Sunday, March 22, 2015

HUDUD : MUSA HITAM DESAK UMNO BUAT PENDIRIAN

Tun Musa Hitam, bekas Timbalan Perdana Menteri agak kecewa dengan sikap kepimpinan UMNO mengenai Hudud. Dalam satu kenyataannya beliau menyatakan, "Saya amat kecewa Umno sendiri seolah-olah terpinga-pinga dan hingga sekarang masih belum menentukan pendirian tegasnya. Saya boleh dikatakan begitu lama khuatir atas polisi dan agenda Umno di sini.Umno mesti mengambil pendirian tegas. Ini isu nasional yang berimplikasi panjang kepada negara di peringkat domestik mahu pun antarabangsa.
"Umno tidak mampu dianggap seolah-olah cuba melebihi PAS dalam hal ini. Umno janganlah hendaknya mahu menjadi lebih PAS daripada PAS sendiri!” katanya kepada ‘Malaysian Insider’ bertarikh 21 Mac 2015.
Setelah membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Tun Musa Hitam itu, sebenarnya ramai yang sependapat dengan beliau dalam soal hukum Hudud yang akan diperkenalkan itu. Namun ramai juga yang tidak berani mengambil keputusan sepertimana yang dibuat oleh Tun Musa itu. Sekurang-kurangnya DS Dr Wan Azizah berani menyuarakan pandangan parti pimpinannya yang PKR tidak menyokong pelaksanaan Hudud buat masa ini mungkin memandangkan banyak lagi agenda lebih penting yang perlu ditangani oleh kerajaan.

Sebenarnya aku juga merasakan bahawa UMNO pun bukan secara ikhlas menyokong hukum Hudud yang akan diperkenalkan itu memandangkan apa yang dijelaskan oleh Tun Musa dalam kenyataannya itu. ‘"Sebagai seorang bekas penganjur Umno, saya penuh percaya yang hati sanubari Umno sejak ditubuhkan hingga sekarang berpendirian, hudud tidak sesuai bagi Malaysia yang berupa negara majmuk berbagai keturunan dan agama ini," katanya.
Ramai orang Melayu/Islam yang serba salah apabila mempersoalkan isu Hudud ini takut disalah anggap oleh setengah pihak yang boleh dianggap sebagai begitu fanatik. Telah ada pihak yang beranggapan bahawa golongan yang menetang hukum Hudud dilabelkan sebaga orang yang tidak beriman. Oleh itu apabila aku mengemukakan persoalan di atas semacam aku juga mempersoalkan hukum Hudud. Dan berkemungkinan aku juga dilabelkan sebagai tidak beriman. Cuma yang meyakinkan aku bahawa hanya Allah sahaja yang boleh menetukan beriman tidaknya seseorang muslim itu. Disamping itu ignin juga bertanya tentang apa perlunya Hudud sekiranya perlembagaan persekutuan tidak banyak cacat celanya. Orang putih kata,’ If it ain't broke, don't fix it’.

Aku pun tertanya-tanya juga. Apakah Perlembagaan Malaysia yang ada sekarang sudah tidak berfungsi dengan berkesan yang menyebabkan maka Hudud terpaksa diperkenalkan untuk menggantikan undang-undang yang sudah sedia termaktub? Dan bukankah perlembagaan Malaysia itu boleh dipinda dari masa kesemasa untuk menyesuaikan dengan keadaan zaman.

Biar aku petik kenyataan saudara Rizuan Abdul Hamid dalam artikelnya berjodol,’ Apakah Kerana Hudud’ yang tersiar dalam ‘Malaysian Insider’ bertarikh 22 Disember 2014. Katanya, “Kita perlu mengakui terjelma juga ciri-ciri Islamik di dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan……Buat para Islamis juga, sudah tiba masa untuk mereka kembali berfikir secara kritikal, apakah yang memerintah Mesir suatu masa dahulu itu ialah agama Allah atau Nabi Yusuf? Apakah yang memerintah Empayar Bani Israel dahulu itu ialah agama Allah atau Nabi Daud dan Nabi Sulaiman? Apakah yang memerintah Madinah dahulu ialah agama Islam atau Nabi Muhammad s.a.w.?”
Beliau juga mempersoalkan tentang Piagam Madinah yang merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Kata beliau lagi, ‘Di dalam Piagam Madinah, tiada tertulis Al-Quran adalah perundangan tertinggi atau Madinah itu Negara Islam. Tetapi cukup sekadar ciri-ciri dan nilai-nilai Islam terjelma di dalam perlembagaan tersebut”
Menyentuh tentang Perlembagaan Malaysia yang dipakai sekarang tentulah ada terdapat cacat celanya, namun setelah beberapa lama ‘digunakan’ maka terbukti dapat ‘mendamai’ dan mewujudkan suasana harmoni dikalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Telah terbukti bahawa semua kaum di negara ini menghormati kewujudan Perlembagan Malayia yang boleh diikitiraf sebagai dokumen yang cukup penting bagi mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu.
Tidak mudah untuk merangka  perlembagaan sebuah negara yang terdiri dari berbagai kaum dan ethnik. Dan tidak mudah juga kaum-kaum di negara ini mencapai kata sepakat untuk menerima Perlembagaan Malaysia itu dengan seadanya, apatah lagi dalam suasana negara dimana kaum-kaumnya belum lagi bersatu dengan sepenuhnya. Namun dengan kepimpinan yang ikhlas dan matang para pemimpin kaum ketika itu dapat menyelesaikan masalah yang rumit ini dan hasilnya terjelmalah perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu ( Malaysia) seperti yang ada pada hari ini.
Rakyat Malaysia harus sedar bahawa tidak mudah bagi pemimpin kita yang terdahulunya untuk menyelesaikan isu-isu kritikal yang boleh sesuai untuk semua kaum. Tetapi dengan kebijaksanaan pemimpin dan bersendikan semangat keikhlasan isu yang membabaitkan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu, Hak Istemewa orang Melayu dan Agama Islam telah dapat dileraikan dengan jayanya.
‘Anak-anak’ Malaysia kini harus menghayati sumbangan pemimpin yang terdahulu yang  telah meletakkan asas yang begitu kukuh kepada Malaysia.  
abuhassanadam

22 Mac 2015

No comments:

Post a Comment