BUKAN TIDAK ADA ORANG MELAYU YANG
BERKEBOLEHAN..
Aku perhatikan sudah hampir satu dekad masyarakat
di Malaysia sentiasa membincangkan hal
yang berkaitan dengan orang Melayu. Tidaklah bermakna bahawa masyarakat
Malaysia tidak membincangkan hal orang lain, orang Cina dan India misalnya.
Ada. Tetapi penumpuan lebih tertumpu kepada membincangkan hal berkaitan dengan
orang Melayu. Dan yang amat malangnya pula ialah hal-hal yang berkaitan dengan
sifat negatif orang Melayu. Dengan
bahasa kasarnya apa saja yang kelihatan ‘buruk’ dan ‘hodoh’ maka pasti
dikaitkan dengan orang Melayu. Dan terlalu sedikit yang menyentuh tentang
‘kehebatan’ orang Melayu. Dan bukanlah tidak ada orang Melayu yang berkebolehan
dan hebat dalam bidang masing-masing.
Yang menyebabkan segolongan masyarakat memandang
rendah kepada orang Melayu adalah berpunca daripada orang Melayu itu sendiri.
Yang menyebabkan orang lain memandang sebelah mata terhadap orang Melayu
disebabkan segelintir orang Melayu yang sengaja ‘menempah’ agar orang lain memandang
‘sebelah mata’ kepada kaum Melayu.
Peristiwa yang mungkin ‘terbaru’ yang aku
perhatikan merendahkan martabat Melayu
ialah tentang kisah segelintir orang Melayu (yang kononnya begitu warak) telah
menimbulkan isu salib di Taman Medan. Kononnya dengan terpampangnya salib di
bangunan gereja itu akan ‘menganggu’ akidah dan menggugat iman umat Islam di
kawasan itu apabila sentiasa terpandang salib yang terpampang itu.
Ini memberikan gambaran kepada penganut agama
lain tentang lemah dan lunturnya pegangan penganut Islam tentang agamanya
sehinggakan dengan memandang salib sahaja sudah boleh melunturkan sesuatu
akidah dan pegangan umat Islam. Amat memalukan. Dan kononnya ditaja oleh
kumpulan politik yang berpengaruh. Dan yang amat menyedihkan ialah sekumpulan
kecil orang Melayu ini telah memalukan orang Melayu yang beragama Islam
keseluruhannya di negara ini.
Masyarakat Melayu beragama Islam merasa ‘terubat’
apabila ada pemimpin negara yang berani kehadapan mengatakan bahawa perbuatan
sebegini adalah salah dan dianggap ‘jijik’ yang sepatutnya tidak berlaku di
negara ini, walaupun pihak Polis
mengatakan perbuatan itu tidak menyalahi undang-undang negara.
Dan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini
masyarakat Malaysia telah melihat berbagai gelagat segelintir orang Melayu yang
memalukan. Ada yang menjadi jaguh membawa kepala lembu untuk menunjukkan kehebatan
mereka di hadapan penganut agama Hindu dan ada juga yang menjadi jaguh merempuh
masuk ke dewan undangan negeri, sebuah bangunan yang terpelihara kerana peranannya
menggubal undang-undang sesebuah negeri. Sampai ke tahap itu ‘keberanian’ dan
‘kebiadaban’ yang ditunjukkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai
orang Melayu.
Walaupun timbul berbagai provokasi yang dilakukan
namun masyarakat Malaysia pada keseluruhannya menanganinya dengan penuh
berhemah dan kesabaran sehinggakan isu yang sedemikian lenyap begitu sahaja.
Menampakkan bahawa bangsa Malaysia keseluruhannya sebenarnya beradab berbanding
dengan hanya segelintir yang bersikap memalukan kaumnya sendiri.
Kadang-kadang apabila melihatkan tentang
‘perangai’ yang ditunjukkan oleh kumpulan yang segelintir ini memberikan
anggapan kepada kita bahawa kemungkinan kumpulan sedemikian ‘dibayar’ untuk
melakukan perbuatan sedemikian, kerana isu yang diperjuangkan oleh mereka
adalah merupakan isu remeh. Bukan sesuatu yang membabitkan hal negara seperti
kenaikan harga barang dan sebagainya.
Dan sekiranya mereka dibayar, maka tentulah
timbul pula pertanyaan di benak kita tentang ‘quantum’nya. Apakah dengan hanya
menerima RM 50 boleh menyebabkan seseorang itu ‘mendedahkan’ maruah dan harga
dirinya (dan juga kebodohannya) untuk ditonton oleh orang lain.
Kita merasa bertuah di negara ini kerana
masyarakat Malaysia keseluruhannya masih menganggap bahawa hanya segelintir
orang Melayu yang menunjukkan perangai hodoh sedemikian. Dan bangsa Malaysia
masih yakin bahawa majoriti orang Melayu tidak begitu. Mereka yakin bahawa orang
Melayu masih merupakan bangsa yang berbudi bahasa, beradab sopan dan tahu
menghargai persahabatan di negara yang tercinta ini. Bangsa Malaysia dan khususnya golongan bukan Melayu sedar
bahawa walaupun terdapat pemimpin Melayu yang curang dan mengamalkan pelbagai
kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa namun masih ramai pemimpin Melayu yang
berkeliber, cekap dan dapat diharapkan untuk menerajui negara ke suatu tahap
yang diharapkan.
Mungkin negara kita kini agak dalam keadaan
malang disebabkan terdapat pemimpin yang hanya mementingkan diri dan keluarga
dan seolah-olah mengabaikan kesejahteraan rakyat, namun mungkin keadaan
sebegini hanya untuk sementara waktu. Mungkin Tuhan bertujuan untuk menduga
kita sebagai bangsa Malaysia yang bermaruah.
Rakyat tahu dan sedar bahawa masih ramai orang
Melayu di luar sana yang berkebolehan yang kemampuan mereka sama dengan
kemampuan bangsa lain di negara ini. Dan hanya menunggu dan menentukan bila
bangsa Malaysia ini akan bersatu tenaga demi untuk memajukan negara yang
tercinta ini.
Aku yakin, masanya akan sampai. Mungkin dalam
masa terdekat.
abuhassanadam
21 April 2015
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteKamisah,
ReplyDeleteKeadaan sebeginilah yang merunsingkan ramai golongan Melayu yang sedar. Lakukan setakat terdaya, dengan cara tersendiri.
Pak Abu
Tuan Abu,
ReplyDeleteMalaysia adalah sebuah negara aman dan damai.sesiapa yang lahir dinegara ini amat bertuah.saya sangat harap keadaan ini dapat dipelihara untuk selama lamanya
Terima kasih
Saudara Ah Chai,
ReplyDeleteOrang muda seperti saudara harus berusaha memelihara negara tercinta ini. Wujudkan bangsa Malaysia yang sebenar-benarnya.
Pak Abu