PENYOKONG DS NAJIB HARUS
MENDESAK PERDEBATAN TERBUKA ANTARA DS
NAJIB DAN TUN M
Rakyat semakin keliru bukan disebabkan oleh
jawapan DS Najib kepada soalan Tun Mahathir yang mengelirukan, tetapi rakyat
terbanyak semakin keliru dengan sikap yang ditunjukkan oleh penyokong DS Najib
yang seolah-olah memberikan sokongan membabi buta kepada DS Najib. Seolah-olah
mereka tidak tahu sebab-sebab mereka memberikan sokongan kepada DS Najib. Ramai
juga yang kelihatan semacama tidak ada asasnya mengapa mereka memberikan
sokongan itu.
Tentulah amat memalukan sekiranya mereka
memberikan sokongan dengan tidak tahu ‘hujung pangkal’ temtang perkara yang
disokong. Rakyat terbanyak sedang memerhatikan ‘drama’ yang agak menarik ini
memandanggkan isu yang ‘diketengahkan’ ialah mencari jawapan kepada persoalan.
Tentulah mengaibkan sekali sekiranya diperhalusi tentang isu yang sedang
diperbincangkan dengan begitu hangat ini.
Rakyat yang waras fikirannya tentulah menyebelahi
Tun M yang mahu diperjelaskan beberapa soalan. Dan ini tidak pula menunjukkan
yang rakyat menentang DS Najib. Rakyat menyambut baik kesediaan DS Najib mengeluarkan
kenyataan menjawab beberapa soalan ketika ditemuramah oleh TV 3 tempoh hari.
Persoalannya DS tidak menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh Tun Mahathir
dan sebenarnya rakyat terbanyak juga mengharapkan soalan itu dijawab dengan
sempurna.
Sebagaimana kata Tun Mahathir bahawa ramai rakyat
bertanya dia soalan-soalan berkenaan. Dia tidak dapat menjawabnya kerana beliau
tidak tahu jawapannya. Lantas beliau bertanya kepada orang yang boleh menjawab
soalan berkenaan. DS Najib ada membrikan jawapan tetapi jawapan DS Najib tidak
menjawab persoalan ‘siapa yang mengarahkan Sirul membunuh Altantuya….” atau
‘siapa dia Jho Lo?. Dan beberapa soalan lain mengenai 1MDB. Jawapan yang
diberikan oleh DS Najib semacam tidak meyakinkan rakyat.
Kini muncul sokongan demi sokongan kepada DS
Najib. Tentulah rakyat menjadi bingung juga. Mengapa mereka (yang menyokong)
memberikan sokongan kepada DS Najib. Atas dasar apa sokongan sedemikian
diberikan kepadanya. DS Najib tidak bersalah dalam hal ini. Cuma sehingga kini
DS Najib belum memberikan jawapan yang memuaskan hati rakyat terbanyak
khususnya kepada Tun Mahathir. Dan sepatutnya penyokong DS Najib mendesak
supaya DS Najib menjawab soalan-soalan
berkenaan. Dan untuk menambah seri lagi kesuburan demokrasi di Malaysia,
penyokong DS Najib harus menggalakkan DS Najib supaya bersedia untuk berdebat
dengan Tun M berkaitan dengan beberpa isu yang ditimbulkan itu.
Lagipun rakyat Malaysia yang celik huruf dan
celik IT sudah amat dahagakan satu suasana perdebatan seperti yang berlaku di
negara-negara maju seperti di US atau di UK. Mereka sangat mengimipkan suasana
politik yang sedemikian rupa. Jikalau boleh diadakan bukan sahaja perdebatan
antara pemimpin tertinggi parti tetapi seeloknya, calon-calon yang menghadapi
PRU atau PRK juga digalakkan supaya berdebat antara satu sama lain supaya
kebolehan dan kemampuan mereka dapat dinilai oleh para pengundi. Tentulah juga
tidak timbul isu remeh temeh yang boleh membawa kepada perselisihan yang
serious sekiranya perdebatan di adakan.
DS Najib hendaknya jangan persiakan peluang
keemasan ini untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia tentang kebenaran dan
kewajaran beliau melaksanakan dasar-dasar yang dipersoalkan. Rakyat Malaysia
akan memberikan pertimbangan wajar kepada DS Najib sekiranya DS Najib dapat
memberikan penjelasan kepada persoalan yang sudah begitu lama memerlukan
jawapan. Diharapkan DS Najib tidak menghampakan harapan rakyat Malaysia.
Bagi aku itulah cara yang sebaiknya untuk menyuburkan
perkembangan proses demokrasi di negara ini. Selagi tidak dijalankan perdebatan
maka selagi itulah isu ‘kata-mengata’ ini tidak akan selesai. Berikan peluang
kepada rakyat untuk menjadi hakim dan memberikan jalan penyelesaian kepada
persoalan ini. Lagi pun rakyat sudah agak lama menantikan jawapan kepada
persoalan ini. Dan rakyat Malaysia yang berada dalam Kurun ke 21 pasti dapat
menilai yang mana yang betul dan yang mana yang salah.
Tentulah tidak manis dan elok sekiranya kemelut
antara kedua-dua pemimpin ini berpanjangan sedangkan yang dikira ‘bertelagah’
adalah antara anak dan bapak. Dan tentulah amat sukar dan serba salah para ahli
UMNO untuk menyebelahi mana-mana pihak, sekiranya dianggap kemelut ini sebagai
‘pergaduhan’ Namun sekiranya diperhalusi dan berfikir secara waras maka
tentulah tidak ada sebab mengapa ada pihak yang menyokong DS Najib dan ada pula
yang menentang Tun M.
Sekiranya ditanya semula rasional mereka yang
menyokong DS Najib maka tentulah tidak bertemu dengan jawapan konkrit selain
daripada hasrat menyatakan sokongan kepada pemimpin ‘yang disayangi’. Dan
jikalau ditanya pula apakah alasan konkrit tentang mengapa mereka menentang Tun
Mahathir maka tentulah tidak bertemu dengan jawapan disebabkan BUKAN permusuhan
yang dicari oleh Tun M tetapi hanya jawapan kepada beberapa persoalan.
Ada juga kedapatan pemimpin yang mengatakan
bahawa tidak semua soalan yang dikemukakan oleh Tun M atau rakyat tidak perlu
dijawab kesemuanya. Apakah wajar pemimpin sebegini mengeluarkan kenyataan
sedemikian? Apakah mereka sudah lupa bahawa mereka adalah sebagai wakil rakyat
dan sekiranya mahu ‘persetankan’ soalan yang ditimbulkan oleh rakyat maka
eloklah pemimpin yang bersikap demikian meninggalkan saja jawatan yang
disandangnya.
Penyokong-penyokong DS Najib harus merenungkan
sejenak apakah betul dan tepat tindakan mereka memberikan sokongan (yang
semacam membabi-buta) mereka kepada DS Najib. Aku amat setuju sekiranya
penyokong DS Najib memujuk dan mendesak agar DS Najib mempelawa Tun Mahathir
untuk berdebat dengan beberapa isu yang dibangkitkannya. Dan aku yakin juga
bahawa Tun Mahathir akan bersedia untuk hadir dalam perdebatan sekiranya
diadakan demi kepentingan rakyat Malaysia yang tercinta.
Semoga hasrat rakyat Malaysia ini terkabul.
abuhassanadam
14 April 2015
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteKamisah,
ReplyDeletePerdebatan dan perbincangan secara sihat adalah 'asam-garam' kehidupan manusia yang berperadaban. Patut digalakkan.
Pak Abu