaman penjajahan British.

abuhassanadam
18 Mei 2020

Sunday, May 17, 2020

PANJUT TIADA LAGI

PANJUT TIADA LAGI

Kebiasaanya pada hari-hari menjelang Aidil Fitri begini orang kampung ku sudah bersiap sedia untuk memasang panjut. Ataupun sekurang-kurangnya cakap-cakap mengenai panjut sudah kedengaran di mana-mana. Kami merasakan memasang panjut itu merupakan satu pesta tahunan yang mesti diadakan. Bukan ada penganjurnya dan tidak pula ada yang mengarahkan penduduk kampung suaya memasang panjut.

Mungkin anak-anak zaman ini tidak tahu apa yang dinamakan panjut atau ‘memasang panjut’ itu. Panjut itu merupakan pelita yang diperbuat mengikut kreativiti sesorang itu. Ada yang berbentuk pelita bersumbu. Ada yang diperbuat daripada buluh yang dibubuh sumbu dan dinyalakan menggunakan minyak tanah. Ada juga yang diperbuat daripada tepurung yang disusun berlapis, yang dibakar daripada atas sehinggalah ke lapisan bawah. Ada juga panjut yang direka seperti bintang yang kemudiannya dibubuh pelita ke dalam rekaan bintang itu.

Yang menghairankan aku pada hari ini (selepas setengah abad) ialah tidak ada ‘arahan’ atau penganjuran yang ‘memaksa’ penduduk kampung aku dan di kampung-kampung lain untuk memasang panjut pada Malam 23 Ramdhan, ataupun Malam 25 Ramdhan atau Malam 27 Ramdhan atau Malam Tujuh Likur. Malam 27 merupakan malam kemuncak memasang panjut. Dalam istilah orang zaman ini bolehlah dikatakan seperti Malam Perdana.

Kegembiraan menyambut Hari Raya sudah bermula semenjak Malam 23 puasa lagi. Setiap rumah sudah bersedia dengan panjut untuk dipasang. Sekurang-kurangnya pelita bersumbu ataupun panjut tempurung yang disusun berlapis (dimana tempurung-tempurung itu telah pun dikumpulkan semenjak setahun lalu selepas Hari Raya sebelumnya).

Malam memasang panjut nampak riang di kampung disebabkan malam-malam berkenaan sahaja yang kelihatan kampung kami terang benderang sedangkan malam-malam lain dalam keadaan gelap gelita. Tidak ada lampu jalan untuk menerangi jalan (atau lorong berjalan kaki) di kampung kami. Tidak ada letrik untuk menerangi rumah-rumah. Yang boleh menerangi kampung kami selain dari memasang panjut pada penghujung bulan puasa ialah pada malam-malam cahaya bulan penuh. Itu pun samar-samar tidak seperti cahaya lampu letrik kini.

Namun begitu cahaya bulan di kampung aku begitu romantis sekali. Dapat aku bayangkan betapa nikmat dan indahnya menikmati cahaya bulan sekiranya berdiri di hadapan rumah Encik Kontak menghadapi Kampung Pulau yang diselangi oleh sawah padi yang sedang menguning. Kampung Pulau dapat aku bandingkan dengan Pulau Hawaii yang begitu menarik. Cuma bezanya Hawaii dikelilingi oleh lautan, Kampung Pulau dikelilingi oleh sawah padi. Menikmati cahaya bulan sebegitulah merupakan hiburan anak muda di kampung aku pada ketika itu untuk menghilangkan rasa rindu dendam yang terpendam yang mendapat tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Satu kenikmatan yang mungkin tidak adapat dirasai lagi kini.

Kedatangan Malam 27 sememangnya dinanti-nantikan oleh anak muda dan anak dara juga. Malam itulah boleh dianggap sebagai malam ‘pertemuan’ anak muda dan anak dara di kampung aku yang sudah sekian lama menyimpan perasaan rindu yang tidak ketentuan kepada siapa. Walaupun terselit perasaan kerinduan kepada seseorang, namun tidak dapat dilepaskan kerinduan berkenaan dan hanya pada malam-malam beginilah dapat sedikit sebanyak melepaskan kerinduan berkenaan. Itupun dalam keadaan yang amat terhad dan amat terbatas (disebabkan adat dan budaya yang mebelengukan)

Selesai sahaja berbuka puasa maka bermulalah pesta memasang panjut. Dan setiap rumah akan kelihatan terang benderang. Dan terlalu janggal dipandang mata sekiranya ada rumah yang tidak melakukan sedemikian. Tidak akan kelihatan suasana muram diwajah penduduk kampung ketika merayakan pesta memasang panjut seolah-olah tidak ada langsung kerunsingan perasaan kepada penduduk kampung walaupun kehidupan kami dalam keadaan yang amat sederhana.

