Wednesday, April 22, 2015

DANDAN SETIA

Semalam anak aku menonton concert ‘The Script’ di Stadium Melawati Shah Alam. Bagi aku biasalah bagi anak muda untuk menghiburkan hati. Dan entah macam mana aku bertanyakan tentang berapa harga tiketnya. Dengan selamba sahaja anak aku memberitahu aku ‘ dua ratus lebih aje’. Tentulah tersentak apabila aku mendengar harga tiket yang begitu mahal ( diukur dari segi kemampuan aku sebagai seorang ‘budak kampung’). Walaubagaimana pun aku tidak pula melarang anak aku untuk berhibur apatah lagi mengenangkan mereka mampu untuk membiayainya dan tidak langsung menyusahkan aku.

Ini mengingatkan aku juga pada bentuk hiburan yang dapat aku nikmati ketika masih kecil dan remaja dulu. Jauh sekali dapat menonton concert yang didatangkan dari luar negara seperti concert ‘the Script’ ini. Kalau ada pun hiburan yang dapat dinikmati ialah seperti ‘Wayang Nasihat’ ( gelaran yang diberikan oleh orang kampung), Wayang Estet ( wayang gambar yang ditayangkan sebulan sekali di Gapis Estet) yang ditayangkan untuk keperluan hiburan penoreh getah India yang ada di Gapis Estet. Dan sudah tentulah filem yang ditayangkan ialah Filem Tamil dan hanya sekali sekala ditayangkan filem Cowboy Hollywood. Walaupun dikhususkan untuk pekerja Gapis Estet, namun disebabkan ditayangkan di tanah lapang berhampiran dengan rumah buruh estet, maka penduduk kampung persekitaran mengambil peluang untuk menonton wayang estet berkenaan.

Pernah juga pada suatu ketika ‘Fun Fair’ datang ke Padang Rengas. “Dandan Setia’ namanya. Kedatangannya pastilah menggembirakan penduduk di sini disebabkan ketandusan hiburan yang ada di daerah ini. Tetapi ‘Fun Fair’ akan berada disesuatu tempat tidaklah lama. Paling lama pun satu bulan. Itu pun bergantung kepada sambutan yang diberikan oleh penduduk disesuatu tempat itu. Dan kebiasaaanya “Fun Fair’ akan berkunjung ke kawasan ini ketika musim durian berguguran atau selepas menuai padi. Dan pada waktu sedemikianlah penduduk di sini agak ‘berair-ikan’.

Disamping hiburan seperti joget modern, panggung bangsawan, Dandan Setia juga menyediakan pusat perjudian dalam bentuk menguji kecekapan seperti membaling gelung rotan dsb. Yang menarik perhatian pengunjung terutamanya golongan muda tentulah pentas joget modern. Dengan bayaran hanya 30 sen sudah dapat menari dengan penari joget. Pada ketika inilah anak muda dari kampung aku dapat mempamerkan bakat dan kebolehan mereka menari di atas pentas.

Seingat aku dua orang ‘penari’ yang hebat adalah dari kampung aku. abang Hamid Haji Mat Ali dan abang Talib Kampung Pulau. Ketika itu mereka masih muda remaja dan tidak hairanlah mereka tidak akan melepaskan peluang sebegini. Lagi pun bukannya selalu ‘Fun-fair’ sebegini datang ke pekan kecil kami. Kononnya hampir setiap malam mereka akan pergi ke ‘fun-fair’ berkenaan untuk menari joget. Dan tidak ketinggalan juga yang tersenarai sebagai ‘penari tetap’ ialah Pak Teh Said.

Pak Teh Said pada ketika itu sudah agak berumur. Mungkin sudah menjangkau usia lima puluhan, tetapi masih berlagak seperti orang muda. Dan apabila Pak Teh Said naik ke pentas untuk menari maka akan riuh rendalah tepuk sorak penonoton ‘mengiringi’ Pak Teh Said. Dan kebiasaannya Pak Teh akan menarikan lagu ‘Mak Inang’. Dan sememangnya beliau boleh dianggap sebagai ‘pakar’ dalam menarikan rentak ‘Mak Inang’. Pak Teh Said juga dianggap sebagai pengunjung tetap ‘Fun Fair’ kerana kononnya hampir setiap malam beliau akan hadir ‘memeriahkan’ Dandan Setia.

