Monday, April 27, 2015

WAYANG NASIHAT

Ada setengah tempat mereka panggil ‘wayang pacak’. Ada sebab-sebab tertentu mengapa diberikan nama sedemikian. Di tempat aku dipanggil ‘wayang nasihat’ disebabkan kedatangannnya ke kampung kami biasanya untuk menyampaikan maklumat dari kerajaan yang dianggap oleh orang kampung sebagai ‘nasihat’. Dikatakan ‘wayang pacak’ pula adalah disebabkan gambar dipancarkan ke atas kain putih dimana screennya dipacak ke atas tanah. Maka dipanggilah ‘wayang pacak’.

Adalah merupakan kegembiraan luar biasa bagi penduduk kampung, terutamanya kanak-kanak seperti aku apabila diketahui bahawa ‘wayang nasihat’ akan datang ke kampung. Penduduk kampung menunggunya dengan penuh riang dan debaran. Kebiasaannya kedatangan ‘wayang nasihat’ akan membawa bersamanya filem-filem untuk ditayangkan kepada masyarakat kampung disamping khabar berita yang akan disampaikan. Bagi kanak-kanak bukan berita yang dipentingkan tetap filem-filem yang akan ditayangkan.

Pada sebelah petang sebelum wayang nasihat ditayangkan (biasanya pada sebelah malam), kereta Pejabat Penerangan telah mula menghebah dan mewar-warkan tentang tayangan ‘wayang nasihat’ berkenaan. Kebiasaannya tentulah ada sesuatu berita yang hendak disampaikan oleh Pejabat Penerangan kepada penduduk kampung. Sekurang-kurangnya menasihati penduduk kampung agar tidak bekerjasama dengan pengganas komunis. Kebetulan pula pada ketika itu pengganas komunis sedang mengganas terutama di kawasan Sungai Siput, Grik, Kroh dan Kelian Intan. Jadi satu cara pihak penjajah British menyampaikan maklumat adalah melalu Pejabat Penerangan.

Pukul 5.00 petang aku sudah bersiap sedia untuk ke Kampung Paya Ranggam. Di situ ada satu kawasan lapang berhampiran dengah kedai Pak Ngah Dahaman. Dan di situlah akan direntangkan kain putih untuk tayangan filem. Kawasan itu boleh memuatkan ‘penonton’ sekitar dua ratus orang. Boleh memuatkan penduduk-penduduk dari kampung Paya Ranggam sendiri, Kampung Keroh Hilir, Kampung Sungai Ati, Kampung Keroh Seberang dan berkemungkinan juga ada juga penduduk dari Kampung Keroh Hulu yang akan datang untuk menonton. Kebiasaannya penduduk kampung yang aku sebutkan itu tidak akan melepaskan peluang untuk hadir.

Sesampai sahaja ke situ, ia itu kawasan kedai Pak Ngah Dahaman, aku sudah kelihatan terpacak kain putih rentang yang telah siap sedia terpasang. Maknanya sudah sahlah bahawa akan ada tayangan filem malam itu. Tetapi bukanlah filem-filem yang biasa ditayangkan di panggung yang dilakonkan oleh P.Ramlee atau Normadiah. Bukan.Filem-filem Melayu seperti ‘Aloha’, ‘Panggilan Pulau’ ‘Anakku Sazali’ tidak ditayangkan oleh Pejabat Penerangan tetapi ditayangkan di panggung wayang di Kuala Kangsar. Panggung Rex dan Panggung Grand yang terletak berhampiran dengan stesen bas ‘Red and Yellow’.

Dua jam sebelum ‘majlis’ bermula, kanak-kanak seperti aku sudah mula berkeliaran dan main kejar-kejaran di kawasan tempat tayangan filem, kawasan kedai Pak Ngah Dahaman. Perasaan gembira yang tidak terkira terpancar di muka kanak-kanak kampung. Maklumlah bukan senang berpeluang menonton wayang seperti yang disediakan oleh Jabatan Penerangan itu, walaupun ‘cerita’ yang ditayangkan mengenai pertanian menternak ayam dan kambing.

