SIAPA PENGKHIANAT
MELAYU SEBENAR?
Sebenarnya apa yang disuarakan oleh Tun Mahathir
mengenai kepincangan pentadbiran DS Najib kini boleh diperbaiki. Amat tidak
betul sekiranya ada pihak-pihak tertentu (tentunya penyokong tegar dan
‘membabi-buta’ DS Najib) yang mengatakan teguran Tun Mahathir itu sebagai
teguran seorang yang sudah nyanyuk. Aku tidak fikir begitu. Dan sepanjang
pemerhatian aku, Tun Mahthirlah sebenar-benarnya tokoh yang ‘berani’
menyuarakan sesuatu ‘without fear or favour’. Samada di dalam negara sendiri
ataupun di arena antarabangsa. Beliau bukan jaguh kampung, hanya berani ‘berkokok’
di negara sendiri seperti kebanyakan Menteri kabinet kita di Malaysia.
Dan tentulah agak pelik apabila dicadangkan satu
pertemuan ‘adik-beradik’ antara Tun Mahathir denga DS Mohd Najib yang kononnya
‘di orang-tengahkan’ oleh Teuku Adnan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian.
Aku merasa pelik disebabkan bahawa ini bukannya perbalahan atau pertelingkahan
antara kedua-duanya. Tidak timbul langsung isu perdamaian atau penyelesaian
perdamaian.
Tun Mahathir dengan jelas mengatakan bahawa DS
Najib sudah tidak popular lagi dikalangan rakyat Malaysia samada ada Melayu,
Cina, India atau kaum-kaum lain di Sabah dan Sarawak. “Ramalan oleh masyarakat sekarang
ialah UMNO dan BN akan kalah Pilihanraya Umum ke-14 kerana terlalu banyak
tuduhan yang dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya” kata Tun
Mahathir dalam blognya.
Menampakkan
dengan jelas bahawa bukan perbalahan. Hanya kritikan. Yang perlu dilakukan oleh
DS Najib ialah menjawab dan menjelaskan segala kritikan yang dilemparkan oleh
masyarakat terhadap beliau atau terhadap kepimpinan beliau. Selagi beliau
‘mendiamkan diri’ maka selagi itulah tuduhan dan tohmahan yang negatif terhadap
kepimpinan beliau memuncak dan itu yang dibimbangi oleh Tun Mahathir
takut-takut ‘usia’ UMNO dan BN tidak bertahan lama.
Sudah
banyak kali disarankan oleh banyak pihak agar DS Najib harus mengambil sikap
memperjelaskan sesuatu persoalan yang ditimbulkan oleh masyarakat. “Tetapi selain
daripada Najib berkata Sirul “merepet”, tidak ada siasatan yang dibuat. Ini
adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan
arahan.Kemudian kes 1MDB. Tuduhan penyelewengan dalam urusan wang berbillion
Ringgit oleh Jho Low telah dibuat dengan bukti-bukti yang jelas. Tuduhan ini
tidak dijawab selain dari berkata ia adalah pembohongan” katanya lagi.
Jawapan
standard yang sebegini seperti ‘merepet’, ‘pembohongan’ atau ‘mempolitikkan’
adalah jawapan yang sering digunakan bukan sahaja oleh Perdana Menteri malah
amat sering digunakan oleh para Menteri kabinet untuk menjawab sesuatu soalan
yang dikemukakan. Harus diingat bahawa masyarakat Malaysia kini sudah cerdik
dan celik IT. Setiap soalan yang ditujukan kepada para menteri itu hanya untuk
‘pengesahan’ bukan soalan ‘ingn tahu’.
Rakyat
sebenarnya sudah tahu jawapan kepada beberapa persoalan yang dikemukakan
melalui pembacaan dan penyelidikan mereka melalu internet. Mereka sudah ada
fakta yang cukup lengkap mengenai sesuatu isu. Dan pertanyaan yang diajukan
kepada menteri itu hanyalah untuk mengesahkan ‘ betul-tidaknya’ sahaja.
Misalnya rakyat tahu tentang pembelian jet baru untuk kegunaan Perdana Menteri
dan rakyat tahu juga yang DS Najib bermain golf di Hawaii ketika Pantai Timur
dilanda banjir dan rakyat tahu tentang majlis khenduri perkahwinan secara
besar-besaran anaknya sedangkan rakyat ‘mengikat perut’ akibat tekanan GST.
Rakyat tahu semua itu dan kadang-kadang rakyat sengaja ‘berpura-pura buat tak
tahu’.
Rakyat
memendam perasaan seperti api dalam sekam. Itu yang ditakuti oleh Tun Mahathir.
Dan DS Najib boleh menggunakan hujah yang mengatakan bahawa beliau mendapat
sokongan padu daripada ketua-ketua UMNO di seluruh negara. Dan hampir semua
rakyat tahu juga mengapa dan kenapa pemimpin UMNO memberikan sokongan yang
‘tidak berbelah bagi’ kepada DS Najib. Semua orang tahu sebab-sebabnya. YBM
Tengku Razaleigh telah menjelaskan sedikit sebanyak sebab-sebabnya suatu ketika
dahulu.
Dan aku
ingin juga mengingatkan DS Najib (sekiranya beliau terlupa) bahawa begitulah
rupa keadaan ‘sokongan’ yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin UMNO kepada
Saudara Anwar Ibrahim ketika beliau berada ‘di kemuncak’ pada suatu ketika
dahulu. Tetapi apabila beliau telah ‘dilucutkan’ semua jawatannya, maka seorang
demi seorang pemimpin UMNO ( yang kononnya memberikan taat setia yang tidak
berbelah bagi kepadanya) telah meninggalkan beliau, sehinggakan ‘rakan karibnya’
sendiri turut membelakangi beliau.
Tepat
juga kata orang tua-tua, ‘yang ketawa ramai dan yang menangis keseorangan’
DS Mohd
Najib juga harus memikirkan keadaan sedemikian.
abuhassanadam
3 April 2015
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteKamisah,
ReplyDeleteTerima kasih atas pandangan. Ini yang dikatakan yang Malaysia sedang menghadapi krisis kepimpinan.
Pak Abu