Tuesday, March 31, 2015

ZAMAN PENJAJAHAN - DALAM KENANGAN

Aku terpaksa bersikap adil juga apabila membincangkan tentang Akta Hasutan. Dan tentulah ‘memalukan’ sekiranya dengan ‘kail (aku) yang panjang sejengkal hendak menduga laut yang dalam’. Maknanya tentulah tidak layak bagi aku untuk membincangkan isu besar sebegini diukur dari pengetahuan aku yang cetek mengenainya. Tentulah amat tidak layak sekiranya aku pula boleh membuat penilaian samada wajar atau tidaknya Akta Hasutan berkenaan terus menerus dilaksanakan di Malaysia.

Melihat kepada peruntukan yang ada dalam Akta Hasutan 1948 ada satu peruntukan yang amat menarik perhatian aku ia itu yang berbunyi, “Seditious tendency 3. (1) A “seditious tendency” is a tendency— e) to promote feelings of ill will and hostility between different races or classes of the population of Malaysia”. Bagi aku sekiranya peruntukan lain dilihat secara negatif tetapi peruntukan yang ini mesti terus dikekalkan dan jangan diganggu-gugat.

Bagi aku peruntukan ini mesti dikekalkan demi menjaga keharmonian dalam negara yang tercinta ini. Peruntukan itu menyatakan (lebih kurang maksudnya) bahawa adalah dikira sebagai menghasut sekiranya wujud sebarang kecenderungan untuk menimbulkan keresahan dikalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia”. Amat relevan.

Walaupun ada yang melihat bahawa Akta Hasutan di Malaysia kini banyak membawa kepada hal-hal yang negatif namun, peruntukan yang berkisar ke arah usaha untuk memelihara perpaduan di Malaysia amatlah aku setuju.

Ada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh setengah pemimpin kita yang dirasakan menyentuh tentang sensitiviti kaum di negara ini tetapi semacam tidak diendahkan oleh pihak berkuasa. Malah kadang-kadang ucapan-ucapan pemimpin itu disuarakan dalam majlis-majlis perdana dan dipancarkan secara langsung yang menyentuh tentang isu yang membabitkan hubungan kaum yang kesannya boleh menimbulkan keadaan yang tidak diingini dari segi hubungan kaum di Malaysia.

Yang merunsingkan sebahagian kecil rakyat kini ialah sikap semacam ‘pilih bulu’ yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa di negara ini. Ada pihak tertentu yang seolah-olah boleh melakukan apa saja dan tidak ada tindakan diambil walaupun tindakan mereka boleh diambil berasaskan Akta Hasutan yang ada. Seolah-olah golongan ini ‘beraja di mata dan bersultan di hati’. Maknanya boleh melakukan apa saja dan tidak akan ada pihak berwajib yang akan ‘menjentik’ mereka.

Sebaliknya pula ada semacam wujud suasana seperti keadaan hubungan ‘ibu tiri’ dengan ‘anak tiri’ di negara ini. Setiap tindakan yang dilakukan oleh anak tiri ( walaupun dianggap betul dan sesuai) akan dilihat sebagai satu kesalahan. Tetapi sebaliknya yang dilakukan oleh anak kesayangan (anak benar), walaupun amat bertentangan dengan norma-norma pemerintahan dan perundangan akan ‘dipejamkan  sebelah mata’.

Ini merupakan persepsi segelintir manusia seperti aku dan mungkin jauh berbeza dengan persepsi sebahgian besar rakyat Malaysia yang lain. Dan mungkin juga merupakan pentafsiran yang tidak tepat apabila dikatakan wujud suasana seperti hubungan ‘anak tiri-ibu tiri’ di negara ini. Namun persepsi tetap persepsi. Itulah yang dikatakan persepsi. Itulah juga merupakan suara hati kecil aku. Tidak akan boleh dipadam-padam. Dan amat berbeza dengan kenyataan sebenar tentunya. Dan berkemungkinan juga sebahagian besar rakyat Malaysia berfikiran sedemikian. Mungkin.

Disamping itu aku tertarik pula dengan kenyataan YB Hanipa Maidin apabila beliau menyoal Prof. Khoo Kay Kim dalam suatu perbicaraan. Katanya,’ Kesan darurat itu, British akan tangkap mereka yang menentang British termasuk British gubal Akta Hasutan 1948 menangkap mereka yang melawan British atas alasan menghasut orang ramai benci British dan undang-undang ini diambil daripada India semasa British jajah India” Dan Prof Khoo Kay Kim menjawab, “ Ya, benar” (Petikan dari Harakah)

Berdasarkan petikan di atas, jelas menunjukkan bahawa asal mulanya Akta Hasutan ini diperkenalkan ialah di India ketika Britsh menjajah India. Dan kemungkinan juga ia diperkenalkan untuk mengawal kegiatan penentangan oleh Mahatma Gandhi dan Nehru pada ketika itu. Mungkin. Dan Akta Hasuta ‘dieksport’ pula ( atau ‘diimport’) ke Tanah Melayu. Diperkenalkan sebagai Akta Hasutan 1948. Dan kini diteruskan oleh kerajaan Malaysia pada Kurun ke 21. Berkemungkinan juga agaknya keadaan di Malaysia kini sama dengan suasana yang wujud dalam zaman penjajahan dulu.

Ataupun mungkin suasana negara kita Malaysia kini dianggap masih lagi berada di takuk lama – tahun 1948.

Mungkin….

abuhassanadam
31 Mac 2015


2 comments:

  1. Assalamualaikum, Pak Abu.
    Selain daripada Akta Hasutan, banyak lagi yang diimport yang digunapakai bagi kepentingan British dan pemenjajahannya.Antara yang besar dan digunakan hingga sekarang adalah Common Law yakni undang-undang adat British yang diterima pakai dalam masyarakat Inggeris zaman berzaman sehingga menenggelamkan undang undang Islam yang telah digunapakai sejak Zaman Kerajaan Melayu Melaka lagi Begitu liciknya penjajah dan sekutu serta sekufunya yang dididik oleh British menerajui negera yang kita cintai ini.Bila disuara kata menghasut, bila ditentang kata pengkhianat.

    ReplyDelete
  2. Nazi,

    Input sebegini yang amat saya alu-alukan. Teruskan memberi sumbangan. Syabas!

    Pak Abu

    ReplyDelete