Sunday, April 19, 2015

AHLI UMNO DI PERSIMPANGAN: ANTARA SAYANGKAN UMNO ATAU SAYANGKAN DS NAJIB?

Ahli UMNO di seluruh negara kini sudah betul-betul berada di persimpangan. Mereka terpaksa membuat keputusan dan perhitungan yang cukup kritikal. Mereka bukan diperlukan membuat pilihan samada ‘telan mati emak atau luah mati bapak’ tetapi sebenarnya mereka terpaksa memiilih berdasarkan kepentingan peribadi dan menerusan hidup supaya ‘periuk nasi tidak dimasukki pasir’. Mereka bukan lagi terpaksa membuat pilihan kerana perjuangan tetapi merdasarkan kepentingan ‘perut’ walaupun tidak semua yang bersikap demikian.

Tun Mahathir sudah berkali-kali menyatakan (meramalkan) sekiranya DS Najib tidak mengundur diri dari jawatan yang disandangnya Barisan Nasional akan kalah dalam PRU ke 14 yang akan datang. Walaupun ini hanya merupakan ramalan tetapi yang meramalkan ialah Tun Mahathir, tokoh yang berjaya menempuh beberapa kali PRU dan menang. Kenyataannya bukan semata-mata untuk ‘sedap mulut’ tetapi berdasarkan fakta yang konkrit yang sentiasa berada dalam ‘simpanan’nya mungkin.

Seingat aku belum pernah lagi Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan yang sekeras itu kepada Pak Lah. Dan Pak Lah telah berundur sebelum Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan sedemikian seolah-olah Pak Lah sedar bahawa beliau tidak mahu dipersalahkan sekiranya BN kalah teruk dalam PRU dibawah pengawasannya. Pak Lah tidak mahu namanya tercatat dalam sejarah sebagai Perdana Menteri yang membawa kepada kehancuran kepada UMNO dan Barisan Nasional.

DS Najib kelihatan semacam ‘bertahan’ dan terus mempertahankan kedudukannya dengan mengharapkan sokongan daripada ahli UMNO yang terus menerus memberikan sokongan. Tetapi soalnya berapa lama lagi DS Najib boleh bertahan dengan bersandarkan kepada sokongan ini. Sejarah telah menunjukkan bahawa sokongan yang sedemikian tidak akan bertahan lama.

Aku teringat kata penulis terkenal Han Suyin yang mengatakan, ‘anak sungai lagikan berubah….” dan Saloma dalam lagunya ‘Embun Menitik’ pula mengatakan, ‘anak sungai lagikan berubah inikan pula hati orang’. Dan tentulah terngiang-ngiang di telinga aku kini mengenangkan nasib yang dilalui oleh DS Najib dalam menempuh hari-hari  yang akan dilaluinya.

Aku teringat juga bagaimana nasib yang dilalui oleh Dato Haris Salleh pada malam pengumuman keputusan pilihan raya negeri Sabah ketika partinya BERJAYA tewas teruk di tangan parti PBS (Parti Bersatu Sabah) pada tahun 1980an dulu. Sebagaimana digambarkan oleh majalah Asiaweek (sudah tidak terbit lagi) bahawa ‘perlahan-lahan’ penyokong Dato Haris Salleh ( yang sebelumnya mungkin sehidup-semati) meninggalkan perkarangan rumahnya apabila dilihat oleh mereka bahawa BERAJAYA tidak lagi akan memerintah Sabah.

Dan aku tentulah tidak boleh lupa peristiwa bagaimana Saudara Anwar Ibrahim ‘ditinggalkan’ oleh penyokong-penyokongnya apabila beliau dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan keahliannya dalam UMNO. Walaupun’sokongan kuat’ diberikan oleh penyokong-penyokongnya pada malam bersejarah dia dilucutkan jawatan berkenaan, namun pada hari-hari berikutnya ‘penyokong-penyokong’nya mula meninggalkan beliau kecualilah beberpa orang rakan yang betul-betul setia kepada perjuangannya.

Dan Tun Mahthir juga mengalami keadaan yang hampir serupa apabila beliau dipecat dari UMNO oleh Tunku Abdul Rahman. Mereka hampir keseorangan dalam mengharungi perjuangan ini. Namun kedua-dua tokoh ini, Mahathir Mohammed dan Anwar Ibrahim adalah pemimpin sebenar yang dimiliki oleh bangsa Malaysia. Mereka tetap meneruskan perjuangan walaupun keseorangan. Bagi Saudara Anwar Ibrahim, dengan berpasakan perjuangan ‘Lawan tetap lawan’ beliau masih terus ‘hidup’ dan bersemangat dalam perjuangan walaupun jasadnya dikurung.

Kini rakyat sedang memerhatikan satu lagi babak perjuangan seorang pemimpin negara yang bernama Najib Tun Abdul Razak. Aku merasakan bahawa belum ada lagi ujian yang sebegini getir yang pernah dilalui oleh DS Najib sebelum ini. Dan kini DS Najib boleh terus ‘hidup’ kerana ‘sokongan’ yang diberikan oleh para penyokongnya. Dan aku yakin juga bahawa DS Najib juga sedang memikirkan bahawa selama mana lagi ‘penyokong’nya akan memberikan sokongan sekiranya asas ‘sokongan’ yang diberikan berasaskan BRIM atau kontrek lumayan yang diberikan.

Berbanding dengan sokongan yag diberikan oleh rakyat kepada Tun Mahathir yang asasnya adalah cukup kuat ia itu mencari kebenaran di atas persoalan yang dikemukakan. Rakyat Malaysia begitu yakin dengan persoalan yang dikemukakan sehinggakan ‘penyokong’ DS Najib juga sudah mula terpengaruh dengan hujah yang diberikan oleh Tun Mahathir itu.

Rakyat Malaysia akan melihat drama yang agak menarik ini. Bukan gembira melihat kejatuhan seseorang tetapi memerhatikan gelagat ‘penyokong’ yang bertindak sebagai ‘hipokrit’ apabila diketemukan dengan suasana yang penuh dengan dilemma sebegini.  Sekurang-kurangnya memberikan pengajaran kepada anak-anak muda yang sedang belajar menuntut ilmu politik yang penuh dengan ‘sepak-terajang’nya.

abuhassanadam
19 April 2015



No comments:

Post a Comment