‘Speciality’ Pak Teh Said ialah rentak ‘Inang’ sedangkan ‘speciality’ Abang Hamid Haji Mat Ali pula ialah rentak Mambo. Setiap kali rentak Mambo dimainkan, maka pasti Abang Hamid akan ‘melompat’ ke pentas menari dan menghulurkan tiket yang berharga 30 sen itu kepada penari yang berbaris di atas kerusi menunggu pelanggan mereka. Dan Abang Hamid akan memilih penari yang sama yang dikira ‘amat sesuai’ agaknya menari bersama dengan beliau. Dan begitu juga Pak Teh Said akan memilih pasangan yang sama pada hampir setiap kali beliau menarikan lagu Inang.

Yang agak menghairankan aku kini ialah dari mana dan bila Abang Hamid atau Abang Talib belajar menari tarian-tarian seperti Mambo, Samba, Rumba sedangkan pada ketika itu (1950an) belum lagi ada TV di negara ini, Malaya. Dan radio pun hanya terdapat sebuah  sahaja di kampung aku ia itu milik Pak Mat Bilal. Berkemungkinan agaknya mereka dapat ‘belajar’ menari dari menonton flem-filem Melayu keluaran Shaw Brothers dan Cathay Kris pada ketika itu. Mungkin.

Satu hal yang agak luar biasa berlaku berkaitan dengan Dandan Setia ialah peristiwa sedih yang menyelubungi suasana ketika para ‘artis’ Dandan Setia mahu meninggalkan pekan kami dan hendak mengadakan persembahan mereka di tempat lain. Suasana sedemikian amat memilukan.

Adalah merupakan tugas para ‘artis’ Dandan Setia berpindah dari satu tempat ke tempat lain mengikut arahan ‘towkey’ mereka. Kebiasaannya mereka akan berada di sesuatu tempat itu selama lebih kurang satu bulan, bergantung kepada sambutan yang diterima. Sekiranya ‘hangat’ sambutannya maka lebih lama mereka akan berada di sesuatu tempat itu. Bolehlah dibaratkan keadaan mereka seperti ‘kafilah’ Arab zaman Jahiliah yang berpindah dari satu tempat ke suatu tempat lain mencari rezeki. Boleh juga diibaratkan seperti Nomad.

‘Malam perpisahan’ di setesen keretapi Padang Rengas ketika menghantar pulang para artis Dandan Setia amat memilukan. Diberitakan pada malam berkenaan bahawa tempat ‘perhentian’ mereka seterusnya ialah di Segamat Johor. Dan disitu pulalah mereka berkampung dan mengembangkan bakat mereka dalam nyanian, lakonan dan tari menari disamping mencari ‘sesuap pagi dan sesuap peatng’.

Pada malam perpisahan itu, Pak Teh Said ada di setesen keretapi Padang Rengas. Abang Hamid Haji Mat Ali pun ada. Abang Talib kampung Pulau pun ada. Mereka pastinya bersedih kerana akan berpisah dengan ‘buah hati’ yang selama beberapa minggu ‘bersama’ di pentas joget. Hampir setiap malam mereka menari bersama sehinggakan mungkin sudah berputik cinta sebenar di hati masing-masing. Mungkin….

Dalam kesunyian malam yang amat memilukan itu, dalam suasana tiupan bayu Gunung Pondok, mereka meninggalkan Padang Rengas membawa seribu kenangan manis. Dan Pak Teh Said, Abang Hamid Haji Mat Ali dan Abang Talib Kampung Pulau juga meninggalkan setesen keretapi dengan hati penuh sayu, menaiki basikal “Raleigh’ mereka pulang ke kampung.

Pada subuh keesokannya mereka akan bangun pagi untuk ke kebun getah….menoreh….

abuhassanadam
22 April 2015





No comments:

Post a Comment