Saturday, April 4, 2015

TUN M AMAT KECEWA………..

Berkemungkinan besar yang menyebabkan Tun Mahathir (Tun M) ‘berang’ terhdap DS Mohd Najib adalah disebabkan kekecewaannya untuk melihat orang Melayu maju dibawah kepimpinannya. Tun M pernah pada suatu waktu dulu menyatakan bahawa beliau ‘gagal’ untuk memajukan orang Melayu. Dan tentulah agaknya beliau mengharapkan kepada PM selepasnya akan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan ‘perjuangan’ memajukan orang Melayu ini. Dan kelihatan Pak Lah telah gagal untuk memenuhi harapnya dan beliau mengharapkan kepada DS Najib untuk menyambung untuk memenuhi hasrat sedemikian. Dan pada pertimbangannya DS Najib juga gagal setelah enam tahun menerajui negara ini.

Tun M aku anggap sebagai manusia ‘luar biasa’ yang sama ‘luar biasa’ nya dengan Saudara Anwar Ibrahim. Mereka adalah pemimpin dan ‘pemimpin sebenar’ yang dikurniakan Tuhan kepada bangsa Melayu. Dengan sebab itulah gandingan kedua-dua tokoh ini ketika menjalankan pentadbiran di negara ini dahulu, Malaysia telah sentiasa berada dipuncak kemasyhuran. Nama Malaysia menjadi sebutan seluruh dunia, harum semerbak di mana-mana saja, baik di timur atau di barat. Anak Malaysia yang berpengalaman berkhidmat di luar negara akan dapat merasakan apa yang aku maksudkan itu. Amat bangga menjadi rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia dengan tidak mengira kaum ‘walking tall’ ketika menghadiri persidangan antara bangsa samada di dalam atau di luar negara.

Aku rasa tidak ada Perdana Menteri yang telah menyediakan ‘resepi’ untuk mentadbirkan negara ini sepertimana yang dilakukan oleh Tun M. Seolah-olah Tun M memang berhasrat benar untuk menjadi Perdana Menteri dan bersedia untuk melakukan sesuatu demi untuk memajukan rakyat negara ini khususnya orang Melayu.

Buku “Malay Dilemma”nya adalah semacam ‘blue print’ bagi beliau yang akan membimbing beliau untuk mentadbirkan negara ini. Beliau sudah mengkaji kelemahan dan kekuatan yang ada pada orang Melayu. Beliau tidak pula marah kepada kejayaan kaum lain di negara ini yang telah dapat bergerak lebih maju daripada orang Melayu. Dan tumpuan beliau tentulah memajukan orang Melayu disamping tidak mengabaikan kepentingan kaum-kaum lain.

Aku masih ingat tentang rancangan program ‘mengubah minda’ orang Melayu yang dilakukan olehnya dengan berbagai program dan rancangan demi untuk mengubah ‘mind-set’ dan cara berfikir orang Melayu. Berbagai rancangan diperkenalkan dan salah satu program yang betul-betul ‘luar biasa’ bagi aku ialah pengenalan dasar ‘Pandang Ke Timur’nya.

Dasar ‘Pandang Ke Timur’ mungkin juga terlintas di kepala samada Tunku Abdul Rahman atau Tun Abdul Razak atau pun Tun Hussein Onn. Mungkin. Tetapi yang jelasnya ialah selepas sahaja beliau menerajui tampuk pemerintahan negara ini dasar itulah yang cuba disogokkan kepada rakyat Malaysia. Mungkin ada sesuatu yang rakyat tidak begitu nampak dan jelas mengenai dasar yang diperkenalkan itu. Lantas timbul polemik yang memakan masa yang agak lama dikalangan rakyat Malaysia mempersoalkan apa sebenarnya dasar berkenaan dan ke mana arahnya rakyat hendak ‘dibawa’ oleh Tun Mahathir.

Mungkin agaknya pada ketika itu Tun M hendak ‘mengalihkan’ pemikiran dan pandangan masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu.

Telah zaman berzaman, telinga kita sentiasa dibisik dan dibuaikan dengan ‘nyanyian’ yang mengagungkan Barat. Apa saja yang berbau Barat semuanya ‘wangi’ belaka. Mata kita telah dicelikkan untuk dipaksa melihat tentang kehebatan yang dilakukan oleh Barat. Dalam lapangan pendidikan misalnya, Baratlah menjadi tumpuan untuk mendapatkan pendidikan yang hebat dan berkualiti. UK dan USA menjadi destinasi untuk mendapatkan pendidikan bermutu. Begitu jugalah dengan sikap yang berkaitan dengan barangan. Maka barangan dari Baratlah yang bermutu sedangkan barangan dari tempat lain semuanya dianggap sebagai barangan kelas dua. Mata kita hanya mencari jenama yang ‘made in England’ atau ‘Italian’. Barang-varang sedemikianlah yang dikatakan ‘ada kelas’.

Ramai rakyat pada ketika itu yang menganggap bahawa setinggi mana pun kelulusan yang diperolehi dari universiti tempatan tidaklah setanding dengan kelulusan yang diperolehi dari UK atau USA. Walaupun panggilan ‘bapak’ dan ‘emak’ itu telah kita warisi dari nenek moyang kita, maka lebih moden dan lebih hebat lagi kononnya panggilan ‘Daddy’ dan ‘Mummy’. Menunjukkan bahawa ‘akulah golongan terpelajar dan hebat…”

Tun M cuba mengubah cara berfikir sebegini dikalangan orang Melayu khususnya dan beliau mahu rakyat Malaysia maju sepertimana yang dicapai oleh rakyat Jepun dan Korea. Dia mahu orang Malaysia mengikut etika kerja sepertimana yang diamalkan oleh orang Korea dan Jepun. Lantas diajukannya dasar ‘Pandang Ke Timur’.

Akhirnya beliau sendiri mengakui yang beliau tidak berjaya sepenuhnya dalam hal ini. Dan mungkin hati kecilnya mengharapkan kepada pengganti-penggantinya untuk meneruskan ‘crusade’ memajukan orang Melayu ini. Dan nampaknya tidak menampakkan kejayaan.

Apakah ini yang menyebabkan Tun M naik berang?..........

abuhassanadam

4 April 2015

No comments:

Post a Comment