TETEMAS dan ANDAK COMMOT
Sehingga sekarang, kurun ke 21 Padang Rengas (tempat
kelahiran aku ler tu ) belum ada lagi kedai Pharmacy. Apatah lagi pada
tahun-tahun zaman penjajahan. Makna perkataan ‘pharmacy’ pun ramai penduduk di
sini tidak tahu apa ‘biji-buah’nya. Dan
sehingga hari ini ( awal kurun ke 21) belum ada juga sebuah kedai pharmacy
wujud di pekan kecil ini. Sekiranya memerlukan ubat-ubatan, maka terpaksalah ke
Kuala Kangsar, lebih kurang sepuluh kilometer jauhnya.
Begitu jugalah dengan klinik kesihatan. Seingat
aku hanya pada tahun 1970an barulah ditubuhkan sebuah klinik di Padang Rengas.
Tak ingat pula aku tahun sebenarnya klinik ditubuhkan. Yang masih segar dalam
ingatan aku ialah peristiwa aku terlanggar pagar berduri di kampung ketika
menonggang basikal dan mendapat luka yang agak besar ditengkuk sehinggakan aku
terpaksa dibawa ke Rumah Sakit (hospital) Kuala Kangsar oleh arwah bapa aku.
Peristiwa itu berlaku dalam tahun 1959. Dua tahun
selepas merdeka. Sekiranya sudah tertubuh sebuah klinik di Padang Rengas pada
ketika itu, pastinya bapa aku membawa aku ke klinik berkenaan dan tidak membawa
aku ke Kuala Kangsar yang terpaksa menunggu bas dan berjalan kaki pula untuk
sampai ke Rumah Sakit (hospital )Kuala Kangsar.
Mengenangkan keadaan kesusahan mendapatkan
rawatan dan perubatan memanglah menyedihkan pada ketika zaman penjajahan dan
zaman selepas sahaja mendapat kemerdekaan. Agak ramai juga penduduk kampung aku
yang meninggal ketika bersalin. Mereka mengharapkan perkhidmatan bidan kampung
ketika mahu bersalin. Dan ada ketikanya, apabila menghadapi masalah yang tidak dapat
‘diselesaikan’ oleh bidan kampung
memerlukan mereka untuk dibawa ke hospital Kuala Kangsar atau ke
Taiping. Disebabkan keadaan ketiadaan jalan raya dari kampung aku ke Padang
Rengas ( yang kemudiannya menaiki bas ke Kuala Kangsar) maka pesakit terpaksa
diusung atas usungan oleh beberapa orang kampung. Dan kebanyakan pesakit
meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital.
Seingat aku juga tidak terdapat banyak kereta sewa
di seluruh Padang Rengas. Di kampung aku tidak terdapat walaupun sebuah kereta.
Disebabkan ketiadaan jalan raya maka tentulah tidak wajar untuk membeli kereta.
Lagipun tidak ada penduduk kampung aku yang mampu untuk membeli sebuah kereta
pada ketika itu.
Kebanyakan penduduk kampung sentiasa mengharapkan kepada perkhidmatan
bomoh kampung. Dan aku tidak terkecuali. Pak Ngah Kotek dan Andak Comot adalah
dua bomoh yang popular di kampung aku. Hampir semua bentuk penyakit boleh
diubati oleh mereka termasuklah hal yang berkaitan dengan bersalin. Andak Comot
sememangnya pakar dalam hal perbidanan. Mengikut kata arwah emak, kelahiran aku
dulu pun ‘disambut’ oleh Andak Comot.
Pak Ngah Kotek adalah bomoh untuk lelaki.
Kebetulan pula Pak Ngah Kotek adalah sepupu Atuk aku. Yang aku ingat beliau
hanya mempunyai dua bilah gigi di hadapan. Dan apabila dia ketawa dan
menyeringai maka akan terserlah dua batang giginya dan tidak pula kelihatan
gigi yang lain melainkan gusinya sahaja. Ke mana sahaja dia pergi sentiasa
berpakain baju ‘kot’ warna coklat dan tidak berkemeja di dalam. Berkain sarung
dan berkaki ayam. Semacam pakaian rasminya pula.
Sekiranya aku diserang oleh demam atau ‘tak
semiak’ maka Pak Ngah Kotek lah yang dipanggil oleh Atuk aku. Dan Atuk aku tahu
apa yang diperlukan oleh Pak Ngah Kotek untuk mengubati penyakit demam aku.
Kunyit dan kapur. Nanti Pak Ngah Kotek akan membelah dua kunyit berkenaan.
Disapunya dengan kapur dan selepas itu ditorehnya permukaan kunyit itu dengan
pisau lipat yang sentiasa dibawanya bersama. Selepas itu dijampinya kunyit
berkenaan dengan disudahi dengan meludah permukaan kunyit berkenaan. Kunyit
berkenaan disapu di dahi, kedua-dua belah bahu, tapak tangan dan tapak kaki aku.
Aku tak tahu mengapa dia berbuat demikian. Yang aku ingat, aku tetap patuh
dengan ‘arahan-arahan’ Pak Ngah Kotek.
Sehinggalah aku berumur dua puluhan dan
meninggalkan kampung, itulah rupa ‘rawatan’ yang aku terima sekiranya aku
diserang oleh demam. Entah berapa puluh kali aku dihinggap sakit demam dan
tidak pernah sekali pun aku ke hospital untuk mendapat rawatan. Hanya rawatan
yang aku terima dari Pak Ngah Kotek. Berjaya. Pak Ngah Kotek berjaya
menyembuhkan penyakit aku dan orang kampung lain sebelum datangnya ‘peradaban’
baru mengharapkan doktor di klinik dan hospital untuk mengubati sebarang
penyakit.
Kini orang kampung aku telah tidak lagi
mengharapkan khidmat Pak Ngah Kotek dan Andak Comot lagi. Mereka pergi ke
Klinik Padang Rengas ataupun ke hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkana
rawatan. Dan bagi mereka yang berada sudah mula pergi ke klinik swasta untuk
mendapatkan rawatan.
Kedai ubat yang bertaraf ‘Pharmacy’ masih tidak
ada di Padang Rengas. Yang ada hanyalah kedai ubat milik peniaga orang Tionghua.
Kedai Ubat Joo On (kalau aku tak silap ler)
abuhassanadam
1 April 2015
No comments:
Post a Comment