PERMATANG PAUH : BIDUK LALU KIAMBANG BERTAUT
Teringat pula kata-kata Winston Churchill apabila mengatakan
bahawa “A nation has no permanent enemies and no permanent friends, only
permanent interests.” Semacam ada pula persamaan dengan hasrat Pakatan
Rakyat (PKR,DAP,PAS) untuk merealisasikan hasrat dan melupakan apa saja
permasalahan yang pernah diketemui sebelum ini.
‘Laut mana yang tidak berombak dan bumi mana yang tidak
pernah ditimpa hujan’ merupakan peribahasa Melayu yang amat sesuai
menggambarkan keadaan politik yang hampir-hampir merenggangkan parti-parti
dalam Pakatan Rakyat ataupun yang berkemungkinan memecah-belahkan langsung.
Ramai yang tidak menyangka bahawa PRK Permatang pauh boleh dijadikan ‘biduk lalu yang menyebabkan kiambang bertaut’. Ramai
yang tidak menyangka keadaan akan terjadi begitu.
Malah Barisan Nasional dan khususnya UMNO yang sentiasa
mengharapkan agar berlaku perpecahan yang teruk dikalangan parti-parti yang
menganggotai Pakatan Rakyat ekoran daripada beberapa keadaan yang boleh membawa
kepada perpecahan demikian. Berbagai tektik dan cara digunakan oleh UMNO untuk
menghuru-harakan Pakatan Rakyat, tetapi kelihatan semacam gagal usaha
sedemikian.
Sebaliknya UMNO dan Barisan Nasional yang menghadapi kemelut yang
bukan kepalang dan berkemungkinan besar akan membawa kepada perpecahan orang
Melayu dalam UMNO. Kemelut politik ekoran daripada ‘perbalahan’ antara Tun
Mahathir dengan DS Najib bukan merupakan perkara kecil yang boleh selesai dalam
masa yang singkat.
Sebagaimana yang pernah dilihat bahawa Tun Mahathir tidak akan
mudah mengalah dalam apa saja tindakan yang pernah dilakukannya. Kebiasaannya
beliau akan ‘menyudahkan’ setiap tugas yang dirangka dan di laksanakan. Sejarah
telah memaparkan bahawa Tun M tidak akan
menyerah kalah dengan mudah dan seolah-olah baginya ‘menyerah kalah’ bukan
‘pakaian dirinya’, malah ia merupakan maruah diri yang semestinya
dipertahankan.
Dalam suasana krisis kepimpinan UMNO yang agak meruncing itulah BN
akan bertanding dalam PRK Permatang Pauh menentang calon Pakatan Rakyat yang
tentunya bukan calang-calang calon yang akan diletakkan di situ. Sekiranya
diizinkan Allah, Pakatan Rakyat tentunya tidak menempuh jalan sukar untuk
memenangi PRK berkenaan memandangkan yang pihak BN sememangnya sarat dengan
berbagai masalah yang terlalu sukar untuk diselesaikan dalam masa yang singkat.
Ada kemungkinan pihak kerajaan akan menarik balik dasar GST yang
diperkenalkan sekiranya rakyat di Permatang Pauh dan di Rompin menunjukkan
tentangan mereka yang jelas terhadap pengenalan dasar berkenaan. Dan
sememangnya GST itu melibatkan semua lapisan rakyat. Dan sememangnya rakyat
marah terhadap pengenalan GST walaupun telah berapa banyak penerangan yang
diberikan oleh pihak kerajaan mengenainya.
Majoriti rakyat di Permatang Pauh dan Rompin berkemungkinan tidak
begitu peka dan faham tenatang masalah yang berlegar berkaitan dengan IMDB dan
isu mengenai Altantuya. Dan berkemungkinan juga mereka tidak begitu peduli
tentang ‘jeritan’ Tun M mengenai IMDB, walaupun yang ‘terjerit’ dan ‘terlolong’
itu bekas Perdana Menteri Malaysia. Tetapi rakyat luar bandar khususnya begitu
marah sekiranya kelihatan jelas susutnya barangan yang dibeli oleh mereka
daripada keadaan biasa ekoran daripada pengenalan GST.
Rakyat Malaysia seolah-olah mengharapkan sangat kepada pengundi
Permatang Pauh dan Rompin untuk menghantarkan satu isyarat jelas kepada
kerajaan yang GST yang diperkenalkan itu membebankan rakyat. Mungkin golongan
yang berada seperti para Menteri dan golongan pemimpin UMNO yang berkehidupan
mewah tidak terasa tekanan GST, tetapi bagi masyarakat miskin luar bandar dan
di bandar juga amat terasa himpitannya. Semoga rakyat Permatang Pauh dan Rompin
dapat menghantarkan isyarat jelas kepada kerajaan mengenai GST ini.
Dalam suasana negara yang jelas memihak kepada pembangkang inilah
rakyat di Permatang pauh dan Rompin akan membuang undi menentukan calon pilihan
mereka. Bagi Permatang Pauh tentulah tidak syak lagi bahawa tidak ada calon
lain yang akan dipilih oleh mereka selain daripada calon yang ada kaitan dengan
Anwar Ibrahim. Sekiranya Anwar Ibrahim dibenarkan bertanding (walaupun dari
dalam penjara) besar kemungkinannya beliau akan memenangi PRK berkenaan.
Pakatan Rakyat nampaknya tidak akan menempuh jalan sukar untuk
memenangi PRK Permatang Pauh, apatah lagi setelah dapat diselesaikan masalah
kecil yang berlaku antara parti-parti komponen yang mengangggotai PR berkenaan.
Sekurang-kurangnya pengundi Permatang Pauh tidak akan melupakan
jasa dan sumbangan Saudara Anwar yang kini seolah-olah ‘terpaksa’ dipenjarakan.
abuhassanadam
15 April 2015
No comments:
Post a Comment