HUSIN REPUH PEMANDU TREKTOR
Kadang-kadang aku semacam ‘bermimpi’ mengenangkan
suasana kampung aku apabila penduduk mula turun ke bendang. Walaupun para
petani nampak keletihan bekerja di bendang, membanting tulang namun melihatkan
raut air muka mereka terpancar suasana keriangan walaupun kepanasan disebabkan
teriknya matahari.
Biasanya Tok Sidang Pak Haji Mat ( Ketua Kampung) akan
membuat pengumuman di masijd memberitahu penduduk kampung tentang tarikh mula
turun ke bendang. Tarikh mula ‘turun’ ke
sawah. Tarikh mula menyemai padi agar dapat dilakukan serentak untuk mengelak
daripada serangan musuh sekiranya tidak dilakukan dengan serentak terutama
apabila padi masak nanti. Terlalu sukar untuk mengawal ‘serangan’ burung Pipit
dan Tempua sekiranya tidak dilakukan ‘sederap’.
Mengenangkan suasana pagi bermulanya penduduk
kampung aku mula turun ke bendang sememangnya menceriakan, terutama sekiranya
kita berada di negara luar yang amat berbeza keadaannya dengan keadaan kampung.
Aku teringatkan bunyi ‘kerotok’ kerbau Atuk aku ketika aku mendengar bunyi loceng
ditengkuk lembu di lereng Gunung Alps ketika keretapi yang aku naiki ‘memanjat’
banjaran Gunung Alps di Switzerland. Bukanya salji yang memutih yang aku
perhatikan tetapi fikiranku melayang mengenangkan suasana sawah padi di kampung
aku ketika Pak Ajid turun ke sawah bersama Wan Timah.
Terbayang juga dimata aku Cik Kontak menggunakan
tenggala yang ‘dipandu’ oleh kerbau jantannya bertemankan Kak Semah yang berada
di perbatasan bersedia dengan kopi dan rebus pisangnya. Disebelah sana pula
kelihatan Abang Zaidun sedang menenggala bendangnya. Pak Mat Salleh juga tidak
ketinggalan turun ke sawah bersama dengan Kak Teh isterinya. Bersempadan dengan
bendang Pak Mat Sallehlah bendang yang diusahakan oleh arwah bapak aku bersama
arwah emak yang sentiasa berada disamping untuk memberikan sebarang bantuan
yang diperlukan.
Pendek kata pagi itu merupakan satu pesta yang
tidak dapat dinikmati oleh orang-orang bandar dan ‘pesta’ sebegini hanya terhad
kepada orang yang pernah tinggal di kampung. Tidak dapat aku nikmati suasana
tenang yang sebegini walaupun di pantai Kuta di Bali ataupun di pantai Wakiki
di Hawaii. Tidak terdapat suasana ketenangan yang sebegitu sepertimana yang aku
nikmati ketika memerhatikan lentuk liuk kerbau menarik tenggala membajak sawah
di terik mata hari pagi yang menyegarkan.
Malangnya suasana sebegini sudah tidak dapat
dinikmati lagi.
‘Saat’ permulaan kerbau hilang ‘jawatan’ ialah
apabila trektor mula ‘masuk’ kampung. Seingat aku trektor mula digunakan untuk
membajak sawah di kampung aku ia itu pada tahun 1953. Dan dapat aku bayangkan
‘excitement’ yang terpancar diwajah penduduk kampung aku apabila trektor mula
masuk kampung. Kedatangannya betul-betul menceriakan dan menggemparkan kampung
aku.
Sawah Cik Kontaklah yang mula-mula sekali
menggunakan trektor untuk membajak sawahnya. Dan seolah-olah bermulalah pada
hari itu kerbau jantannya ‘menangis’ disebabkan ‘kehilangan jawatan’ tenaganya
tidak perlu digunakan lagi. Dan berkemungkinan juga ‘bergembira’ kerana dapat ‘berehat
dan makan tanggung’. Dan aku masih ingat lagi Pak Husin Repuh merupakan
‘driver’ trektor pertama di kampung aku. Dan Pak Husin bukan orang kampung aku
tetapi datangnya dari kampung Repuh yang juga tidak jauh dari kampung aku. Dan
bayaran yang dikenakan untuk membajak sawah menggunakan trektor itu adalah RM
8.00 bagi satu jam.
‘Kehadiran’ trektor berkenaan di kampung aku pada
ketika itu mungkin sama keadaannya dengan
kehadiran ‘Lamborgini’ di kampung aku kini. Maksud aku ‘sambutan’ yang
diberikan oleh penduduk kampung terhadap ‘kehadiran’ trektor berkenaan adalah
luar biasa. Oleh kerana kurangnya ‘hiburan’ di kampung aku maka ‘menonton’
trektor membajak sawah merupakan satu bentuk hiburan yang popular di kampung
aku, tatkala trektor mula masuk kampung.
Aku masih ingat bagaimana penduduk kampung aku
berduyun-duyun berkumpul di bendang Cik Kontak untuk memerhatikan trektor
membajak sawah yang dipandu oleh Pak Husin Repuh. Tentulah agak menghairankan
bagi anak-anak zaman ini tentang gelagat dan perilaku penduduk kampung aku pada
zaman itu yang sanggup berjam-jam duduk di atas batas memerhatikan dengan penuh
minat trektor ‘bekerja’.
Bukan saja kanak-kanak seperti aku yang duduk ‘melepak’
di atas batas tempat Pak Husin membawa trektor, tetapi hampir seluruh kampung
berkunjuk ke bendang Cik Kontak memerhatikan trektor membajak sawah. Mereka
akan berada di situ bermula dari pagi dan kadang-kadang sampai ke petang. Hanya
memerhatikan trektor membajak sawah….
Pelik bunyinya, tetapi benar-benar berlaku….
abuhassanadam
6 April 2015
No comments:
Post a Comment