Thursday, April 23, 2015

TG HAJI HADI BUKAN RAKAN SEJATI

Tindakan TG Haji Hadi cuba mengelak soalan tentang,’ siapakah yang patut diundi pada PRK Permatang Pauh’, menampakkan jelas bahawa beliau sedang menyembunyikan sesuatu seolah-olah menyembunyikan ‘ada udang disebalik batu’. Jelas menampakkan bahawa beliau sebagi pemimpin parti yang agak bermaruah (dulu) telah terjelma sebagai pemimpin yang tidak ‘bertulang-belakang’ sehingga ‘tergagap-gagap’ untuk menjawab soalan yang ‘straight –forward’.

Bagaimanapun TG Haji Hadi  mejawab: "Yang tanya itu tak undi (di) Permatang Pauh, jadi tak payah jawablah." Kemudian, seorang lagi hadirin yang tampil memperkenalkan dirinya sebagai pengundi Permatang Pauh dan bertanyakan soalan yang sama. Dan jawapan TG Hadi ialah,’"Mengundi lambat lagi. Saya tak boleh jawab lagi soalan itu. (Ini) kerana undi boleh dibeli pada bila-bila masa,"

Menampakkan solah-olah TG Haji Hadi merasa ‘takut’ dan ‘bimbang’ ketika menjawab soalan yang sedemikian rupa. Seolah-olah ada ‘lembaga’ yang ‘membeliakkan’ biji mata ketika soalan sedemikian diajukan. Dan ‘ketakutan” TG Haji Hadi menjawab soalan sedemikian seolah-olah ada ‘kuasa’ yang boleh ‘mengarahkan’ beliau untuk menjawab atau tidak soalan yang diajukan. Semacam begitu. Atau dengan ringkasnya sudah kelihatan semacam TG Haji Hadi sudah ‘termakan budi’.

Amat berbeza dengan kenyataan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selaku pengerusi jawatankuasa induk PAS dalam pilihan raya kecil Rompin yang mengatakan,Kehadiran Naib Presiden PKR YB Nurul Izzah Anwar berserta pimpinan PKR Pusat dan negeri dan YB Tengku Zulpuri Pengerusi DAP Pahang mencerminkan kerjasama yang kukuh antara semua komponen parti Pakatan Rakyat di Pahang.Kita mesti memastikan keadaan yang sama akan dapat dijelmakan di Permatang Pauh.Kesepaduan kita di Rompin dan Permatang Pauh amat menggerunkan Umno-BN.
Ini langkah yang betul ke arah kemenangan kita menghentikan penindasan BN terhadap rakyat serta kezaliman mereka.Kita yakin dengan kerjasama sebagaimana yang ditunjukkan hari ini kita berada di dalam jalan ke arah memperoleh kejayaan.Oleh itu, ketepikanlah perbezaan yang kecil antara kita”

Ekoran dari kenyataan yang tegas begitu mungkin ramai juga yang menyoal tentang ‘ siapakah agaknya Presiden PAS kini, TG Haji Hadikah atau Tuan Ibrahim?” Mungkin ada yang menyoal begitu memandangkan dua kenyataan yang amat ketara berbeza.
Pastinya TG Haji Hadi dilihat oleh pengikutnya (yang progresif) sebagai pemimpin yang sudah ketara lemahnya sehinggakan tidak berani memperjelaskan pendirian partinya dalam menempuh PRK Permatang Pauh yang akan datang. Apa lagi alasan yang boleh diketengahkan oleh TG Haji Hadi untuk melindungi kelemahanya itu. Walau ditinjau dari segi mana sekali pun jelas menunjukkan bahawa TG Haji Hadi merupakan seorang pemimpin yang ‘flip-flop’ dan yang langsung tidak berani membuat satu keputusan mengenai sesuatu isu.

Seingat aku sudah pernah beberapa kali sebelum ini TG Haji Hadi berdolak-dalik ketika menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya. Pernah disoalkan kepadanya tentang soalan samada beliau hadir atau tidak ke suatu mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang akan diadakan dan adalah amat perlu beliau hadir kerana sebarang keputusan yang dibuat perlulah mendapat persetujuan bersama dari ketiga-tiga pemimpin yang menganggotai Pakatan Rakyat. Amat penting. Dan dijelaskan sekiranya ada pihak yang tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan dan keputusan telah dibuat takut-takut, ‘ rumah siap pahat berbunyi’.

Jawapan beliau pada ketika itu ialah ‘….Terpulang kepada saya nak hadir ke, tak hadir….”Aku tidak pula mengatakan yang TG Haji Hadi berperangai seperti kanak-kanak. Dan kebetulan TG Haji Hadi juga menyatakan, ‘….Saya bukan anak murid sekolah, kita tengok dululah….” Namun apa yang dapat aku perhatikan bahawa tindakan TG Haji Hadi itu tidak menampakkan ketokohanya sebagai seorang pemimpin yang dewasa yang matang dalam menjelaskan sesuatu apatah lagi kredibilitinya sebagai seorang pemimpin parti berasaskan Islam di negara ini.