Kami tidak merasakan yang diri kami miskin disebabkan hampir keseluruhan penduduk kampung kami dalam kemiskinan. Kami tidak tahu apa maksud miskin disebabkan tidak ada penduduk di kampung yang kaya untuk dibuat perbandingan. Hilaian gelak ketawa hampir sama bagi penduduk di kampung aku. Kami meraskan cukup bahagia disamping keluarga tercinta.

Pesta memasang panjut akan terus berlanjutan sehingga tengah malam. Seolah-olah penduduk kampung terutamanya muda-mudinya tidak mahu malam akan berakhir. Seolah-olah kami mahu malam 27 terus berlanjutan supaya dapat kami terus menerus menikmati suasana Malam 27. Malam ini jugalah anak muda dapat berjalan mundar melalui jalan sempit (lorong berjalan kaki) di kampung kami dengan diterangi cahaya pelita panjut.

Nikmatnya kehidupan di kampung pada ketika itu…

abuhassanadam
17 Mei 2020

Saturday, May 16, 2020

KU DOAKAN CIKGU ‘BERBAHAGIA’ DISANA

KU DOAKAN CIKGU ‘BERBAHAGIA’ DISANA

Walaupun Cikgu sudah tiada namun Cikgu sentiasa berada dihatiku. Sumbangan dan jasamu amat sukar ku lupakan.

CIKGU SAMAD KULUP SEMAN – Aku masih ingat Cikgu hadiahkan kepada                                                     aku empat buah buku tulis (yang harganya                                                       setiap satu hanya 10 sen pada ketika itu ia                                                      itu ada tahun 1953) sebagai hadiah kepada                                                     aku kerana kejayaan aku dalam                                                                                    peperiksaan Darjah Tiga pada ketika itu.                                                          Cikgu tulis pada kulit buku berkenaan, ‘                                                                       Hadiah kerana mendapat tempat pertama                                                       dalam peperiksaan akhir Darjah Tiga –                                                                      1953’. Masih ada lagi tersimpan ‘hadiah’                                                           berkenaan. Semoga Cikgu Samad                                                                       ‘berbahagia dan dicucuri rahmat’ disana!

CIKGU YUNUS SHAMSUDDIN - Mengajar aku ketika aku Darjah Dua di                                                                        Malay Boys School Padang Rengas pada                                                        tahun 1952. Masih terasa lagi sakitnya                                                              apabila Cikgu Yunus mencubit perut aku                                                            kerana tidak mendapat jawapan ‘CONGAK’                                                     (mental Arithmatic). Arwah Cikgu Yunus                                                           terus menerus mengikuti perkembangan                                                         kerjaya aku sehinggalah arwah                                                                           menghembuskan nafas terakhir.

CIKGU IBRAHIM ABDULLAH -    Aku tak tahu yang beliau merupakan                                                                ‘peminat setia’ ku. Maklumlah beliau pada                                                  ketika itu seorang guru besar disekolah itu.                                                     Justeru tentulah aku ‘takut’ berjumpa beliau                                                      sedangkan beliau mengikuti perjalanan                                                                       hidup ku.Aku merasa sedih dan sayu                                                                apabila beliau ketika bercuti di London pada                                                  tahun 1996, beliau telah mengunjungi                                                              pejabat aku bekerja di Bryanston Square,                                                             London. Malangnya pada ketika itu aku                                                                        berada di Glasgow Scotland bertugas.                                                              Mengiku kata Pembantu Pejabat aku Arwah                                                   Cikgu Ibrahim merenung dan mengusap                                                         namaku yang tertulis di luar pintu bilik aku.                                                     Menitis air mataku mengenangkan peristiwa                                                   berkenaan.

Tentulah ramai lagi para guru yang sepatutnya aku nukilkan di sini namun tentulah memakan ruang yang luas. Cukuplah sekadar mengatakan bahawa sumbangan mereka seluas lautan yang tidak bertepi yang menjadikan kita sebagai seorang manusia.

Berbahagialah hendaknya mereka ‘disana’ dan ditempatkan mereka dikalangan golongan yang beriman.

AMIN….


abuhassanadam
16 Mei 2020
Hari Guru