Waktu maghrib padang kawasan kedai Pak Ngah Dahaman sudah dipenuhi oleh ‘penonton’ dari seluruh pelusuk kampung. Dan pada ketika itu tidak ramai yang mengerjakan sembahayang, apatah lagi berjemaah di masjid-masjid. Terlalu sedikit penduduk kampung yang peduli tentang waktu-waktu sembahayang berbanding dengan keadaan sekarang.

Lebih kurang pukul 7.30 malam, ‘tayangan’ filem dimulakan. Antara tajuk filem yang aku masih ingat yang ditayangkan oleh Jabatan Penerangan di kampung aku ialah berjodol,’ Abu Nawas’ ia itu cerita yang berlatar-belakangkan kegiatan pengganas komunis di Tanah Melayu. Dan sebuah lagi filem yang masih aku ingat ialah berjodol,’ Masjid Washington’ ia itu tentang kisah sebuah masjid di bandar Washington di Amerika Syarikat. Mungkin tujuan pihak kerajaan menayangkan filem itu untuk menunjukkan bahawa Islam berkembang juga di negara-negara Barat seperti di USA.

Tayangan filem hanya lebih kurang 45 minit. Kemudian rehat.  Lampu dipasang. Dan bermulalah majlis penerangan. Majlis penerangan ini yang sebenarnya tujuan Jabatan penerangan datang ke kampung aku, untuk menjelaskan sesuatu kepada orang kampung, terutama tentang pentingnya orang kampung bekerjasama dengan pihak penjajah terutama dengan memerangi bersama pasukan pengganas komunis. Meminta orang kampung jangan memberikan kerjasama dengan pengganas komunis.

Sekarang baru aku tahu apa sebenarnya tujuan kereta Jabatan Penerangan datang ke kampung-kampung pada waktu itu. Pada ketika itu aku tak tahu apa sebenarnya ‘biji-buah’ yang perkatakan oleh pegawai berkenaan, kerana pada ketika tayangan filem ‘berehat’, kami kanak-kanak meneruskan upacara ‘main kejar-kejaran’. Kami tidak peduli apa yang diperkatakan oleh pegawai penerangan itu. Namanya Encik Jumali kata bapak aku.

Selepas menyampaikan mesejnya kepada orang kampung, tayangan filem dimulakan. Cerita lain pulak. Dan kami duduk bersila kembali di hadapan kain putih rentang, memerhatikan dengan penuh minat filem yang ditayangkan. Yang menjandikan aku hairan memikirkan zaman itu ialah tentang ramai rakan-rakan aku yang tidak memakai baju ketika berada di hadapan kain putih rentang itu dan tidak pula digigit nyamuk. Aku mengatakan demikian kerana tidak kelihatan pun mereka menampar nyamuk sekiranya mereka digigit nyamuk. Ataupun mungkin mereka terlalu asyik dengan filem yang ditonton sehinggakan mereka lupa bahawa mereka sedang digit nyamuk. Mungkin……

Yang paling sukar sekali untuk aku melupakan peristiwa tayangan filem Jabatan Penerangan di kampung aku ialah tentang sorakan ‘semangat’ yang diberikan oleh penonton apabila seseorang ‘hero’ dalam sesuatu filem itu berjaya menewaskan ‘crook’ dalam satu pergaduhan. Dalam filem ‘Abu Nawas’ yang ditayangkan, aku masih ingat lagi penonton bertempik sorak ‘kegembiraan’ apabila heronya yang bernama Abu Nawas berjaya menumbangkan crook.

Menampakkan seolah-olah orang kampung aku begitu berpuas hati menonton filem berkenaan. Dan amat berpuas hati ketika dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing. Sepanjang perjalanan pulang mereka akan bercerita dan memberikan ‘ulasan’ tentang cerita yang baru sahaja ditonton oleh mereka. Dan berkemungkinan juga kisah menonton filem ‘Abu Nawas’ oleh Jabatan penerangan itu akan menjadi topik perbualan di kampung buat beberapa hari dan mungkin juga untuk beberapa minggu. Pendek kata di mana sahaja mereka berada, topik itulah yang menjadi tajuk perbincangan mereka.

Begitu hebatnya pengaruh ‘Wayang Nasihat’ pada ketika itu.

abuhassanadam

27 April 2015

No comments:

Post a Comment