Aku teringat kepada kenyataan TG Haji Hadi tidak berapa lama dahulu yang berkaitan dengan kedudukan TS Khalid Ibrahim merupakan kenyataan yang menggambarkan bahwa TG Haji Hadi sudah hilang pedoman sebagai peneraju parti yang dipandang tinggi oleh masyarakat sebelum ini. Namun dengan kenyataan yang dikeluarkannya itu adalah diyakini lebih rami lagi ahli PAS tegar yang akan kehilangan keyakinan kepada kepimpinannya

Kenyataan TG Haji Hadi pada suatu ketika dahulu, mengenai kedudukan TS Khalid Ibrahim agak ‘memeranjatkan’. Sebagaimana yang dikatakan oleh YB Nik Nazmi, "(Hadi insists on Khalid as MB) even though the issue of appointing a (new) menteri besar has yet to be resolved, and Khalid is only acting as a transitional menteri besar as requested by the Selangor sultan.……What more, Khalid is an independent state assemblyperson without any party," Malaysiakini 13 September 2014

Teringat juga aku tentang tindakan TG Haji Hadi Awang ‘mengaibkan’ DS Wan Azizah pada suatu ketika. Ramai yang berkata bahawa, TG Haji Hadi tidak sepatutnya melakukan perkara sedemikian rupa, apatah lagi apa yang diperkatakannya itu tidak dapat diterima oleh ramai rakyat Malaysia. Malah ‘musuh’ politik Pakatan pun merasakan bahawa apa yang diperkatakan oleh TG Haji Hadi amat tidak kena dengan kedudukan beliau sebagai Presiden parti yang sentiasa berlandaskan Islam sebagai wadah perjuangannya.

Dengan mengeluarkan kenyataan yang merupakan satu ‘penghinaan’ kepada Presiden sebuah parti PKR yang merupakan rakan perjuangan dalam Pakatan Rakyat sudah menampakkkan yang TG Haji Hadi sudah amat jauh ‘terpesong’ dari tindak tanduk sebagai seorang pemimpin sebagai sebuah parti berasaskan Islam

Jika ditinjau tentang penglibatan TG Haji Hadi dalam Pakatan Rakyat sepanjang ‘persahabatan’nya dengan pakatan sedemikian, menampakkan seolah-olah beliau hanya ‘berlakon‘ dalam memperjuangkan sesuatu isu yang berkait rapat dengan soal  keadilan bagi rakyat Malaysia. Seolah-olah TG Haji Hadi ‘hanya tidur sebantal tetapi berlainan mimpi’. Kini sudah terserlah hasrat dan impian TG Haji Hadi yang sebenar. Jikalau dulu kita hanya melihat ‘sekilas ikan di air’ dan belum begitu jelas tentang ‘ jantan dan betina’nya. Tindakan TG Haji Hadi nampaknya amat bertentangan dengan hasrat rakyat Malaysia yang masih mahu meneruskan perjuangan yang telah tersedia diasaskan oleh tokoh-tokoh pakatan Rakyat yang sedar tentang erti perjuangan abad baru.

TG Haji Hadi dan beberapa orang pemimpin ‘usang’ lain dalam PAS harus sedar bahawa mungkin mereka sudah tidak sesuai lagi berada dalam perjuangan era Kurun ke 21, sekiranya mereka tidak bersedia untuk mengadakan anjakan paradigma dari segi tindakan mereka. Dan mereka mungkin hanya sesuai untuk menjadi guru-guru agama kampung dan pinggiran bandar dan amat tidak sesuai bergelumang dalam arena politik tanah air dan antarabangsa yang mencabar.

Yang dimaksudkan dengan pemimpin ‘usang’ adalah mereka yang berfikiran tidak selari dengan perjuangan nasional yang sedang ditunjangi oleh pemimpin-pemimpin progresif dalam Pakatan Rakyat - PAS,PKR dan DAP. Yang menghairankan ialah tentang masih ada lagi ulama (kononnnya) muda dalam PAS yang masih berada ‘ditakuk’ lama dimana fikiran mereka sudah agak ‘usang’ dan ‘jumud’ dan amat tidak sesuai dengan perkembangan zaman ini.  Dan masih merasakan yang mereka masih relevan kepada perjuangan kini sedangkan keperluan rakyat adalah amat berbeza. Lantas golongan sebegini harus dengan sukarela mengundurkan diri dari arena politik dan harus berkecimpung dalam bidang yang sesuai untuk mereka.

Kenyataan TG Haji Hadi sebagaimana yang dibincangkan menampakkan bahawa beliau semacam tidak begitu bersedia untuk ‘sehidup semati’ dalam Pakatan Rakyat dan yang paling penting ialah bahawa beliau bukan merupakan seorang rakan seperti yang digambarkan dalam peribahasa Inggeris, “ a friend in need is a friend indeed’.

Sayang sekali Saudara Anwar Ibrahim tersalah memilih rakan…..

abuhassanadam

23 April 2015

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Kamisah,

    Mungkin kita juga patut dipersalahkan kerana tidak berusaha bersungguh-sungguh menganjakkan paradigma bangsa sendiri. Mungkin...

    Pak Abu

    ReplyDelete