Sunday, April 26, 2015

APAKAH RAKYAT HANYA MELETAKKAN HARAPAN KEPADA TUN MAHAHIR?

Nampaknya begitu. Apa yang disuarakan oleh Tun Mahathir kini mengenai isu IMDB, Altantuya dan berbagai isu lain sebenarnya sudahpun disuarakan oleh YB Rafizi dan YB Tony Pua. Bukan Rafizi dan Tony Pua sahaja malah ramai pemimpin lain dan penulis blog lain juga telah menyuarakan perkara yang sama tetapi hanya ‘seperti anjing menyalak bukit’. Pihak kerajaan seolah-olah tidak memandang ‘sebelah mata’ pun kepada apa yang dibangkitkan oleh mereka yang sedar tentang pentingnya menyelamatkan kedudukan negara yang kritikal ini. Seolah-olah hanya ‘cakap’ Tun Mahathir seorang sahaja yang ‘dipakai’ oleh pihak bertanggungjawab.

Akhir-akhir ini kelihatan bahawa rakyat Malaysia dari semua golongan semacam tidak bermaya. Rakyat Malaysia hampir kecewa dan seolah-olah cukup kecewa dengan pihak berwajib yang menjalankan pentadbiran mereka seolah-olah mereka ‘beraja di hati dan bersultan di mata’. Apa saja isu yang dikritik atau dibangkitkan oleh rakyat semacam ‘didiam’kan sahaja dan kelihatan semacam ada pula usaha untuk menutup ‘bangkai’ dengan nyiru.

Rakyat bawahan begitu kecewa tetapi hanya ‘berani’ untuk mendiamkan diri semata-mata kerana itulah cara dan jalan paling selamat. Untuk bersuara berasa ‘takut’ pula, walaupun terlalu banyak perkara yang ‘tidak kena’ berlaku disekeliling yang dapat dilihat dan diperhatikan.Hendak mengadu, tidak ada siapa yang ingin mendengarkan aduan. Jikalau adapun yang sanggup mendengar maka tidak pula ada tindakan yang dilakukan. Lantas rakyat seolah-olah membiarkan sahaja apa yang berlaku kepada pemerintahan negara. Dalam hati mereka seolah-olah berkata, ‘biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya’….

Satu perkara yang anih yang berlaku (mungkin hanya berlaku di Malaysia sahaja) ialah tentang kewujudan golongan rakyat yang sentiasa membenar dan menyokong pihak berwajib secara membuta-tuli (walaupun jelas tindakan yang dilakukan oleh pihak berwajib itu tidak sesuai). Aku tidak menyalahkan golongan yang menyokong kerajaan. Bukan begitu yang aku maksudkan. Ada terdapat golongan rakyat (orang Melayu khususnya) yang sudah tidak dapat berfikiran secara rasional hanya dengan ‘bantuan’ BRIM atau kain sarung, atau beras sekampit yang ‘dihadiahkan’ oleh kerajaan. Golongan inilah yang sentiasa ‘mengiakan’ sahaja apa sahaja yang dilakukan oleh pihak pemerintah walaupun yang dilakukan itu bertentangan dengan kehendak undang-undang.

Aku merasakan bahawa negara ini telah mengabaikan bakat-bakat besar yang berada ‘di luar’ yang merasakan diri mereka tidak berguna lagi kepada pemerintah. Yang aku maksudkan ialah tentang pengabaian bakat besar, yang terdiri golongan pesara kerajaan dan swasta yang mana kepakaran mereka boleh digunakan sekiranya dipergunakan dengan sempurna. Aku tidak pula mengatakan yang kerajaan tidak langsung menggunakan bakat-bakat ( yang berpengalaman) berkenaan. Ada. Tetapi tidak sampai ke peringkat maximum.

Aku merasakan golongan pesara ini beranggapan pandangan dan buah fikiran mereka tidak lagi diperlukan oleh kerajaan. Lantas mereka sentiasa berada ‘dipinggiran’ memerhatikan golongan ‘bijak pandai’ yang terdiri dari para menteri dan timbalan menteri kabinet menajalankan pentadbiran mereka. Kadang-kadang golongan ‘orang lama’ ini tersenyum sinis apabila melihatkan tindakan golongan ‘yang masih lembut ubunnya’ menjalankan tugas mereka.

Saranan DS Najib agar golongan tua memberikan peluang kepada golongan muda untuk meneruskan perjuangan membina negara harus disambut dengan hati terbuka oleh rakyat Malaysia. Cuma yang perlu diperbetulkan sedikti tentang saranan DS Najib itu ialah yang dimaksudkan ‘tua’ bukan usianya tetapi ialah tentang cara berfikirnya. Ada terdapat golongan yang muda usianya tetapi tidak relevan tindakannya dengan keadaan dunia tanpa sempadan walau diukur dari segi mana sekali pun. Seolah-olah segala tindak tanduknya membayangkan bahawa golongan muda sebegini amat tidak sesuai menjadi pemimpin dalam Kurun ke 21.

Sebaliknya ada pula golongan tua yang sudah lanjut usianya tetapi bertindak amat relevan dengan zaman global yang penuh cabaran ini. Di negara maju, ukuran ‘tua-muda’ bukan dilihat oleh mereka dari segi umur dan usia tetapi dari segi cara berfikir dan kesesuaian untuk hidup dalam zaman yang sentiasa berubah.
Di negara ini kita masih lagi ‘memiliki’ oarng tua yang begitu lanjut usianya tetapi mempunyai cara berfikir yang terkehadapan dan relevan untuk abad ini. Antaranya Tun Mahathir dan Prof. Ungku Aziz. Mungkin ramai lagi. Walaupun mereka sudah lanjut usia  tetapi pandangan mereka amat terkehadapan.

Dan rakyat Malaysia agak bertuah kerana masih ada lagi Tun Mahathir yang merupakan ‘mata dan telinga’ rakyat dan yang sanggup menyatakan sesuatu yang benar walaupun tidak disenangi oleh pihak pemerintah. Kelihatan kini hanya suara Tun Mahatir sahaja yang ‘diambil’ perhatian oleh pihak berwajib di negara ini dan seolah-olah juga apa saja pandangan yang dikemukakan oleh rakyat, walaupun melalui persidangan parlimen semacam tidak dipedulikan.

Bagaimanalah agaknya negara ini sekiranya Tun Mahathir sudah tidak ada lagi…..

abuhassanadam

26 April 2015

1 comment:

  1. Wahai semua rakyat Malaysia , hanya bergantung kepada seorang doctor sahaja untuk menentukan siapa harus memimpin kita malu lah. Hebat , mana pergi tokoh-tokoh muda MALAYSIA yang bijak ?

    ReplyDelete